Tuesday, August 31, 2010

Alahai Nawawee

'Lucut sahaja kerakyatan'

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Kerajaan didesak supaya melucutkan kerakyatan Wee Meng Chee atau dikenali sebagai Namewee ekoran perbuatannya menghasilkan klip video terbaru yang boleh menyemarakkan api perkauman.

Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM), Osman Abu Bakar berkata, tindakan tegas itu adalah yang paling wajar dikenakan bagi memastikan pihak-pihak lain yang ingin mencontohi perbuatan Namewee membatalkan hasrat mereka.

''Saya dapati Kementerian Dalam Negeri banyak berlembut dengan pemuda berkenaan yang sebelum ini telah mengubah lirik lagu Negaraku kepada Negarakuku sehingga dia menjadi lebih berani untuk 'berkarya' sesuka hati tanpa menghiraukan perasaan kaum lain.

''Oleh itu, sudah sampai masanya kerajaan mengambil tindakan menahan pasport atau melucutkan kewarganegaraannya," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan bekas penuntut pengajian komunikasi massa Universiti Ming Chuan, Taiwan itu yang menghasilkan klip video terbaru terbabit dipercayai bertujuan mengutuk seorang pengetua Melayu di sebuah sekolah menengah di Kulaijaya, Johor yang dilaporkan mengeluarkan perkataan berbaur perkauman semasa perhimpunan sekolah pada 12 Ogos lalu.

Namewee, 27, dalam klip video itu antara lain mencerca guru berkenaan serta menyebut Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai kurang ajar.

Selain itu, dalam klip video yang turut mempersendakan ibadat puasa di laman web Youtube, dia berulang kali menunjuk isyarat lucah serta mencarut.

Menurut Osman, tindakan lain yang boleh dikenakan adalah menahan pemuda dari Muar, Johor itu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tindakannya telah menimbulkan perasaan tidak puas hati antara kaum.

Dalam perkembangan sama, Presiden Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay berkata, langkah melucutkan kewarganegaraan adalah yang terbaik kerana pemuda itu tidak serik walaupun banyak pihak telah menegur perbuatannya sebelum ini.

"Saya telah menonton klip video terbaru ini dan apa yang boleh disimpulkan ia adalah biadab dan perkataan cacian serta hasutan ini tidak boleh diterima rakyat negara ini,'' katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memantau perkembangan isu itu dan tidak menolak kemungkinan membuat satu lagi laporan polis seperti yang dilakukan pada 2007 berkaitan klip video Negarakuku.

Dalam pada itu, Yang Dipertua Gagasan Suara Rakyat Selangor (Suara), Mohd. Daud Tarihep berkata, tindakan Namewee itu bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang mengutamakan sebanyak toleransi dan bersatu padu antara kaum.

''Telah banyak kali dia melakukan perbuatan melampau ini, jadi satu tindakan tegas harus diambil termasuk dikaji sama ada terdapat peruntukan undang-undang yang membolehkan seseorang itu dilucutkan kerakyatan,'' katanya.

Beliau berkata, perbuatan pemuda itu tidak boleh diterima oleh seluruh rakyat kerana dia jelas sekali tidak menghormati kedudukan raja dan kedaulatan Perlembagaan Persekutuan yang berperanan menyatukan penduduk Malaysia.

Sunday, August 29, 2010

1Malaysia VS Malaysaian Malaysaian (DAP)

Perbezaan 1Malaysia, Malaysian Malaysia


2010/08/29

Gagasan diperkenal Najib dokong ideologi menyeluruh imbangi perpaduan rakyat pelbagai kaum

KONSEP ‘Malaysian Malaysia’ adalah agenda politik yang diperjuangkan parti pembangkang DAP. Ia pada mulanya adalah rancangan untuk menentang dasar etnik pada Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan oleh People’s Action Party (PAP), sebuah parti politik Singapura yang dipimpin Lee Kuan Yew.

Konsep ini bukan saja tidak mendapat tempat di hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum, malah didapati amat subversif sehingga boleh memecahbelahkan rakyat. Konsep inilah yang membawa kepada penyingkiran Singapura daripada Persekutuan Malaysia pada 1965.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ adalah perjuangan DAP terhadap apa yang didakwanya sebagai pencerobohan hak kaum bukan Melayu oleh kaum Melayu. Ia dipersepsikan wujud dalam bentuk tindakan afirmatif yang mendiskriminasi kaum bukan Melayu.

Persepsi ini bukan saja tidak betul, malah pencabulan terhadap persetujuan etnik yang dicapai kaum Melayu, Cina dan India dalam pakatan kemerdekaan.

Pakatan kemerdekaan ini kemudian menjadi salah satu lunas penting dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah tolak ansur antara isu kerakyatan dalam kalangan bukan Melayu dengan apa yang kemudian dikenali sebagai Ketuanan Melayu.

Ketuanan Melayu – walaupun istilah yang kurang disenangi sesetengah pihak – sebetulnya adalah legitimasi watan mengenai bahasa, kedudukan, lambang kuasa serta agama penghuni asal negara ini. Secara fitrahnya ia dilindungi di mana-mana negara, apatah lagi yang majmuk seperti Malaysia.
Pakatan kemerdekaan juga dikenali sebagai kontrak sosial. Walaupun berjaya dicapai akhirnya, ia sebenarnya menerusi banyak proses rumit yang kadangkalanya memperlihat ketegangan ketika rundingan.

Ia perlu terus diterima pakai pada masa kini, walaupun dianggap sudah lapuk oleh sesetengah pihak. Ini antaranya adalah kerana ia bukan saja tolak ansur etnik yang adil, malah sesuai untuk sebuah negara majmuk seperti Malaysia.

Walaupun dengan simbol Melayu seperti bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, kedudukan istimewa Bumiputera sebagai penghuni asal, lambang kuasa Melayu dalam bentuk pemerintahan beraja dan Islam selaku agama Persekutuan, kepentingan asas kelompok lain tidak sekali-kali terjejas.

Malah ia, sama ada dalam bentuk kelayakan ekonomi mahupun kebebasan budaya, dilindungi dengan cukup sasa dalam Perlembagaan Persekutuan.

Legitimasi watan ini – yang seolah-olah mengenakan kedominanan Melayu – sebenarnya terus membenarkan, misalnya bahasa ibunda kelompok lain dikembangkan. Ini termaktub pada Artikel 152. Dengan ini, pendidikan vernakular Cina misalnya, bukan saja berkembang dengan pesat di negara ini, malah menjadi sistem paling lengkap di Asia Tenggara.

Walaupun Islam menentukan kelakuan moral nasional, bukan saja kebebasan beragama diperuntukkan pada Artikel 3, keunggulan Islam tidak sekali-kali diguna untuk menjadikan agama lain tidak penting di Malaysia.

Konsep ‘Malaysian Malaysia’ menganggap legitimasi watan pada Artikel 153 sebagai diskriminasi etnik dan menggunakan Artikel 8 untuk menganjurkan keadilan dalam kalangan semua warga Malaysia.

Ini dilakukan untuk memperoleh kesamarataan bagi semua kaum tanpa mengambil kira sejarah tanah air, khususnya sejarah sosial dan budaya orang Melayu.

Oleh itu, ia amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia, selain langsung tidak mengendahkan semangat muhibah serta tolak ansur yang penuh dengan semangat setia kawan pada kontrak sosial 1957.

Gagasan 1Malaysia pula ingin mengimbangi Artikel 153 dengan Artikel 8 dengan tidak sekali-kali membelakangkan kontrak sosial yang dipersetujui bersama itu. Ini antaranya akan dicapai melalui prinsip keadilan sosial antara kedudukan istimewa orang Melayu dengan kepentingan asas kaum lain.

Ini akan dilakukan berdasarkan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Inilah perbezaan besar antara 1Malaysia dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang ingin menghapuskan Artikel 153 dan hanya menggunakan Artikel 8 sebagai dasar etnik di negara ini.

Dengan kata lain, konsep ‘Malaysian Malaysia’ mengambil pendekatan sosialis tanpa mengambil kira sentimen semua pihak, khususnya kelompok dominan di negara ini. Gagasan 1Malaysia pula menggunakan pendekatan demokratik dengan berpandukan persetujuan yang dicapai bersama pada 1957.

Selain itu, restu dan kemuliaan hati semua pihak, sama ada majoriti mahupun minoriti ikut diperoleh dari semasa ke semasa.

Dengan pendekatan demokratik ini, satu lagi kontrak sosial dicapai pada 1971, iaitu Dasar Ekonomi Baru (DEB). Tindakan afirmatif ini dan juga yang sebelumnya sebetulnya tidak boleh dipersoal, apatah lagi dipertikai.

Ia sudah dipersetujui bersama dan dirancangkan untuk membawa kesejahteraan kepada negara. Biarpun demikian, ia boleh dibincangkan dari semasa ke semasa secara berhemah untuk memastikan tidak berlaku penyelewengan dan hal yang seumpamanya.

Untuk Malaysia bergerak ke hadapan, khususnya mencapai status negara maju seperti dihasratkan dalam Wawasan 2020, gagasan 1Malaysia adalah satu-satunya alat yang mampu membawa perubahan ke arah itu.

1Malaysia sebagai konsepsi perpaduan dan kemajuan negara, wujud dalam bentuk pelan tindakan mempunyai hala tuju yang jelas. Ini satu lagi perbezaan besar antara gagasan ini dengan ‘Malaysian Malaysia’ yang sehingga kini hanya idea yang bukan saja tidak mempunyai perincian, malah lebih kepada hujah bercakap ketika berucap saja.

Kaedah kesamarataan yang dianjurkan dalam konsep ‘Malaysian Malaysia’, selain tidak jelas kerana tidak mampu dikupas dengan baik akibat tiadanya natijah yang baik, menolak hakikat kewujudan lebih awal kaum Bumiputera, khususnya orang Melayu di bumi yang namanya Tanah Melayu.

Ini dilakukan antaranya dengan memanggil sesetengah orang Melayu sebagai pendatang kerana berhijrah ke Tanah Melayu dari pelbagai tempat di Nusantara, iaitu Kepulauan Melayu yang luas itu.

Dengan ini, konsep ‘Malaysian Malaysia’ menganjur identiti nasional yang terdiri daripada semua nasionalisme etnik yang ada di Malaysia tanpa bersandar pada sebarang teras. Ia langsung tidak mengambil kira orang Melayu sudah bermastautin di sini lama sebelum kemasukan kaum lain pada abad ke-19 dan ke-20.

Sehubungan ini, gagasan 1Malaysia dalam menganjurkan keadilan untuk semua, memastikan ia dilakukan dari sudut sosiologi Malaysia yang berbilang kaum. Ia sentiasa mengambil kira kaum asal dan tidak sekali-kali meminggirkan kaum bukan asal dalam agenda pembangunan negara.

Ia tetap mengiktiraf, malah menggalakkan nasionalisme etnik terus wujud dalam bentuk utuh, seperti yang dipersetujui bersama dan disenangi semua kaum.

Pada masa sama, gagasan 1Malaysia mengikat semua kaum melalui satu identiti nasional dalam bentuk ‘kesatuan dalam kepelbagaian’. Dalam hal ini, ia tidak sekali-kali membelakangkan kaum asal dan tidak akan pula cuba mengasimilasikan kaum bukan asal.

Inilah kemuliaan yang ada pada gagasan 1Malaysia. Ia adalah ideologi yang menyeluruh kerana meliputi kedua-dua rancangan perpaduan dan kemajuan serta penuh pula dengan pelbagai perincian. Tambahan lagi, ia amat realistik dan praktikal sekali.

Penulis ialah Felo Penyelidik Utama dan Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM.

Rakyat Indon Xper


KUALA LUMPUR 28 Ogos - Dua lelaki tempatan ditahan ketika cuba membakar bendera Indonesia di hadapan pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia di Jalan Tun Razak, di sini awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Zulkarnain Abd. Rahman berkata, pihaknya mendapat maklumat daripada orang awam berhubung cubaan dua lelaki terbabit dan bergegas ke lokasi kejadian kira-kira pukul 2.15 pagi.

"Sebaik sahaja kita sampai, polis terus menahan kedua-dua lelaki itu dan membawa mereka ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk diambil keterangan.

"Mereka mendakwa cuba membakar bendera negara jiran atas semangat cintakan negara, cuma ia ditunjukkan dalam cara yang salah," katanya ketika ditemui di hadapan pejabat kedutaan itu awal pagi ini.

Difahamkan, kedua-dua lelaki terbabit antara sekumpulan 15 lelaki yang berhimpun di hadapan kedutaan itu bagi menyatakan rasa tidak puas hati mereka.

Mereka dikatakan cuba bertindak balas terhadap protes yang dianjurkan Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) serta beberapa kumpulan lain di beberapa tempat seperti di Jakarta, Bandung dan Bali ekoran penahanan tiga anggota penguatkuasa marin negara itu oleh Polis Malaysia 13 Ogos lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Muhammad Sabtu Osman ketika ditemui di ibu negara hari ini mengesahkan kejadian itu.

Baru-baru ini, kerajaan mengeluarkan kenyataan akan menyelesaikan satu insiden yang berlaku antara Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Penguat Kuasa Perikanan Republik Indonesia di perairan Johor pada malam 13 Ogos lalu, secara baik.

Dalam insiden itu, tujuh nelayan tempatan ditahan pasukan Penguat Kuasa Perikanan Republik Indonesia, manakala tiga pegawai penguat kuasa negara jiran terbabit ditahan PGM Wilayah Dua.

Sementara itu, Setiausaha Politik Kedutaan Besar Republik Indonesia, Afini Boer berkata, sekiranya ada mana-mana rakyat tempatan yang tidak berpuas hati terhadap insiden tersebut, mereka tidak perlu bertindak sedemikian kerana ia boleh mengeruhkan lagi hubungan kedua-dua negara.

"Berfikirlah secara rasional dan bukan mengikut perasaan. Kejadian seperti ini tidak wajar berlaku," katanya.

"Pihak kami ingin mengucapkan terima kasih kepada polis Malaysia yang bertindak pantas mengawal keadaan," katanya.

"Berdasarkan siasatan awal, kedua-dua mereka bertindak demikian kerana berang dengan tindakan yang sama dilakukan oleh segelintir penunjuk perasaan Indonesia di negara jiran sejak akhir-akhir ini.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tersebut dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan mereka diambil.

Saturday, August 28, 2010

Bukan Muslim Ceramah DiMasjid

KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching masuk ke Surau Al-Huda, Kajang Sentral untuk berceramah dan menyampaikan sumbangan moreh kepada jemaah surau itu, adalah mencemar imej surau sebagai tempat suci untuk umat Islam beribadah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata masjid tidak seharusnya dijadikan sebagai tempat untuk menyampaikan ideologi politik kerana ia ternyata satu kesalahan dan boleh diambil tindakan.

“Malah setiap kaum perlu menghormati peraturan di rumah ibadat kaum lain ,” katanya selepas menghadiri rakaman program Ihya Ramadan Bersama Menteri di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah laman blog yang mendakwa Ahli Parlimen Serdang daripada DAP itu, memasuki ruang solat Surau Al-Huda, Kajang Sentral dalam satu majlis penyampaian bantuan kepada ahli PAS, Ahad lalu.

Jamil Khir yang juga Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) meminta jawatankuasa surau supaya mematuhi peraturan yang digariskan selain tidak mengetepikan soal hukum agama.

Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil menyifatkan perbuatan Teo sebagai satu tindakan seolah-olah mahu mencabar kesabaran umat Islam di negara ini.

Beliau turut kesal dengan tindakan Ahli Parlimen berkenaan yang sewenang-wenang masuk ke ruang solat utama surau bertujuan memberi ceramah dan sumbangan tanpa mendahului tertib, adab dan batasan yang sewajarnya.
“Tidak jadi masalah untuk seorang bukan Islam masuk ke perkarangan surau atau masjid dengan syarat mereka perlu menghormati tempat berkenaan dengan mematuhi adab dan tertibnya,” katanya.

Di SUNGAI PETANI, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, berkata tindakan nazir dan ahli jawatankuasa surau itu membenarkan orang bukan Islam memasuki ruang solat adalah tidak dibenarkan dan menyalahi hukum.

“Orang bukan Islam hanya boleh melawat kawasan masjid atau surau tetapi tidak boleh memasuki ruang solat rumah ibadat berkenaan apatah lagi memberi ceramah kepada jemaah surau berkenaan.

“Perkara ini disifatkan serius dan ia perlu disiasat secara menyeluruh dan jika benar ia berlaku ia seakan-akan satu bentuk penghinaan terhadap orang Islam,” katanya selepas majlis berbuka puasa bersama anak yatim dan sambutan Hari Wanita anjuran Wanita UMNO Baling.

Apa Nak Jadi

KUALA LUMPUR: Sepasang kekasih dipercayai remaja masih bersekolah ditangkap pasukan pencegah maksiat ketika sedang asyik melakukan hubungan seks termasuk merakam aksi ghairah mereka menggunakan video telefon bimbit di Kuantan, Pahang.

Aksi panas rakaman selama 10 minit itu disebarkan secara meluas melalui internet sejak seminggu lalu dan kejadian itu dipercayai berlaku jam 3 petang, minggu lalu.

Bagaimanapun, rakaman aksi seks mereka hanya dirakam selama dua minit manakala baki lapan minit rakaman adalah perbualan serta sesi soal jawab dengan pencegah maksiat.

Remaja lelaki yang dipercayai memegang telefon bimbit dan merakam aksi mereka dikatakan tidak sempat mematikan rakaman kerana terkejut apabila disergah pihak berkuasa dipercayai pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menyebabkan telefon bimbit terjatuh tetapi masih merakam audio perbualan mereka.

Seorang lelaki dipercayai pencegah maksiat menahan mereka dan meminta kad pengenalan pasangan berkenaan tetapi dibantah, sebaliknya remaja itu meminta pencegah maksiat menunjukkan kad kuasa.

Apabila ditanya apa hubungan mereka sama ada sebagai suami isteri atau tidak, pasangan remaja itu mengaku hanya sebagai kawan tetapi remaja tetap berkeras tidak mahu menyerahkan kad pengenalan untuk diperiksa. Sebaik saja penguat kuasa bertegas termasuk mengugut untuk menggunakan kekerasan dan membawanya ke balai polis, barulah dia memberikan kerjasama.

“Saya akan bawa kad pengenalan ni ke balai polis dan hubungi ibu bapa awak. Orang lain sibuk nak sambut raya, kamu pula sibuk f**k anak orang,” kata pegawai penguat kuasa tetapi remaja lelaki itu berkali-kali merayu mengatakan keluarganya orang susah dan seboleh-bolehnya tidak mahu perkara itu diketahui keluarga.

‘Drama’ itu berterusan apabila remaja lelaki itu meminta pegawai penguat kuasa berterus terang apa sebenarnya yang dia mahukan termasuk wang sebagai ganjaran jika melepaskan mereka.

Tawaran itu ditolak dengan tegas, sebaliknya memberi amaran supaya tidak melakukan apa-apa yang boleh menimbulkan kemarahan atau kesalahan lain.

Remaja lelaki kemudian meminta maaf dan merayu lagi supaya tidak dibawa ke balai polis atau pejabat agama yang terletak berhampiran mahkamah Kuantan.

“Awak ingat saya tak serius ke tangkap orang buat maksiat, kamu ingat saya menyamar ke? Sekarang saya nak tolong kamu, ikut saya ke pejabat agama. Kenapa nak minta maaf dengan saya, saya bukan Tuhan... kamu buat salah dengan Tuhan kenalah minta maaf dengan Tuhan,” kata pegawai penguatkuasa itu.

Pasangan remaja itu juga mengaku, itulah kali pertama mereka bertemu sebelum melakukan hubungan seks tetapi terus merayu supaya tidak dibawa ke pejabat agama dengan alasan tidak mahu berkahwin kerana masih terlalu muda.

“Tolonglah encik, saya tak nak kahwin, dia (pasangan wanita) pun masih sekolah lagi. Saya pun masih bersekolah, nanti mak saya risau,” kata remaja lelaki sambil disampuk teman wanitanya.

Cemburu

DILAHIRKAN di tanah air Malaysia, membuatkan saya sangat terhina dengan perbuatan segelintir masyarakat Indonesia yang memperlihatkan kebodohan mereka.

Dengan pendidikan yang telah saya terima sejak di bangku sekolah lagi, saya dapati negara jiran kita itu sentiasa merasa tidak puas hati dan cemburu melihat kemajuan negara kita.

Namun, apa yang peliknya, negara kita sendiri seperti terlalu menatang bagai minyak yang penuh pada negara jiran kita ini. Baru-baru ini, walaupun Indonesia telah meletakkan syarat untuk mengambil pembantu rumah warganegara mereka, kita tetap mahu kehadiran mereka walaupun telah tersiar di sana-sini bahawa mereka ini sanggup melakukan apa sahaja terhadap anak-anak bangsa kita yang masih kecil.

Entah sedar atau tidak, sebenarnya kehadiran warga asing ke negara kita telah menimbulkan pelbagai kekacauan dan kekecohan.

Kini, Jalur Gemilang yang kita cintai dilakukan persis kain buruk, dipijak-pijak. Sanggupkah kita hanya melihat tanpa sedikit pun terdetik di dalam hati kita semangat cintakan tanah air?

Tolonglah, saya merayu kepada semua warganegara agar bangun demi menjaga maruah negara kita. Andai kita terlalu memperlihatkan keindahan negara lain, siapa lagi yang akan menjaga hak negara yang kita cintai ini? Tanpa kita bersatu padu, mampukah kita akan terus berada dalam negara seaman dan semaju ini sekarang? Renungkanlah.

ISMO CINTAKAN MALAYSIA

Keda

Nasi Dan Najis

JIKA berlaku musibah gempa bumi atau tsunami, rakyat Indonesia janganlah mengharap atau sedih sekiranya tiada bantuan dari Malaysia. Bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berpada-padalah memberi bantuan. Bantulah mereka yang boleh mengenang budi. Telah banyak kali hati rakyat Malaysia diguris tetapi kita masih bersabar dan bertolak ansur. Rakyat Malaysia memang prihatin, toleransi dan suka membantu. Kita bukan tamak dan rakus tetapi sekiranya seinci tanah kita diceroboh, atas dasar hak dan undang undang, tindakbalas perlu diambil.

Kepada rakyat Indonesia di Malaysia, anda sepatutnya berdemonstrasi di hadapan kedutaan anda dengan menjulang Jalur Gemilang tanda sokongan kerana dapat menumpang hidup selesa di bumi Malaysia yang makmur ini. Maklumkan kepada warga anda di seberang bahawa anda diberi makan di sini dan kenapa warga Malaysia di sana diberi najis?

Pihak berkuasa juga perlu tegas dalam menyekat kedatangan pendatang tanpa izin (PATI). Ingatlah Jalur Gemilang telah dipijak, dibakar, dipalit najis, kalau hati kita benar-benar tersentuh dengan peristiwa itu, maka kuat kuasa peraturan dan undang-undang dengan lebih tegas. Jika kemasukan secara haram bermakna mereka tidak bertamadun dan tidak jujur dan akan mendatangkan banyak masalah. Jangan biarkan Malaysia dipenuhi dengan orang-orang yang tidak bertamadun. Kepada kerajaan Malaysia, berilah pemastautin tetap (PR) kepada pendatang yang berkualiti sahaja. Janganlah disebabkan taraf perkahwinan maka yang sengkek pun diberi PR. Buat baik berpada-pada.

HABA

Melaka

Ketuanan Melayu

PENULIS tertanya-tanya apabila UMNO diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang, di manakah rakan-rakan utama UMNO dalam Barisan Nasional (BN)? Sepatutnya, rakan-rakan utama inilah yang akan berdiri teguh di belakang UMNO untuk menangkis segala serangan dari pihak pembangkang.

Ini tidak, bukan sokongan seperti yang diharap-harapkan, malah UMNO sendiri menerima tekanan dari dalam BN. Seolah-olah UMNO dibelasah dari luar dan dalam. Malah, ada rakan-rakan utama UMNO mula bertindak dengan berani mengugut untuk meninggalkan BN jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Di manakah semangat setiakawan dan persefahaman yang telah sekian lama dipupuk sejak merdeka lagi? Apa lagi yang kaum bukan Melayu mahukan daripada orang Melayu? Tidak cukupkah apa yang mereka telah peroleh dan kecapi setelah keturunan datuk moyang mereka diterima sebagai warganegara tanah air tercinta ini.

Tidak cukupkah lagi dengan penguasaan ekonomi yang mereka dominasi sehingga mampu mengurangkan tahap kemiskinan kaum-kaum mereka jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu?

Ingatlah kaum bukan Melayu, orang Melayu juga berhak menikmati hidup yang sempurna di tanah air mereka sendiri. Orang Melayu tidak mahu hidup merempat di tanah air mereka. Orang Melayu tidak meminta banyak kepada bukan Melayu, cuma diharap mereka menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-Raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

TAMINSARI

Shah Alam

Lembut

BANYAK sungguh cabaran yang kita hadapi. Namun kita masih mampu bertenang dan berlapang dada dalam menghadapi semua ini.

Sesungguhnya benarlah rakyat Malaysia yang lembut hatinya dan tinggi tahap kesabarannya. Namun, amat dikesali hanya kita yang bersungguh-sungguh berusaha menjernihkan keadaan manakala pihak yang satu lagi hanya sekadar melepas batuk di tangga.

Barisan kepimpinan negara menghadapi tugas sukar ketika ini. Serangan dari dalam dan luar negara bertali arus menghentam.

Sempena Hari Kemerdekaan ke-53 yang hanya beberapa hari lagi, marilah kita rakyat Malaysia bersatu mengukuhkan genggaman kita bersama menghadapi segala cabaran yang mendatang.

ANAK MALAYSIA,

Kuantan, Pahang.

Dulu

SAYA dilahirkan pada 16 Oktober 1957 iaitu beberapa bulan selepas merdeka. Saya amat kecewa kerana dalam pengamatan saya, semangat kebangsaan dan cintakan negara semakin pudar dan luntur. Suasana menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan tidak dirasai seperti dahulu.

Tambahan pula, semangat kebangsaan di kalangan generasi tahun 50-an dan 60-an sama ada Melayu, Cina, India dan dari etnik Sabah serta Sarawak semakin hilang dan tiada usaha-usaha meletakkan semangat ini seperti pada waktu kegemilangan lalu.

Ada di kalangan mereka ‘berpaling tadah’ atau tidak memberi satu contoh yang baik kepada generasi masa kini. Maka muncullah fahaman yang pelik di kalangan generasi kini seperti mempersendakan lagu Negaraku, mengecam kepimpinan terdahulu, melupakan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan dan sebagainya.

TENGKU MAN

Pandan Indah

Alahai Rakyat Indon

MELONTAR najis kepada sebuah kedutaan asing dan memijak bendera yang merupakan lambang kebangsaan negara orang lain, lebih-lebih lagi negara yang dipanggil jiran adalah di luar kewarasan. Sifat tidak bertamadun dan tidak waras rakyat Indonesia yang berlindung atas nama Benteng Demokrasi Rakyat Indonesia (Bendera) perlu membuka mata banyak pihak, bukan sahaja Kedutaan Malaysia di Jakarta tetapi juga semua rakyat Malaysia.

Kita berhak marah dan beremosi kepada insiden yang berlaku itu dan kita perlu menganggap perhubungan antara Malaysia dengan Indonesia telah cacat. Insiden di Kedutaan Malaysia sudah berulang kali berlaku tetapi pihak Indonesia sebagaimana biasa mengatakan peristiwa itu adalah terpencil dan perlu diatasi secara rundingan. Kenyataan yang sama akan terkeluar daripada mulut pihak berkuasa Indonesia di Kuala Lumpur setiap kali tercetusnya sentimen anti Malaysia oleh rakyat Indonesia. ‘Kita dari bangsa yang serumpun’ adalah gula-gula lama yang manis tetapi sebenarnya berpenyakit.

ABANG CHIK KL

Friday, August 27, 2010

Alahai Rakyat Indon

SEBAGAI rakyat Malaysia, saya berasa amat marah dan tersinggung dengan sikap biadab dan kurang ajar oleh sekumpulan rakyat Indonesia yang menggelar diri mereka Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera). Mereka telah memijak-pijak bendera Malaysia dan melempar najis di Kedutaan Malaysia di Jakarta.

Dan mengikut laporan terbaru, mereka juga ingin mengambil tindakan menghalau rakyat Malaysia yang berada di Jakarta. Ini pada pendapat saya betul-betul merupakan tindakan orang kurang siuman dan kebudak-budakkan.

Tidakkah mereka tahu jika sekiranya kita di Malaysia bertindak balas dan mengambil pendekatan yang serupa dengan menghalau rakyat Indonesia yang bekerja di sini.

Tutup semua premis perniagaan milik rakyat Indonesia dan hantar pulang semua pekerja rakyat Indonesia. Bolehkah mereka memberi pekerjaan untuk rakyat mereka?

Tidakkah mereka tahu bahawa di sini sebahagian besar perniagaan pasar malam, perniagaan kedai runcit dan perniagaan buah-buahan telah dibolot dan dikawal semua oleh peniaga Indonesia.

Ramai daripada mereka telah kaya raya dan memiliki rumah banglo serta kenderaan mewah seperti Mercedes dan BMW. Ini semua adalah hasil kemakmuran ekonomi Malaysia, tidak seperti Indonesia asyik kecoh, kecoh, kecoh tapi hasilnya tiada.

Sikap biadab dan melampau kumpulan Bendera ini tidak boleh dimaafkan sama sekali dan kita harus menunjukkan ketegasan kita sekeras-kerasnya.

Kita perlu mengambil langkah agresif supaya mereka sedar yang kita tidak perlu bergantung kepada rakyat mereka untuk kehidupan dan pembangunan negara kita.

Hentikan mengambil pembantu rumah Indonesia (sekarang pun mereka telah mula meletak bermacam syarat), ambil pembantu dari negara lain seperti Kemboja, Filipina, Thailand dan sebagainya. Hentikan melancong ke destinasi Indonesia, tiada apa sangat pun yang hendak dilawati selain dari tempat sesak dan penuh dengan orang yang suka minta tip dan desak-desak kita beli barang jualan mereka.

Hentikan menonton sinetron-sinetron yang kurang atau tidak langsung memberi faedah itu.

Kadangkala saya melihat kita terlalu berlembut dalam menghadapi masalah seperti ini. Memang betul kita lebih pentingkan hubungan kedua-dua negara tetapi pada pandangan saya kita perlu memberitahu kepada kumpulan berkenaan bahawa tindakan mereka itu amat biadab dan kita marah dengan tindakan tersebut.

Sampai bila kita harus bersabar dan terus bersabar? Pihak kerajaan juga perlu mengambil inisiatif bagi menerangkan perkara sebenar tentang penahanan tiga orang pegawai Indonesia berkenaan.

Seperti tulisan Mergawati Zulfakar dalam akhbar The Star 25 Ogos 2010 yang bertajuk Calming the waves of wrath bahawa pihak kerajaan harus mengambil langkah segera menerangkan perkara sebenar yang terjadi semasa penangkapan pegawai Indonesia dan penahanan nelayan kita yang didakwa mencuri ikan di perairan Indonesia, walhal perairan tersebut masih di kawasan Malaysia.

Kedua-dua pihak perlu dimaklumkan keadaan sebenar supaya tidak timbul syak wasangka antara satu sama lain.

Selain dari itu, saya beranggapan bahawa rakyat Malaysia yang marah tentu akan memberi respons segera dan saya jangka di Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur tentu akan diadakan demonstrasi untuk membantah tindakan kumpulan Bendera berkenaan.

Kita sedia maklum bahawa negara kita sejak kebelakangan ini selalu saja diadakan demonstrasi sehingga ke tahap ganas dan perlu dileraikan oleh pihak polis. Namun demikian, saya agak hampa semasa menonton Buletin Utama TV3 pada malam 24 Ogos 2010, hanya Pemuda UMNO saja yang tampil dan menyampaikan nota bantahan di Kedutaan Indonesia. Kemana pergi yang lain-lain?

Contohnya, mereka yang boleh baring di tengah jalan seperti demonstrasi di Ipoh satu ketika dulu. Orang yang hebat berdemonstrasi semuanya diam menyepi. Janganlah kita hanya berdemonstrasi tentang politik saja, tetapi apabila negara tanah tumpah darah kita dipijak, diasak dan diperlekeh oleh pihak lain, kita hanya berdiam diri tanpa membuat apa-apa.

Sehubungan itu, marilah kita bersatu, bersatu mempertahankan kedaulatan negara tanpa mengira fahaman politik masing-masing. Jika kita boleh bersungguh-sungguh memperjuangkan parti politik kita kenapa kita tidak boleh bersungguh-sungguh mempertahankan negara tanah air kita. Malaysia adalah tanah tumpah darah kita dan kita harus mempertahankannya walau apa cara sekalipun.

ARES SALIM

Kota Damansara, Selangor

Satukan Melayu

MELALUI tulisan ini, saya ingin memohon jasa baik dan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom agar melakukan sesuatu untuk menyatupadukan perpecahan yang kian meruncing di kalangan umat Islam di negara kita.

Berikut ialah cadangan tersebut.

Memastikan peranan para mufti dan ulama digerakkan secara aktif dalam isu perpaduan ini. Apa yang dikesalkan ialah hanya seorang dua mufti yang bersuara dan bertindak untuk menyelamatkan musibah atau maksiat perpecahan yang berlaku kepada umat Islam di negara kita.

Saya mempersoalkan peranan mufti lain dan tokoh pendidikan mahupun ulama yang seharusnya boleh bersatu dahulu sebelum menyeru orang lain bersatu. Kebanyakan mereka masih pasif dan tidak kelihatan bersungguh-sungguh dalam isu ini.

Mengerakkan kenyataan dan komen majlis fatwa dengan lebih tegas dan berani tanpa dipengaruhi mana-mana unsur politik atau takut menyatakan pandangan.

Katakan benar sekalipun pahit kerana kenyataan atau fatwa yang dikeluarkan akan menutup mulut ahli politik yang kadangkala bercakap atas nafsu amarah dan kepentingan politik sempit mereka.

Menyediakan teks khas khutbah Jumaat di setiap masjid seluruh negara dengan doa khusus yang memohon agar umat Islam bersatu hati dan jiwa dalam mempertahankan kuasa politik bagi menjamin syiar agama terus dipertahankan.

Doa ini harus dibaca sebagai mengukuhkan lagi kasih sayang yang semakin terhakis di kalangan umat Islam di negara kita khususnya antara parti politik yang berbeza.

Menyediakan doa agar umat Islam ditunjukkan kebenaran akan kepimpinan 'yang betul' atau 'yang salah' semoga Allah SWT memakbulkan doa kita untuk melihat dari 'mata hati' kita akan sikap sebenar pemimpin yang akan memandu kita ke jalan kebenaran atau 'menyingkirkan' pemimpin yang akan membawa negara ke lembah kehancuran.

Mendidik jemaah di masjid atau mendidik para imam yang 'gagal' merapatkan saf dalam solat.

Pandangan saya mengatakan bahawa antara punca perpaduan ini semakin luntur apabila kasih sayang sudah tidak diterapkan melalui saf dalam solat. Imam yang bertugas gagal memastikan saf yang benar-benar rapat kerana kesannya amat besar dalam mengukuhkan kasih sayang serta sentuhan hati sesama Islam.

Malah kajian mendapati jika bersentuhan bahu akan berlaku banyak kesan positif tetapi malangnya jemaah kita semakin suka bersolat dalam keadaan lapang tanpa bersentuhan bahu.

Ini amat berbeza apabila kita bersolat di Masjid Nabawi atau di Masjidil Haram. Keasyikan dan rasa insaf amat dirasai walaupun kita bersolat dalam keadaan yang cukup sempit. Sayangnya di masjid negara kita keadaan sebaliknya apabila setiap jemaah cuba menjauhkan diri dari jemaah yang lain.

Maka dalam keadaan ini para imam harus ditarbiah untuk memastikan setiap makmum 'merapatkan saf' sebelum sesuatu solat dimulakan.

Menjelang musim haji akan datang, satu teks doa khas patut dibekalkan kepada jemaah haji agar mereka mengambil kesempatan untuk mendoakan kesejahteraan negara kita yang kini berada di ambang politik yang cukup menakutkan.

Semoga doa yang dibaca oleh jemaah semasa di tanah suci ini akan diterima oleh Allah SWT untuk kesejahteraan agama Islam, kemakmuran dan keselamatan negara pada masa akang datang dengan diberikan kita pemimpin yang benar, jujur dan ikhlas dalam mentadbir negara.

Semoga pandangan ini dapat dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama di negara kita demi memelihara perpaduan sesama Islam dan menjaga kesucian agama kita.

CR. LUKMAN MOIDIN

Kaunselor Berdaftar, Kedah Darulaman

Tuesday, August 24, 2010

Istanaku


BATU PAHAT: Disebabkan terlalu daif, sepasang suami isteri bukan saja terpaksa menyerahkan tiga anak mereka kepada ahli keluarga untuk dibela, malah turut mendiami sebuah pondok tidak berdinding dan berlantaikan tanah di Kampung Sri Desa, Ayer Hitam sejak setahun lalu.


DAIF...Salidah bersama antara dua anak di pondok mereka.
Pelbagai usaha dilakukan keluarga berkenaan untuk membaiki nasib mereka, namun dengan pendapatan tidak seberapa menyebabkan hidup keluarga itu hanya bergantung bantuan keluarga dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Bagaikan jatuh ditimpa tangga, keluarga berkenaan juga terpaksa meratap pemergian anak keempat, Shahidan Hashim, 12, apabila kanak-kanak berkenaan meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan maut, Khamis lalu.


Salidah Selamat, 39, berkata disebabkan terlalu daif dia dan suami terpaksa menyerahkan tiga anak kepada keluarga terdekat, manakala baki enam anak dibela mereka.


“Kami hidup dengan bantuan bulanan JKM sebanyak RM300, selain ihsan keluarga yang banyak menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga.


“Walaupun pondok ini hanya beratapkan zink, tidak berdinding dan berlantaikan tanah, kami terpaksa meneruskan hidup kerana tidak mahu menyusahkan orang lain.


“Sebelum ini, kami menyewa di Ayer Hitam, namun disebabkan masalah kewangan dan keluarga, kami terpaksa meminta bantuan bapa dan menumpang di tanah keluarga,” katanya.


Menurutnya, pondok itu dibina sendiri bapanya dan ia menjadi tempat mereka berlindung dan tidur kerana tidak mahu menyusahkan keluarga.


“Saya sedar anak saya ramai dan sebab itulah, saya, suami dan dua anak tidur di pondok ini manakala arwah dan anak lain menumpang tidur di rumah ayah.


“Walaupun pondok ini tidak kukuh dan sempit, kami tetap bersyukur kerana sedar rumah ayah juga perlu menampung ahli keluarga lain,” katanya.


Menurutnya, mereka sekeluarga cuba membaiki nasib dengan anak sulung bekerja di sebuah kedai cenderahati, namun gajinya sebanyak RM300 sebulan sukar membantu mereka.

Monday, August 23, 2010

Melayu Jangan Kaum Lain Boleh

SATU laporan polis telah dibuat terhadap Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor iaitu yang dikatakan memarahi pelajar-pelajarnya dengan perkataan berbaur perkauman. Ahli Parlimen Ipoh Timur dari DAP, Lim Kit Siang awal-awal lagi mendesak pihak Kementerian Pelajaran supaya mengambil tindakan keras terhadap pengetua sekolah ini yang disifatkannya amat rasis.

Terbaru, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP, Tony Pua mendakwa Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menghayati konsep 1Malaysia apabila gagal bertindak terhadap pengetua itu.

Sebagai seorang guru, apa yang diluahkan oleh pengetua itu adalah satu teguran dan nasihat kepada pelajar-pelajarnya yang pasti seringkali ingkar arahan dan peraturan-peraturan di sekolah. Namun ahli politik pembangkang sering mensensasikan sesuatu isu terutama apabila ia melibatkan kaum bukan Melayu.

Ahli politik pembangkang seperti Lim Kit Siang akan segera mendesak kerajaan kerana insiden tersebut kononnya telah menghina dan menghiris hati kaum bukan Melayu.

Mengapa Lim Kit Siang mensensasikan isu ini sedangkan ia boleh diselesaikan secara dalaman oleh pihak Jabatan Pelajaran Johor.

Inilah petunjuk betapa kiasunya Lim Kit Siang dan DAP. Apabila orang Melayu menyentuh kaum dan keturunan bukan Melayu, itu adalah perkauman. Sebaliknya apabila ahli politik pembangkang bukan Melayu mempertikaikan hak istimewa orang Melayu dan agama Islam itu dinamakan pandangan hak asasi dan kesamaan!

Politikus pembangkang sengaja memperlihatkan seolah-olah pemikiran mereka dangkal iaitu tidak pernah terlintas memikirkan hati dan perasaan orang Melayu terhadap segala tindakan mereka mempersoalkan hak orang Melayu termasuk menyentuh agama Islam.

Siapa yang tahan apabila setiap kali bangun dari tidur, lantang kedengaran bangsa dan agamanya asyik dikecam dan dihina! Inilah bukti bahawa politik mainan pembangkang terutama DAP telah membunuh rasa kasih sesama rakyat Malaysia. Sebaliknya hanya membarakan lagi perasaan marah dan geram antara sesama rakyat berbilang kaum.

Namun sebelum tindakan diambil ke atas pengetua itu, kita perlu rujuk kembali kes seorang pelajar Cina, Namewee yang telah melakukan penghinaan yang menyeluruh melibatkan agama, bangsa Melayu, organisasi kerajaan dan negara menerusi klip video nyanyian lagu kebangsaan Negaraku yang di beri 'nafas baru' iaitu Negarakuku!

Pun begitu tiada sebarang tindakan yang diambil ke atas Namewee sedangkan penghinaan yang dilakukan oleh Namewee 900 peratus lebih dahsyat dari apa yang dilakukan oleh pengetua terbabit.

Mungkin sebab Namewee adalah berbangsa Cina justeru perbuatan biadap itu dianggap tidak apa-apa, sekadar luahan kemarahan seorang anak muda iaitu ayat yang sering diguna pakai oleh pemimpin-pemimpin pembangkang apabila mempertikaikan hak-hak istimewa bumiputera dan agama Islam!

Sebaliknya nasib pengetua itu agak malang kerana beliau berbangsa Melayu dan beragama Islam, justeru semua pemimpin politik Cina terus mendesak agar beliau dikenakan hukuman.

Justeru elok rasanya jika syor Ahli Parlimen Bebas, Zulkifli Noordin agar parti politik jahat seperti DAP dipertimbangkan oleh kerajaan untuk diharamkan kerana membahayakan rakyat dan negara ini.

NORHISYAM BIN MOHAMAD

Kuala Kedah

Friday, August 20, 2010

Apa Nak Jadi

GUAN ENG DALAM DOA JUMAAT

TASEK GELUGOR: Beberapa masjid di Pulau Pinang dikesan menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kepada nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah kedua solat Jumaat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pihaknya mengesan perbuatan itu di beberapa masjid di Permatang Pauh, Tasek Gelugor dan Jelutong sejak minggu lalu. Katanya, nama individu yang dibacakan dalam doa itu sepatutnya nama ketua agama Islam sesebuah negeri, iaitu Raja dan bagi Pulau Pinang yang tidak mempunyai Raja, ketua agama Islam adalah Yang di-Pertuan Agong. Masjid terbabit menggugurkan nama Yang di-Pertuan Agong dalam doa khutbah kepada nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang jelas salah serta tidak boleh dilakukan. Ia bertentangan dengan keputusan Majlis Raja-Raja beberapa ketika dulu dan UMNO Pulau Pinang membantah tindakan yang seolah-olah menggunakan agama untuk politik, katanya pada sidang media selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, di sini semalam.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya mempunyai bukti kukuh dan akan mengambil tindakan termasuk membuat laporan polis menerusi Biro Agama yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Berangan, Shahbudin Yahaya.

Kami mahu perkara ini disiasat dan mahu tahu sama ada arahan (menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong kepada nama Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat) dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP), katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO, berkata pihaknya mengesan penyelewengan tabung masjid di negeri ini yang menerima bayaran sewa bazar Ramadan di tanah rizab masjid.
Sementara itu, menurut twitter Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guang Eng, beliau berkata, siasatan awal menunjukkan tiada masjid di negeri itu menggunakan nama beliau dalam doa khutbah kedua solat Jumaat bagi menggantikan nama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Wednesday, August 18, 2010

Lanjutan Kisah Awang Hitam


KUALA LUMPUR: “Saya ok, cuma tak berapa sihat... Jangan risau.” Demikian SMS terakhir Nur Dhiya Ain Rosman, remaja perempuan yang diperdaya sindiket penyeludupan dadah antarabangsa kepada teman lelakinya beberapa jam sebelum ditahan pihak berkuasa Capetown, Afrika Selatan, Sabtu lalu.


BANTU... Muhd Khairun berbincang dengan Roslah dan Nur Zakri mengenai bantuan yang boleh dihulurkan kepada Nur Dhiya (gambar kecil).
Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, menerima SMS itu pada jam 11.23 malam daripada Nur Dhiya selepas bertanyakan keadaannya yang berlepas ke negara asing pada 9 Ogos, tanpa pengetahuan keluarga kononnya mendapat tawaran pekerjaan dengan gaji lumayan.

Nur Dhiya atau lebih mesra dipanggil Baby di kalangan keluarga ditahan di lapangan terbang Capetown selepas dikesan membawa 1.2 kilogram (kg) syabu dan kini ditempatkan di pusat tahanan Ravensmead sementara menunggu perbicaraan.


Nur Zakri berkata, sepanjang Nur Dhiya berada di Capetown, hanya dia yang dihubungi gadis itu menerusi telefon bimbit diberikan anggota sindiket dadah terbabit.


“Nur Dhiya tidak percaya dia diperangkap, sebaliknya meminta saya tidak berfikir yang bukan-bukan setiap kali menasihatkannya supaya segera menyelamatkan diri,” katanya yang ditemui pada sidang media di pejabat Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno di sini, semalam.


Menurutnya, sebaik tiba di Capetown pada 10 Ogos lalu, Nur Dhiya memberitahu dia ditempatkan di sebuah bilik hotel dan dilayan dengan baik selain sering disogok bakal menerima gaji lumayan sebagai pemandu pelancong.


“Dia juga memberitahu dibawa berjalan-jalan di Capetown dan dijamu makanan lazat, cuma pergerakannya diperhatikan beberapa lelaki serta hanya boleh berhubung menerusi SMS saja. Mungkin layanan baik sindiket itu menyebabkan dia percayakan mereka,” katanya.


Ibu mangsa, Roslah Abdul Jani, 43, berkata, dia kini hanya mampu berdoa anaknya selamat di tempat orang.


“Saya cuma tidak berpuas hati dengan kelewatan pihak berkuasa bertindak kerana saya sekeluarga membuat laporan kira-kira dua jam sebelum dia berlepas ke Capetown. Sepatutnya dia sempat ditahan ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), tetapi kelewatan itu menyebabkan dia menjadi mangsa sindiket dadah,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh berkata, pihaknya sudah meminta pertolongan Wisma Putra menyediakan bantuan guaman kepada Nur Dhiya.


“Saya syorkan kerajaan membentuk satu jawatankuasa bertindak bagi menangani masalah keldai dadah ini umpama dasar proaktif pihak berkuasa di pintu masuk.


“Mereka boleh bertanyakan beberapa soalan kepada mereka yang mahu ke luar negara dan jika menimbulkan syak, kita boleh kekang isu diperalatkan sindiket dadah antarabangsa ini dengan menyekat mangsa daripada keluar,” katanya. Akhbar pada 13 Ogos lalu melaporkan Nur Dhiya kali terakhir menghubungi ibunya kira-kira jam 1 pagi, 9 Ogos lalu dalam keadaan tergesa-gesa dan memberitahu berada di KLIA untuk ke Capetown.


Berdasarkan maklumat gadis yang menghidap penyakit darah tinggi kronik itu melakukan transit di Doha sebelum mendarat di Capetown.

'Awang Hitam' perosak gadis Melayu jadi keldai dadah

AMAT hiba apabila mengetahui Nur Dhiya Ain yang hanya berusia 19 tahun telah ditahan pihak berkuasa Afrika Selatan kerana memiliki dadah. Beliau dijadikan alat untuk membawa dadah keluar dari Cape Town mungkin menuju ke Malaysia. Sebelum ini juga kita telah dihidangkan dengan kisah yang sama namun masih berulang.

Saya tidak ingin menyalahkan ibu-bapa atau remaja tersebut kerana selama ini kita tidak pernah mendengar masalah di atas berlaku. Adakah kita perlu berhati-hati hingga terpaksa mengikuti ke mana sahaja anak kita pergi atau membawa mereka ke mana saja kita pergi?

Jika dilihat pada masalah akar umbi ia adalah berpunca daripada 'Awang Hitam' yang begitu banyak berkeliaran di negara ini. Sebelum kewujudan mereka selalukah kita dengar remaja dan wanita kita menjadi 'keldai dadah'? Punca masalah ada pada 'Awang Hitam' tersebut dan penyelesaian pun ada pada mereka. Kini kita hanya perlu bertindak pada golongan sasaran tersebut.

Kita juga perlukan penyelesaian yang berterusan serta berjangka panjang. Saya berpendapat perlu diwujudkan satu undang-undang iaitu remaja sama ada lelaki atau perempuan di bawah 23 tahun perlu melalui pemeriksaan yang ketat sebelum keluar negara.

Mungkin mereka perlu kelulusan daripada ibu bapa dan bersaksikan pihak imigresen dari negeri kediamannya. Bagi yang tiada ibu bapa, kelulusan pihak imigresen sahaja juga diperlukan. Temuduga boleh dilakukan di sini tentang tujuan keluar negara dan bukti tertentu seperti surat tawaran belajar perlu ditunjukkan. Ini mungkin akan menyukarkan mereka diperdayakan.

Syarat ini juga perlu sekiranya ingin ke Thailand atau Singapura kerana mungkin sindiket ini akan gunakan jalan keluar dari kedua-dua negara tersebut pula.

Pasport anak-anak kita juga perlu disimpan di tempat yang tersorok. Saya ingin mencadangkan agar syarat-syarat membuat pasport untuk pemohon di bawah 18 tahun diubah menjadi pemohon di bawah 23 tahun, iaitu ibu bapa atau waris perlu hadir semasa proses permohonan pasport.

Dalam keadaan sekarang nampaknya kita terpaksa lebih teliti. Biarlah kita cerewet atau terpaksa menambah kerenah birokrasi daripada kita satu Malaysia terpaksa bersedih atas kejadian seperti yang sering berlaku kini.

Kewujudan 'Awang Hitam' yang sering menimbulkan masalah juga perlu dikaji. Rasanya kita tidak perlukan sebahagian besar mereka di bumi Malaysia ini.

FAUZI ASMARA

Guar Chempedak, Kedah

Monday, August 16, 2010

Nasib Orang Melayu

SAYA terbaca berita Mingguan Malaysia 15 Ogos dan terkilan dengan apa yang diminta oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek semasa merasmikan Kongres Ekonomi Cina Sabtu lalu.

Di manakah semangat 1Malaysia dalam MCA? Tiada lagikah sifat kejiranan di dalam MCA? Apa yang disuarakan saya rasai sama seperti yang diminta oleh parti-parti dominan Cina seperti DAP dan juga Gerakan.

Adakah tuntutan MCA ini disebabkan Melayu tidak bersatu? Benarkan saya kupas sedikit sebahagian cadangan (cabaran) yang dibentangkan oleh Datuk Seri Chua Soi Lek seperti yang ditulis dalam berita tersebut.

Liberalisasi ekonomi
Membenarkan lebih ramai pelabur bukan bumiputera menjadi rakan kongsi dan kontraktor dalam kerja-kerja di dalam sektor minyak dan gas. Saya ketawa dengan apa yang MCA inginkan ini. Adakah tidak beliau ketahui betapa banyak syarikat yang berurusan dengan sektor minyak dan gas yang dimiliki secara langsung atau tidak langsung oleh kaum Cina?

Adakah MCA mahu syarat-syarat ketat yang ditetapkan oleh Petronas untuk mendapatkan lesen perniagaan dengan syarikat-syarikat minyak seperti Carigali, Exxonmobil, Shell dan sebagainya dilonggarkan?

Sekarang ini pun kebanyakan syarikat-syarikat pembekal adalah milik bukan bumiputera. Boleh saya kira dengan jari sahaja syarikat yang betul-betul milik bumiputera.

Petronas sekarang mula memantau syarikat-syarikat pembekal kerana banyak syarikat yang kononnya berstatus bumiputera tetapi pada hakikatnya dimiliki oleh bukan bumiputera. Agaknya apa yang diingini oleh MCA adalah semua syarikat-syarikat pembekal ini dimiliki oleh bukan bumiputera secara terbuka.

Peranan syarikat milik kerajaan (GLC) dalam Model Baru Ekonomi (MBE)
Kenapa begitu gah MCA mengingininya? Kenapa pihak bukan bumiputera dalam syarikat-syarikat gergasi Cina tidak memberi peluang kepada bumiputera yang berkelayakan menjadi ahli lembaga pengarah dan menjawat jawatan penting dalam pengurusan?

Sekiranya ada pun, jawatan-jawatan yang dijawat adalah jawatan yang kurang penting syarikat sekadar melepaskan batuk di tangga. Lagi menyedihkan, sekarang ini sudah ada pula syarat “boleh berbahasa Mandarin” di dalam iklan kerja kosong. Apakah maksud tersirat di dalam syarat tersebut?

Adakah perlu atau wajib pekerja kena berbahasa Mandarin? Adakah bahasa Melayu bukan bahasa rasmi, bahasa pengantar negara Malaysia? Yang paling jelas, adalah untuk membenarkan bangsa Cina untuk menjawat jawatan kosong tersebut. Apa pandangan MCA mengenai perkara ini?

Penggalakkan lebih banyak
sekolah vernakular

Ini saya tidak faham. Masing-masing begitu gah mengenai 1Malaysia tapi pada masa sama masih mahukan pengasingan melalui penubuhan banyak lagi sekolah vernakular.

Bila kerajaan menggalakkan penubuhan sekolah wawasan, kenapa mereka dengan gah menentang?

Sekiranya mereka ini kononnya mahukan keadilan, satu suara, 1Malaysia dan sebagainya, kenapa tidak mulakan dari peringkat serendah-rendahnya melalui semua kaum pergi ke satu sekolah, seperti sekolah wawasan?

Bukan makin banyak lagi sekolah vernakular yang secara langsung menggalakkan pengasingan kaum. Di manakan semangat 1Malaysia MCA?

Di manakah semangat kejiranan MCA yang sepatutnya menggalakkan sifat menang-menang? Saya yakin sekiranya sekolah kebangsaan diubah sedikit saja agar memberi peluang untuk bangsa Cina dan India mempelajari pelajaran bahasa ibunda mereka, tidak perlu lagi ditambah sekolah vernakular di Malaysia ini.

Saya hairan kenapa sekarang bukan bumiputera semakin lantang menyuarakan tuntutan.

Adakah ini disebabkan bumiputera, Melayu khususnya sentiasa bertelagah sesama sendiri?

Adakah pihak bumiputera merasakan sekarang adalah masa yang sesuai untuk meminta kerana pertelagahan sesama bumiputera/Melayu yang beragama Islam?

Adakah juga kerana mereka merasakan bangsa Melayu di dalam kerajaan lemah, mereka boleh minta macam-macam? Ingin saya jelaskan di sini, saya bukan rasis tetapi saya tidak mahu bangsa Melayu akhirnya merempat di tanah air sendiri.

AZMI

Kuala Lumpur

Saturday, August 14, 2010

Padan Muka Melayu

MENGENAI nasib orang Melayu, saya berani kata kepada orang Melayu ‘padan muka.’ Orang Melayu suka berbalah sesama sendiri, dengki, khianat dan mengadu domba. Apa sahaja sifat buruk yang ada di dunia ini ada pada orang Melayu. Melayu itu miskin, egois, lemah, ampu, yoyo dan ujub (angkuh).

Sampai kiamat pun orang Melayu akan terus berbalah. Masjid pun dijadikan tempat untuk memaki hamun, menghina dan mengumpat. Dengan Allah pun Melayu tak takut inikan pula dengan manusia.

Bangsa asing memerhatikan kelemahan kita. Mereka diam-diam menggunakan kesempatan ini untuk menuntut apa saja yang ada di bumi Malaysia. Kita ibarat menang sorak kampung tergadai. Saban hari televisyen dan surat khabar menyiarkan keluhan orang Melayu. Siapa yang nak dengar suara mereka.

KAMARUL

Kuala Lumpur

Friday, August 13, 2010

Orang Cina Pun Tidak Puas Hati

GEORGETOWN: Seorang peniaga kedai kopi cuba membakar diri dengan menyimbah minyak petrol ke tubuhnya di pekarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), bagi menunjukkan perasaan kecewa terhadap kerajaan negeri yang bertindak menutup pintu masuk di tingkat dua kompleks itu, semalam.

Dalam kejadian jam 3.10 petang itu, Teoh Bak Seng, 53, dari Persiaran Gurney, yang memiliki kedai 'Seng Mugs Coffee' dikatakan mahu menghantar memorandum ditandatangani 48 peniaga kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng, bagi membantah penutupan pintu berkenaan.

Sebelum itu, Teoh dikatakan berucap di khalayak selama lima minit dengan melahirkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan negeri dan meletakkan beberapa poster bertulis 'Tukar Tempat, Tukar Pemikiran', 'Kerajaan Pulau Pinang Kejam' dan 'Cakap Sangat....,Kelakuan Putus Rezeki'.


Bagaimanapun, selepas diarah beredar dari situ oleh polis, Teoh nekad mengambil minyak petrol dalam botol yang disimpan dalam beg silang, lalu dicurah ke tubuhnya.

Namun, kepantasan polis berjaya menghalangnya yang kemudian pengsan dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk mendapat rawatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng, mengesahkan siasatan mengikut Seksyen 309 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh diri.
Tindakan menutup pintu di tingkat dua di KOMTAR dilakukan selepas Guan Eng pernah ditepuk bahu kirinya oleh seorang siak Masjid, Ali Ahmad, 63, yang ingin memaklumkan pelbagai masalah dihadapi orang Melayu di negeri ini kerana dasar berat sebelah kerajaan negeri.

Teoh berkata, dia sangat kecewa dan terpaksa menanggung kerugian antara RM100 hingga RM200 sehari sejak 2 Ogos lalu, hanya disebabkan kebimbangan Ketua Menteri terhadap ancaman seperti yang berlaku baru-baru ini.

"Pentadbiran KOMTAR dulu tidak pernah buat begini sejak saya berniaga pada 1979 tetapi sejak Guan Eng memerintah, semuanya berubah.

"KOMTAR dibuka oleh Tun Abdul Razak iaitu bapa Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak)...ini bukan Kompleks Lim Kit Siang," katanya.

Terdahulu, lebih 20 ahli Parti Cinta Malaysia (PCM) berpakaian putih yang cuba mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan negeri menutup beberapa pintu di tingkat dua KOMTAR, terpaksa dibatalkan kerana insiden membabitkan Teoh.

Orang Melayu Belum Sedar

APA yang berlaku di Pulau Pinang dan Selangor sepatutnya sudah lama menjadi pengajaran kepada kita. Kita sepatutnya sudah mula berubah untuk membetulkan kesilapan kita.

Kerajaan ultra-kiasu sudah menunjukkan kepada kita dan rakan-rakan mereka apa yang mereka boleh buat jika mereka berada di Putrajaya selepas PRU 13 nanti.

Mereka kata mereka boleh dengan mudah menindas Melayu di Pulau Pinang, menutup mulut Melayu di Selangor. Dengan tindakan kepada peniaga-peniaga Melayu, pemimpin Melayu dalam PR senyap seribu bahasa.

Angguk sahaja dan tiada apa suara bantahan pun. Dengan amaran lucut jawatan Exco sahaja, Exco Melayu senyap atas isu jualan arak.

Tidakkah ultra-kiasu menunjukkan betapa dengan mudahnya Melayu dipermainkan. Isu menghapuskan diskaun rumah di Selangor, MB Melayu memberikan sokongan tidak berbelah bagi.

Isu perpaduan Pas lebih rela bersekongkol dengan parti ultra kiasu daripada bersama Melayu dari UMNO. Sudahlah perpaduan Melayu lemah dan kritikal, pemimpin Melayu dalam PR menyokong usaha untuk mempermainkan orang Melayu.

Bangganya ultra-kiasu, bila DAP kata Melayu BN rasuah, maka Melayu Pas dan PKR menambah lagi beberapa fakta yang berunsur fitnah. Tapi tentang isu generasi Melayu, akhlak remaja Melayu, mengapa DAP senyap.

Mudah saja jawabnya, biarlah remaja Melayu terus rosak, kerana bebanan untuk meruntuhkan orang Melayu sudah kurang, jika generasi Melayu ini sudah dengan sendirinya rosak.

DAP tidak perlu bimbang, kerana Melayu dalam PR akan menyokong apa sahaja, asalkan ia dapat meruntuhkan Melayu dalam BN.

Tidakkah terfikir bangsa sendiri yang sedang dirosakkan. Lihat sahaja isu Melayu Pulau Pinang, apa Timbalan Ketua Menteri buat, senyap, membutakan mata hati terhadap apa yang berlaku.

Tidakkah kita berfikir, untuk ultra kiasu ke Putrajaya, lebih mudah kerana banyaknya 'kuda Melayu' yang boleh ditunggang.

Mampukah kita menangani krisis remaja Melayu yang kian meruncing, dengan hak kita digugat sedikit demi sedikit, apa yang kita pertahankan, bangsa kita sendiri yang sabotaj, bahkan menyokong pihak yang cuba merosakkannya .

Sempena dengan Ramadan ini, marilah kita muhasabah diri, mengapa tidak boleh kita bersatu semula demi kedamaian hidup di negara kita sendiri.

Bagaimana jika DAP tidak menerima negara Islam, esok kita hendak beribadat pun banyak sekatannya.

Bagaimana nanti, kita tidak mampu memiliki rumah mewah lagi, terperosok di kaki gunung Jerai. Bagaimana anak-anak kita hendak menyambung pelajaran, jika hak istimewa pemberian biasiswa sudah tiada.

Hanya ini sahaja negara yang kita ada, susah payah kita biar di sini, tetapi bukan kita susah di sini, sedang orang lain kaya dan mewah di tempat kita.

Melalui perpaduan kukuh, ultra-kiasu pun tidak berani bersuara. Melalui undi, kita berhak menentukan siapa mesti memimpin kita. Kita berhak menentukan kerajaan adil yang bagaimana yang kita hendak. Jangan sampai kita rasa kita menikam orang lain, tetapi yang luka dan mati ialah keluarga kita sendiri.

Kalau PR ke Putrajaya, jangan harap Anwar Ibrahim akan menjadi PM, apa lagi Nik Aziz untuk jadi PM. Jangan harap negara Islam selagi bersekongkol dengan DAP.

Secara mudah Melayu dalam Pas atau dalam PKR adalah Melayu yang tidak boleh dipercayai oleh ultra-kiasu, kerana mereka sanggup menikam bangsa mereka sendiri demi kuasa.

Ultra-kiasu berfikir, sesama bangsa pun dikhianati, apa lagi jika berbeza bangsa!

Contoh di Pulau Pinang dan Selangor, juga sekejap di Perak sudah jelas untuk difikirkan. Apa yang sedang berlaku juga patut dijadikan iktibar. Terlajak perahu boleh undur, terlajak memangkah PRU 13, buruk padahnya.

Kepada ulama-ulama Pas tidak perlulah tazkirah bulan Ramadan ini dijadikan ruang untuk menghentam pemimpin Islam dari BN.

Dosa tetap dosa, walaupun ulama Pas. Pas cuma parti politik biasa sahaja, yang sudah jauh tersasar dari matlamat asal perjuangannya. Bila lagi kita nak sedar?

Banjar Tanjung Karang

Pas Tidak Mahu Melayu Bersatu

Saya merasa amat terharu dan sedih dengan tulisan Andak Jauhar dalam ruangan ini pada 9 Ogos lalu bertajuk Pas Cemari Masjid. Memang benar sebahagian besar pemimpin Pas, termasuk Mursyidul Amnya, amat tidak menyenangi umat Melayu bersatu.

Mereka menafikan seruan Rasullullah yang diajar sejak lebih 1400 tahun dahulu. Mereka begitu taksub dan ego dengan sokongan daripada ahli mereka yang taksub. Mereka lupa bahawa segala yang berada di atas muka bumi ini milik Allah termasuk kuasa, pengikut, pengaruh hatta diri mereka sendiri.

Mencerca saudara sesama Islam itu besar dosanya. Bagaimana pula dengan memutuskan silaturrahim? Tentunya para alim dalam Pas lebih tahu. Tapi jika sekadar tahu maklumat bukanlah namanya berilmu. Samalah dengan tahu sunah tapi tiada satu yang diikuti.

Kalau saudara Andak perasan, terdapat satu siri ceramah oleh seorang ustaz Pas yang terang-terang menyeranah seorang bekas mufti dengan gelaran bapak syaitan. Jangan kata orang biasa yang terperanjat dengan keceluparan tersebut, malah budak-budak muda, hatta mat rempit pun tahu akan kebiadapan ustaz tersebut.

Berpengaruh sangatkah kita sehingga tidak mahu tunduk kepada seruan murni ke arah perpaduan ini? Besar sangatkah kita sehingga tidak boleh memaafkan? Bijak berkata-kata mengalih tajuk dari bangsa kepada payung Islam (konon). Allah tahu apa yang tersirat di sebalik kalimat tersebut. Anda para pemimpin Pas hanyalah wakil kepada pendukung Pas. Parti tersebut bukan hak mutlak bersifat individu, ia adalah amanah semata-mata.

Telah banyak teladan di dalam kitab-kitab yang menceritakan terdapat para alim yang mempunyai ramai pengikut dan pelajar telah terpesong apabila melalui ujian Allah. Pengikut dan penyokong yang ramai, kuasa dan pengaruh adalah sebahagian daripada ujian Allah. Ingatlah.

Geram,

Alor Setar, Kedah

Suara Hati Cina

AKHBAR Nanyang Siang Pau keluaran 3 Ogos 2010 (lihat Utusan Malaysia 11 Ogos) telah menyeru Malaysia supaya memandang ke Singapura dalam usaha membantu kaum yang lemah. Lebih tepat ialah kerajaan Malaysia hendaklah mengamalkan sistem persaingan dan bukannya kroni dalam pembangunan ekonomi dan pelajaran.

Nanyang berpendapat menerusi sistem ini Malaysia akan menjadi maju seperti Singapura.

Hakikat yang mesti diterima ialah Malaysia tidak akan mencapai kemajuan yang seimbang seperti sekarang tanpa beberapa keistimewaan kepada Bumiputera dan tanpa Dasar Ekonomi Baru yang dinamik oleh kerana orang Melayu sememangnya manja dan malas seperti yang dicatitkan dalam tulisan Nanyang itu.

Kemanjaan dan kemalasan ini terbentuk oleh persekitaran negara yang makmur dan kaya, cukup makan dan pakai dengan kangkung tumbuh sendiri di depan rumah, sawah padi di belakang rumah dan ikan di sungai dan di lautan.

Orang Melayu hidup mudah sejak sebelum kedatangan penjajah lagi. Tidak seperti kaum pendatang dahulu yang datang dari alam persekitaran negara yang menyebabkan mereka terpaksa berkerja keras dan bermati-matian untuk hidup.

Maka mereka menjadi semakin industrious, lebih kreatif dan inovatif apabila berhijrah kerana melihat peluang yang terbuka luas yang tidak diteroka dan dipersiakan oleh anak tempatan.

Pendatang awal ini kemudiannya menyampaikan cerita ke tanah air mereka bahawa emas boleh dikutip di tepi jalan di Tanah Melayu menyebabkan semakin ramai orang Cina berhijrah ke negara ini di zaman penjajahan British.

Orang Melayu memandang rendah kepada orang Cina yang menjadi pekebun sayur, penjaja, peniaga kecil, pelombong dan anggota kumpulan samseng tanpa menyedari bahawa mereka membina rangkaian kekayaan penjajahan ekonomi yang lebih dahsyat daripada penindasan British.

Bagaimanapun peluang pelajaran di bawah dasar drastik kerajaan Malaysia yang memikirkan keseimbangan ekonomi diperlukan untuk menjamin ekonomi orang Cina tidak diganggu-gugat oleh orang yang miskin, telah membangunkan generasi Melayu baru yang sedar dengan nilai-nilai yang seharusnya ada untuk hidup dalam masyarakat berbilang kaum.

Kesedaran menerusi pelajaran inilah yang merasionalisasikan sikap orang Melayu dan memberikan sumbangan ke arah menstabilkan dan mententeramkan masyarakat Malaysia berbanding dengan sebelum peristiwa 13 Mei 1969 sekalipun isu yang dibangkitkan sekarang ini adalah lebih panas dari isu-isu yang pernah dibangkitkan sebelum peristiwa itu.

Jika kehidupan mereka tidak distabilkan maka jalan yang mudah bagi anak negeri ialah merompak harta orang Cina bagi kehidupan mereka. Kerajaan memikirkan langkah ke arah mengubah kehidupan mereka menerusi pelajaran dengan dasar kroni perlu disegerakan kerana orang Cina sebelum Merdeka tidak pernah memikirkan bahaya kepada hak mereka mencari makan kecuali selepas 13 Mei.

Pencapaian kemajuan Bumiputera di Malaysia telah diakui oleh Bank Dunia sendiri suatu masa dahulu sebagai begitu cepat dan masih tidak dapat dicapai oleh Bumiputera negara negara lain yang juga ada masyarakat Cina. Contohnya jelas dapat dilihat di Thailand, Indonesia dan Filipina.

Pencapaian pelajaran dan ekonomi orang Melayu setakat ini telah memberikan peluang kepada orang Cina dan Melayu sendiri untuk terus bebas berpolitik, berniaga dan bersekolah tanpa diganggu-gugat oleh orang Melayu yang miskin kecuali oleh orang Melayu dari negara jiran yang datang menyamun dan merompak dan mengancam kehidupan mereka.

Ini harus menyedarkan orang Cina tentang bagaimana jika banyak anak negeri ini sendiri yang miskin.

Ancaman konfrantasi Indonesia sendiri telah menggerunkan orang Cina dan menyebabkan mereka memberikan sokongan yang kuat kepada kerajaan BN dalam pilihan raya 1964 tetapi mereka cepat melupakan sejarah kerana perasaan perkauman dan bukan kerana perasaan kebangsaan.

Nanyang mengambil contoh keyakinan Melayu Singapura untuk hidup bersaing dengan kaum lain dengan memetik tulisan Editor Berita Harian Singapura, Guntor yang memuji Singapura kerana membantu Melayu tanpa menjalankan polisi memberi tongkat tapi siapa bijak akan diangkat.

Malaysia menggunakan dasar yang berbeza oleh kerana dasar asas Singapura berbeza dengan Malaysia.

Sebaik sahaja Merdeka, Singapura mencantas cauvinisme kaum terbesar di negara itu iaitu kaum Cina dengan menutup institusi-institusi kebudayaan utama Cina iaitu sekolah-sekolah rendah dan menengah Cina dan universiti teragung Cina (Nanyang University dan Nge Ann College) yang berkesan sekali dalam menghapuskan kesetiaan kepada negara Cina dan fanatisme kepada budaya Cina.

Sikap orang Cina Singapura berbeza dengan sikap orang Cina Malaysia. Oleh kerana itu jugalah masyarakat Cina Malaysia tidak begitu dapat menyesuaikan diri dengan masyarakat Cina Singapura.

Di Malaysia kerajaan tidak bertegas dalam dasar pelajaran, tunduk kepada kehendak masyarakat Cina untuk mengekalkan institusi pelajaran mereka yang bererti membiarkan usaha untuk menyuburkan perasaan kecinaan di kalangan masyarakat Cina Malaysia.

Suara-suara yang bersifat kecinaan di negara ini masih terdengar dengan bantahan terhadap kerajaan kerana tidak membantu sekolah Cina dan juga mengutamakan Sekolah Kebangsaan.

Mereka tidak faham erti kebangsaan kecuali yang sesuai dengan cauvinisme Cina.

Kenapa Nanyang tidak mahu menunjukkan betapa tegasnya Kerajaan Singapura dalam menentang desakan seumpama ini sejak awal kemerdekaannya.

Kenapa Nanyang tidak menyeru supaya kerajaan Malaysia memandang ke Selatan dalam soal ini?

Di Singapura tidak ada perasaan ketakutan orang Melayu kepada kaum lain untuk menjadikan Singapura sebagai negara Cina tetapi di Malaysia, inilah yang diperjuangkan oleh masyarakat Cina.

Benar kata Guntor beliau tidak perlu menghunus keris untuk dapatkan kuasa di Singapura, tetapi tingkah laku kebanyakan orang Cina Malaysia yang kecinaan menyebabkan orang Melayu terpaksa mengingatkan mereka bahawa negara ini perlu terus berkeris.

Tan Melaka

Putrajaya

Penceramah SS (Syok Sendiri)

Soalan:

Penganjuran tazkirah di surau-surau dan masjid-masjid yang banyak menyentuh politik dan terlalu panjang, sedangkan esok hari bekerja. Saya memang teringin menuntut ilmu di masjid mahupun surau tetapi agak mendukacitakan. Mohon nasihat daripada ustaz.

Jawapan:

Mengadakan kuliah atau tazkirah antara solat sunat terawih yang kian menjadi budaya di bulan ramadan bagi mereka yang ingin mengambil kesempatan bagi menyemarakkan lagi budaya menuntut ilmu. Secara dasarnya tidaklah salah mengadakan tazkirah sama ada antara terawih mahupun sesudah terawih. Ini kerana Islam menggalakkan umatnya menuntut ilmu. Sesungguhnya Allah SWT menyukai ibadat hambanya yang berilmu berbanding ibadat hamba yang jahil. Penganjur juga tidak salah menganjurkan tazkirah, kerana bagi mereka inilah peluang keemasan dengan kehadiran jemaah yang luar biasa mahu dijadikan peluang untuk menganjurkan majlis ilmu, semoga dengan demikian bertambahlah cinta kepada Islam dan ajarannya. Manakala Allah SWT menganjurkan umatnya agar menghidupkan suasana memberi peringatan, ini jelas dalam firman Allah dalam surah al-Zariyat ayat 55 dan surah al-'Ala ayat 9.

Saya juga kadang-kadang diundang untuk menyampaikan tazkirah di surau mahupun masjid. Biasanya saya akan tanya tazkirah selepas solat atau antara solat? Kalau ada yang mengatakan antara solat (selepas 4 rakaat), saya akan mencadangkan selepas solat iaitu selepas terawih dan witir. Ini kerana solat tidak mahu diganggu dengan acara lain. Saya fikir adalah wajar membiarkan solat selesai ditunaikan sebelum mengadakan ceramah. Demikian akan memberi masa yang cukup kepada penceramah untuk menyampaikan tazkirahnya. Kalau di tengah-tengah solat (selepas 4 rakaat) pastinya masa yang peruntukkan sangat singkat dan mungkin pentazkirah terkejar-kejar dalam penyampaiannya. Keadaan akan menjadi parah apabila tazkirah yang diadakan di antara waktu solat sunat terawih dan penceramah langgar waktu yang diperuntukkan, asalnya 15-20 minit malangnya heret sampai 30-45 minit, sedangkan esok hari bekerja. Kaum ibu pula perlu balik untuk menyiapkan masakan untuk sahur dan pelbagai komitmen yang lain yang perlu dilangsaikan. Hal ini kadang-kadang tidak disedari oleh pentazkirah dan juga jawatankuasa.

Gawat lagi apabila penceramah yang berceramah tidak fokus dalam isu yang dikupas, asyik merapu sehingga keluar dari tajuk yang asal. Sebab itu pesanan saya agar penceramah yang dijemput hendaklah diberi tajuk yang khusus agar dia tidak shopping dalam ceramah. Fenomena terkini ialah asal ceramah mesti ada diselit dan disindir ahli politik, hebat lagi platform tazkirah ramadhan betul-betul dimanfaatkan untuk kepentingan politik tertentu. Saya tidaklah kata berpolitik itu dalam Islam tidak ada atau berpolitik itu salah. Setiap orang cenderung kepada mana-mana parti politik dan dia yakin akan kehebatannya pasti akan memperlihatkan belangnya.

Bagi saya penceramah atau pentazkirah yang memberi tazkirah lalu terus tukar arah dalam ceramah kepada politik adalah pendakwah yang tidak matang dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang daie. Banyak rungutan yang saya terima bahawa kadang-kadang pentazkirah membelasah individu-individu tertentu atau menghentam parti politik yang dia tidak suka atas beberapa alasan yang bagi dia tidak betul. Seorang pendakwah yang berjaya ialah pendakwah yang berusaha mengubati penyakit masyarakat dengan mengajak mereka kepada penghayatan Islam sebenarnya bersedia untuk menjadi muslim yang baik. Jarang penceramah tanya apa permasalahan masyarakat setempat? Supaya pentazkirah dapat memberi ubat yang sesuai kepada penyakit masyarakat. Apabila penceramah cerita politik orang ramai yang datang solat berjemaah yang di antaranya sedang mencari jalan pulang pasti akan kecewa kerana dia ke surau atau ke masjid untuk mendekat diri kepada Allah SWT dan dengan majlis-majlis yang diadakan dapat menambah lagi ilmu.

Cakap perkara yang berkaitan dengan politik memang seronok, sebab ia adalah sesi mengaibkan orang dan membantai orang. Tetapi apa yang berlaku bukan mendidik malah menjauhkan orang dari surau mahu pun masjid. Inilah di antara sebab kenapa remaja tidak minat ke masjid atau ke surau. Sebagai penceramah jangan 'syok' sendiri. Sebagai penceramah, tahu tak apa penyakit masyarakat kita? Kalau tidak isu-isu yang besar pun saya yakin ramai yang masih tidak faham solat jamak qasar. Sedangkan tiap-tiap tahun kita bermusafir dan menunaikannya. Ramai yang masih mencari penjelasan yang boleh dijadikan panduan dalam bermusafir.

Bulan Ramadan ini banyak perkara yang boleh dibincangkan di dalam tazkirah, antaranya ialah, peperangan badar kubra, Nuzul al-Quran, Mukjizat al-Quran, Zakat, fidyah, qada puasa dan sebagainya. Walaupun tajuknya nampak mudah tetapi hurainya mestilah dalam olahan bahasa yang mudah. Saya yakin sekiranya pendekatan mendidik secara holistik digunakan sebagai kaedah dalam pendidikan akan menjadikan masjid tempat yang dirindui dan akan lebih ramai lagi pengunjung yang menjadikan masjid dekat di hati. Di sinilah terletaknya peranan jawatankuasa masjid untuk mengatur majlis ilmu dan serahkan amanah mendidik kepada yang berjiwa pendidik.

Tuesday, August 10, 2010

Maki Orang

Orang Asing Mula Berniaga

SUNGAI BULOH: Macam negara asing apabila ratusan pendatang tanpa izin menjalankan perniagaan di atas jalan dan lot tempat letak kereta di pasar malam Kampung Baru Sungai Buloh sejak tiga tahun lalu.

Mereka rata-rata memperoleh keuntungan lumayan apabila menggunakan jalan utama diguna penduduk untuk keluar masuk ke pekan Sungai Buloh dari jam 2 petang hingga 10 malam sehingga menimbul kemarahan masyarakat sekitar.

Tinjauan Metroplus di pasar malam berkenaan mendapati mereka menjalankan perniagaan menjual sayur, barang dapur dan makanan tanpa rasa takut.


Penduduk, Tarhidheran, 64, berkata kegiatan perniagaan warga asing itu menyebabkan jalan utama yang diguna lebih 1,000 kenderaan sehari terpaksa ditutup kerana mereka beroperasi di atas jalan sepanjang lebih tiga kilometer.


“Sebagai rakyat tempatan saya rasa macam berada di negara asing apabila dinafikan hak untuk menggunakan jalan raya selepas pembukaan pasar malam dengan ratusan khemah didirikan.


“Ia juga menimbulkan kesesakan apabila penduduk hanya boleh menggunakan jalan alternatif saja sedangkan sebelum ini kita menggunakan dua jalan untuk keluar masuk,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.


Peniaga, Lai Loo San ,70, berkata operasi perniagaan haram oleh warga asing itu menyebabkan perniagaan restorannya merosot apabila terpaksa menutup operasi pada jam 2 petang.


Katanya, ini kerana mereka menggunakan lot jalan dan tempat letak kereta di depan kedainya dan beberapa kedai lain.


“Saya mahu pihak berkenaan memantau kawasan ini dan mengambil tindakan wajar kepada warga asing yang tiada permit berniaga di pasar malam ini.


“Ini bagi menjamin hak peniaga tempatan untuk terus beroperasi walaupun ada pasar malam dengan mengharamkan penggunaan jalan utama dan tempat letak kereta sebagai tempat berniaga supaya pengguna dapat datang ke kedai kami seperti biasa,” katanya. Sementara itu, Ketua Cawangan MCA Kampung Baru Sungai Buloh, Poon Hoon berkata, pihak berkuasa perlu membantu penduduk dengan menangani warga asing daripada terus berniaga di atas jalan.


Katanya, kalau berniaga di atas tapak pasar malam mereka tidak kisah, tetapi menggunakan jalan raya dan tempat letak kereta memberi masalah kepada penduduk.

Nasib Peniaga Melayu Di Alamanda

NAMA saya Fahmi Fabilah, saya adalah salah seorang peniaga yang tidak disambung kontrak perniagaan di Suria KLCC di Alamanda, Putrajaya. Saya berniaga kemeja T buatan tempatan bernama Malaya Distro.

Alasan 'bijak' yang pertama mereka kepada saya ialah: Saya tidak dibenarkan lagi menjual kemeja T atas alasan penyewa kedai mengadu perniagaan mereka turun.

Ingin memberitahu bahawa ada yang saya lakukan ialah persaingan yang sihat.

Alasan kedua ialah kerana memiliki tiga push cart (kereta tolak). Tapi bagaimana pula dengan Pizzahut, KFC dan RASAMAS yang bernaung di bawah syarikat yang sama?

Sangat tidak munasabah jika ia dijadikan sebab untuk 'menendang' saya keluar. Apakah wujud diskriminasi di sini?

Saya boleh buktikan bagaimana terdapat diskriminasi dalam pengurusannya. Disebabkan rasa tidak puas hati, saya menceritakan perihal mereka ini difacebook saya. Gempar seketika apabila tulisan saya sampai ke KLCC. Dan seingat saya, ada sokongan dari individu yang mahukan perkara itu ditujukan kepada Tun Mahathir. Mungkin 'goyang' dengan sokongan itu, mereka telah membuat temujanji dengan saya di sebuah kafe di Alamanda untuk menyelesaikan perkara ini.

Untuk pengetahuan semua, deposit saya RM3,800 masih belum dipulangkan sedangkan saya telah satu bulan keluar dari Alamanda.

Sedangkan surat kontrak tidak disambung saya terima tiga bulan yang lepas. Pihak pegurusan memberi alasan sedang proses. Logikkah tiga bulan proses? Kenapa sewa mahu advance tetapi deposit sampai lambat sebegini rupa?

Bagaimana jika dulu kami bayar sewa lewat satu bulan? Dah pasti saya diperintah keluar. Anda fikirkan bertapa teruknya kelemahan sistem yang mereka jalankan.

Kenapa kita ditindas di tempat sendiri? Di sini suka sangat ingin saya beritahu, anda pergilah ke kompleks beli-belah ternama, anda kiralah berapa peratus peniaga 'Melayu' menyewa di situ?

Tidak sampai 10 peratus. Bukan kerana peniaga Melayu tidak mampu, tetapi kita tidak diberi tempat di situ.

Saya pernah pergi ke kompleks 'baru' di Wangsa Maju. Ruang niaga masih kosong, dan saya memohon ruang niaga. Anda tahu saya dilayan begitu teruk.

Sebulan selepas itu, ruang niaga penuh dengan kaum bukan Melayu. Di sini anda faham bukan, bukan kita tidak mampu, tapi kita ditolak mentah-mentah oleh kuasa mereka. Tetapi kenapa ia juga terjadi di Putrajaya?

Semenjak setahun lalu, Suria KLCC banyak membuat perubahan drastik. Mungkin ini juga strategi halus orang atas untuk menjatuhkan kita? Mari saya rungkaikan satu persatu.

Enam bulan lepas, kami diberi notis untuk membayar sewa pendahuluan (advance rental). Sedangkan kami telah membayar 'deposit' 1+1. Ia adalah notis mengejut ketika itu, kami terpaksa mencari wang sewa untuk dua bulan dalam masa sebulan.

Anda bayangkan betapa kami terpaksa bertungkus lumus mencari RM3,800 minggu ini, dan RM3,800 untuk lagi dua minggu. Dengan gaji pekerja, jumlah sebanyak RM9,000 sebulan, sedangkan perniagaan tidak begitu bagus ketika itu.

Taktik halus yang kedua: Mereka melagakan peniaga tanpa sedar. Ia berlaku sekarang. Caranya begini, dahulu peniaga mainan A di Utara, dan peniaga mainan B di Selatan. Perniagaan mereka sangat bagus. Cara untuk menjatuhkan salah seorang adalah meletakkan lokasi peniaga mainan A hampir dengan peniaga mainan B.

Secara psikologinya, mereka akan bersaing dan salah seorang akan jatuh. Yang jatuh itulah yang akan terkeluar. Sekarang anda nampak? Ketika itu, salah seorang dari mereka membuat rayuan untuk pindah tapak. Taktik berjaya bukan.

Taktik ketiga: Mereka mengeluarkan peniaga atas alasan produk tidak boleh dijual lagi. Ini terjadi ke atas saya sendiri.

FAHMI FABILAH

Dengkil

Alahai Khatib PAS

Minggu lepas saya menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di daerah Petaling Jaya. Namun apa yang amat mengecewakan ialah khutbah yang disampaikan begitu lantang menghentam usaha pelbagai pihak untuk menyatukan kuasa politik umat Islam di Malaysia. Fikirkan, perkara baik seperti bersatu-padu pun boleh diputar belit menjadi sesuatu yang negatif.

Khatib yang amat jelas menyokong parti Pas seterusnya telah memekikkan hujah-hujah mengapa umat Islam perlu bersatu di bawah naungan Islam, bukannya atas nama bangsa. Apa agaknya masalah khatib untuk bersatu dengan ahli-ahli parti lain yang rata-ratanya orang Islam? Adakah beliau menganggap perjuangan parti politik yang dilabel 'Islam' lebih tulen berbanding parti lain yang membuat keputusan untuk tidak mengeksploitasi label yang sama?

Malah, khatib tersebut turut sempat menghentam kempen Islam Hadhari yang dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Saya secara peribadi turut berpendapat bahawa Islam tidak perlu kepada label. Namun mana satu antara 10 prinsip-prinsip Islam Hadhari yang salah atau sesat? Jika khatib menganggap bahawa label yang dibawa dalam kempen Islam Hadhari salah, maka mengapa pula label Parti Islam Se-Malaysia betul? Tidak mungkin orang lain semuanya salah, dan Pas adalah maksum.

Namun setuju atau tidak, inilah hakikatnya suasana masjid-masjid dan surau-surau di seluruh negeri Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-12 tahun 2008, penuh dengan kebencian.

Hendak solat berjemaah, disuruh membenci. Hendak solat Jumaat, diajar membenci. Apakah nanti bulan Ramadan, hendak solat tarawih pun akan ada penceramah Pas yang mengapi-apikan kebencian di kalangan para jemaah? Sudah tentu.

Dahulu, masjid dan surau ialah tempat yang aman, menenangkan fikiran. Ahli-ahli jemaah mesra dan mudah melemparkan senyuman. Kuliah-kuliah agama sedaya upaya difokuskan kepada matlamat penyampaian ilmu.

Namun kini, masjid-masjid tidak ubah seperti premis hiburan di mana lelaki-lelaki berkopiah bergosip, para penceramah menyeringai dan ceramah mereka sentiasa sarat dengan satu tema seragam sahaja: Benci, benci dan benci. Tiada apa yang konstruktif. Jika dakwah Islam sarat dengan tema sebegini, saya tidak fikir ia akan mudah diterima.

Pas seolah-olah menguatkuasakan 'fatwa' baru sebagai syarat untuk melangkah masuk ke rumah Allah Taala iaitu jadi ahli Pas dahulu. Apakah seseorang Islam perlu mengisi borang keahlian Pas, membayar 'yuran' Kohilal, membaca 'kitab' Harakah dan menyumpah seranah parti lawan, maka baru beliau diakui telah menyempurnakan rukun-rukun Islam? 'Islam simbol' seperti ini nyata bukan Islam yang dibawa oleh junjungan besar Rasulullah SAW.

Firman Allah Taala dalam surah al-Ahzab, ayat 21: Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik.

Sifat mulia Rasulullah SAW jelas kelihatan ketika memaafkan tindakan para penduduk kota Taif yang membaling batu kepada Baginda sehingga parah, walaupun ditawar sebaik-baik peluang untuk bertindak balas oleh malaikat Jibrail yang ingin membenam Mekah antara gunung-gunung al-Akhshabain.

Inilah sebaik-baik contoh akhlak Rasulullah SAW yang patut dijunjung oleh sebuah parti yang mengaku Islam, melebihi kata-kata mana-mana ulama yang mengharuskan carut-mencarut dan kata-kata yang kasar.

Ramadan bakal beberapa hari lagi dan seluruh umat Islam di negara ini menunggu-nunggu ketibaan bulan yang diberkati. Kita hanya manusia biasa yang tidak mampu meramalkan berapa kali lagikah nikmat Ramadan yang kita akan kecapi dalam usia yang singkat ini.

Alangkah malangnya jika peluang yang dibawa Ramadan dipersia-sia oleh para penceramah Pas yang cuma mahu melampiaskan nafsu amarah dan mengumpat.

Mereka yang mengaku berilmu sepatutnya lebih mengetahui dan menghayati firman Allah Taala dalam surah al-Hujuraat, ayat 11: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka.

Andak Jauhar

Kota Damansara, Kuala Lumpur