Friday, March 25, 2011

Polemik Interlok Tamat

Semangat perpaduan tutup polemik Interlok

DALAM semangat muafakat 1Malaysia, polemik novel Interlok berjaya diselesaikan dengan baik Kerajaan bersetuju menggugurkan perkataan 'paria' daripada kandungan novel Interlok yang digunakan sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam diharap menutup polemik yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebilangan masyarakat India dan Melayu.

Perkataan 'paria' yang mencetuskan kemarahan kaum India akan digugurkan daripada versi yang digunakan di sekolah. Kerajaan juga bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Keputusan panel bebas yang dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India perlu dihormati. Jadi kita berharap tidak ada pihak yang tidak setuju dengan keputusan ini.

Seperti kata Muhyiddin, dengan persetujuan yang dicapai, Kementerian Pelajaran menganggap isu ini selesai.

Keputusan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran pun setelah bersetuju dengan dapatan panel bebas yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 cadangan dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India berhubung kemelut isu Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.

Sebanyak 87 perkara lagi didapati tidak ada kaitan dengan isu pokok seperti yang dicadangkan oleh masyarakat India sebelum ini.

Perkara utama dalam penyelesaian polemik Interlok ini ialah persetujuan daripada penulis novel itu sendiri yang bersetuju untuk menggugurkan perkataan 'paria,' meminda perkataan 'Tuhan' kepada perkataan 'dewa' dan menggugurkan frasa 'orang berkulit hitam' daripada novel itu.

Penyelesaian isu ini menunjukkan bahawa jika mana-mana pihak terlibat sedia bermuafakat untuk mencari jalan keluar melalui meja rundingan, ia akan berhasil.

Malah sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk, banyak masalah antara kaum di negara kita mampu diselesaikan dengan cara baik dan muhibah.

Memandangkan kepada formula muafakat yang dimainkan oleh kerajaan, kita sendiri dapat rasai bahawa tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

Tidak kira masalah melibatkan kepentingan kaum, bahasa dan agama - jika kena caranya dan betul gerak kerjanya, ia boleh diselesaikan.

Dalam proses mendapatkan persetujuan ramai seperti dalam isu Interlok ini, kesabaran dan sedia mendengar pandangan semua pihak dan bersikap tolak ansur adalah faktor merungkai masalah tersebut.

Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India dilihat adalah jalan penyelesaian yang terbaik.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment