Friday, March 11, 2011

Janji Saja


Hanya pandai berjanji

Oleh A. JAILANI ABDULLAH
kota@utusan.com.my

Megat Zulkarnain Omardin (tengah) bersama pengusaha-pengusaha gerai makan yang terbakar selepas majlis penyampaian bantuan segera di Gombak, kelmarin.

GOMBAK 10 Mac – “Mereka semua hanya pandai berjanji itu dan ini tetapi selepas itu semuanya menghilangkan diri. “Akhirnya, kami juga yang terpaksa menanggung segala kerugian dan berusaha sendiri membangunkan semula perniagaan kami.”

Itulah antara luahan peniaga kedai makan di Bazar Greenwood di sini yang menjadi mangsa kebakaran minggu lalu.

Dalam kebakaran pada 3 Mac lalu itu, 20 buah kedai makan di bazar itu musnah, dipercayai berpunca daripada kejadian litar pintas di salah sebuah kedai.

Pengusaha yang terlibat menganggarkan kerugian mereka bernilai sekitar RM15,000.

Kebakaran yang bermula kira-kira 9.40 malam itu turut merosakkan enam kedai makan lain.

Salah seorang mangsa, Wan Rahim Wan Ahmad, 53, berkata, setakat ini, belum ada makluman mengenai bantuan yang akan diberikan oleh kerajaan negeri kepada dia dan rakan-rakannya.

Pengusaha kedai nasi ayam itu berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan itu, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali dan Ahli Parlimen Gombak Setia, Azmin Ali telah datang pada sebelah siang hari kebakaran dan berjanji akan memberikan bantuan segera termasuk menyediakan tapak kedai sementara.

“Namun sehingga kini, kami tidak mendapat sebarang makluman baru. Pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) pun tiada datang untuk memaklumkan apa-apa.

“Saya minta ADUN dan Ahli Parlimen kawasan ini agar menyegerakan bantuan seperti tapak berniaga sementara dan mungkin sedikit bantuan modal,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima bantuan segera daripada Kerajaan Pusat yang disampaikan oleh Penyelaras Barisan Nasional Parlimen Gombak, Megat Zulkarnain Omardin di tapak gerai yang terbakar itu semalam.

Wan Rahim turut kesal kerana laporan anak lelakinya kepada balai bomba dan penyelamat paling hampir iaitu di Taman Koperasi Polis tidak mendapat bantuan segera.

“Mereka memberitahu balai itu di luar kawasan Selangor, mereka berada di dalam kawasan Kuala Lumpur.

“Sepatutnya dalam keadaan kecemasan mereka seharusnya membantu tanpa mengambil kira perkara-perkara birokrasi seperti itu. Kalau mereka datang, mungkin tidak banyak kedai yang musnah,” ujarnya dengan nada terkilan.

Zaliha Mohamed, 51, yang telah berniaga nasi ayam selama 13 tahun di situ berkata, Hasan telah meminta mereka menyenaraikan kerugian dan berjanji akan menyegerakan bantuan termasuk memberikan tapak sementara, tetapi sehingga kini tiada makluman lanjut.

“Dalam mesyuarat kami dengan MPS pada Jumaat lalu, kami diberitahu kedai sementara akan mula dibina di Taman Berlian pada hari Isnin... tetapi hingga hari ini tidak nampak kerja-kerja dilakukan,” dakwanya.

Kawasan tapak yang dijanjikan hanya berada di seberang jalan kawasan kedai makan yang terbakar itu.

Sementara itu, Megat Zulkarnain berkata, MPS perlu mengambil serius masalah yang dihadapi peniaga-peniaga itu dengan segera menunaikan janji dan menghulurkan bantuan.

“Pihak kami memberikan MPS tempoh satu dua hari lagi. Jika tiada apa-apa bantuan juga, kami akan bertemu mereka untuk membuat desakan kerana ini melibatkan rakyat yang mesti didahulukan.

“Apabila berlaku bencana, rakyat tak boleh tunggu. Kepada wakil rakyat kawasan ini begitu juga, jangan hanya pandai berjanji,” tegasnya.

Mengenai bantuan yang disampaikan, beliau berkata, ia bertujuan meringankan sedikit beban peniaga dan juga janji Barisan Nasional pada malam kejadian itu.

“Kami turut memberi bantuan sebanyak RM300 seorang kepada enam pemilik kedai lain yang turut terjejas ,” katanya.

Mengenai pembangunan semula kedai yang terbakar, beliau berkata, ia di bawah kuasa kerajaan negeri dan pihaknya hanya boleh mendesak pihak yang berkenaan agar mempercepatkan bantuan.

No comments:

Post a Comment