Sunday, September 25, 2011

singapore xberani hapuskan isa

‘ISA penting untuk keselamatan negara’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SINGAPURA: Kerajaan menolak gesaan bekas tahanan politik supaya memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atas alasan ia perlu bagi menghadapi ancaman keselamatan serius, termasuk keganasan.

Menurut kenyataan Kementerian Dalam Negara, tahanan ISA dikenakan ke atas seseorang kerana melakukan aktiviti subversif, bukan disebabkan faktor politik.


Komen itu dikeluarkan dalam laman sesawang kementerian berkenaan sebagai menjawab tuntutan 16 bekas tahanan ISA awal bulan ini.

Mereka menuntut Singapura memansuhkan itu seperti dijanjikan kerajaan di Malaysia.


ISA dikritik banyak pihak di Malaysia dan Singapura kerana ia terdedah kepada penyalahgunaan kuasa apabila kerajaan boleh menggunakannya ke atas musuh politik.


Seorang daripada bekas tahanan ISA Singapura, Chia Thye Poh, menghabiskan masa 26 tahun di penjara dan dia dianggap seorang daripada tahanan politik paling lama di dunia, selain Nelson Mandela.

Aktif sebagai ahli parlimen pembangkang pada 1960-an, Chia dituduh sebagai komunis - dakwaan yang sentiasa dinafikannya. - AFP

Friday, September 23, 2011

hudud + nik

Hudud dan pemukiman BNBBC di Selangor

Kelolaan LUKMAN ISMAIL
lukman@utusan.com.my

CABARAN bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Pas melaksanakan segera hukum hudud terutama di Kelantan dengan alasan beliau sudah tidak menjadi pemimpin negara segera mendapat maklum balas para penulis blog.

Beberapa blog menganggap selama ini jelas Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat lebih takutkan Dr. Mahathir berbanding Allah dalam usaha mahu melaksanakan hukum hudud di Kelantan.

Penulis Spy Leman dalam MyKMU (www.mykmu.net) berkata, isu hudud sengaja dibangkitkan semula oleh Nik Abdul Aziz kerana menyedari pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi sedangkan isu itu sudah diputar-belit oleh Pas sejak lebih 20 tahun lalu.

Apa yang pasti, Nik Aziz sebenarnya lebih bimbang jika Kelantan jatuh ke tangan Barisan Nasional (BN) dan dirinya tidak lagi diangkat menjadi Menteri Besar jika beliau melaksanakan hudud di negeri itu dan bukannya disebabkan Dr. Mahathir.

"Nik Aziz juga sanggup mengenepikan keutamaan menunaikan janji yang diuar-uarkan di seluruh negara berkenaan hudud hanya kerana Dr. Mahathir. Berjanji tapi mungkir ini adalah salah satu ciri-ciri munafik. Macam mana nak jadi ulama kalau buat perkara-perkara yang membawa sifat munafik?" katanya.

Blog Belantan (belantan.blogspot.com) pula berkata, Nik Aziz sengaja memainkan lagu lama berkenaan hudud bagi mengelabui mata rakyat atas kepincangan kepimpinan mereka sekarang.

Katanya, dalam manifesto pilihan raya umum 1990, Pas telah berikrar untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan jika memerintah negeri itu tetapi hakikatnya sehingga kini mereka belum menunaikan janji-janji tersebut.

"Pas tak boleh pinda hukum hudud asal mengikut seleranya sendiri. Kerana tidak mampu, Nik Aziz mula menuduh orang lain, mula-mula beliau tuduh Sultan Kelantan tidak tandatangan sebagai tanda persetujuan, kemudiannya diugut Perdana Menteri pula.

"Akhirnya menuduh pula Islam Melayu, UMNO. Apa dah jadi dengan Tok Guru ini yang hanya mencari skapegoat (kambing hitam) supaya tuduhan diletak ke atas bahu orang lain bertujuan menyuci tangan yang penuh dengan najis," katanya.

Jeffry Damien (jeffrydamien09.blogspot.com) turut menganggap kenyataan Nik Aziz mengenai hudud semata-mata mahu meraih simpati rakyat setelah imej Pas semakin tercemar berikutan tingkah-laku para pemimpin mereka.

Katanya, bagi Pas hudud hanyalah sebahagian daripada senjata politik yang boleh digunakan untuk mengugut dan apabila keadaan terdesak serta tersepit mereka akan kembali menggunakan isu tersebut.

"Tentu kita perasan bila setiap kali Pas gunakan isu hudud, DAP langsung tak berbunyi. Malah mereka membiarkan Pas terus memainkan isu hudud sebab mereka tau Pas hanya nak menyelamatkan maruah parti setelah bersusah payah mempertahankan DAP mempermainkan akidah dan agama," katanya.

Sementara itu blog Gerakan Timur (gerakantimur.blogspot.com) pelik dengan kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Rani Othman yang menuduh UMNO dalam keadaan terdesak apabila mengadakan pemukiman ADUN-ADUN BN di Selangor yang berlangsung sehingga hari ini.

Katanya, Dr. Rani sepatutnya mencari isu lain yang lebih baik bukan sekadar mengeluarkan kenyataan yang rendah tahapnya.

"Pemukiman bukanlah sesuatu yang asing bagi pihak yang kalah. Pas, PKR pernah membuat program yang sama selepas kekalahan mereka. Ini politiklah... Rupanya DUN Meru yang juga kawasan Dr. Rani ini bakal menjadi majlis penutup program BNBBC dengan kehadiran TPM! Takkan sudah goyang kot!" katanya.

Blog Keris Putra (kerisputra.blogspot.com) berkata, Dr. Rani sudah tersedak apabila mengetahui BNBBC berkumpul di Selangor khususnya di kawasan DUN yang diwakilinya sendiri.

"Tetapi yang paling buat Rani kecewa dan takut ialah majlis penutup diadakan di kawasan beliau, kawasan yang kononnya UMNO tidak akan mampu rampas kembali," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka menutup program pemukiman itu di pekan Meru pada pukul 5 petang dan sebelum itu beliau akan bersolat Asar di Masjid Kampung Budiman bersama rakyat Meru.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, September 22, 2011

pas + hudud

Lagu lama Hudud ala-Pas

SUARA POLITIK
Taminsari

MUNGKIN sudah ketandusan idea dan terdesak untuk mendapat atau mengekalkan undi, maka Nik Aziz sudah tiada jalan se lain terpaksa memainkan lagu lama beliau berjudul "Hudud" bagi mengabui mata rakyat atas kepincangan kepimpinan Pas ketika ini.

Lebih-lebih lagi bagi menutup pekung yang semakin "busuk" akibat bala mulut celupar Timbalan Presidennya, Mat Sabu yang mempertahankan anggota Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai pejuang kemerdekaan!

Nik Aziz dalam kenyataan terbaru menyebut yang beliau berhasrat untuk terus melaksanakan hukum hudud di Kelantan biarpun ditentang oleh rakan sekutu dalam pakatan pembangkang. Adakah ini bermakna Pas hendak berbincang semula tentang hukum hudud di Kelantan walaupun sebenarnya ia sudah lama diluluskan mereka?

Sebelum itu, mungkin lebih baik jika kita buka semula cerita lama tentang 'lagu hudud' ini sebelum Nik Aziz "menyanyikan lagu lama" beliau bagi terus mendapatkan simpati rakyat Kelantan yang selama ini begitu taksub terhadap kepimpinan beliau.

Seperti mana yang kita tahu Nik Aziz menggelarkan dirinya sebagai ulama. Orang ramai pula memanggilnya Tok Guru. Pas mengakui beliau sebagai Tok Guru dan ulama. Sudah berdekad Tok Guru Nik Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan.

Sebagai Menteri Besar, beliau tidak dapat lari daripada bertindak secara politik dan mentadbir negeri ikut selera dan keupayaan sendiri.

Sebenarnya banyak rahsia pembohongan yang sengaja diputarbelitkan oleh Nik Aziz, baik dari segi tutur kata, tindak-tanduk, pandangan dan pendapat yang secara te rang-terangan tidak mencerminkan keperibadian sebagai "ulama dan Tok Guru" yang menjadi idola kepada perjuangan menegakkan sebuah pemerintah Islam di Malaysia.

Dalam manifesto Pilihan Raya Umum 1990, Pas berikrar akan melaksanakan Hukum Hudud di Kelantan jika memerintah negeri itu. (Manifesto Pilihan Raya Pas bertajuk Program Pas Negeri Kelantan 1990).

"Hendak melaksanakan hukum hudud di negeri ini hanya boleh dibuat jika mendapat perhatian dan kerjasama daripada semua pihak." (Utusan Malaysia, 11 Februari 1998).

Sehingga kini, walau apapun alasan, hakikatnya Pas belum lagi menunaikan janji untuk melaksanakan hukum hudud di Kelantan. Sudah lama rakyat Kelantan menunggu namun segala-galanya hanya tinggal janji sahaja.

Diberitakan Kerajaan Pas Kelantan ketika itu terpaksa membayar sebanyak RM250,000 untuk membuat draf, akan tetapi ia tidak boleh dilaksanakannya kerana belum memenuhi syarat minimum.

Kerajaan Pas Kelantan tidak mempunyai kemampuan dan tenaga pakar perundangan yang mencukupi. Hakim syarie yang ada sekarang pun tidak mampu menepati 15 syarat yang perlu sebelum boleh membicarakan kes-kes hudud ala-Pas, bukan hudud Allah.

Nik Aziz yang dianggap 'Tok Guru' sebenarnya tidak mempunyai ilmu untuk menghasilkan draf hukum hudud yang ingin dilaksanakan parti itu di Kelantan.

Ini adalah kerana Menteri Besar Kelantan itu bukan pakar dalam pelbagai bidang ilmu yang merangkumi undang-undang syariah, usuluddin, baitulmal dan zakat, fikah serta hadis.

Sebenarnya, Nik Aziz hanya pakar dalam bahasa Arab dan kerana faktor itu, Draf Perundangan Hukum Hudud Kerajaan Pas Kelantan 1990 tidak dirangka sendiri oleh ulama-ulama Pas sebaliknya terpaksa meminta bantuan ulama dari Asia Barat yang mana kredibiliti mereka kurang diyakini oleh kerajaan negara mereka sendiri.

Jika Nik Aziz mengatakan beliau seorang Tok Guru, kenapa beliau tidak merangka sendiri draf perundangan tersebut tetapi terpaksa meminta bantuan luar?

Pas tak boleh pinda hukum hudud asal mengikut seleranya sendiri. Kerana tidak mampu, Nik Aziz mula menuduh orang lain, mulamula beliau tuduh Sultan Kelantan tidak tandatangan sebagai tanda persetujuan, kemudiannya dituduh Perdana Menteri ketika itu pula. Akhirnya menuduh pula Islam Melayu, UMNO.

Apa dah jadi dengan Tok Guru ini yang hanya mencari "kambing hitam" supaya tuduhan diletakkan ke atas bahu orang lain bertujuan mencuci tangan yang penuh dengan najis?

Pendedahan oleh Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bahawa Sultan Kelantan telah menandatangani pindaan hukum hudud jelas menunjukkan bahawa Pas bukan sahaja berbohong malah apa yang tersirat sebenarnya ialah mereka hanya menjadikan hudud sebagai propaganda politik - agar Pas dilihat sebagai parti politik yang memperjuangkan Islam.

Selain itu, "hudud" juga dijadikan umpan oleh Pas! Umpan untuk pancing undi, umpan untuk mendapat kuasa lagi dan umpan supaya dengan kuasa itu, mereka boleh hidup mewah dan mengaut kekayaan negeri Kelantan.

"Sejarah hidup" Pas selama ini memang sering berdolak-dalik dalam apa jua perkara yang berkaitan dengan Islam.

Oleh sebab kononnya "baju" mereka adalah "baju Islam", maka hanya mereka sahaja yang layak untuk berkata tentang Islam dan apa sahaja yang keluar dari mulut pemimpin mereka semuanya adalah "fatwa" yang boleh dipercayai.

Sikap taksub kepada perjuangan yang walaupun songsang ini, membuatkan sebilangan penyokong Pas ditipu bulat-bulat tanpa kompromi! Jika bukan kerana pendedahan Ku Li, mungkin ramai yang mempercayai dakwaan pemimpin Pas bahawa kerana tidak adanya perkenan dari Sultan Kelantan menjadi antara sebab kenapa hudud masih belum terlaksana di Kelantan.

Apa lagi iktibar yang boleh didapati daripada pendedahan ini selain pembuktian bahawa Pas memang tidak bersedia dengan pelaksanaan hukum hudud! Ini semua ha nyalah omongan dan nawaitu tidak ikhlas pemimpin Pas untuk menunjukkan kehebatan tidak bertempat kepada rakyat setelah mereka mabuk kuasa!

Lebih menghairankan, Pas yang mendakwa mereka tidak pernah membazir telah menggunakan dana sejumlah lebih RM200,000 wang rakyat, diperuntukkan kepada sebuah syarikat guaman, sema ta-mata untuk membuat undang-undang yang masih belum terlaksana sehingga kini!

Dan lebih menghairankan lagi dalam Muktamar Pas baru-baru ini, sudah tidak ada cita-cita bagi Pas untuk penubuhan sebuah negara Islam yang diuar-uarkan sebelum ini. Yang ada hanyalah negara BERKEBAJIKAN ala-Pas yang mana telah di pelopori oleh kerajaan BN sejak lebih 50 tahun dahulu sehinggalah sekarang!

Adalah lebih baik jika Pas benar-benar mahu melaksanakan hukum hudud, maka pelaksanaan undang-undang hudud itu juga harus dikuatkuasakan di semua negeri yang ditadbir pembangkang iaitu Kedah, Selangor dan Pulau Pinang dan tidak terhad di Kelantan sahaja.

Wednesday, September 21, 2011

itulah namanya orang melayu wahai namewee

Bukan Nasi Lemak 2.0, soalnya Namewee...

Oleh Fauziah Arof

MELIHAT reaksi orang ramai mengenai filem sulung arahan Namewee, Nasi Lemak 2.0 yang dikatakan mereka sebagai sebuah filem ‘komedi sosial’ yang baik lagi menghiburkan, ia tidak sedikit pun menarik minat saya untuk menonton filem tersebut.

Jika diberi tiket percuma pun, saya tidak mahu menonton filem ini, walaupun dibarisi oleh nama-nama selebriti handal yang saya kagumi seperti Afdlin Shauki, Datuk David Arumugam dan Adibah Noor, apatah lagi melanggannya di Astro First apabila filem itu habis ditayangkan kelak.

Sebabnya, bukan kerana filem Nasi Lemak 2.0. Tetapi kerana si pengarah dan penulis skripnya yang banyak mengguris hati rakyat Malaysia sebelum ini.

Tentu kita belum dapat melupakan lagi, pemuda yang berasal dari Johor ini pernah dengan lagu Negarakuku, memperlekeh negara dan menghina wanita Islam bertudung dan azan subuh.

Selepas itu, dia atau nama sebenarnya Wee Meng Chee buat hal lagi dengan menghina TNB dan dalam lagu bertajuk Kawanku menghina Melayu dengan lirik ‘Melayu Balik Hutan Jadi Sakai’.

Dan ada lagi, dia membuat satu lagi klip video yang menghina Guru Besar dan Kementerian Pelajaran dengan perkataan-perkataan lucah.

Sekarang, Namewee melalui Nasi Lemak 2.0 pula menyifatkan, filem lakonannya itu adalah aspirasi 1Malaysia, yang melambangkan penyatuan dan perpaduan kaum di negara ini.

Alahai, dia pula bercakap pasal 1Malaysia. Adakah anak muda ini sedar, bukankah perpaduan di negara ini dipupuk dengan cara kita menghormati setiap kaum yang ada. Bukan dengan menghina dan memperlekehkan sesuatu kaum dan negaranya seperti yang disiarkan di YouTube.

Namun ‘perjalanan seni’ anak muda ini boleh disifatkan luar biasa, kerana setelah apa yang dilakukannya, peliknya dia masih diberi peluang berjumpa seorang menteri, dan tiada tindakan yang diambil terhadapnya.

Dan dia yang banyak ‘diberi muka’ ini juga dengan yakinnya mahu berjumpa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula untuk menyokongnya berkarya atas nama 1Malaysia.

Siapa dia Namewee ini, apa keistimewaan dan kekebalannya? Jawapannya, lelaki ini telah menyakiti hati ramai orang terutamanya orang Melayu dan umat Islam di negara ini.

Seperti yang ditegaskan, saya tiada masalah dengan filem Nasi Lemak 2.0. Saya menyokong filem tempatan dan tidak kisah mengeluarkan wang menonton filem Melayu di pawagam.

Apabila memperkatakan tentang filem berunsurkan 1Malaysia, bukan filem Nasi Lemak 2.0 sahaja mempunyai aspirasi ini. Saya juga telah menonton filem Estet di pawagam.

Estet arahan Mamat Khalid ini menggabungkan kehidupan semua kaum di negara ini yang saling hormat-menghormati dan membantu antara satu sama lain dalam sebuah kampung.

Dan saudara Mamat kita ini, tidak heboh pun dengan mengangkat filem tersebut sebagai filem 1Malaysia!
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Monday, September 19, 2011

7 nikmat rakyat malaysia

Tujuh nikmat sebagai rakyat Malaysia

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
YDP, Persatuan Jamalullail 'Malaysia'

RAKYAT Malaysia patut bersyukur kerana apabila direnungkan perbezaan warga negara kita dengan warga negara jiran amatlah ketara sekali dan di sini ada tujuh (7) perbezaan untuk dijadikan teladan dan sempadan.

1. Kebebasan bersuara apabila dibandingkan dengan negara-negara jiran kita yang lain sungguh jauh lebih baik di negara kita kerana kita boleh buat komen dan memberikan pendapat apa sahaja asalkan tidak menyentuh Perlembagaan Negara atau isu-isu yang boleh memporak-perandakan keharmonian dan ketenteraman awam kita.

2. Pelajar kita mudah mendapat biasiswa atau pun pinjaman untuk apa juga bidang pengajian termasuk bidang perubatan yang kosnya kadangkala mencecah setengah juta ringgit untuk biayai seseorang pelajar perubatan dan dibandingkan di negara jiran seperti Indonesia, pelajar hendaklah mengeluarkan perbelanjaan sendiri yang hanya segelintir yang mampu walaupun layak untuk masuk belajar di bidang itu dan kalau adapun biasiswa boleh dibilang dengan jari.

3. Di negara kita sesiapa juga boleh mengejar kekayaan dan kejayaan dalam menentukan kehidupan masing-masing tanpa sekatan tanpa mengira apa kaum dan apa juga keturunan jika mereka ini gigih, rajin dan berwawasan mudah benar untuk mencapai cita-cita masing-masing.

4. Negara kita mudah untuk menjamu selera dengan pelbagai makanan lazat-lazat ala Malaysia kerana setiap hari dan setiap malam gerai dan restoran mamak ada sahaja di mana-mana.

5. Rakyat negara ini juga merasakan bertuah kerana dijaga kebajikan mereka dengan dihulurkan bantuan berbagai cara termasuk sekolah percuma, rawatan hospital percuma dan mereka yang kurang bernasib baik akan dihulurkan bantuan dari segi kewangan untuk keluarga, anak-anak yatim, ibu tunggal dan warga emas serta diberikan pula kemudahan pinjaman bagi mereka yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan dan tidak ketara saya katakan bahawa hingga bantuan khairat kematian pun sudah ada dihulurkan dimana bantuan sedemikian terlalu kurang apabila dibandingkan dengan negara-negara jiran kita yang lain.

6. Boleh dikatakan setiap keluarga di negara ini mempunyai kemudahan keperluan seperti mempunyai kenderaan sendiri, rumah sendiri dan kemudahan asas isi rumah hingga mampu melanggan tv berbayar astro di setiap ceruk rantau di negara kita ini yang semuanya lengkap dengan kemudahan elektrik, air bersih dan jalan raya yang sempurna di setiap daerah dan perkampungan pedalaman.

7. Dengan masalah rasuah yang terkawal dan pentadbiran yang cekap dan amanah yang sudah tentunya mengutamakan kebajikan dan kemudahan rakyat dengan pemimpin-pemimpin yang sentiasa mendengar dan mengambil berat tentang permasalahan rakyat sudah tentu bumi bertuah negara Malaysia ini menjadi tumpuan untuk warga asing termasuk dari negara-negara jiran itu sendiri membanjiri datang kemari untuk mencari peluang mencari rezeki disini.

Kesimpulannya semua ini adalah kenyataan dan kita kena terima hakikat bahawa kita sebenarnya sangat bertuah dapat hidup aman dan damai serta boleh pula mengecapi kemakmuran bersama yang sepatutnya kita patut bersyukur kepada Yang Maha Esa kerana Malaysia ini bukan sahaja kaya dengan isi buminya yang melimpah ruah tetapi juga terhindar dari malapetaka seperti bencana alam dan kacau-bilau.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, September 17, 2011

isa untuk rakyat

Mansuh ISA untuk rakyat, bukan pembangkang

Oleh Fauziah Arof

DALAM suasana menghirup udara 48 tahun usia Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin mengumumkan beberapa perkara penting iaitu dua pemansuhan akta - Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Buang Negeri 1959 yang akan digantikan dengan dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan mengikut peredaran masa.

Sementara, tiga lagi akta akan dibuat kajian semula secara komprehensif yang membabitkan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Akta Kediaman Terhad 1933 dan Seksyen 27 dalam Akta Polis 1967 dengan mengambil kira peruntukan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan tentang kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Pengumuman di luar jangkaan ini membangkitkan pelbagai reaksi daripada banyak pihak yang menganggap angin pembaharuan yang ingin dilaksanakan ini sebagai drastik, berani dan tidak kurang juga menyifatkan ia sebagai radikal.

Apa pun reaksi yang diberikan pelbagai pihak, sudah tentu Perdana Menteri telah membuat kajian mengenai perkara ini sedalam-dalamnya dengan memberi keutamaan terhadap kepentingan, kehendak dan keselesaan rakyat selain mengambil kira relevannya undang-undang tersebut pada masa kini.

Semasa dalam ucapannya sulungnya ketika mula-mula mengambil alih jawatan Perdana Menteri, beliau berjanji akan mengkaji akta ISA secara komprehensif dan jelas sudah, beliau telah menunaikan janji tersebut

Najib juga sebelum ini pernah berkata, bahawa kerajaan tidak boleh lagi mengambil pendekatan ‘tahu segala-galanya’. Justeru, kerajaan memerlukan pandangan rakyat dalam membuat sesuatu keputusan.

Dalam ISA, misalnya kajian terperinci mengenai pemansuhannya telah dilakukan selama dua tahun dengan mengkaji semua aspek, ia bukanlah satu keputusan yang dibuat secara drastik atau tergesa-gesa dan tidak juga tunduk kepada tuntutan pembangkang.

Jadi tidak perlulah pembangkang mendabik dada dengan pemansuhan ini, dengan menyifatkannya sebagai satu kejayaan besar kepada mereka sehingga akhirnya kerajaan Barisan Nasional (BN) terpaksa akur dengan desakan mereka dan mendakwa itulah dia hasil daripada protes di jalanan.

Perlu ditegaskan, kerajaan hanya melakukannya untuk rakyat. Apa yang dirasakan baik dan betul untuk rakyat dan negara, maka perkara baik dan betul itulah yang akan dilaksanakannya.

Maka pemansuhan ISA ini perlu dilihat sebagai kejayaan rakyat keseluruhannya.

Bukan kejayaan pembangkang, yang tetap menganggap apa sahaja yang datang daripada kerajaan itu salah dan tidak betul, walaupun mereka dan keluarganya turut menikmati faedahnya.

Dan kepada rakyat atau mana-mana pihak yang gusar dengan langkah ini, tidak perlu panik dengan pemansuhan ISA dan Akta Buang Negeri ini.

Pemansuhan ini bukan bermakna kerajaan telah meletakkan aspek ketenteraman awam dan keselamatan negara di tahap yang paling rendah.

Ini kerana dua undang-undang baru yang lebih sesuai dan berkesan akan digubal untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan perbuatan jenayah bagi memelihara ketenteraman dan keselamatan awam di bawah Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan.

Kita belum tahu dan melihat, apa yang terkandung dalam undang-undang baru ini. Jadi tidak perlulah kita membuat spekulasi-spekulasi yang bukan-bukan mengenai kelonggaran kerajaan dalam aspek keselamatan negara ini.

Sudah tentu penambahbaikan akan dibuat supaya undang-undang mengenainya menjadi lebih baik, tegas dan berkesan daripada ISA dan pada masa sama mengambil kira dan memelihara hak asasi manusia.

Dan bagi pihak pembangkang, buatlah apa sahaja pun, semuanya pasti tidak betul. Jadi tidak hairanlah nanti, setelah kedua-dua undang-undang ini digubal, pembangkang akan tetap membuat bising dan tidak mustahil memuja pula ISA yang telah dimansuhkan.

Selain itu, bukti kerajaan tidak berkompromi dalam aspek keselamatan juga jelas dilihat apabila Perdana Menteri mengumumkan kerajaan akan mengkaji semula Seksyen 27 Akta Polis 1967 mengenai kebebasan berhimpun dengan prinsip menentang sekeras-kerasnya demonstrasi jalanan.

Kebenaran berhimpun akan diberikan selaras dengan kaedah-kaedah yang akan ditetapkan tetapi pada masa sama mengambil kira norma-norma antarabangsa.

Kita berharap dalam perkara ini, kerajaan bertindak lebih tegas terhadap penganjur dan peserta demonstrasi jalanan.

Pihak yang mencetuskan kekacauan dan menganggu urusan harian orang ramai ini, harus diberi pengajaran melalui peruntukan undang-undang yang lebih tegas, bukan dilepaskan begitu sahaja.

Kesimpulannya, dalam menyambut Hari Malaysia, kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif awal dalam transformasi politik.

Diharap inisiatif yang berpandangan jauh ini akan memberi manfaat kepada rakyat dalam jangka masa yang lama juga.

forum tolak fahaman mat sabu

Tolak fahaman Mat Sabu

Oleh NIZAM YATIMnizam.yatim@utusan.com.my

MARAH dan kecewa. Begitulah perasaan dikongsi para hadirin pada Forum Merdeka Kekejaman Komunis, Mat Indera dan Kemerdekaan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

Kira-kira 500 orang termasuk bekas tentera dan polis memenuhi dewan bagi menghadiri forum anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa). Ia bertujuan menunjukkan kebencian mereka terhadap pengganas komunis dan perasaan kecewa dengan kenyataan Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu.

Timbalan Presiden Pas itu dalam ceramah di Pulau Pinang baru-baru ini mengangkat Muhammad Indera (Mat Indera) yang mengetuai serangan pasukan Parti Komunis Malaya (PKM) ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor pada 23 Februari 1950 sebagai wira negara.

Walaupun hujan lebat, ia tidak mematahkan semangat hadirin mendengar penjelasan ilmiah daripada mereka yang terlibat secara langsung dengan gerakan menghapuskan komunis dan bagi meluahkan kemarahan mereka ketika sesi dialog.

Forum yang bermula pukul 9 malam dibarisi oleh empat ahli panel iaitu bekas Pengarah Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Zulkifli Ab. Rahman.

Turut serta bekas Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral (B) Datuk Jaafar Onn; pakar sejarah, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam serta Pengerusi Majlis Perundingan Melayu, Datuk Dr. Kamaruddin Kachar. Forum itu dipengerusikan oleh Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Zulkifli yang berkhidmat selama 37 tahun di dalam PDRM dan bertanggungjawab dalam risikan mengenai komunis menegaskan bahawa dakwaan Mat Sabu yang menyatakan Mat Indera ialah pejuang kemerdekaan adalah tidak berasas.

''Macam mana Mat Sabu berani kata Mat Indera ini bukan komunis, kenapa Mat Sabu pilih Mat Indera sebagai hero dalam peristiwa Bukit Kepong padahal dia tidak kenal siapa itu Mat Indera," katanya.

Penegasan itu memang tepat kerana ketika pengganas komunis membakar balai polis itu dan membunuh 25 anggota keselamatan dan kaum keluarga mereka, Mat Sabu baru berusia empat tahun.

Jelas Zulkifli, Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng pernah mengesahkan bahawa Mat Indera ialah panglima pemerintah komunis di Johor.

Kata beliau, perkara itu diceritakan oleh pemimpin komunis paling berpengaruh itu di hadapan para cendekiawan dalam sesi dialog di sebuah universiti di Canberra, Australia pada 22 dan 23 Februari 1999.

''Mat Indera pada masa itu dikenali sebagai panglima yang memerintah komunis di kawasan selatan dan utara Johor iaitu di Batu Pahat, Muar, Segamat, Tangkak dan seluruh Melaka,'' katanya.

Dalam pada itu, Jaafar yang juga anak pejuang kemerdekaan, Datuk Onn Jaafar berkata, banyak peristiwa menyayat hati berlaku ketika komunis cuba menguasai negara ini selepas Jepun menyerah kalah.

Katanya, ramai orang Melayu termasuk mereka yang berpengaruh dalam masyarakat seperti imam, penghulu dan pegawai daerah telah dibunuh dengan kejam oleh pengganas komunis ketika itu.

Katanya, mereka dibunuh dengan pelbagai cara antaranya ditikam dengan tombak, dikurung di dalam sangkar babi kemudian dibunuh, ditinggalkan di dalam hutan sehingga meninggal dunia atau digantung dengan kepala ke bawah.

''Paling saya tidak boleh lupakan ialah apabila seorang ibu dan anak-anaknya dibakar hidup-hidup dalam sebuah rumah kerana enggan menyokong perjuangan komunis. Kesemua mereka ini ialah orang Melayu.

''Adakah layak komunis yang kejam seperti ini diangkat sebagai pejuang? Mereka bunuh orang kita, kaum kita tanpa belas kasihan,'' katanya yang juga adik kepada bekas Perdana Menteri, Tun Hussein Onn.

Sambil menyifatkan pemimpin Melayu yang mengagungkan komunis sebagai pengkhianat, Jaafar, 79, berkata, beliau ma sih boleh menerima sekiranya rakyat Malaysia tidak mahu mengiktiraf jasa bapanya tetapi tidak sesekali memaafkan golongan yang mendewakan pengganas komunis.

Mengulas isu sama, Ramlah yang menyifatkan Mat Sabu sebagai buta sejarah berkata, apa yang diungkap pemimpin itu adalah satu penghinaan kepada anggota keselamatan yang mempertahankan negara.

''Mereka tidak rasa menjadi alat kepada British tetapi berjuang menentang komunis yang telah melakukan kekejaman," katanya yang juga Dekan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jelas beliau, tragedi Bukit Kepong adalah peristiwa yang menyedihkan dan ia merupakan antara enam balai polis yang diserang komunis.

''PKM pimpinan Mat Indera telah menyerang balai polis itu setelah membuat pemantauan selama beberapa hari dan mereka melakukan serangan mengejut," katanya.

Tambah beliau, pengganas komunis sama seperti pemimpin politik yang pandai bermain strategi untuk menarik orang Melayu menyertai gerakan menentang British ketika itu.

''Akhirnya ramai orang Melayu masuk ke hutan, ramai yang terpedaya sebab itu sertai komunis untuk menentang British. Kita mesti ingat ramai di kalangan mereka berpendidikan agama," ujarnya.

Sementara itu, Kamaruddin yang juga bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) berkata, sekiranya berlaku pertumpahan darah ekoran kenyataan kontroversi Mat Sabu, pemimpin kanan Pas dan parti itu perlu bertanggungjawab.

''Saya minta semua menentang dakwaan Mat Sabu ini. Komunis bukan saja menyerang, tetapi mereka seksa dan tebuk perut kerana mahu kita iktiraf mereka," katanya.

Pada akhir forum, Ibrahim yang membuat rumusan menyeru orang Melayu bersatu dalam memastikan Mat Sabu ditolak sebagai wakil rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Wednesday, September 14, 2011

dah mansuh mau kembali

PPSMI: Jangan sampai 'rumah siap pahat berbunyi'

AHMAD MASLI
Tanjong Karang, Selangor.

SAYA tertarik untuk mengetahui dengan lebih lanjut hasil kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) berhubung isu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang bakal dimansuhkan sepenuhnya tahun hadapan.

Menurut Presidennya, Azwanddin Hamzah, berpandukan sejumlah responden mencakupi 15,000 ibu bapa di seluruh negara, beliau menyimpulkan bahawa 55 peratus responden mahukan kaedah PPSMI diteruskan dalam sistem pendidikan nasional.

Menurut beliau, kajian JMM yang bermula sejak April lalu berjaya mengesan kehendak respondan untuk melihat anak-anak cemerlang dalam subjek Sains dan Matematik jika diajar dalam bahasa Inggeris.

Begitu bersemangat JMM memperjuangkan isu PPSMI yang dilihat mampu menjana kecemerlangan anak bangsa. Di sebalik keghairahan mendepani isu yang telah sekian lama berlegar dalam dunia pendidikan nasional, ada beberapa perkara yang masih kurang jelas sewaktu kita berusaha menganalisis sekali gus mentafsir hasil kajian ini.

Pertama, menyatakan seluruh negara telah dijelajahi untuk mencari responden cukup meruntun saya melihat bukti kukuhnya. Apakah penggunaan istilah seluruh negara bermaksud JMM telah merentasi Laut China Selatan menyusuri Sabah dan Sarawak?

Berapa lurah, bukit dan sungai yang berjaya diredah untuk bertemu ibu bapa yang menghuni daerah pedalaman di negeri tersebut untuk mendapatkan pandangan dan isi hati mereka? Apakah jumlah 1,5000 responden satu angka yang realistik mewakili jutaan golongan ibu bapa di seluruh negara?

Persoalannya, JMM menyebut bahawa 84 peratus daripada 70 peratus responden yang dijejaki berada di luar bandar menyokong penuh PPSMI diteruskan. Dalam erti kata lain, ibu bapa di pedalaman amat faham dan prihatin dalam isu PPSMI yang bermula sejak 2003.

Walaupun sangsi, kita berharap kajian JMM ini telah sampai ke ceruk rantau pedalaman Sabah dan Sarawak untuk melihat sendiri unsur-unsur demografik yang dikatakan tidak sama sekali mempengaruhi aspirasi dan iltizam ibu bapa.

Secara jujurnya, isu pemansuhan PPSMI telah muktamad. Beberapa pendekatan drastik telah diambil oleh pihak kementerian, yang diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin. Terdapat beberapa program dan pelan pendidikan yang sedang dikaji dan bakal dilaksanakan. Maka itu, kita amat berharap agar JMM tidak seperti 'rumah siap, pahat baru berbunyi'.

Apakah JMM tidak sedar, sebelum 2003 pun, telah ratusan ribu pelajar Malaysia belajar di luar negara? Apakah hanya dengan PPSMI saja anak-anak Malaysia akan menjadi lebih mudah sampai ke destinasi 'menara gading' di luar negara?

Adalah juga menjadi persoalan yang amat menghantui fikiran apabila JMM membuat kesimpulan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik memberi impak yang besar dalam suasana pengajaran dan pembelajaran serta mampu membawa pelajar ke dunia ilmu yang lebih jauh.

Sebenarnya JMM terlepas pandang untuk melihat kemajuan negara luar secara global. Negara China, Korea, Perancis, Jepun sebagai antara contoh, tidak pula menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi pendidikan nasional, namun mereka tetap menjadi antara negara maju dan mampu menguasai ekonomi di persada antarabangsa. Jati diri bangsa mereka tetap utuh dan tulen. Mereka membina kemajuan dan kekuatan bangsa dengan wacana dan budaya mereka sendiri.

JMM perlu melihat isu PPSMI ini secara rasional, telus, menyeluruh dan tidak berkepentingan semata-mata. Pendekatan berbaur tekanan secara teknikal seperti kajian yang dijalankan, di samping mewujudkan kekeliruan pentafsiran di kalangan ibu bapa, bukanlah jalan penyelesaian ke arah mencari hala tuju kecemerlangan bangsa dan negara. Mudah-mudahan bangsa Malaysia mampu dikenali dan dihormati kerana identitinya tersendiri dan bermartabat.

Berilah peluang kepada Kementerian Pelajaran menyusun program dan merombak semula sistem pendidikan nasional agar lebih sesuai, mempunyai natijah jangka panjang dan diterima oleh semua lapisan masyarakat. Polimek yang berpanjangan, sedang keputusan kerajaan telah diketahui, hanya akan merencatkan lagi usaha kerajaan yang telah berlangsung sekian lama.

Tuesday, September 13, 2011

ms,dap,pas

Mat Sabu, Bukit Kepong dan DAP

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my

SEPERTI rakyat Malaysia lain yang tidak buta sejarah negaranya, Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim walaupun berada dalam parti pembangkang, mempunyai sebab yang sama untuk merasa marah dan kesal dengan kenyataan pemimpin Pas, Mohamad Sabu mengenai tragedi serangan terhadap sekumpulan anggota polis di Balai Polis, Bukit Kepong, Johor.

Tidak seperti Mohamad Sabu atau Mat Sabu, Tunku Abdul Aziz jelas menegaskan, bahawa pejuang-pejuang kemerdekaan yang dicatat dalam sejarah negara sebagai wira negara, walau apa jua pegangan politiknya.

Ternyata dalam memperkatakan tentang lipatan sejarah negara, sekutu Pas ini, tidak bersekongkol, berkompromi dan menyokong membuta-tuli apa sahaja yang dikatakan oleh Mat Sabu.

Dalam surat beliau kepada akhbar New Straits Times (NST) baru-baru ini, Tunku Abdul Aziz menyifatkan Timbalan Presiden Pas itu, sebagai 'pelawak politik' yang memang 'mahir' membuat orang ketawa dalam ucapan-ucapannya, tetapi cetek dengan isi.

Bagaimanapun tidak semua lawak Mat Sabu menghiburkan, dan boleh diterima akal walaupun kepada budak-budak sekolah.

Pada saya, kali ini beliau tertembak dengan lawaknya sendiri, apabila mempercayai bahawa 180 hingga 200 penyerang Balai Polis Bukit Kepong pada 23 Februari, 1950 termasuk lelaki Melayu Muhammad Indera yang menyerang dan membunuh anggota polis dan keluarga mereka itu sebagai hero dan pejuang kemerdekaan yang sebenar.

Adalah amat pelik apabila ada pemimpin seperti Mat Sabu boleh menilai dan mengangkat penyerang yang ramai jumlahnya berbanding anggota polis itu, menembak mati anggota keselamatan terbabit termasuk keluarga mereka dan menghumbankan mayat dalam bangunan yang terbakar sebagai hero dan wira sebenar negara? Bukankah tindakan seperti itu hanya dilakukan oleh seorang pengganas?

Tunku Abdul Aziz berkata, Mat Sabu telah memutarbelitkan dan mengusutkan fakta mengenai tragedi itu dengan cara yang tidak bijak, tidak berperasaan dan tidak sensitif dengan mendakwa pengganas-pengganas yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah wira-wira negara yang sebenar.

Menurut beliau, walaupun Mat Sabu tidak menyatakan bahawa penyerang tersebut adalah komunis, tetapi hakikat dan faktanya, penyerang termasuk Muhammad Indera itu adalah komunis.

''Saya mengakui haknya dalam pendapat beliau, tetapi apabila Mat Sabu berada dalam hierarki Pas dan juga seorang pemimpin dalam sebuah gabungan parti pakatan rakyat yang tidak sabar menunggu untuk memerintah negara, maka beliau tidak boleh bercakap seperti seorang pelawak. Dia tidak lagi menghiburkan," tegas Tunku Abdul Aziz yang juga datangnya daripada keluarga polis itu.

Tunku Abdul Aziz turut mempersoalkan sama ada Mohamad mempunyai keberanian moral dan integriti untuk memuliakan wira kemerdekaan yang sebenar.

"Saya tertanya-tanya sama ada Mohamad mempunyai keberanian moral dan integriti untuk berpaling arah di atas hakikat ini, tahap kebinatangan dan kebaculan pihak yang dia sedang cuba muliakan sebagai wira sebenar Merdeka," kata beliau.

Pun begitu, tidaklah menghairankan kenyataan yang dibuat oleh Tunku Abdul Aziz ini tidak memberikan kesan kepada Mat Sabu.

Sedangkan desakan Karpal Singh sebelum ini yang mahu beliau menarik semula kenyataan kontroversinya itu pun tidak diendahkan langsung. Sebaliknya, Mat Sabu hanya menyifatkan reaksi pemimpin DAP itu adalah peribadi mereka.

DAP tentu sedar, kenyataan Mat Sabu itu pastinya merugikan Pas, tetapi itu bukan merisaukan mereka, yang paling membimbangkan, ia akan memberi kesan kepada pakatan pembangkang sendiri kerana sememangnya sejarah merekodkan betapa ramainya anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara daripada pengganas komunis. Yang ini bukan satu pembohongan.

Karpal juga sebelum ini menegaskan, rentetan peristiwa Bukit Kepong itu tidak boleh dipertikaikan dan mesti diterima kerana dokumen sejarah telah menyatakan bahawa anggota polis dan keluarga mereka berjuang menentang gerila komunis.

Sementara itu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) setakat ini lebih selesa mengambil pendekatan mendiamkan diri, mungkin bersetuju atau mungkin juga tidak kerana tidak mahu terbabit dalam kedangkalan Mat Sabu.

Atau sekurang-kurangnya kontroversi yang dicetuskan oleh rakan sekapalnya itu, dapat mengalihkan perhatian umum terhadap kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jangka masa yang agak lama juga.

Seperti biasa segala kenyataan merapu serta meraban Mat Sabu, sentiasa disokong oleh pemimpin Pas lain. Pendirian para pemimpin Pas mengenai perkara ini, tidak akan memberi kesan kepada penyokong fanatik parti itu sungguhpun Pas telah menggugurkan perjuangan menjadikan Malaysia sebagai negara Islam serta melupakan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Seperti biasa juga, memperlekehkan polis bukan satu tindakan luar biasa Pas kerana pemimpin-pemimpin mereka sudah terbiasa dengannya.

Dan kenyataan kontroversi mengenai Bukit Kepong ini memasuki fasa paling buruk parti itu dalam memperlekehkan pasukan keselamatan tersebut dengan membawa niat bersama menafsir semula sejarah negara melalui kepercayaan mereka.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, September 11, 2011

bukit kepong





Sarjan Jamil, pahlawan Melayu sejati

Datuk Seri J.J Raj

MINGGUAN: Apakah kaitan Datuk Seri dengan peristiwa Bukit Kepong?

J.J RAJ: Sebelum saya pergi lebih jauh saya mahu berikan fakta asas berhubung peristiwa ini. Peristiwa ini berlaku pada 23 Februari 1950 dan sehari sebelum itu iaitu pada 22 Februari masyarakat Cina menyambut Tahun Baru Cina. Pada masa itu saya merupakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Pagoh. Sebagai Ketua Polis Daerah saya diberi tanggungjawab menjaga 20 balai polis dan 20 pondok polis dan Balai Polis Bukit Kepong adalah salah satu daripadanya.

Difahamkan sehari sebelum peristiwa menyayat hati itu berlaku, Datuk Seri dilapor telah melawat Balai Polis Bukit Kepong. Boleh Datuk Seri ceritakan?

J.J RAJ: Ya, pada 22 Februari (1950) saya telah melawat Balai Polis Bukit Kepong bersama 10 anggota. Kami bertolak daripada Balai Polis Daerah Pagoh menuju Balai Polis Lenga dengan cara menaiki kenderaan. Masa yang kami ambil antara satu hingga dua jam. Pernah terjadi dalam pertengahan jalan ketika kami ke Lenga, berlaku serang hendap daripada pihak komunis. Sebab itu kita sentiasa berwaspada. Apabila sampai di Balai Polis Bukit Kepong saya menemui Allahyarham Sarjan Jamil Mohd. Shah dan anggota-anggotanya serta tidak ketinggalan Tok Penghulu kawasan tersebut. Tok Penghulu Bukit Kepong pada masa itu bernama Penghulu Ali. Kami kemudian makan tengah hari bersama dan kemudian saya melakukan rondaan di Pekan Bukit Kepong bersama Sarjan Jamil, Penghulu Ali dan beberapa orang mata-mata dengan menggunakan basikal. Pekan Bukit Kepong tidak besar. Di sini terdapat kita-kira 30 buah kedai yang para peniaganya terdiri daripada orang Cina. Dari segi komposisi penduduk pula saya anggarkan penduduk Melayu lebih kurang 1,300 dan mereka tinggal di kampung-kampung.

Seterusnya apa yang berlaku?

J.J RAJ: Kira-kira pukul 7 malam saya tamatkan lawatan saya di Bukit Kepong dan bersedia untuk pulang semua ke Pagoh. Ketika berada di Jeti Bukit Kepong untuk pulang saya sempat meninggalkan pesan kepada Sarjan Jamil. Saya kata kepada Sarjan Jamil 'Tok Jamil jaga diri baik-baik'. Pada masa itu Tok Penghulu, Sarjan Jamil dan orang kampung turut mengiringi kepulangan saya.

Adakah itu kata-kata terakhir Datuk Seri kepada Sarjan Jamil sebelum berlaku peristiwa Bukit Kepong pada pagi esoknya?

J.J RAJ: Saya anggap begitulah. Ia umpama pesanan akhir saya kepada Sarjan Jamil dan semua anggota polis di Bukit Kepong sebelum berlakunya peristiwa serangan komunis terhadap Balai Polis Bukit Kepong pada keesokannya. Saya masih ingat jawapan Sarjan Jamil: "Jangan bimbang tuan OCPD, kita akan jaga, biar putih tulang jangan putih mata''. Ketika ayat ini diungkapkan saya kurang faham dan saya mula faham selepas peristiwa ini berlaku. Sebenarnya semasa kita meronda pada petang 22 Februari terdapat 180 pengganas komunis telah mula mengepong di belakang balai polis. Kita tidak nampak kerana kawasan tersebut merupakan kawasan hutan.

Peristiwa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

Apa yang berlaku pada pagi 23 Februari 1950 di Bukit Kepong?

J.J RAJ: Tepat pukul pukul 4.30 pagi (23 Februari), pengganas komunis telah meniup trompet buat kali pertama dan mereka telah melepaskan tembakan ke arah Balai Polis Bukit Kepong. Sebaik sahaja menyedari balai telah diserang, Sarjan Jamil dan semua anggota yang kesemuanya berjumlah 20 orang mengambil tempat masing-masing di kubu di kawasan balai untuk berbalas tembakan. Tembak menembak berlaku sehingga pukul 6.30 pagi. 180 orang komunis yang melakukan serangan ini dilengkapi dengan senjata-senjata automatik berbanding 20 orang kita cuma dilengkapi dua pucuk senjata automatik dan jika hendak dibandingkan kekuatan anggota, kekuatan komunis adalah tujuh kali ganda lebih daripada kekuatan polis. Sungguhpun begitu pihak komunis masih gagal memasuki balai walaupun telah melakukan serangan selama dua jam.

Kira-kira pukul 6.30 pagi, pihak komunis telah meniup trompet untuk kali kedua dan sejurus selepas itu tembakan dihentikan serta merta. Kemudian salah seorang anggota komunis yang bernama Mat Indera dengan menggunakan pembesar suara telah meminta polis menyerah diri sekiranya mahu selamat. Mat Indera berkata demikian sebanyak tiga hingga empat kali.

Sarjan Jamil menjawab yang pihak polis tidak sesekali menyerah diri. Dia berkata, biar putih tulang tetapi jangan putih mata. Ketika itu ramai di kalangan anggota telah meninggal dunia dan ada juga yang cedera parah. Sebaik sahaja Sarjan Jamil berkata demikian, pihak komunis meniup trompet buat kali ketiga dan selepas itu berlaku serangan bertali arus daripada kumpulan pengganas itu. Kali ini serangan bukan setakat di belakang balai malah ia meliputi sekeliling balai. Walaupun begitu komunis tetap gagal memasuki kawasan bala sehinggalah mereka melakukan serangan dengan molotov cocktail hingga menyebabkan balai terbakar. Ketika itu barulah Sarjan Jamil dan anggota-anggota yang lain lari ke kubu bersebelahan untuk menyerang balik komunis. Mereka tidak menyerah diri. Mereka terus melakukan serangan terhadap komunis. Namun begitu ada anggota yang terkorban semasa melarikan diri ke kubu lain akibat tembakan pihak komunis. Ketika itu juga komunis berjaya masuk ke kawasan balai dan membunuh saki baki anggota polis kita termasuk Sarjan Jamil. Berdasarkan rekod kita seramai 27 orang terkorban dalam peristiwa itu. 14 anggota polis, lima anggota polis bantuan, empat isteri polis dan empat anak-anak polis. Empat lagi anggota polis mengalami cedera parah.

Pukul berapa Datuk Seri dapat tahu peristiwa serangan itu?

J.J RAJ: Saya terima laporan kejadian ini kira-kira pukul 6 pagi daripada Balai Polis Lenga. Laporan ini diterima hasil daripada maklumat orang Kampung Durian Chondong. Kampung ini terletak antara Lenga dan Bukit Kepong. Dahulu kami adalah sebuah keluarga besar. Kami amat mengenali penghulu-penghulu di kampung-kampung berdekatan. Saya diberitahu, Penghulu Kampung Durian Chondong terkeliru sama ada bunyi tembakan yang didengar itu adakah bunyi tembakan atau mercun. Akhirnya penghulu kampung tersebut mengambil keputusan menghantar dua orang anak buah menaiki sampan membuat laporan ke Balai Polis Lenga mengenai bunyi tembakan itu. Dari Lenga, laporan terus sampai ke pengetahuan saya di Pagoh.
Selepas menerima laporan saya serta 10 anggota lain bergegas ke Balai Polis Bukit Kepong dan perjalanan memakan masa hampir tiga jam. Sesampai di sana saya lihat balai polis sudah terbakar dan beberapa mayat anggota polis yang terkorban juga turut hangus. Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Onn Jaafar turut datang melawat. Saya tabik hormat kepada Datuk Onn dan Datuk Onn terus mengarahkan saya menguruskan anak-anak buah saya terutama yang mengalami kecederaan. Empat anggota polis yang tercedera telah dihantar ke hospital dengan segera dengan menaiki bot. Hasil tinjuan saya juga mendapati bot polis milik Balai Polis
Datuk Seri J.J Raj (empat dari kiri) ketika menyandang jawatan Ketua Polis Daerah Pagoh bersama sebahagian anggota Balai Polis Bukit Kepong .

Bukit Kepong juga terbakar.

Bagaimanakah penilaian Datuk Seri terhadap Sarjan Jamil dan semua anggota yang terkorban mempertahankan Balai Polis Bukit Kepong.

J.J RAJ: Secara peribadi saya menyifatkan Sarjan Jamil dan semua anggota yang terkorban merupakan wira sebenar yang sepatutnya diangkat dan dihargai. Mereka bermatian-matian mempertahankan kawasan mereka daripada diceroboh daripada komunis sehingga titisan darah terakhir. Melalui pengalaman saya ada dua perkara semangat orang Melayu sampai ke kemuncak. Pertama jika isterinya diganggu dan kedua jika agamanya digugat, dan inilah yang berlaku. Sebab itu mereka begitu bersemangat mempertahankan Bukit Kepong. Mereka tidak rela Balai Polis Bukit Kepong ditawan oleh pihak komunis. Meskipun jumlah mereka sedikit mereka langsung tidak gentar melawan pengganas komunis. Mereka sebenarnya ada peluang untuk menyerah diri atau melarikan diri dan ia boleh berlaku dalam tiga keadaan. Pertama, polis marin yang menjaga bot di sungai bila-bila masa sahaja boleh cabut lari tetapi mereka tidak berbuat begitu. Malah mereka menjadikan bot sebagai kubu untuk menyerang komunis. Akhirnya mereka terkorban dan bot terbakar. Kedua, apabila komunis memulakan serangan, Sarjan Jamil boleh menyerah diri tetapi beliau dan anggota-anggota yang lain melawan dengan begitu bersemangat. Orang Melayu ini lain kalau semangat sudah naik, tiada siapa yang boleh halang.

Keadaan ketiga berlaku kira-kira 6.30 pagi. Pada masa itu Mat Indera telah meminta polis serah diri tetapi Sarjan Jamil tetap tidak mahu menyerah. Pada masa itu mayat berada di sebelah kanan dan kiri Sarjan Jamil. Di berek kelamin anak dan isteri menangis ketakutan, Kalau manusia biasa tentu dia sudah serah diri tetapi semangat Sarjan Jamil begitu kental. Dia begitu berani dan istimewa. Tanpa hiraukan apa-apa, Sarjan Jamil enggan menyerah kalah. Sarjan Jamil dan anggota yang terkorban adalah wira sebenar. Saya pernah menghantar sepucuk surat kepada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005 supaya kerajaan memberi pengiktirafan negara kepada kesemua mereka yang terkorban di dalam peristiwa Bukit Kepong.

Sejauh mana pengetahuan Datuk Seri mengenai penglibatan Muhammad Indera sebagai salah seorang pemimpin di dalam kumpulan ini?

J.J RAJ: Berdasarkan rekod kita, selepas tiupan trompet kali kedua Mat Indera telah keluar dan meminta polis menyerah diri dengan menggunakan pembesar suara. Orang kata Mat Indera wira, itu saya tidak tahu tetapi setahu saya dia merupakan salah seorang daripada 180 pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong. Mat Indera beri arahan kepada polis supaya serah diri. Nampaknya Mat Indera ada kuasa seolah-olah seperti pemimpin. Terpulang kepada rakyat untuk membuat pertimbangan. Saya hanya mengemukakan fakta.

Apa perasaan Datuk Seri sebaik sahaja tiba di tempat kejadian?

J.J RAJ: Ketika saya tiba, balai masih terbakar dan perkara pertama yang saya lakukan ialah menghantar segera empat anggota yang cedera parah ke hospital. Dalam masa sama, 10 anggota yang mengiringi saya meminta saya masuk ke hutan mencari komunis yang telah membunuh rakan-rakan mereka. Saya kata jangan dan katakan kepada mereka selesaikan dahulu orang kita. Pada masa ini disiplin paling mustahak. Mereka mendengar arahan saya dan lakukan apa yang saya minta. Kalau hendak ikutkan hati, saya percaya mereka boleh menembak kesemua peniaga Cina yang berada di situ untuk balas dendam. Namun itu tidak berlaku kerana mereka mempunyai disiplin yang cukup tinggi.

Bagaimana keadaan mayat Sarjan Jamil dan para anggota yang terkorban?

J.J RAJ: Pada awalnya saya sukar mengecam mereka kerana kebanyakan mayat terbakar hangus. Orang komunis memang jahat. Mereka bakar mayat-mayat anggota. Mana-mana yang tercedera dicampakkan ke dalam api bangunan balai yang sedang terbakar. Begitu juga mayat isteri dan anak anggota yang mati ditembak juga turut terbakar.

BUKU nukilan Datuk Seri J.J Raj yang diterbitkan Pelanduk Publications pada 1995.

Berapa usia Datuk Seri ketika itu?

J.J RAJ: Saya berusia sekitar 27 tahun manakala Sarjan Jamil pula baru berusia sekitar 28 tahun. Namun saya harus nyatakan bagaimana keberanian dan ketabahan beliau dan anggota lain dalam perjuangan tersebut. Pada saya ketika itu orang Melayu mementingkan dua perkara pertamanya mereka akan mempertahankan agama dan kedua adalah keluarga. Ini adalah tanggungjawab yang dipertahankan orang Melayu dan ini yang diperjuangkan oleh Sarjan Jamil dan anggotanya yang terkubur. Saya mengenali Sarjan Jamil yang sangat bertanggungjawab orangnya dan beliau sebagai ketua balai sangat komited dalam menjaga keselamatan penduduk kampung di Bukit Kepong. Semua ini adalah di bawah tanggungjawab beliau dan Tok Penghulu Ali juga sangat bertanggungjawab terhadap penduduk kampungnya. Setiap malam beliau akan menghantar empat atau lima orang polis bantuan ke balai polis untuk membantu anggota di sana.

Bagaimana Datuk Seri mengenal pasti bahawa Mat Indera yang memberi arahan serangan di Balai Polis Bukit Kepong?

J.J RAJ: Saya mendapat laporan yang dikumpulkan dan sumber utama yang memberikan kami maklumat adalah dua tiga orang anggota komunis yang berjaya ditahan tidak lama selepas kejadian. Salah seorang daripada mereka dikenali sebagai Ching yang menceritakan apa sebenarnya berlaku.

Adakah ramai di kalangan komunis yang terbunuh dalam kejadian itu?

J.J RAJ: Berdasarkan apa yang saya dengar, ramai di antara mereka yang mati namun tidak dapat dinyatakan jumlah mereka kerana pihak komunis membawa bersama mayat mereka yang terbunuh ke dalam hutan.

Kenapa Balai Polis Bukit Kepong yang dipilih sebagai sasaran komunis dan bukan balai polis lain?

J.J RAJ: Permulaannya pada 16 Jun 1948, pihak komunis telah menembak seorang pengurus estet di Sungai Siput. Kemudian mereka mula mengganas dengan menembak beberapa balai polis di seluruh negara tidak mengira siang atau malam. Ini termasuklah sebuah balai polis di Gua Musang yang mana 300 orang komunis menyerang balai polis tersebut serta bertindak kurang ajar menaikkan bendera komunis di sana. Tujuan mereka kurang ajar dengan menyerang dan menaikkan bendera di merata balai polis yang diserang, kemudian mengisytihar kawasan tersebut sebagai white area (milik mereka).

Namun lama kelamaan sekitar awal tahun 1950-an pasukan keselamatan dan polis semakin kuat, mengakibatkan komunis semakin lemah dan kebanyakan mereka telah ditembak mati. Namun pada 22 Januari 1950, beberapa bulan sebelum peristiwa Bukit Kepong, sekitar 22 orang anggota komunis telah ditembak mati di Labis, mengakibatkan mereka semakin lemah.

Maka untuk menaikkan semangat anggota komunis ini pihak atasan mereka telah memberi arahan supaya mencari sasaran yang lemah untuk di serang. Setelah dikenal pasti, mereka mendapati Balai Polis Bukit Kepong merupakan sasaran yang lemah kerana terletak jauh di pedalaman serta masalah kesukaran berkomunikasi. Yang ada hanya satu land line. Ini menyukarkan bantuan untuk sampai di sana.

Apakah peristiwa Bukit Kepong ini meninggalkan kesan yang mendalam terhadap Datuk Seri?

J.J RAJ: Ia memang meninggalkan kesan yang mendalam. Saya pernah meminta supaya dibina sebuah tugu atau peringatan terhadap mereka yang terkorban dalam peperangan tersebut. Kalau boleh ia perlu di bina di Kuala Lumpur dan bukan di Bukit kepong supaya orang ramai boleh melihat bagaimana tingginya semangat dan pengorbanan mereka ini dalam mempertahankan negara. Bagi saya semangat mereka ini memang tidak ada tolak bandingnya dan saya benar-benar kagum dengan semangat mereka yang kekal berjuang tanpa mengenal erti menyerah kalah. Malah setiap kali saya berkursus di luar negara seperti di kolej polis dan kolej tentera di London dan sebagainya, saya akan menyatakan bagaimana kekentalan semangat mereka yang terkorban di Bukit Kepong. Ada pula yang bertanya kepada saya tentang kisah ini.

Antara mereka adalah seorang kenamaan yang berpangkat tinggi iaitu Lord Louis Mountbatten dan saya beritahu kepada beliau kisah berkenaan. Saya dengan bangga berkata kepada beliau, bahawa perkara yang boleh kita pelajari mengenai Sarjan Jamil dan anggotanya adalah mereka yang terlibat dalam peristiwa Bukit Kepong saya anggap sebagai pahlawan Melayu sejati, berjuang sama hebatnya seperti askar Gurkha yang berkhidmat kepada tentera British atau mungkin mereka lebih baik. Ini kerana askar Gurkha ini sangat dikenali dengan keberanian mereka dalam berperang dan ini menggerunkan pihak lawan. Mereka ini bila berperang sama sekali tidak akan menyerah diri. Kalau dilihat kepada budak-budak Melayu wira Bukit Kepong, jumlah mereka adalah sangat sedikit sekitar 20 orang. Namun semangat yang ditunjukkan mereka sangat tinggi. Pihak British yang saya jumpa menerima kenyataan ini kerana saya terangkan bahawa wira-wira ini mempunyai tiga peluang untuk menyerah kalah kepada komunis namun mereka tidak melakukannya malah tetap melawan sehingga ke akhir hayat.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, September 9, 2011

permit mudah bagi warga asing

Mudahnya warga asing dapat permit niaga

WARGA PRIHATIN
Puchong, Selangor

PROGRAM 6P iaitu Pendaftaran, Pemutihan, Pengampunan, Pemantauan, Penguatkuasaan dan Pengusiran merupakan langkah pengampunan berskala besar yang digerakkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengurangkan pendatang tanpa izin di negara ini yang dianggarkan kira-kira 2.3 juta orang.

Angka ini mungkin hanya melibatkan anggaran 30 peratus daripada jumlah sebenar pendatang asing di negara ini. Dahulu mereka datang sebagai pekerja ladang dan buruh kasar. Tetapi sekarang, warga asing ini datang ke Malaysia untuk meraih kekayaan berganda dengan membuka perniagaan. Malaysia menjadi lubuk kekayaan bagi warga asing ini.

Kebanyakan premis perniagaan di Kuala Lumpur seperti di Jalan Masjid India, Chow Kit, Bukit Bintang dan Nilai 3 di Negeri Sembilan dimonopoli peniaga warga asing, sama ada peniaga atau pekerja kedai.

Rata-rata kedai di tempat tersebut dimonopoli warga asing dari Indonesia, Pakistan, India dan China. Mereka berniaga karpet, tudung, kain, keperluan am dan sebagainya.

Begitu juga lot-lot di pasar tani, pasar borong dan pasar malam. Mereka menguasai perniagaan borong dan runcit negara dan hidup senang-lenang dengan kekayaan yang ada. Dari sekecil-kecil perniagaan dan sebesarnya seperti pemborong dikuasai oleh warga asing.

Saya hairan bagaimana mereka dengan mudah mendapat lesen perniagaan dan meraih keuntungan berlipat kali ganda di negara kita tanpa sekatan? Di samping itu, premis terutama di Jalan Masjid India, Chow Kit, Petaling Street dan Nilai dimiliki oleh warga asing ini. Mereka kemudian menyewakan lot-lot kedai kepada orang Malaysia dengan sewa yang amat tinggi.

Saya selalu membeli-belah di Jalan Masjid India. Rata-rata pekerja dan pemilik kedai di sana juga adalah warga asing. Sekarang, pencambahan perniagaan warga asing bukan sahaja di Kuala Lumpur, tetapi di segenap penjuru negara seperti di Kuching, Alor Setar, Johor Bahru, Kota Bharu, Ipoh, Pulau Pinang serta semua bandar besar dan luar bandar di Malaysia.

Implikasi daripada situasi ini berbagai-bagai. Antaranya:

n Wang yang diperolehi oleh warga asing ini dihantar pulang ke luar negara dan menyebabkan pengaliran wang ke luar negara yang besar. Ini akan menjejaskan ekonomi negara.

n Menutup peluang peniaga tempatan disebabkan peniaga asing bijak memainkan harga. Contohnya, peniaga asing sanggup menyeludup barangan jualan dan boleh menjual barang dengan harga yang lebih murah.

n Tempat-tempat perniagaan strategik dimonopoli oleh warga asing dengan mewujudkan koloni perhubungan di mana premis kosong dengan mudah direbut warga asing berdasarkan jaringan koloni ini.

n Peningkatan kadar jenayah dan sosial disebabkan kebanjiran warga ini yang kerap terlepas tindakan polis akibatnya kurangnya pemantauan.

Saya ingin penjelasan daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Imigresen, Kastam dan pihak berkuasa lain, bagaimana warga asing ini dengan mudah berniaga dan mendapat lesen berniaga di negara kita?

Bagaimana mereka dengan mudah membentuk syarikat 'Sendirian Berhad' dan berniaga tanpa sebarang sekatan juga pemantauan?

Mengenai permit kerja dan visa untuk tinggal di Malaysia, mengapa mereka dengan mudah tinggal di Malaysia sehingga ada yang tinggal melebihi 10 tahun di sini tanpa sebarang masalah? Kenapa tiada serbuan dilakukan oleh pihak Imigresen dan berwajib?

Penguasaan warga asing dalam perniagaan telah menjadi isu hangat yang masih tiada kesudahannya. Terlalu ramai telah bersuara tetapi tiada tindakan konkrit diambil.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

bila pembangkang berkhutbah

Khutbah pembangkang cemari Aidilfitri di Felda Bersia, Gerik

ANAK FELDA
Selangor

SAYA menyambut ketibaan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini di Gerik, Perak dan berkesempatan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid Felda Bersia, Gerik.

Suasana sambutan Aidilfitri di Felda memang penuh kemeriahan. Berpeluang menunaikan solat bersama peneroka memang menyeronokkan.

Namun rasa keseronokan ini menjadi pudar apabila khatib menyampaikan khutbah hari raya yang jelas lebih mirip sebagai ucapan propaganda pembangkang. Khutbah yang disampaikan lebih banyak menghentam dan menyalahkan kerajaan yang amat tidak bersesuaian sekali dengan semangat Aidilfitri.

Jelas sekali, khutbah yang disampaikan adalah ucapan yang ditulis oleh pembangkang, bukan teks yang biasa disediakan Jabatan Agama Islam Perak.

Saya difahamkan khatib yang membaca khutbah tersebut adalah juga peneroka di Felda Bersia tetapi seorang anggota parti pembangkang. Saya tidak tahu kenapa Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) masjid memilih beliau membaca khutbah pada hari penuh kemuliaan tersebut.

Pada saya untuk menyampaikan khutbah politik pada solat sunat Aidilfitri adalah tidak kena sama sekali. Sepatutnya khutbah yang disampaikan mestilah berfokus kepada semangat Aidilfitri, perpaduan umat Islam dan bukan menghentam kerajaan.

Jika hendak bercakap politik, carilah platform yang sesuai. Bercakaplah melalak sampai sakit tekak. Tapi apabila di masjid, hormatilah institusi masjid. Jangan cemari kemuliaan Aidilfitri dengan ceramah politik.

Pada saya, khatib yang menyampaikan khutbah tersebut adalah peneroka yang tidak tahu berterima kasih kepada kerajaan yang sentiasa berusaha meningkatkan taraf kehidupan peneroka.

Jika pun tidak tahu dan tidak mahu berterima kasih, janganlah dicemari kesucian Aidilfitri dengan cercaan tidak berasas kepada kerajaan. Ahli politik yang kononnya berteraskan Islam pasti tahu umat Islam tidak harus kutuk mengutuk dan keji mengeji, terutama pada Aidilfitri yang menuntut kita saling bermaafan.

Harapan saya kepada pihak Felda serta AJK masjid Felda Bersia agar mengawasi tindak tanduk khatib berkenaan. Saya bimbang, jika ia dibiarkan kelak akan menjadi duri dalam daging yang bakal menghancurkan perpaduan dalam kalangan peneroka Felda Bersia khasnya dan seluruh Felda amnya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

kalah dan salah

Pejuang yang salah dan kalah

Saya setuju dengan Setiausaha Agung Pas, Mustafa Ali, bahawa Mat Indera sebaris dengan Ishak Haji Muhammad( Pak Sako), Dr. Burhanuddin Helmi, Ahmad Boestamam, Ibrahim Yaacob dan beberapa orang lagi nasionalis Melayu sebagai pejuang kemerdekaan. Tetapi perjuangan mereka telah kalah dan terbukti salah.

Kesalahan itu telah terbukti tidak sahaja sebelum merdeka tetapi juga selepas merdeka apabila mereka bersubahat menyokong konfrantasi Indonesia untuk menghancurkan Malaysia dalam tahun 1960-an. Akibatnya mereka ditangkap dan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Salah seorang daripada mereka ialah seorang rakan baik saya yang berlindung di Utusan Melayu sebagai wartawan di samping menjadi ejen sulit Indonesia. Ketika itu saya masih bujang dan sering merayau malam bersamanya dan Pak Sako di Kuala Lumpur.

Pada satu malam saya bermalam dengan rakan baik ini di sebuah hotel murah di Jalan Tuanku Abdul Rahman. Tanpa pengetahuan saya, dia meletakan di bawah tilam saya beribu-ribu dolar wang Amerika Syarikat yang diterimanya dari Indonesia untuk diberikan kepada Pas dan Parti Rakyat. Setelah dibebaskan dia memberitahu saya, dia yang menyembunyikan wang itu.

Ketika itu ramai penyokong Pas yang tidak percaya dengan tuduhan kerajaan mengenai pemimpin Pas menjadi alat Soekarno dan Parti Komunis Indonesia (PKI).

Rakyat Malaysia telah memberikan sokongan besar kepada Parti Perikatan dalam pilihan raya 1964 untuk membuktikan mereka menentang konfrontasi yang didalangi oleh PKI dan disokong oleh Parti Komunis Malaya (PKI), Pas dan Parti Rakyat.

Jika kerajaan tidak menangkap pemimpin-pemimpin Pas dan Parti Rakyat yang menjadi anasir subversif dalam masa konfrontasi dan tidak disokong oleh Pakatan Lima Negara terutamanya British, maka negara ini telah dijajah oleh Indonesia. Jika ini berlaku maka apa akan jadi kepada masyarakat Cina dan rakyat Malaysia lainnya?

Bahawa komunisme yang disokong Pas berasaskan kepada sokongan Presiden Indonesia, Soekarno ketika itu, ternyata telah membawa mala petaka kepada umat manusia. Ini terbukti dengan kesedaran rakyat yang tertekan di negara-negara komunis bangun meruntuhkan komunisme yang kejam yang menyebabkan kemiskinan dan mala petaka kepada kehidupan mereka.

Oleh itu adalah tidak wajar untuk kita memberikan pengiktirafan terhadap perjuangan mereka kecuali untuk hanya dijadikan catatan sejarah. Pas mahu menafikan mereka komunis tetapi tidak boleh menafikan menjadi alat kepada komunisme. Saki-bakinya adalah Mat Sabu yang tidak dapat melihat pengorbanan anggota polis dan tentera kita tetapi nampak Mat Indera sebagai hero.

Kepada orang Melayu dan menurut perhitungan pemimpin-pemimpin UMNO sendiri, jika perjuangan nasionalis kiri menang maka pastinya negara ini telah berada di tangan PKM yang dikuasai oleh orang Cina dan di belakangnya ialah Parti Komunis China.

Dikesali seorang nasionalis yang berpengalaman seperti Mustafa Ali tidak boleh melihat dan mengakui hakikat tetapi bagaikan cuba berselindung di sebalik sehelai lalang.

Sewajarnya kata Mustafa, kerajaan Malaysia yang diterajui oleh UMNO tidak berlaku kejam terhadap penderhaka, malah memberikan pula penghargaan kepada mereka dengan pelbagai cara kerana menilai perjuangan mereka. Boestaman diberikan Datuk dan Ishak diberikan Tokoh Wartawan Negara. Di negara lain manusia seperti ini digantung, di penjara seumur hidup atau lenyap begitu sahaja.

Pas cuba untuk menegakkan benang yang basah dalam keadaan yang tertekan. Tetapi ia sekurang-kurangnya telah menyedarkan sebahagian besar ahli Pas akan kesilapan mereka memilih seorang kelakar menjadi Timbalan Presiden Pas.

ZAINUDDIN MAIDIN

Kuala Lumpur

berdebat dengan pakar sejarah

Berdebatlah dengan pakar sejarah

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dicabar berdebat dengan pakar-pakar sejarah negara jika benar beliau yakin tindakannya mengagungkan komunis dibuat berdasarkan fakta sebenar.

Ketua Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata, tokoh sejarah seperti Datuk Prof Dr. Ramlah Adam dan Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim adalah calon yang paling sesuai untuk menjadi seteru debat Mohamad atau Mat Sabu.

"Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman telah menjelaskan dengan terperinci siapa sebenarnya Muhammad Indera (Mat Indera) yang diagung-agungkan oleh Mat Sabu. Mat Indera petualang negara dan bukannya pejuang.

"Tetapi kalau Mat Sabu masih merasa dia lebih hebat daripada pakar sejarah negara, eloklah dia berdebat dengan Dr. Ramlah dan Dr. Kay Kim. Kita tengok fakta siapa lebih tepat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan Mat Sabu yang mahu Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berdebat dengannya tetapi 'melarikan' diri apabila Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk berdebat.

Sedangkan pelawaan debat antara Mat Sabu dan Khairy itu dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan selepas perkara itu dicadang Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

pas masuk umno

Ahli Pas masuk UMNO isu Bukit Kepong

PADANG TERAP 8 Sept. - Kecewa dengan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam peristiwa Bukit Kepong, mendorong kira-kira 50 penyokong Pas daripada 10 keluarga di sekitar Kampung Tandop Besar, di sini menyertai UMNO.

Kumpulan berkenaan diketuai Ismail Abdullah, 60, yang lebih 35 tahun menjadi ahli Pas menyerahkan borang keahlian mereka kepada Ketua UMNO Bahagian Padang Terap, Datuk Seri Mahdzir Khalid pada satu majlis di kampung tersebut hari ini.

Menurut Ismail, dia dan isteri, Juriah Majid, 58, bersama tujuh lagi anak mereka berusia antara 18 hingga 35 tahun tidak perlu berfikir panjang untuk menyertai UMNO setelah mendengar kenyataan Mohamad atau Mat Sabu itu.

"Sebagai rakyat negara ini, saya memang tidak berpuas hati dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Mat Sabu yang memperlekehkan pengorbanan anggota polis dalam peristiwa serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

"Kenyataan itu membuatkan saya tidak boleh bertahan lagi dan tidak teragak-agak untuk keluar daripada Pas dan menjadi ahli UMNO," katanya kepada pemberita selepas majlis berkenaan yang diadakan di rumahnya di kampung tersebut.

Sementara itu, anak sulung Ismail, Mohd. Yusoff, 35, berkata, kenyataan Mat Sabu yang mengangkat komunis sebagai wira dalam tragedi Bukit Kepong adalah mengarut dan tidak boleh diterima sama sekali.

Justeru, katanya, dia mengikut langkah bapanya untuk menjadi ahli UMNO kerana tidak mahu menyokong pemimpin yang membela komunis dalam peristiwa tersebut.

Dalam pada itu, Mahdzir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pedu berkata, kemasukan lebih ramai penyokong Pas ke dalam UMNO berikutan wujud kesedaran di kalangan ahli akar umbi Pas sejak akhir-akhir ini bahawa parti yang mereka dokong selama ini sudah kehilangan arah tuju.

Katanya, dulu Pas mendakwa mereka memperjuangkan Islam dengan menggunakan slogan 'Membangun Bersama Islam' tetapi menukarnya dengan negara berkebajikan.

"Dalam tempoh itu pula, ada usaha di kalangan pemimpin mereka untuk mengubah sejarah negara termasuk mengangkat Muhamad Indera iaitu lelaki Melayu yang bersekongkol dengan Parti Komunis Malaya (PKM) sebagai wira.

"Ini yang menyebabkan ramai ahli Pas tidak teragak-agak keluar dari parti itu. Mereka juga telah menyedari hanya UMNO terbukti sebagai parti yang boleh diharap untuk memperjuangkan hala tuju bangsa dan agama dari dulu hingga sekarang," katanya.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

cina pun marah mat sabu

Bekas homeguard kaum Cina kecam Mat Sabu

BERA 8 Sept. - Beberapa bekas pengawal kampung atau homeguard kaum Cina di daerah ini mengecam Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu kerana menjulang komunis dalam tragedi Bukit Kepong.

Tan Kim Hock, 81, berkata, sedangkan komunis amat kejam kerana mereka tiada istilah bertolak ansur dan sesiapa yang menentang akan disembelih atau terus ditembak tanpa sebarang perbicaraan.

"Jangan mimpilah orang Melayu nak memerintah negara seperti sekarang jika komunis berkuasa. Sebab itu hanya mereka yang gila dan hilang akal sahaja yang sokong komunis.

''Sebab itu saya berharap pemimpin pembangkang jangan bermain politik dengan menjual bangsa dan negara. Jagalah negara ini, sokonglah kerajaan yang ada, banyak faedah sudah kita dapat setelah negara merdeka 54 tahun lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Seorang lagi bekas homeguard, Mohamed Tan Abdullah, 82, berkata, sepatutnya Mat Sabu perlu sedar yang anggota keselamatan termasuk Homeguard mempertaruhkan segala-galanya termasuk nyawa demi keamanan negara ini.

Mohamed yang memeluk Islam selepas negara mencapai kemerdekaan berkata, dia berjaya membunuh 15 komunis semasa menyertai beberapa operasi dan bertempur dengan komunis di sekitar Kemayan, Triang dan Mengkarak.

''Kenyataan Mat Sabu yang menganggap komunis sebagai wira membuktikan dia bukan sahaja biadab dan buta sejarah tetapi sudah hilang akal," katanya.

Mohamed yang kini mengutip tin minuman dan besi buruk bagi membesarkan empat orang anaknya yang masih bersekolah hasil perkahwinan keduanya berkata, komunis biasanya menyerang pada waktu malam dan subuh.

Tambahnya, kebiasaannya mereka menyerang antara 15 minit atau setengah jam sahaja bertujuan menakutkan polis dan orang awam ketika itu.

"Setiap kali berlaku serangan, polis dan anggota homeguard akan memberikan tentangan hebat sehingga memaksa komunis berundur," katanya dengan penuh semangat.

Seorang lagi bekas bekas polis bantuan, Koe Ten, 79, berkata, mereka yang tidak pernah bertempur dengan komunis tidak tahu azab dan seksanya ketika itu.

"Kami bukan sahaja bermandikan darah malah tidak tidur siang dan malam memburu pengganas.

"Walaupun bilangan komunis ramai, kami memberi tentangan hebat dan berjaya membunuh beberapa komunis yang sangat kejam," katanya.

bayar buat fitnah

Bayar WikiLeaks siar berita fitnahkan PM

Oleh SAIFULIZAM MOHAMADpengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 8 Sept - Seorang bekas rakan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa terdapat pihak tertentu yang membayar laman web WikiLeaks supaya portal itu menyiarkan berita bahawa kes liwat melibatkan Ketua Pembangkang itu merupakan satu konspirasi kerajaan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Bekas pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong berkata, beliau mempunyai bukti tentang perkara tersebut dan sedia mendedahkan kepada umum apabila tiba masanya.

Sehubungan itu, beliau meminta rakyat negara ini tidak mudah terpengaruh dengan berita fitnah itu seperti mana yang disiarkan di WikiLeaks.

''Ini merupakan satu berita fitnah yang sengaja direka dan kemudian disiarkan di dalam laman web WikiLeaks dengan tujuan mempengaruhi rakyat. Ia hanya sekadar satu berita fitnah tanpa disertakan dengan bukti kukuh.

''Kesahihan berita ini sememangnya diragui dan harus diragui apatah lagi ada bukti yang menunjukkan terdapat pihak-pihak tertentu membayar laman web ini supaya berita fitnah seperti itu boleh disiarkan,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Sebelum ini, WikiLeaks dalam laman webnya iaitu dengan berdasarkan kabel diplomatik Amerika Syarikat yang berjaya dibocorkan, Anwar tetap akan didapati 'bersalah' kerana meliwat iaitu hukuman kedua dalam tempoh 10 tahun.

Kabel itu melaporkan, Najib dan pemimpin utama UMNO akan melakukan apa sahaja supaya pendakwaan terhadap Anwar 'boleh diterima'.

Selain itu, Lum Yong berkata, kredibiliti laman web itu juga semakin tercalar apabila beberapa berita yang disiarkan didapati tidak benar seperti dakwaan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew yang dikatakan mengecam Islam.

''Kuan Yew dengan keras menafikan berita tersebut.

''Kredibilitinya juga semakin dipersoalkan apabila pengasasnya turut berhadapan dengan kes serangan seksual yang kini masih dalam proses perbicaraan," ujarnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, berita-berita seumpama itu sering dipetik oleh portal berita propembangkang untuk tatapan rakyat negara ini kerana mereka sememangnya antikerajaan.

''Oleh itu rakyat harus menimbang secara rasional setiap berita yang disiarkan oleh portal-portal berita propembangkang sama ada ia fitnah atau sebaliknya," katanya lagi.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, September 8, 2011

surat untuk mat sabu

Surat terbuka untuk Mat Sabu

GAMBAR anggota polis dan petikan berita serangan komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong.

SEBAGAI rakyat yang cintakan negara, kami sanggup mempertaruhkan nyawa dan darah.

Untuk pengetahuan Yang Berhormat (YB), kami adalah bekas anggota Pasukan Polis Hutan (PPH) 1/72 yang berkhidmat di Sarawak sejak tahun 1972 hingga 1981 yang ditempatkan di Batalion 14, Batalion 15 dan Batalion 16. Kemudian di Sabah iaitu Batalion 17 dan Batalion 18.

Apakah Mat Sabu menidakkan perjuangan kami yang telah mengorbankan nyawa dan kecederaan tubuh badan sehingga kekal ke hari ini? Termasuk memperlekehkan pengorbanan anggota keselamatan yang gugur dalam mempertahankan negara seperti mana peristiwa berdarah di Bukit Kepong?

Tahukah Mat Sabu bahawa serangan pengganas komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar yang di bawah pentadbiran OCPD Khalid Dato’ Kelana Putra dan Supritendan H.M. Strenthen pada 23 Februari 1950 adalah satu sejarah perjuangan murni rakyat yang cintakan negara.

Mereka sanggup berjuang sehingga ketitisan darah terakhir demi kedaulatan dan maruah negara.

Peristiwa Bukit Kepong adalah tragedi pilu bermandi darah dan air mata yang mengorbankan 26 nyawa terdiri daripada 19 anggota polis, 2 orang isteri dan 2 orang kanak-kanak serta 2 orang awam.

Ingin diperingatkan kepada Mat Sabu iaitu tarikh tersebut adalah hari kedua Tahun Baru Cina. Seramai 180 orang komunis telah mengepong dan menyerang Balai Polis Bukit Kepong dengan kekuatan hanya 18 anggota polis dan tiga sukarelawan diketuai oleh OCS Sarjan Jamil. Mereka berjuang hampir empat jam setengah mempertahankan diri, balai dan maruah.

Komunis bertindak ganas dan zalim dengan membakar berek dan balai polis. Terdapat di sana sini mayat anggota polis bergelimpangan dengan keadaan yang mengerikan. Tubuh badan mereka hangus terbakar. Sia-siakah pengorbanan mereka wahai YB?

Dalam usaha banyak pihak termasuk bekas pejuang lampau, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pencinta keamanan yang tampil dengan laporan polis, maka di sini disenaraikan mereka yang gugur dalam kekejaman komunis, biar Mat Sabu tidak terus mencarut dan celupar mulut melukai hati kami dan waris yang terkorban.

1. SJN 3493 JAMIL MOHD SHAH

2. KPL 7068 MOHD. YASSIN WAHAB

3. KPL 7186 JIDIN OMAR

4. KON 9136 HASSAN OSMAN

5. KON 5674 ABU MOHD. ALI

6. KON 3933 HAMZAH AHMAD

7. KON LAUT 60 IBRAHIM ADAM

8. KON LAUT 68 AWANG ALI

9. KON LAUT 181 BASIRON ADAM

10. KON 7493 MUHAMMAD @ AHMAD JAAFAR

11. KON 7862 ABDUL KADIR JUSOH

12. KON 8600 JAAFAR HASSAN

13. EPC 3795 JAAFAR ARSHAD

14. EPC 3475 MOHD. TOP LAZIM

15. AP 2130 SAMAD YATIM

16. AP 1912 MAHMUD SAAT

17. AP 1925 ALI AKOB

18. AP 2098 REDZUAN ALIAS

19. AP 2127 OTHMAN YAHYA

KELUARGA POLIS TERKORBAN

20. FATIMAH YAABA - Isteri

21. HASSAN ABU BAKAR - Anak

22. SAADIAH - Isteri

23. ARAFAH YUSOFF - Isteri

24. SIMAH ABU BAKAR - Anak

ORANG KAMPUNG TERKORBAN

25. EMBONG LAZIM

26. KOH AH CHENG

Cuba Mat Sabu bawa bertenang, yang terkorban adalah anak bangsa dan sesama agama. Siapa lagi yang sanggup mempertahankan negara kalau bukan sebangsa Mat Sabu baik dulu, sekarang dan masa hadapan?

Bagaimanakah sekiranya di antara yang terbujur kaku itu adalah anak YB? Semua yang terkorban, mahupun waris tidak kenal siapa itu Mat Sabu.

Malah mereka juga tidak minta Mat Sabu melawat ke pusara atau mengalung bunga atau melawat mereka yang masih hidup. Cakap kasarnya, mereka tidak pernah menyusahkan sesiapa. Mereka hanya pejuang di waktu itu demi kesejahteraan negara. Kenapa YB memperlekehkan dan memperlecehkan mereka yang berkorban dengan darah dan nyawa?

Mudah-mudahan selepas membaca surat terbuka ini, YB tidak terus mencemuh panjang ke atas pejuang lampau termasuk kami dan rakan-rakan seperjuangan yang meredah hutan belantara Sarawak dan Semenanjung sehingga Mat Sabu dapat menghirup udara bahagia dan hidup selesa hari ini.

Buatlah muhasabah diri. Jangan nanti sebab mulut badan binasa. Tidak mengejutkan jika semua bekas pejuang yang berselerak di segenap pelosok negara bangun dan bertindak. Tetapi kami tidak akan lakukan sebab kami masih waras. Masih boleh berfikir secara bijaksana.

Kepada semua pencinta keamanan dan kesejahteraan, tolong tepuk dada tanya diri sendiri. Inikah yang dikatakan jiwa pemimpin yang hendak kita sandarkan harapan? Jauh panggang dari api. Bertaubatlah wahai Mat Sabu!

Kami mohon kepada ALLAH S.W.T. semoga jiwa Mat Sabu tidak terus bercelaru. Jadilah pemimpin yang budiman dengan memohon maaf sebab tidak ada manusia yang sempurna. Pasti ada cacat celanya.

MAZLEE JAAFAR

Bekas PPH 1/72

Ras Com Sibu, Sarawak

mat indera

Mat Indera militan PKM

Mat Indera

Mat Indera atau nama sebenarnya Ahmad bin Indera adalah anak Johor yang terlibat dengan gerakan-gerakan menentang penjajah ketika negara diperintah oleh British sebelum Tanah Melayu beroleh kemerdekaan.

Beliau pada awalnya, seperti individu-individu lain juga telah berjuang atas platform masing-masing, dengan matlamat yang sama iaitu membebaskan negara daripada belenggu penjajahan.

Bezanya, Mat Indera melibatkan diri dalam gerakan haluan kiri dengan menjadi ahli kepada sayap pemuda Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Ishak Haji Muhammad.

Sayap pemuda PKMM dikenali sebagai Angkatan Pemuda Insaf (API) pimpinan Ahmad Boestamam. Haluan kiri ini termasuk juga gerakan Parti Komunis Malaya (PKM) yang mempengaruhi pelbagai gerakan buruh dan masyarakat awam.

Apabila pihak berkuasa British menguatkuasakan Undang-Undang Darurat pada 19 Jun 1948 di Tanah Melayu (selepas tindakan militan dan ganas PKM membunuh peladang British), semua parti politik berhaluan kiri seperti PKMM, AWAS, API dan PKM telah diharamkan.

Oleh itu, ramai ahli gerakan haluan kiri ini memilih tindakan sama ada berdiam diri, melarikan diri ke Singapura, bersatu dengan militan PKM ataupun meneruskan hasrat berjuang di atas platform lain termasuk menyertai Parti Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Perjuangan melalui parti dan gerakan (UMNO) yang sah itu adalah lebih teratur dan meluas dengan melibatkan pelbagai pertubuhan Melayu di Semenanjung, yang akhirnya berjaya menuntut kemerdekaan tanah air dan membina sejarah serta melangsungkan tamadun moden pasca merdeka di negara ini.

Bagaimanapun Mat Indera telah memilih untuk menjadi anggota gerakan komunis militan dan ganas dalam gerakan penentangan bersenjata PKM terhadap pentadbiran British.

Tindakannnya terus menyertai PKM dan menyertai gerakan militan adalah haram, tidak sah dan tidak benar dengan menggunakan taktik kekejaman dan kezaliman, sehingga menyebabkan dia termasuk dalam golongan yang bertindak secara salah dan terpesong.

Ini berlainan dengan para pemimpin haluan kiri yang lain seperti Dr. Burhanuddin, Ahmad Boestamam, Ishak Muhammad ataupun Ibrahim Yaakub yang tidak memilih untuk bertindak secara militan.

Kemuncak penglibatan Mat Indera dalam gerakan ganas dan kejam PKM itu adalah peristiwa serangan komunis ke atas balai polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950.

Fakta yang diperolehi daripada pelbagai sumber oleh sebilangan penyelidik ilmiah mengenai peristiwa itu menunjukkan bahawa Mat Indera telah merancang operasi ganas tersebut terhadap pegawai-pegawai polis British, tetapi telah diingkari oleh anggota di bawah kepemimpinannya yang menyerang dengan kejam semua sekali anggota polis dan keluarga mereka di balai polis Bukit Kepong.

Sebagai seorang daripada pemimpin rejimen ke-10 Parti Komunis Malaya yang diharamkan, Mat Indera adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap serangan tersebut.

Natijahnya, dia telah dianggap oleh penduduk tempatan di kampungnya sebagai pengganas yang kejam dan zalim, sehingga mengancam ketenteraman dan keselamatan orang awam di tanah air.

Sedangkan ketika itu orang lain sedang bertungkus-lumus berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan dengan kaedah yang lebih wajar, benar dan aman yakni melalui rundingan, bukan melalui kekejaman dan keganasan PKM yang memusnahkan nyawa, jiwa dan harta benda negara.

Mat Indera juga didapati berusaha keras mempengaruhi dan mengajak rakyat Melayu untuk menyertai kegiatan haramnya dalam gerakan PKM yang mempunyai cita-cita yang lebih buruk dari 'Malayan Union' British sebelum itu.

Komunis memang menentang pentadbiran British di Tanah Melayu secara militan bersenjata untuk menubuhkan 'People's Democratic Republic of Malaya' yang membawa natijah penghapusan kedaulatan Melayu di tanah airnya dan penguasaan bangsa asing di negeri Melayu.

Malaysia yang pada ketika itu dengan nama Persekutuan Tanah Melayu sangat-sangat bertuah kerana ramai penduduk tidak menyokong PKM, sebaliknya bersama-sama pasukan kerajaan membanteras kekejaman pengganas komunis.

Itulah yang berlaku sehingga tertangkapnya Mat Indera apabila kepemimpinan peringkat masyarakat di Kampung Parit Baru, Seri Medan sendiri yang merancang dengan kerjasama polis untuk memerangkap dan memberkasnya ketika dia datang ke kampung berkenaan.

Akhirnya Mat Indera telah berjaya ditangkap dan dijatuhi hukuman mati kerana peranannya dalam tindakan ganas dan jenayah membunuh dengan kejam sebagai anggota pergerakan komunis militan dan teroris yang diharamkan sehingga ke hari ini.

Sokongan penduduk ini memberi sumbangan besar yang menyebabkan pengganas komunis gagal mencapai cita-cita mereka iaitu menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Dalam hal ini, sudah tentu perjuangan pengganas komunis amat berbeza sekali dengan perjuangan UMNO yang diasaskan oleh Dato' Onn Jaafar dan diteruskan oleh Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, iaitu menuntut kemerdekaan melalui rundingan dan menubuhkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu berdaulat berlandaskan Demokrasi Raja Berpelembagaan.

Berdasarkan fakta-fakta sejarah peristiwa Bukit Kepong itu, Mat Indera adalah dengan sengaja dan sedar menjadi anggota gerakan pertubuhan besar pengganas komunis PKM, sebagai Ketua Regimen ke-10, yang kejam serta zalim serta mengancam keselamatan dan ketenteraman orang awam pada ketika itu.

Dia bukan seorang 'pejuang' untuk mendapatkan kemerdekaan negara yang pada masa itu sedang diusahakan secara rundingan aman dan lebih berhemah serta bertamadun.

Sehingga hari ini, ketika rakyat negara ini sudah merdeka dan berkerajaan sendiri sejak 1957, gerakan PKM tetap diharamkan. Gerakan itu diharamkan kerana cita-cita komunisme yang bertentangan dengan ajaran Islam, ketuhanan dan bersifat menindas perbezaan pendapat dalam sistem demokrasi, walaupun sudah ada perjanjian perletakan senjata parti itu di Betong (Thailand) dengan kerajaan Malaysia pada 1989.

Dari sudut kegiatan Yayasan Warisan Johor (YWJ) segala kajian, penulisan dan catatan yang berhubung sejarah negeri, termasuk perjalanan hidup watak-watak seperti Mat Indera, adalah data-data kemasyarakatan berkaitan seorang anggota masyarakat yang pernah menonjolkan diri dalam peristiwa-peristiwa sejarah yang berlaku di negara ini, khususnya di negeri Johor dalam perjalanan sejarah negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Penulisan dan catatan tersebut adalah menjadi bahan-bahan kajian di atas prinsip kebenaran akademik yang diamalkan olek kerajaan Malaysia kini, untuk mengayakan lagi khazanah maklumat dan rakaman-rakaman peristiwa sejarah kemerdekaan untuk tatapan dan pengetahuan generasi demi generasi sebagai iktibar, panduan dan peringatan masa akan datang.

DATUK ABDUL GHANI OTHMAN Menteri Besar Johor

Wednesday, September 7, 2011

mat sabu lagi

Pemahaman Mat Sabu berbahaya

KEDEGILAN Mat Sabu dengan bertegas mengiktiraf Mat Indera sebagai pejuang kemerdekaan sebenar dan mengiktiraf Parti Komunis Malaya (PKM) adalah satu percubaan untuk mengelirukan rakyat dan tidak harus dibiarkan.

Walaupun kita tahu Persekutuan Tanah Melayu pada ketika itu adalah di bawah penjajah British tetapi kebanyakan pentadbir pada ketika itu adalah rakyat Malaya sendiri. Ini termasuk anggota keselamatan yang dianggotai oleh berbagai bangsa.

Perjuangan PKM walaupun dikatakan sebagai pejuang pembebasan tetapi ia lebih berkiblat kepada parti komunis di negara China yang diperintah oleh Mao Tze Tong ketika itu. Pemimpin PKM, Chin Peng dan beberapa orang kanan PKM sendiri pernah pergi ke negara China. Ini sudah cukup membuktikan yang PKM adalah di bawah telunjuk Parti Komunis China.

Ketika itu Mao Tze Tong cuba memperluaskan ideologi komunis ke seluruh benua Asia. Beliau berjaya menembusi Vietnam, Laos dan Kemboja. Sudah timbul teori domino pada ketika itu.

Jadi PKM bukanlah satu pertubuhan pejuang pembebasan negara dari penjajahan tetapi lebih kepada cabang Parti Komunis China memperluaskan wilayah dan ideologinya.

Fakta ini telah cuba diputar-belit oleh Mat Sabu dengan hanya mengambil satu titik hitam sejarah negara. Mereka yang buta sejarah ini tidak harus dibiarkan menjaja cerita ke seluruh negara. Perbuatan ini adalah merbahaya.

ESA ADAM

Bandar Sunway, Selangor

kominis dan iman

Beza peristiwa Rasulullah dan serangan komunis Bukit Kepong

KENYATAAN Presiden Pas Haji Hadi Awang menyamakan peristiwa Bukit Kepong dengan peristiwa Rasulullah SAW berdepan dengan kafir qurish Mekah ada benarnya dari satu sudut.

Persamaan itu ialah Rasulullah yang berimankan tauhid bertembung dengan Arab Jahiliah yang sama ada syirik atau tidak bertuhan.

Begitulah juga peristiwa Bukit Kepong. Anggota polis yang mengucap kalimah syahadah bertembung dengan gerombolan komunis yang mengamalkan fahaman tidak percayakan kewujudan tuhan.

Perjuangan komunis ialah untuk menegakkan negara komunis bukan untuk mencapai kemerdekaan.

Negara komunis mengamalkan ajaran bahawa tuhan tidak wujud. Begitulah halnya parti Pas yang semakin jauh menyeleweng. Bak kata orang tua-tua bercakap bohong lama-lama mencuri.

Bermula dengan ceramah yang penuh maki-hamun, memutar-belit sesuatu isu dan kemudian mengeluarkan berbagai fatwa yang menyimpang daripada ajaran Islam.

Kini ia mundur lagi ke arah kegelapan dengan mengangkat fahaman komunis yang tidak percayakan tuhan dan jelas berlawanan dengan ajaran tauhid.

Saya berharap mana-mana pihak yang menjelaskan isu komunis ini bukan sahaja menerangkan tentang sejarah perbuatan komunis yang kejam tetapi menyatakan juga dengan jelas bahawa matlamat mereka ialah menegakkan negara komunis.

Juga perlu diterangkan dengan jelas bahawa fahaman komunis ini tidak mempercayai kewujudan tuhan.

Dengan ini pemikiran orang ramai khasnya orang-orang muda tidak menjadi keliru dengan berbagai-bagai hujah. Apabila mereka faham fakta asas tentang fahaman komunis, mereka dengan mudah dapat membuat kesimpulan mana yang benar dan mana yang batil.

ANTI JUAL AGAMA

mat sabu,kominis

Mat Sabu, Bukit Kepong dan Pas

DATUK IRMOHIZAM IBRAHIM
Fellow Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (Impak), Universiti Teknologi Mara dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia

Pendapat Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu (Mat Sabu) bahawa gerombolan pengganas komunis yang menyerang Balai Polis Bukit Kepong adalah pejuang kemerdekaan dan hero sebenar peristiwa tersebut dan bukannya anggota polis yang mempertahankan balai itu dengan nyawa mereka bolehlah disifatkan sebagai satu usaha untuk menulis semula sejarah negara.

Dalam rangka yang lebih besar ia merupakan percubaan bagi mengabsahkan perjuangan Parti Komunis Malaya (PKM) dan melakar perjuangan komunis sebagai perjuangan yang mulia.

Taktik Mat Sabu tidak menyebut perkataan komunis dan sebaliknya hanya menyebut nama Mat Indera dalam ceramahnya adalah suatu taktik halus sama seperti kaedah yang pernah diguna pakai PKM dalam mengumpan sokongan masyarakat Islam satu ketika dahulu.

Strategi diguna pakai PKM ini berasaskan kesedaran bahawa jika wajah sebenar komunisme yang menolak kewujudan Tuhan dan menganggap agama sebagai candu masyarakat didedahkan kepada orang Melayu, maka amat sukar bagi mereka untuk menerima atau menyokong ideologi tersebut.

Lantas untuk mengaburi mata umat Islam maka golongan Marxis-Leninist-Maoist menjadikan retorik perjuangan kemerdekaan daripada penjajahan British sebagai umpan utama untuk menarik sokongan orang Melayu.

Dalam hal ini, matlamat besar Mat Sabu adalah untuk merenggangkan hubungan parti UMNO dan sejarah perjuangan merebut kemerdekaan daripada penjajah British. Sebagai alternatif kepada peranan UMNO maka peranan PKM dipilih sebagai hero dan pejuang sebenar kemerdekaan dan oleh kerana komunisme itu sensitif di kalangan umat Islam maka Mat Indera digunakan sebagai contoh perlambangan yang perjuangannya disamakan dengan perjuangan Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbong malah yang lebih dahsyat perjuangan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW sendiri. Sejarah yang ada pada hari ini pula dimomokkan sebagai sejarah yang dilakarkan oleh penjajah dan parti pemerintah.

Bagi mengetahui sama ada tuduhan ini benar atau tidak, kita perlu melaksanakan satu ujian sejarah alternatif. Berdasarkan fakta, kita boleh melukis hala tuju sejarah jika dikatakan PKM yang berjaya menghalau pihak British dari Tanah Melayu.

Mat Sabu menyembunyikan hakikat bahawa jika PKM berjaya 'membebaskan Malaya' maka ia akan mendatangkan tiga kesan utama. Pertamanya corak pemerintahan Malaya tidak mungkin berasaskan pemerintahan Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen, di sebaliknya Malaysia akan berubah menjadi sebuah republik dengan kediktatoran satu parti manakala Raja-Raja Melayu dinyahtakhtakan.

Kedua, kehidupan beragama akan dihapuskan seperti mana lazim di negara-negara komunis, Islam tidak mungkin menjadi agama rasmi sebaliknya fahaman ateisme-sekular akan menjadi pegangan negara. Dalam situasi ini Parti Pas tidak mungkin wujud.

Ketiga, Tanah Melayu akan dipimpin oleh Setiausaha Agung PKM kerana sebagai pemimpin tertinggi PKM sudah tentu beliau akan memegang jawatan sama ada sebagai Ketua Negara atau Ketua Kerajaan. Jika ketiga-tiga hakikat ini direnung, tidak mungkin ada orang Melayu yang akan sanggup menyertai atau menyokong Parti Komunis.

Adalah amat dangkal dan tidak bertanggungjawab bagi sesetengah pihak dalam usaha mempertahankan pendapat Mat Sabu menyamakan perjuangan komunis dengan perjuangan Tok Janggut di Kelantan atau Haji Abdul Rahman Limbong di Terengganu yang menentang penjajahan British. Perbezaannya amat ketara - kedua-dua mereka tidak pernah sekali-kali mahu mendirikan sebuah republik dan menurunkan Raja-Raja Melayu daripada takhta.

Tidak berniat sekalipun untuk menghapuskan agama Islam sebagai agama dominan Tanah Melayu dan tidak rela sama sekali menjadi daie kepada fahaman ateisme atau pernah terfikir untuk menjadikan bangsanya sendiri sebagai bangsa terpinggir.

Perjuangan komunisme menentang British di Tanah Melayu juga tidak boleh sama sekali disamakan dengan perjuangan Nabi Muhammad SAW menentang Arab Jahiliyah atau pembukaan Kota Mekah. Kenapa pihak-pihak tertentu mahu menyamakan 25 anggota polis dan keluarga yang terkorban dalam tragedi Bukit Kepong yang semuanya beragama Islam dengan Arab Jahilliyah yang tidak menerima malah memerangi agama tauhid.

Bukankah kesemua pengganas komunis kecuali Mat Indera (itu pun perlu dikaji sama ada beliau masih beragama Islam ketika itu) adalah ateis yang bencikan agama serta menafikan kewujudkan Tuhan.

Siapakah yang berfikiran waras yang mahu menyamakan perjuangan mulia Nabi Muhammad SAW dengan sifat kebinatangan Kompeni Bebas ke-4 yang membunuh wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Pada awal tahun 1950-an satu-satunya parti yang mengerakkan usaha-usaha untuk mendapatkan kemerdekaan adalah UMNO. Ada yang mendakwa bahawa pemberontakan bersenjata PKM mempercepatkan pihak British memberikan kemerdekaan kepada Malaya.

Jika PKM benar-benar memperjuangkan kemerdekaan negara, kenapa apabila kita mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, PKM tidak mahu meletakkan senjata. Malahan mereka terus mengganas dengan membunuh orang awam, polis dan tentera? Kenapakah Allahyarham Tan Sri Abdul Rahman Hashim mantan Ketua Polis Negara dibunuh oleh komunis 17 tahun selepas negara mencapai kemerdekaan. Bukankah beliau berkhidmat untuk sebuah kerajaan merdeka dan dipilih rakyat.

Hakikatnya kenapa menunggu sehingga Disember 1989 baru PKM mahu meletakkan senjata iaitu 32 tahun selepas merdeka. Kepada PKM, ia bukan soal menentang penjajah, bagi mereka kemerdekaan sebenar hanya dicapai apabila parti mereka berkuasa mutlak, apabila sebuah republik dengan kediktatoran satu parti didirikan di bumi ini dengan berkiblatkan ideologi komunisme dan apabila akidah Islam serta agama-agama lain dihapuskan dari hati sanubari rakyat.

Janganlah kita apabila memberikan pendapat cuba mengambil sikap tidak jujur dari segi intelektual dan cuba menulis semula sejarah untuk disesuaikan dengan agenda sempit.

UMNO dituduh parti berhaluan kanan yang disenangi penjajah, Presiden-Pengasas UMNO Allahyarham Dato' Onn dan Bapa Kemerdekaan Almarhum Tunku Abdul Rahman dituduh tali-barut Inggeris. Hakikatnya bukankah Dato' Onn telah meletakkan jawatan daripada perkhidmatan awam negeri Johor dan Tunku sebagai Timbalan Pendakwaraya untuk berjuang demi agama, bangsa dan negara.

Kedua-duanya telah mengorbankan kesenangan serta keselesaan peribadi demi pertiwi. Oleh itu jangan sekali-kali dihina sumbangan mereka, jangan dicerca khidmat bakti mereka. Pendek kata jangan jadi manusia yang tidak mengenang budi.

Ada pula yang mahu mendewa-dewakan perjuangan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) sebuah parti berhaluan kiri dalam usaha memperlekehkan parti UMNO. Tetapi siapa yang berani menceritakan kebenaran bahawa Presiden PKMM yang pertama iaitu Mokhtaruddin Lasso ialah seorang komunis. Begitu juga sebahagian besar ahli jawatankuasanya menganut fahaman komunisme. Bukankah dasar wahid PKMM dari lapan dasar yang diluluskan di kongres pertamanya di Ipoh dari tanggal 30 November hingga 3 Disember 1945 ialah mempersatu padukan bangsa Melayu, menanamkan semangat kebangsaan dalam sanubari orang Melayu dan bertujuan untuk menyatukan Malayadalam keluarga yang besar iaitu Republik Indonesia Raya.

Jika tercapai matlamat itu, maka hari ini agama Islam tidak akan menjadi agama rasmi negara, Raja-Raja Melayu akan diturunkan takhta dan assimilasi berbanding integrasi akan menjadi panduan kepada dasar perhubungan kaum di negara ini.

Percubaan historical revisionism oleh Mat Sabu ini perlu dilihat dari konteks yang lebih luas. Ia sebenarnya adalah percubaan fraksi 'Anwarisme' dalam Pas untuk menjadikan parti tersebut lebih diterima oleh orang bukan Islam, terutama oleh rakan pembangkangnya DAP.

Langkah pertama mereka telah berjaya dicapai apabila Mat Sabu menang jawatan Timbalan Presiden Pas mengalahkan penyandang dari kalangan ulama. Akibatnya dasar kepimpinan ulama yang dibawa generasi Allahyarham Yusof Rawa dan Fadzil Noor telah diketepikan. Mat Sabu sudah tentu bukan seorang ulama sama ada dari segi ilmu mahupun pembawaan.

Kedua, golongan ini telah berjaya menukar matlamat perjuangan Pas daripada negara Islam kepada negara berkebajikan. Sepatutnya umat Islam menitiskan air mata sebak mengenangkan selama 30 tahun akibat amanat Haji Hadi Awang, individu telah dikafirkan berdasarkan pendirian sama ada mereka menyokong konsep negara Islam yang dibawa Pas atau tidak.

Amanat ini telah memecahbelahkan umat Islam sehingga berlaku pertelingkahan antara ibu bapa dan anak-anak, antara suami dan isteri, antara adik-beradik, antara jiran tetangga dan antara ahli kariah.

Namun hari ini demi kepentingan politik dengan sekelip mata Pas tanpa segan silu ataupun memohon maaf kepada mereka yang dizalimi akibat amanat Haji Hadi dengan mudah menggugurkan perjuangan negara Islam dan sebaliknya digantikan dengan konsep negara berkebajikan yang telah dipelopori UMNO semenjak merdeka lagi.

Ketiganya apabila Pas sanggup menjadi Pak Turut dan Pak Sanggup DAP. Hari ini ukhuwah umat Islam tidak penting, DEB atau sebarang dasar afirmatif tidak adil, kedudukan bahasa Melayu tidak perlu, kedudukan agama Islam mampu dikompromi kerana yang penting adalah kuasa dan kedudukan.

Segala-galanya hatta prinsip serta teras perjuangan boleh dikorbankan demi matlamat rakus tersebut.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: