Friday, March 4, 2011

Mufti Harusani



Saran Harussani letak jawatan, sertai politik

KOTA BHARU - Pas Kelantan menggesa Tan Sri Harussani Zakaria meletak jawatan Mufti Perak dan menyertai politik sekiranya beliau berterusan memberi kenyataan memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangannya, Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, sebagai ilmuwan agama, Harussani sememangnya sudah mengetahui setiap perbuatan dilakukan manusia tidak terlepas dari hukum halal dan haram.

“Beliau hendaklah jujur dengan ilmunya, kita yakin beliau (Harussani) tahu tidak ada satu pun perkara atas dunia ini sama ada besar atau kecil, tidak terlepas hukum halal, haram, dosa dan pahala.

“Sebenarnya fatwa dikeluarkan beliaulah yang akan mengelirukan umat Islam, kita nasihatkan beliau kalau sokong BN sekalipun jangan gunakan institusi mufti, lebih baik beliau berterus terang dengan sikap sebenar. Letak jawatan dan terjun ke bidang politik,” katanya.

Selasa lalu, Harussani menasihatkan pemimpin Pas khususnya Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak menggunakan hukum agama untuk meraih undi kerana diimbangi menyebabkan masyarakat Islam terkeliru.

Kesal dengan kenyataan itu, Menteri Besar Kelantan itu menegaskan setiap perbuatan yang dilakukan manusia, termasuk soal masuk tandas sekalipun mempunyai hukum tersendiri.

Isu timbul apabila Nik Aziz ketika Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, mengeluar kenyataan berkempen “undi Pas masuk syurga”.


Nik Aziz tidak faham


IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menyifatkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak faham mengenai teguran berunsurkan nasihat sebagai peringatan sesama Islam yang dinyatakannya sebelum ini.

Beliau berkata, dalam soal mengundi atau memilih parti politik, kita tidak boleh menggunakan hukum sewenang-wenangnya termasuk dijanjikan syurga atau neraka.

“Ini kerana soal syurga dan neraka bukan hak kita kerana ia kuasa Allah SWT untuk menentukan siapa lebih berhak bergantung kepada amalan mereka.

“Bukannya ditentukan melalui pemilihan parti politik sebagaimana ditegaskan oleh Nik Aziz undi Pas masuk syurga, undi UMNO masuk neraka,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan balas Nik Aziz semalam, yang melahirkan rasa kesal terhadap tegurannya supaya jangan menggunakan agama untuk tarik pengundi.

Harussani berkata, memang benar sebagaimana yang diperintah menyokong atau membantu umat Islam adalah wajib tetapi bagaimana pula keadaannya bila sanggup bersekongkol dengan bukan Islam sehingga melanggar hukum-hakam agama.

Katanya, sebagai orang mukmin sudah menjadi tanggungjawab untuk menegur sesama umat supaya beliau sedar akan kesilapan berkenaan.

“Lagipun, buat apa saya mahu pertahankan mana-mana parti, selagi ia salah dan terpesong sudah tentulah perlu diperbetulkan.

“Jika dibiarkan begitu, ia akan terus mengelirukan rakyat dalam hal-ehwal hukum-hakam agama,” katanya.

No comments:

Post a Comment