Saturday, March 5, 2011

Bagi Jawatan Kpd Org Asli


Pertimbang jawatan kepada anak Orang Asli - Jamal Khir


JAMIL Khir Baharom menyampaikan replika cek sebanyak RM5,000 untuk kos pembelian alat bagi kegunaan surau pada Majlis Gerak Mesra dengan masyarakat Orang Asli di Kampung Paya Sendayan, Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 4 Mac - Kerajaan akan menimbang cadangan untuk memberikan keutamaan kepada anak Orang Asli mengisi jawatan sebagai Penggerak Masyarakat Orang Asli di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom berkata, pihaknya akan memberi keutamaan kepada anak Orang Asli yang sudah tamat pengajian kerana mereka lebih mengetahui hal ehwal masyarakat mereka.

"Cadangan ini bertujuan supaya usaha kerajaan untuk melihat pembangunan kerohanian dan moral masyarakat itu tercapai. Oleh itu kita perlu mencari orang yang ada keserasian dengan tempat dan mereka mesti tinggal di kawasan Orang Asli," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Gerak Mesra dengan masyarakat Orang Asli Kampung Paya Sendayan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Datuk Wan Rosdi Wan Ismail.

Tambah beliau, anggota Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) yang sudah pencen pada usia 44 dan 45 tahun juga digalakkan untuk mengisi jawatan tersebut.

"Ini kerana mereka masih mempunyai tenaga dan pengalaman selepas berkhidmat selama 23 tahun.

"Jika bekas polis boleh diserapkan sebagai pengawal keselamatan, barangkali bekas anggota Kagat juga boleh berkhidmat sebagai penggerak Orang Asli," katanya.

Oleh itu katanya, beliau akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Jakim berhubung cadangan tersebut.

"Tugas penggerak terbabit bertumpu pada aspek pembangunan keagamaan dan moral masyarakat Orang Asli selain menggerakkan masjid melalui dakwah, secara langsung dan tidak langsung.

"Jika usaha ini dapat dilaksanakan dengan kerjasama Orang Asli, dua aspek besar, iaitu pembangunan fizikal dan kerohanian masyarakat Orang Asli akan berubah," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa menitikberatkan soal pendidikan masyarakat Orang Asli.

"Pelbagai program telah diadakan oleh pihak kerajaan untuk meningkatkan pendidikan Orang Asli seperti Penggerak Masyarakat Orang Asli oleh Jakim dan Program Tamadun Masyarakat Orang Asli (Petama) oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang," ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment