Tuesday, March 8, 2011

Tsunami 08

Jangan ulangi 'tsunami' 2008

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
TIGA tahun lalu atau lebih tepat lagi pada tanggal 8 Mac 2008, arena politik negara menyaksikan apa yang dipanggil 'tsunami politik' berikutan keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 yang diadakan. Ia dianggap 'tsunami' kerana ketika itu Barisan Nasional (BN) yang dipimpin oleh Tun Abdullah Ahmad Badawi bukan sahaja kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, malah keputusan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) juga amat mengejutkan.

BN kehilangan kuasa di Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang manakala di Kelantan, Pas terus bertakhta. Keputusan pada masa itu menyaksikan 4,082,411 atau 50.6 peratus pengundi memihak kepada BN manakala 3,796,464 pengundi atau 49.4 peratus menyebelahi pihak pembangkang yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Sudah jelas ketika itu, selain kelemahan kepimpinan BN, rakyat bertindak menyebelahi pembangkang kerana termakan dengan janji-janji yang dibuat oleh ketiga-tiga parti berkenaan terutamanya di negeri-negeri yang mereka berjaya tawan.

Tetapi kini selepas tiga tahun berlalu, rakyat mula melihat kedudukan dan situasi sebenar. Pembangkang yang seolah-olah terlalu teruja mendapat sedikit kelebihan melalui keputusan pilihan raya berkenaan mulai kelam-kabut. Walaupun pada awalnya, pihak pembangkang dikatakan mampu mengekalkan momentum kemenangan berikutan kejayaan dalam beberapa siri Pilihan Raya Kecil (PRK) yang diadakan, namun ia hanyalah bersifat sementara.

Melalui perubahan kepimpinan dan pendekatan strategi berlandaskan gagasan 1Malaysia, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' yang dicetuskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, BN mula mengaut kembali sokongan rakyat.

Ia bermula di PRK Parlimen Hulu Selangor yang menyaksikan BN berjaya merampas kerusi berkenaan daripada PKR.

Momentum kejayaan berterusan menyaksikan BN mengekalkan kerusi di Parlimen Batu Sapi, merampas kerusi Pas di DUN Galas dan terus bertahan di Tenang, Merlimau dan Kerdau.

Apa pun jika dianalisis satu persatu kedudukan parti-parti pembangkang, boleh dikatakan kesemua mereka sedang berhadapan dengan krisis dan masalah yang mampu menghakis sokongan kepada mereka. PKR boleh dianggap paling teruk dilanda krisis kepercayaan kerana bukan sahaja ahlinya semakin ramai meninggalkan parti itu, malah beberapa ahli Parlimen turut 'angkat kaki'.

Antaranya, N.Gobalakrishnan (Padang Serai), Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Bayan Baru), Zulkifli Noordin (Kulim-Bandar Bahru), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Tindakan mereka tidak termasuk orang-orang kuat parti itu yang turut tidak mampu lagi bertahan dengan corak politik PKR.

Akibatnya, PKR menghadapi krisis dalaman yang serius dan dianggap parti pembangkang paling bermasalah sejak selepas PRU 2008. Walaupun kini Anwar menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat tetapi ia dilakukan atas ihsan DAP yang amat memahami bahawa PKR dan Pas tidak akan mampu melakukan apa-apa tanpa sokongan mereka.

Bagi Pas pula, nasib mereka lebih malang lagi, walaupun suatu ketika dianggap salah sebuah parti pembangkang yang digeruni tetapi sekarang tidak lagi. Kesepakatan mereka bersama PKR dan DAP telah memungkinkan terhakisnya sokongan sebahagian orang Melayu kepada parti itu.

Ia jelas apabila dalam empat PRK terakhir yang diadakan, parti itu kecundang termasuk menerima tamparan hebat di DUN Galas apabila Pas gagal mempertahankan kerusi berkenaan. Bagi DAP pula, walaupun tidak banyak kontroversi berlaku, namun apa yang mendapat perhatian ialah pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah kepimpinan Lim Guan Eng.

Terlalu banyak perkara yang didedahkan mengenai kelemahan pentadbiran beliau termasuklah kegagalan menunaikan janji-janji yang dibuat semasa pilihan raya. Namun begitu momentum kemenangan yang kini dikatakan kembali melingkari BN bukanlah bermakna parti itu perlu bersenang lenang.

Masih terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan dan tugas paling mencabar bagi BN ialah merampas kembali kuasa pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor. Dalam soal ini, jentera BN perlu membuktikan bahawa kemenangan sama ada di Tenang, Kerdau mahupun Merlimau bukan semata-mata kerana ia kubu kuat parti berkenaan tetapi sememangnya disebabkan oleh sokongan rakyat yang semakin meningkat.

Sokongan tersebut perlu diteruskan di kerusi-kerusi Parlimen mahupun DUN yang ditawan pembangkang dalam PRU 2008. Hasrat ini hanya boleh dicapai jika pendekatan memenangi hati rakyat yang kini sedang diusahakan dengan gigih oleh Najib dilakukan oleh pemimpin-pemimpin BN di semua peringkat.

Pemimpin-pemimpin berkenaan terutamanya di negeri-negeri yang ditawan oleh pembangkang perlu segera mengatur strategi bagi menawan semula hati rakyat yang sebahagian besar mereka dikatakan 'merajuk' pada 2008. BN hakikatnya mempunyai kelebihan kerana rakyat sudah melihat betapa buruknya tindak-tanduk pembangkang apabila diberi secebis kuasa.

Tetapi kelebihan ini tidak akan bermakna, jika pemimpin-pemimpin BN terutamanya dari UMNO masih selesa dalam zon sendiri seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku. Sama ada di Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor, kesemua negeri berkenaan perlu mempunyai strategi yang mantap untuk meraih sokongan rakyat.

Ketika ini ramai berpendapat, BN agak 'menggegarkan' di Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor tetapi di Kedah parti itu dilihat masih lesu. Keadaan seumpama itu tidak boleh dibiarkan berterusan kerana dalam keadaan pembangkang yang kini dikatakan semakin terhakis sokongan rakyat, maka BN perlu mengambil kesempatan sebaik-baiknya untuk memastikan rakyat menyebelahi mereka.

Begitu juga di negeri-negeri yang berada dalam genggaman BN, mereka juga tidak boleh berada di dalam zon selesa kerana sesiapa pun tidak boleh membaca apa yang ada di dalam fikiran rakyat. Sementara agenda merampas kembali negeri ditawan oleh pembangkang dilaksanakan, negeri yang berada di bawah penguasaan BN pula perlu diperkukuhkan.

Bagi pembangkang, dengan momentum sokongan rakyat terus menyebelahi BN, mereka sudah pasti akan berasa rimas dan cuba sekali lagi mengabui mata rakyat melalui janji-janji manis yang terkandung dalam 'buku jingga'. Jika tiga tahun lalu, BN dikatakan gagal untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pembangkang hanya bijak berjanji tetapi kini dengan apa yang berlaku terutamanya di Kedah, Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan, BN dikatakan tidak ada masalah lagi.

Rakyat perlu diberikan keyakinan bahawa mereka tidak boleh lagi terperangkap kali kedua dengan janji-janji palsu pembangkang kerana tindakan membenarkan 'tsunami politik 2008' berulang mampu menjejaskan masa depan rakyat dan negara.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment