Tuesday, March 8, 2011

Kandungan Telefon Disiasat

Isi kandungan SMS empat pegawai SPRM didedah

KUALA LUMPUR 7 Mac – Isi kandungan beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada empat telefon bimbit milik pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang terlibat dalam siasatan terhadap Teoh Beng Hock hari ini didedahkan buat pertama kali dalam prosiding suruhanjaya untuk menyiasat kematian setiausaha politik Exco Selangor itu.

Beberapa SMS yang dianggap relevan dengan kes tersebut tetapi tidak pernah dikemukakan dalam prosiding inkues menyiasat kematian Beng Hock sebelum ini diperoleh daripada telefon bimbit milik Ketua Bahagian Siasatan, Hairul Ilham Hamzah dan pegawai-pegawai penyiasat, Mohd. Anuar Ismail, Mohd. Ashraf Mohd. Yunus serta Azeem Hafiz Jamaludin.

Kesemua SMS tersebut diteliti satu persatu oleh anggota suruhanjaya serta pegawai pengendali dan isi kandungan yang dirasakan relevan dengan kematian Beng Hock dibaca serta ditandakan.

Malangnya, data pada tarikh-tarikh yang dianggap penting dan relevan iaitu 15, 16 dan 17 Julai 2009 tidak diperoleh daripada telefon bimbit berkenaan dan ia hanya memaparkan SMS serta panggilan pada tarikh lain antaranya 22 dan 23 Julai 2009.

Antara SMS yang dibacakan daripada telefon bimbit milik Azeem Hafiz ialah:

‘‘Tak perlu nak sorok, lama kelamaan kebenaran akan terbukti jua.’’

‘‘Entah la kenapa polis nak further..”

Sementara daripada telefon bimbit Mohd. Anuar yang merupakan pegawai penyiasat kes penyelewengan peruntukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pula terdapat tiga SMS yang dilihat seolah-olah cuba menenangkan beliau.

‘‘Saya tumpang simpati dengan tuan. Tuan tak report polis ke untuk back up..’’

‘‘Kenapa nak marah-marah dekat tuan pulak.”

‘‘Sabar banyak-banyak brader, kau tahu kebenaran akan keluar juga, tak perlu nak plan macam-macam. Doa orang yang teraniaya tiada hijab di sisi Allah...”

SMS daripada telefon bimbit milik Mohd Asyraf, pegawai yang bertanggungjawab menyoal siasat Beng Hock pada 16 Julai 2009 turut dibaca iaitu:

‘‘Kenapa semua tuding jari kat SPRM, tapi polis pun jalankan tugas, don‘t worry ok sayang..’’

‘‘Apa la awak ni. Jangan cakap sori. Bukan awak yang salah. Saya tak lunch lagi..’’

Selepas SMS tersebut dibaca, salah seorang ahli suruhanjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom secara berseloroh mengatakan SMS tersebut berbunyi agak peribadi dan bertanya sama ada Mohd. Ashraf sudah berkahwin atau belum.

Sementara daripada telefon bimbit Hairul Ilham, hanya dua SMS ringkas dibaca berbunyi: ‘‘Tak pa, cool down kan dia dulu’’ dan ‘‘Ok bos.”

Terdahulu, Penolong Juruanalisis, Seksyen Jenayah Komputer, Makmal Forensik Polis, Inspektor Mohd. Zaidi Abu Hassan memberitahu suruhanjaya bahawa beliau menerima lima telefon bimbit milik Hairul Ilham, Mohd. Anuar, Mohd. Nazri Ibrahim, Mohd. Ashraf dan Azeem Hafiz pada 23 Julai 2009.

Katanya, semua telefon beserta kad SIM dan kad memori itu dianalisis pada hari yang sama dan keesokan harinya.

Jelas beliau, data-data daripada semua telefon bimbit tersebut berjaya dikeluarkan kecuali telefon milik Mohd. Nazri yang tidak dapat dibaca oleh perisian XRY 4.5 kerana mempunyai nombor kunci pembuka pin (PUK).

Mohd. Zaidi juga memberitahu, beliau turut menerima dua telefon bimbit beserta kad SIM dan memori kepunyaan Timbalan Pengarah SPRM Selangor, (ketika itu) Hishamuddin Hashim untuk dianalisis pada 13 Ogos 2009.

‘‘Satu telefon berjaya dianalisis kesemuanya dan dikeluarkan data-data, manakala kad memori untuk telefon bimbit satu lagi tidak dapat dibaca,’’ katanya.

Jelas beliau, SMS pada tarikh 15, 16 dan 17 Julai tidak diperoleh daripada kesemua telefon yang dianalisis kerana mungkin simpanan data terhad atau ia adalah telefon baru.

Pada prosiding hari ini, Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen mengarahkan agar ahli keluarga Beng Hock, rakan-rakan dan pegawai SPRM yang melakukan soal siasat ditemubual oleh tiga pakar psikiatri iaitu Dr. Ba‘diah Yahya, Dr. Nor Hayati Ali serta Dr. Benjamin Chan.

Kata beliau, temu bual itu penting bagi menentukan keadaan minda Beng Hock walaupun ahli keluarganya enggan berbuat demikian sebelum ini.

Cheng Yuen turut mengarahkan agar teman wanita lelaki itu, Soh Chor Wei ditemubual memandangkan tiada sebarang kenyataan diperoleh daripadanya sebelum ini sedangkan ia mampu memberikan maklumat yang berguna.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini bersambung esok.

Beng Hock, 30, setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.

Mahkamah Koroner pada 5 Januari lalu memutuskan hasil inkues menyiasat kematian lelaki itu sebagai keputusan terbuka (open verdict).

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment