Peniaga bimbang diketepikan
Oleh ROSLAH OTHMAN
kota@utusan.com.my
KAWASAN Pasar Baru Bukit Bintang antara yang akan dibangunkan di bawah Rancangan Pembangunan Greater Kuala Lumpur, untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur International Financial District. – UTUSAN/Nooradzrene Mohd. Noor
KUALA LUMPUR 9 Mac – Peniaga di Pasar Baru Bukit Bintang tertanya-tanya akan nasib mereka berikutan terdapat laporan yang menyatakan bahawa kawasan tersebut sudah diambil alih dan akan dimajukan.
Kata mereka, peniaga di situ tidak menghalang pembangunan yang mahu dilaksanakan tetapi biarlah mereka diberikan penjelasan dan mendapat pembelaan sewajarnya.
Seorang peniaga, Rumiyah Abdul Rahim, 59, yang sudah lebih 20 tahun berniaga nasi lemak di situ berkata, persoalannya adalah mereka akan kekal di situ atau dipindahkan.
“Sebagai antara peniaga paling lama di sini, perasaan sedih tentu ada jika perkara itu benar-benar terjadi.
“Ramai peniaga mencari makan di sini dan kami juga ada pelanggan tetap yang sudah tentu memberi kesan tersendiri kepada kami,” ujarnya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Di bawah Rancangan Pembangunan Greater Kuala Lumpur, syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) memperoleh tanah seluas 105 ekar di Jalan Imbi pada harga RM2,000 sekaki persegi untuk dibangunkan sebagai Kuala Lumpur International Financial District.
Selain Pasar Baru Bukit Bintang, kawasan-kawasan lain yang terlibat termasuk Pasar Rakyat, sebuah stesen bas, Village Food Court, tempat letak kereta serta pinggiran Jalan Barat dan Jalan Davis.
Pandangan sama turut dilontarkan oleh Sanjit Singh, 42, yang mengakui desas-desus mengenai kawasan itu bakal dibangunkan sudah kedengaran sejak lima tahun lalu.
Katanya, dia juga tidak menolak sebarang pembangunan di situ tetapi berharap pihak bertanggungjawab tidak meminggirkan mereka.
“Pihak bertanggungjawab perlu memberi penjelasan tentang perkara ini bagi mengelakkan perkara ini terus menjadi bualan dan pelbagai spekulasi dibuat oleh banyak pihak,” ujarnya.
Dalam pada itu, pemilikan tanah tersebut telah mengundang beberapa kontroversi termasuk dakwaan pengusiran peniaga di gerai makan di Pasar Rakyat yang terletak bersebelahan Pasar Baru Bukit Bintang.
Peniaga mendakwa mereka cuba ditipu apabila diberikan notis pengusiran dalam bulan sama mereka menandatangani satu perjanjian pajakan dengan pihak pengurusan gerai itu.
Notis yang dikeluarkan pada akhir Januari lalu itu mengarahkan 30 penjaja keluar sebelum 30 April tanpa ditawarkan sebarang pampasan atau rancangan penempatan semula.
Lebih mengecewakan, penjaja-penjaja dan peniaga-peniaga mendakwa didesak agar membayar sewa bagi bulan Mac dan April sedangkan notis yang diterima mereka mengecualikan sewaan selama dua bulan tersebut.
Dalam pertemuan antara peniaga dan penjaja yang terlibat itu, mereka mendesak pihak yang bertanggungjawab menjelaskan status kawasan tersebut.
Mereka juga sudah mengatur strategi sebagai persediaan sebelum perkara itu benar-benar berlaku terutama meminta tiga perkara utama dipertimbangkan.
Pertama, kekalkan lokasi asal pasar tersebut jika keadaan mengizinkan dan jika perlu ditempatkan semula, lokasinya hendaklah di kawasan berhampiran.
Kedua, jika peniaga diarah berpindah, pihak pemaju perlu menanggung kos keseluruhan berpindah dan ketiga, meminta pihak pemaju menyediakan lebih banyak tempat letak kereta kepada pelanggan pasar berkenaan.
Pada pertemuan itu, lima peniaga dan penjaja dilantik bagi mewakili Pasar Baru Bukit Bintang dan Pasar Rakyat dalam memperjuangkan hak dan nasib peniaga.
Sementara itu, jurucakap 1MDB ketika dihubungi Utusan Malaysia memaklumkan, pihaknya kini dalam proses perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan bagi tujuan penempatan semula penduduk dan perniagaan di tapak yang bakal dibangunkan itu.
“Ini termasuklah dengan pihak pengurusan Pasar Rakyat dan juga dengan pihak berkuasa tempatan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik,’’ ujar jurucakap itu.
Tambahnya, pihak 1MDB sentiasa komited dalam memastikan penempatan semula penduduk dan peniaga dilaksanakan dengan adil dan saksama.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment