Tuesday, March 15, 2011

Bazar Yang Kecoh

Antara minta maaf dan tunai janji

Oleh Yulpisman Ali
FIRMAN Allah dalam Surah Asy-Syura ayat 43 yang bermaksud: “Tetapi barang siapa yang bersabar dan memaafkan, sungguh yang demikian itu termasuk perbuatan yang mulia.”

Isu penempatan 415 peniaga di Bazar Tok Guru nampaknya terus mengundang polemik, apabila dua persatuan peniaga terbabit bertindak mendesak Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat terlebih dahulu menunaikan janji yang dibuat pada 6 Mac 2008 iaitu dua hari sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU 12).

Desakan itu dibuat berikutan kenyataan Nik Abdul Aziz sebelum ini yang meminta mereka memohon maaf secara terbuka kepada Exco, Datuk Anuar Tan Abdullah kerana dikatakan melakukan serangan peribadi terbuka kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Pas Kota Lama itu.

Serangan peribadi tersebut dikatakan dibuat oleh persatuan peniaga terbabit dalam satu majlis Maulidur Rasul anjuran kerajaan negeri di pekarangan meletak kereta bazar berkenaan yang turut dihadiri oleh Nik Abdul Aziz dan Anuar Tan.

“Kita ada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi mereka takut untuk datang ke Pasar Besar MPKB. Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa kata Ahli Parlimen Kota Bharu takut untuk datang berjumpa dengan kami.

“Tetapi pada pilihan raya mereka boleh pula naik atas pasar untuk datang berjumpa dengan kami, meminta undi, bila kami tersepit tidak ada seorang pun datang jumpa,” kata Pengerusi Peniaga Pasar Lama MPKB, Abdul Salim Ahmad semasa berucap pada majlis itu.

Berikutan itu, Nik Abdul Aziz dalam sidang media selepas mengadakan kuliah mingguan Jumaat lalu, mahu persatuan terbabit meminta maaf secara terbuka kerana menyifatkan perbuatan tersebut berdosa, selain menyatakan masalah Bazar Tok Guru tidak akan berubah.

“Masalah di pasar borong tu tetap dah begitu. Nak terima, terima. Lebih 100 orang terima dah. (Yang) tolak, tolaklah, cari lainlah, itu keputusan kerajaan,” kata Nik Abdul Aziz.

Anehnya, ketika Menteri Besar itu sibuk mempertahankannya, Anuar Tan pula mengambil pendekatan berbeza dan dilihat lebih diplomasi atau mungkin juga ‘jalan selamat’, apabila menyatakan Abdul Salim tidak perlu meminta maaf kerana menganggap kritikan yang dibuat bersifat terbuka dan bukan ditujukan kepadanya.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak sempat bertemu kedua-dua persatuan peniaga terbabit bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Perkembangan itu menimbulkan persoalan, adakah Nik Abdul Aziz tidak bersedia untuk menerima kritikan mengenai kegagalan kerajaan Pas Kelantan menyelesaikan masalah penempatan peniaga terbabit?

Sedangkan, apa yang peniaga harapkan ialah kerajaan Pas Kelantan dengan slogan Membangun Bersama Islam dapat membela nasib mereka dengan menunaikan janji yang dibuat sebelum ini iaitu menyediakan saiz lot niaga yang selesa pada harga patut di Bazar Tok Guru.

Masalah peniaga terbabit pula hanya mula mendapat perhatian serius daripada kerajaan Pas Kelantan setelah ia diketengahkan oleh media arus perdana dan blog.

Mungkinkah Nik Abdul Aziz selaku ketua kerajaan negeri yang sentiasa sibuk, terlupa dengan janji yang pernah beliau buat kepada peniaga terbabit? Justeru, kritikan yang diberikan oleh kedua-dua persatuan pada majlis tersebut, semata-mata bertujuan mengingatkan beliau kembali tentang perkara berkenaan.

Namun, apa yang pasti mengecewakan peniaga terbabit adalah apabila teguran dan kritikan membina yang mereka suarakan disalah erti oleh Menteri Besar bagi mengaibkan exconya pula.

Hakikatnya, jika kerajaan Pas Kelantan awal-awal lagi menunaikan janji yang dibuat, kemelut penempatan 415 peniaga terbabit tidak timbul sama sekali. Ini kerana, PRU 12 telah pun tiga tahun berlalu, sementara bangunan Bazar Tok Guru juga sudah tersergam indah dengan ciri-ciri Islamnya iaitu enam buah kubah besar berwarna hijau, tetapi kini ibarat ‘gajah putih.’

Sebenarnya, dari satu sudut, kemelut yang melanda Bazar Tok Guru, sebuah projek Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) yang turut dikaitkan dengan kerugian dialami oleh kerajaan negeri sebanyak RM50 juta, mencerminkan sikap pemimpin Pas Kelantan yang selama ini hanya pandai menuding jari kepada Kerajaan Pusat yang dituduh tidak menunaikan janji kepada rakyat.

Justeru, apa yang berlaku seharusnya membuka mata rakyat negeri ini terutama peniaga terbabit, bahawa Pas juga sebenarnya boleh memberi pelbagai janji menjelang pilihan raya namun belum tentu dapat menunaikannya selepas diberi mandat.

Allah berfirman lagi: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah janji-janji.” (Al-Maidah: 1)

Dalam pada itu, Rasulullah SAW pula bersabda: “Tanda orang munafik itu ada tiga perkara apabila bercakap dia berbohong, apabila berjanji dia mungkiri janji dan apabila dia diamanahkan dia mengkhianati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Penulis ialah Ketua Biro

Utusan Malaysia di Kelantan

No comments:

Post a Comment