Saturday, March 5, 2011

kerdau


Penduduk Gunung Senyum dapat sekolah, masjid baru


Syed Ibrahim Syed Ahmad bertanya khabar penoreh getah, Sofian Osman ketika berkempen di Kampung Tekal, Kerdau, Kuala Krau, semalam.

KUALA KRAU 4 Mac - Penantian penduduk di Kampung Gunung Senyum untuk mendapat sekolah dan masjid baru akan berakhir tidak lama apabila kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM8 juta bagi pembinaan dua kemudahan tersebut.

Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Said pada majlis ramah mesra Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama penduduk Rumpun Makmur di sini hari ini.

Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM6 juta bagi membina sekolah baru itu akan disalurkan pada pertengahan tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan RM2 juta lagi untuk pembinaan masjid baru.

''Pembinaan sekolah itu akan menyelesaikan masalah penduduk di Gunung Senyum kerana sekolah sedia ada agak jauh dari kampung mereka," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Ismail memberitahu, sebanyak enam projek kecil juga diluluskan oleh kerajaan untuk dilaksanakan di Kampung Gunung Senyum terutama yang melibatkan kemudahan awam.

Pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri turut menyerahkan surat persetujuan pemberian peruntukan RM2 juta bagi membina masjid baru untuk penduduk kampung terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Gunung Senyum, Ahmad Abdul Ghani berkata, kedua-dua projek tersebut akan memberi keselesaan kepada mereka kerana kemudahan sedia ada terletak agak jauh.

''Sekolah dan masjid sedia ada terletak lebih lima kilometer dari penempatan penduduk di sini. Sudah dua tahun kami membuat permohonan itu kepada kerajaan bagi keselesaan penduduk," jelasnya.

Katanya, projek itu nanti akan memberi kemudahan kepada penduduk di Kampung Gunung Senyum, Rumpun Makmur, Kampung Pulau Raya dan Seberang Kuala Krau untuk menghantar anak mereka ke sekolah baru tersebut kerana ia lebih dekat.

Setiausaha Masjid Kampung Gunung Senyum, Azeman Mohamed, yang menerima surat persetujuan tersebut daripada Muhyiddin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi perhatian terhadap permohonan mereka itu.

Katanya, pembinaan masjid itu akan memudahkan lagi penduduk untuk beribadat kerana kedudukannya yang lebih dekat.

No comments:

Post a Comment