Saturday, March 12, 2011

pas halang pembangunan

Pas halang projek UDA Holdings

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my
BACHOK 11 Mac – Tindakan kerajaan Pas Kelantan melarang UDA Holdings Berhad (UDA Holdings) untuk melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri akan hanya merugikan rakyat, terutama peniaga kecil.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, peniaga kecil terutama di pusat bandar Kota Bharu, akan kehilangan tempat bergantung apabila kerajaan Pas Kelantan yang tidak memiliki aset kukuh dalam sektor perniagaan, gagal membela nasib dan kebajikan mereka.

“Kita memandang serius isu berkenaan. Apatah lagi agensi Kerajaan Persekutuan pula yang dipersalahkan,” katanya.

Beliau menjelaskan demikian kepada pemberita selepas merasmikan kejohanan futsal briged Muda Rela di Kampung Cabang Tiga Melawi dekat sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan Pas Kelantan yang dilaporkan telah memutuskan tidak akan membenarkan UDA Holdings melaksanakan sebarang projek pembangunan di negeri ini, berikutan kemelut Bazar Tok Guru.

Awang Adek yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata, UDA Holdings tidak sepatutnya dipersalahkan berhubung kemelut yang berlaku membabitkan perpindahan peniaga ke Bazar Tok Guru.

Beliau berkata, peniaga terbabit termasuk di Arked Uda, enggan berpindah disebabkan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) menawarkan harga tinggi antara RM80,000 hingga RM90,000 bagi satu ruang niaga bersaiz kecil iaitu 1.82 x 2.4 meter persegi.

Jelasnya, peniaga terbabit mempunyai hak untuk memilih mengikut kemampuan dan keupayaan mereka serta tidak sepatutnya ditekan supaya berpindah ke bazar berkenaan.

“Ia adalah di luar kemampuan peniaga tempatan, kerajaan negeri sepatutnya lebih bertimbang rasa terhadap peniaga terbabit kerana mereka merupakan golongan berpendapatan kecil dan perlu diberi bantuan sewajarnya,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan Pusat ternyata lebih prihatin dalam membangunkan sektor perniagaan membabitkan penyertaan lebih ramai usahawan dan peniaga Melayu di negeri ini sejak sekian lama.

Mengenai perkembangan politik di negeri ini, Awang Adek berkata, pelbagai isu termasuk masalah air berlarutan telah menyedarkan rakyat mengenai kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam memenuhi tanggungjawab mereka.

Beliau berkata, UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan terus mendekati rakyat terutama pengundi muda untuk terus menyedarkan mereka mengenai kegagalan Pas membawa perubahan di Kelantan.

No comments:

Post a Comment