ISU-ISU AKHBAR CINA
LEBIH BAIK PILIHAN RAYA UMUM AWAL
AKHBAR Sin Chew Daily terbitan 22 Februari 2011 menyiarkan artikel tulisan Timbalan Editornya, Lim Ming Fah mengenai perlunya Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 diadakan lebih awal di halaman 26 akhbar berkenaan.
Menurut penulis, kadangkala semua pihak amat berharap supaya PRU-13 diadakan secepat mungkin, agar suasana haru-biru kancah politik dapat diredakan dan pulih seperti sediakala.
Isu-isu berkaitan kes Teoh Beng Hock, speaker kosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), pilihan raya kampus, Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mahu tubuhkan pasukan polis sendiri dan Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu tubuhkan pentadbir badan agama bukan Islam dalam exco, semuanya telah dipolitikkan.
Kes Beng Hock terjun bangunan yang melibatkan nyawa dan juga siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah dipolitikkan untuk mengalih pandangan orang ramai.
Dalam pada itu, langkah Speaker DUN Selangor, Datuk Teng Chang Khim mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang kosong berikutan kegagalan penyandangnya, Badrul Hisham Abdullah menghadiri sidang Dewan selama enam bulan, dianggap tidak sah oleh Mahkamah Tinggi. Ini kali pertama mahkamah menolak keputusan speaker negeri.
Mengenai isu kerajaan PKR Selangor mahu tubuhkan polis bantuan untuk menangani masalah ketenteraman awam dalam masyarakat, itu adalah perkara baik. Malangnya, seperti yang berlaku dalam rancangannya membeli syarikat air, apabila sesuatu perkara itu dilibatkan dengan politik, walaupun penting, ia akan terhalang.
Saya juga memang tidak faham dengan tindakan beberapa pihak yang membuat kecoh ekoran tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu mewujudkan jawatan Exco Hal Ehwal Agama Bukan Islam untuk menangani isu-isu agama lain, sedangkan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa untuk berbuat demikian.
Satu isu lain yang lebih pelik adalah mengenai pilihan raya kampus. Sepatutnya pemilihan dibuat untuk menentukan individu yang akan berada dalam jawatankuasa pelajar. Bagaimanapun, pilihan raya yang sepatutnya ringkas itu sudah berubah wajah dan menjadi lebih kompleks.
Pilihan raya kampus tahun ini menyaksikan berlaku rusuhan dan pukul memukul. Bahagian keselamatan universiti pula ‘menyumbat mulut’ pelajar dan tidak beri mereka bersuara. Selepas itu, ada tuduhan pelajar Cina mendapat dana daripada MCA dan Gerakan untuk berkempen.
Selain itu, terdapat calon yang menerima gangguan khidmat pesanan ringkas (SMS), kain rentang kempen dibakar, kenderaan disimbah cat, manakala seorang calon pula dikatakan hilang secara misteri dan selepas itu dijumpai di sebuah masjid.
Nampaknya, tangan ghaib politik telah menyelinap masuk ke dalam kampus. Ini malang bagi institusi pendidikan. Kenapa tidak beri pelajar kebebasan dan suasana tenang untuk membuang undi?
Selagi hari PRU tidak kunjung tiba, isu-isu yang dipolitikkan tidak akan habis dan tiada penghujungnya. Sebab itu, cuba anda fikirkan, bukankah lebih bagus jika PRU diadakan lebih awal?
TIDAK SALAH BIJAK CARI WANG
Penulis artikel bertajuk ‘Bijak mencari duit memang tidak salah’ menggunakan nama samaran Shao Xue. Artikel yang diterbitkan pada 23 Februari 2011 disiarkan dalam ruangan perbincangan rakyat, muka surat C13.
Beliau menulis, saudara kaum kita (orang Melayu) menyatakan orang Cina pandai cari duit dan lebih bijak mengendalikan urusan kewangan berbanding kaum-kaum lain. Mereka cuba berbuat baik dengan orang Cina, supaya dapat merapatkan jurang ekonomi dan kewangan orang Melayu.
Dalam pada itu, pihak kerajaan telah bertahun-tahun melaksanakan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Pelbagai tongkat diberikan kepada orang Melayu dan bumiputera supaya mereka dapat meningkatkan kedudukan ekonomi termasuk memiliki 30 peratus ekuiti saham.
Setelah puluhan tahun DEB dilaksanakan, matlamat itu tidak juga tercapai. Baru-baru ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sehingga kini ekuiti bumiputera hanya berada di tahap 22 peratus. Malangnya, beliau tidak mahu komen dan nyatakan kenapa matlamat itu tidak tercapai.
Tambah Mustapa, aset dan ekuiti bumiputera dalam bidang hartanah terutama sekali di Kuala Lumpur agak sedikit. Maksud kata-kata menteri itu, ialah kaum bumiputera masih memerlukan tongkat.
Ada orang secara bergurau-senda berkata, bagi mencapai matlamat 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera, orang Cina sepatutnya melambat-lambatkan usaha mencari duit, jangan buat untung terlalu banyak dan jangan rebut kek ekonomi dari golongan bumiputera.
Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mempunyai pandangan lebih bernas. Beliau berkata, orang-orang Cina di Malaysia lebih sukakan duit, bekerja keras siang dan malam untuk mencari wang dan usaha itu telah dapat merangsang perkembangan ekonomi negara.
Saya tidak tahu sama ada orang Cina benar-benar faham atau tidak maksud Timbalan Perdana Menteri itu. Ketegangan mungkin boleh timbul jika mereka salah tanggapan bahawa Muhyiddin menyatakan orang Cina pandai mencari duit sahaja.
Sebenarnya apa yang disebut oleh beliau adalah walaupun memang betul orang Cina pandai mencari duit, rakan-rakan bumiputera janganlah merasa iri hati, supaya tidak berlaku ketegangan antara kaum.
Saya turut terfikir kata-kata bos Tenaga Nasional Berhad (Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh) pada majlis jamuan Tahun Baru Cina baru-baru ini. Beliau berkata, semua projek besar tidak sepatutnya dimonopoli oleh satu kaum sahaja. Ia sepatutnya diberikan kepada orang yang mampu melaksanakannya dan mereka yang mempunyai prestasi baik harus dilantik semula untuk menjalankan projek terbabit.
Beliau menasihatkan adik-beradik kita (orang Melayu) supaya memberi penekanan kepada kebolehan diri sendiri dan bijak mencari peluang. Jangan lagi salahkan orang lain dan jangan asyik mahu bantuan tongkat jika diri sendiri melepaskan peluang yang diberi sehingga ia diambil kaum lain.
Saya amat gembira apabila mendengar kata-kata yang bernas seperti itu. Mana-mana kaum yang mampu tingkatkan kebolehan mereka, bersainglah secara adil. Cara itulah yang terbaik dan tidak perlu asyik gunakan tongkat lagi.
IKTIRAF SIJIL SEKOLAH MENENGAH CINA
Akhbar Nanyang Siang Pau terbitan 24 Februari 2011 menerusi tulisan wartawannya, Koh Kuok Wei memaparkan artikel mengenai isu sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah swasta Cina yang tidak diiktiraf universiti tempatan.
Berikut adalah artikel yang ditulis beliau bertajuk ‘Diharap Chan Hong Nam berdoa agar maklumat yang beliau dapat itu tidak silap’ yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun di halaman A16.
Pilihan raya sudah hampir tiba, ramai pemimpin politik telah sebarkan pelbagai maklumat dan berita-berita yang indah.
Kali ini, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr. George Chan Hong Nam yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak menabur berita gembira bahawa kerajaan akan secepat mungkin mengumumkan pengiktirafan sijil peperiksaan gabungan sekolah menengah swasta Cina.
Jika benar, ia adalah berita penting dan terbaik bagi masyarakat Cina dan sepatutnya mendapat reaksi yang luar biasa. Tetapi kali ini, pengumuman berkenaan disambut dingin oleh pelbagai pihak termasuk di kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) lain. Kenapa boleh berlaku demikian?
Walaupun Hong Nam menyatakan perkara itu sudah hampir berlaku di depan mata, masyarakat Cina masih tidak percaya kerana menganggap ia seperti cerita anak penggembala kambing yang berteriak berkali-kali bahawa ada serigala memakan haiwan itu.
Kenapa Hong Nam yang umumkan? Sedangkan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek masih ada. Macam mana isu sebesar itu, Hong Nam pula yang umumkan?
Walaupun Hong Nam adalah Presiden SUPP, tetapi beliau tidak duduk di peringkat Kerajaan Pusat. Jika berita itu benar, bermakna beliau telah ‘mencuri’ maklumat daripada MCA ataupun Gerakan. Apakah tindak balas Soi Lek dan Tsu Koon terhadap beliau nanti?
Jika itu satu kesilapan, bermakna Hong Nam sedang membantu ke arah mengeruhkan suasana dan beliau juga boleh dituduh cuba burukkan hubungan antara MCA dengan Gerakan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment