Hapuskan pilihan raya kampus
SAYA adalah pemerhati bebas di dalam dunia politik kampus. Saya bekas mahasiswa yang dahulunya pernah terlibat di dalam politik kampus (dan kini menyesali tindakan itu).
Sekarang saya adalah kakitangan akademik di salah sebuah kampus dan saya merasakan pilihan raya kampus tidak mendatangkan banyak manfaat melainkan kemudaratan yang besar.
Pertamanya, kita dapat melihat bagaimana persatuan-persatuan di kampus disusupi dengan agenda politik luar dan membawa fahaman tertentu. Siapa yang terlibat? Tidak lain mahasiswa Melayu kita sendiri.
Mereka ini berpecah kepada puak- puak tertentu, saling menjatuhkan sesama mereka dan lebih teruk lagi berdemonstrasi dan sebagainya.
Bagaimanakah kita hendak melahirkan mahasiswa yang matang berkaliber dan berilmu jika begini fenomenanya? Politik nasional sudah cukup memecahbelahkan kita umat Melayu. Mengapa pihak kerajaan tidak terus menghapuskan sahaja pilihan raya kampus dan menggantikannya dengan sistem yang lebih baik?
Berdasarkan pengalaman, pelajar ini (baik pro aspirasi mahupun pro mahasiswa) hanyalah berjuang berlandaskan semangat semata-mata. Tetapi jika ditanya dengan lebih mendalam tentang hakikat jihad, dakwah dan hukum-hukum Islam, mereka tidak mampu memberikan penjelasan.
Mereka menceduk idea perjuangan mahasiswa zaman Anwar Ibrahim dan mengagung-agungkan istilah kebangkitan mahasiswa dalam reformasi sesebuah negara seperti di Indonesia. Tetapi mereka tidak sedar realiti perbezaan negara kita dengan Indonesia. Mereka tidak sedar akan cabaran mahasiswa Melayu sekarang yang diancam masalah pengangguran yang serius.
Bergelar mahasiswa kini adalah satu perkara biasa. Istilah mahasiswa bukan lagi diagung-agungkan seperti dahulu. Apa guna beria-ia berjuang dalam idealisme mahasiswa tetapi keluar kampus dengan keputusan 'cukup makan' dan bekerja 'biasa-biasa'?
Budaya fanatik dalam politik juga adalah sesuatu yang amat merugikan mereka. Mereka tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada pelajaran, sedangkan itulah tanggungjawab utama mereka di kampus.
Saya tidak menentang idea berpersatuan kerana berpersatuan dapat meninggikan nilai soft skill mereka. Tetapi yang saya risaukan adalah penglibatan mereka di dalam politik yang memecahbelahkan kesatuan mereka.
PENSYARAH CELIK POLITIK
Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment