Monday, February 28, 2011

Xde Idea

Polemik 'dinasti' Pas

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
DI Merlimau ketika ini Pas dikatakan tidak senang duduk. Semuanya serba tidak kena kerana tiada isu kukuh yang boleh dipolitikkan. Jenis isu mana yang mahu dikontroversikan untuk berdepan dengan BN menjadi kemelut Pas. Kalut Pas membawa kepada tindak-tanduk calonnya, Yuhaizad Abdullah yang dilihat lebih banyak berdiam diri dan kurang berinteraksi apabila ditanya media mengenai visinya untuk pengundi Merlimau.

Sebaliknya, dia hanya sekadar menyerahkan kepada kepimpinan Pas Melaka dan Pusat untuk menyusun strategi mencipta isu yang sesuai. Kerana ketiadaan isu konkrit inilah maka Ketua Dewan Pemuda Pas Melaka, Kamaruddin Sidik cuba menguji pengundi dengan mencetuskan isu 'dinasti dan legasi' yang mahu dikaitkan dengan calon Barisan Nasional (BN), Roslan Ahmad.

Meskipun pemilihan Roslan dilihat ramai pemerhati tidak bersandarkan latar belakang politik arwah bapanya, Datuk Ahmad Ithin yang meninggal dunia pada 1991 dan bapa saudaranya bekas Ketua Menteri, Datuk Seri Abu Zahar Isnin yang tidak lagi mengetuai kerajaan Melaka pada 1999 lagi, Kamaruddin tetap tidak 'putus asa'.

Malah, dengan senang hati pula dan tanpa membuat 'kerja rumah', Kamaruddin mendakwa BN yang diwakili UMNO mengamalkan sistem dinasti secara turun temurun bagi jawatan pemimpin dari bapa kepada anak. Yang menjadi mangsa ialah Roslan. Soal jarak masa bapa dan bapa saudaranya tidak lagi berada dalam kerajaan negeri dengan tarikh beliau dinamakan sebagai calon BN bukan lagi persoalan.

Dakwa Kamaruddin, amalan 'dinasti' itu telah lama berlaku dalam UMNO, malah beliau mendakwa lagi kononnya 'orang ramai yang saya temuipun telah menyuarakan rasa tidak puas hati dengan perkara ini'. Benarkah?

Mungkin Kamaruddin sengaja tidak mahu menyamakan perkataan 'nepotisme' untuk 'dinasti'. Barangkali untuk mengelirukan pengundi Merlimau bahawa realiti sebenarnya ialah pihak pembangkanglah yang amat menjuarai dalam hal ini.

Kamaruddin sewajarnya melihat amalan 'dinasti' ini yang mana para pemimpin yang menerajui sesebuah parti menurunkan kuasa kepada anak beranaknya untuk jawatan tertinggi dalam DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) - sekutu utama Pas dalam pembangkang.

Cuba Kamaruddin renung-renungkan dua perkataan iaitu kronisme & nepotisme (juga dinasti) yang menjadi modal Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyerang UMNO dan BN. Sebenarnya yang kuat mengamalkan kronisme dan nepotisme adalah Anwar sendiri.

Sejak beliau memegang jawatan di dalam Kabinet sehinggalah menjadi Ketua Umum PKR, amalan itu tidak pernah lekang daripada beliau. PKR menjadi sebuah parti anak beranak dan kroni Anwar sekeluarga apabila Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai menyandang jawatan Naib Presiden parti itu. Si ayah menjadi ketua umum, si ibu menjadi presiden dan si anak pula naib presiden.

Anwar bertindak ala pengurus kempen pula kepada semua calon pilihan semasa bertanding kepimpinan Pusat PKR. Beliau mahukan orangnya menguasai keseluruhan parti dari peringkat cabang sehinggalah ke peringkat pusat. Apabila Kamaruddin melabelkan UMNO sebagai parti yang mengamalkan kronisme dan nepotisme, seolah-olah dia membuka pekung sendiri.

Segala apa yang ditohmah oleh Kamaruddin terhadap Roslan di Merlimau kini kembali kepada diri Pas, partinya yang bersekutu dengan PKR yang paling ketara mengamalkan 'dinasti' dan kronisme ini.

Demikian jugalah wujud dinasti politik lain seperti gandingan pemimpin DAP, Lim Kit Siang dengan Lim Guan Eng dan isterinya Betty Chew, selain Karpal Singh dengan Gobind Singh Deo dan Jagdeep Singh Deo.

Kamaruddin sewajarnya bermuhasabah diri. Seperti mana kata Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemilihan Roslan sebagai calon pilihan raya kecil DUN Merlimau itu dibuat berdasarkan merit.

Perhubungan dan pertalian tidak boleh diambil kira, malah tidak dapat dielakkan. Yang penting adalah penilaian pucuk pimpinan terhadap potensi Roslan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Sunday, February 27, 2011

Masuk UMNO

1,800 penyokong Pas sertai UMNO

Oleh TOREK SULONG
pengarang@utusan.com.my
PASIR PUTEH 26 Feb. - Kira- kira 1,800 ahli dan penyokong Pas dari Parlimen ini menyertai UMNO dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini selepas mereka menyedari tertipu dengan perjuangan parti pembangkang itu.

Dalam perkembangan terbaru, 30 bekas ahli Pas termasuk pemimpinnya dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selising menyertai UMNO Cawangan Kampung Wakaf Bunut.

Mereka menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Zawawi Othman dalam satu majlis di Dewan Tabika Kampung Wakaf Bunut, di sini hari ini.

Zawawi berkata, kesemua bekas ahli Pas itu mengikut jejak langkah bekas Ketua Penerangan Khas Pas DUN Selising, Nordin Daud, 48, dan Ketua Pas Cawangan Kampung Wakaf Bunut, Mohd. Soleh Mat Hassan, 66, menyertai UMNO.

"Hari ini bekas ketua pengawal keselamatan, ketua Pemuda, ketua Muslimat dan ahli jawatankuasa Pas cawangan itu yang bersama parti itu selama 40 tahun menyatakan pendirian mereka menyertai UMNO.

"Ini membuktikan satu gelombang perubahan yang memberi laluan kepada UMNO dan Barisan Nasional untuk bertapak kembali di Kelantan.

"Apa yang perlu kita (kepimpinan UMNO) lakukan ialah terus memberi perkhidmatan kepada rakyat di peringkat akar umbi walaupun kita sebenarnya bukan wakil rakyat yang sepatutnya lebih bertanggungjawab dan cakna terhadap permasalahan rakyat," katanya ketika ditemui selepas majlis tersebut.

Dr M

Nik Aziz patut bersyukur - Dr. M

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.com.my
PASIR SALAK 26 Feb. - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat patut bersyukur dilahirkan sebagai orang Melayu yang tentunya beragama Islam.

Beliau berkata, Melayu adalah bangsa yang unik di dunia kerana mengikut Perlembagaan, orang Melayu mesti bertutur dalam bahasa Melayu, mengamalkan adab Melayu dan beragama Islam.

"Sekiranya Nik Aziz dilahirkan sebagai orang Vietnam atau Laos, belum tentu Menteri Besar Kelantan itu menjadi umat Islam.

"Oleh kerana ibu bapa beliau orang Melayu, maka Nik Aziz pun dilahirkan sebagai orang Islam dan berpeluang belajar agama Islam," katanya.

Beliau berucap di hadapan lebih 15,000 orang yang hadir pada Perhimpunan Melayu Perkasa Perak anjuran Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) di Pulau Datuk Sagor di sini hari ini.

Dr. Mahathir juga berkata, Nik Abdul Aziz sanggup menidakkan hak Melayu dan mengatakan nasionalis seperti beliau tidak Islam hanya kerana inginkan sokongan bukan Islam.

Tegas beliau, tiada siapa pun yang berani mengatakan mereka yang berjuang untuk bangsa Melayu Islam adalah tidak Islam.

"Apabila berkempen, beliau kata nasionalis tidak Islam tetapi hanya mereka yang sokong Pas adalah Islam.

"Kalau begitu, orang Islam di Malaysia ini berkurangan sebab lebih ramai tidak menjadi ahli Pas daripada menjadi ahli parti itu," ujarnya.

Bekas Perdana Menteri itu sebelum ini mendakwa Nik Abdul Aziz mengkafirkan beliau kerana Menteri Besar Kelantan itu mendakwa 'sokong Pas ertinya sokong Islam'.

Dr. Mahathir menambah, walaupun orang Melayu dianggap perkauman kerana mempertahankan hak mereka yang tinggal sedikit, ia tidak merubah hakikat bahawa mereka adalah orang Melayu.

"Perjuangan kita adalah perjuangan mulia untuk mendapatkan tempat kita di negara kita dan sekarang, kita tidak boleh sebut Melayu di negara kita sendiri.

"Namun, hakikatnya, kita masih orang Melayu yang mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan kepentingan kita supaya tidak dirampas daripada kita," katanya.

Beliau juga meminta orang Melayu supaya berhati-hati membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 agar tidak memilih mereka yang tamak dan mementingkan diri sendiri sebagai pemimpin.

Pada sidang akhbar, Dr. Mahathir menganggap orang Melayu masih keliru untuk menyatakan sokongan mereka walaupun banyak yang sudah dilakukan oleh kerajaan sedia ada dalam membantu mereka.

Menurut beliau, berbanding di negara lain, kerajaan Malaysia menyediakan peluang pekerjaan dan memberikan biasiswa pendidikan kepada rakyat terutama orang Melayu.

"Orang Melayu keliru dan tidak tahu hendak pergi ke mana. Kerajaan tolong pun mereka masih keliru.

"Ada negara yang kerajaannya langsung tidak tolong rakyat. Kerajaan kita wujudkan peluang kerja sampai ada banyak pekerjaan tetapi orang tidak mahu kerja," katanya.

Pada sidang akhbar sama, Dr. Mahathir berkata, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tidak perlu meletak jawatan kerana mempertikai pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda.

"Saya tidak fikir dia perlu letak jawatan. Itu dia punya pendapat, kita tidak perlu dengar," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

siswasah sudah naik lemak

Ohhh pelajar Melayu

Pilihan raya kampus sekali lagi menjadi isu. Kali ini makin panas dan tegang. Di Universiti Putra Malaysia (UPM) misalnya, lima pengawal keselamatan cedera kerana terpaksa mengawal demonstrasi pelajar. Di Universiti Malaya (UM), ada calon yang didakwa berbohong dan pura-pura menghilangkan diri.

Awang tidak berminat untuk mengulas tentang keputusan pilihan raya. Yang lebih mengganggu fikiran ialah budaya berpolitik yang tidak sihat di kalangan pelajar kita terutamanya Melayu.

Ketika ramai pelajar bukan Melayu menumpukan perhatian kepada pengajian, pelajar Melayu lebih ghairah berpolitik. Emosi lebih menguasai mereka. Sudahlah ramai pelajar Melayu sekadar sederhana dalam prestasi akademik, malas membaca, lemah pengetahuan am dan kurang keyakinan diri, ia diburukkan lagi dengan sentimen berpolitik ala samseng. Seorang pemimpin pelajar Cina di UKM turut membantah akhlak yang diperlihatkan oleh golongan pelajar Melayu yang bersikap biadap dan melanggar peraturan universiti. Awang setuju. Gedung ilmu jangan dijadikan medan melahirkan samseng politik. Adakalanya Awang terfikir, apakah mereka ini layak berada di universiti. Jika itulah sikapnya, beri sahaja peluang kepada puluhan ribu pelajar yang sememangnya mahu melanjutkan pengajian di universiti awam tetapi tidak mendapat tempat.

Awang sedih dengan kualiti ramai pelajar Melayu di menara gading sekarang. Ketika rata-rata pelajar Cina dan India bertungkus lumus meningkatkan kecemerlangan, pelajar Melayu pula hebat memekik dan melolong. Baru pilihan raya kampus, sudah riuh rendah dan kecoh seolah-olah ia menentukan masa depan negara. Rasanya jarang berlaku di negara lain yang pilihan raya kampusnya bermasalah besar. Walaupun bukan semua tetapi golongan inilah yang memburukkan lagi imej pelajar Melayu keseluruhannya. Kalut berpolitik tetapi tiada kesedaran serta cetek pemikiran strategik. Apakah yang boleh diharapkan apabila mereka lulus kelak? Jika itulah generasi untuk mengisi negara maju kita suatu hari nanti, Awang akan banyak geleng kepala dan selalu tarik nafas.

Yang lebih Awang bimbang, universiti awam kita akan menjadi lubuk ekstremisme. Bibit-bibit ke arah itu sudah ada.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

hindraf berkuasa ke?

Hindraf berkuasa...

Tiada ungkapan yang boleh menggambarkan betapa pertubuhan haram Hindraf sudah melampau. Aneh pertubuhan itu telah lama diisytiharkan haram tetapi masih bergerak bebas. Sudah banyak ketegangan dan kekecohan yang dicetuskan oleh Hindraf namun ia kelihatan terus gagah. Pertubuhan tersebut pernah banyak kali memfitnah dan memburuk-buruk negara serta kerajaan di peringkat antarabangsa dan setakat ini, tiada permohonan maaf. Terbaru, Hindraf merancang mengadakan perhimpunan haram di KLCC, hari ini. Banyak pihak termasuk NGO seperti Perkasa telah melahirkan bantahan sementara orang ramai turut bimbang.

Belum pudar daripada ingatan masyarakat negara ini bagaimana demonstrasi haram Hindraf pada 2008 telah menggugat keamanan negara dan keharmonian kaum. Aktiviti ekonomi di ibu negara turut terjejas.

Awang sangat berharap Kementerian Dalam Negeri dan pihak polis lebih mengambil serius hal ini. Orang ramai sudah bosan dengan pendekatan pihak berkuasa yang banyak berlembut dan bertolak ansur. Ia hanya memberi isyarat yang salah kepada majoriti rakyat yang menjadi warga bertanggungjawab. Awang juga berharap polis akan lebih pro aktif dalam pendekatannya. Janganlah hanya kerana Hindraf, banyak sekatan jalan raya di ibu negara diadakan dan seperti biasa yang akan menanggung kesusahan adalah rakyat. Adalah lebih baik mengambil langkah pre-emtif dengan menahan terlebih dahulu aktivis dan pemimpin Hindraf sebelum pun mereka berada di KLCC. Polis boleh berbuat demikian kerana beberapa kenyataan Hindraf untuk mengadakan demonstrasi tanpa permit itu sudah boleh dikategorikan mengancam keselamatan. Awang boleh menduga siapa yang menjadi dalang kepada rancangan itu. Ia dipercayai ada kaitan dengan seorang tokoh pembangkang. Tujuannya bagi mencetuskan huru-hara dan dia akan mendapat faedah politik. Sebahagian pemimpin Hindraf ini juga memang menunggu mereka diberkas untuk strategi tertentu dan sebab itu mereka berani melakukan provokasi secara berterusan. Tetapi pedulikan. Walaupun ada pandangan bahawa kita kononnya akan terperangkap dengan muslihat mereka, tidak mengapa. Keselamatan negara dan rakyat tidak wajar diperjudikan. Apa istimewanya Hindraf sehingga diberi banyak kelonggaran dan seolah-olah berkuasa? Awang juga ingin sarankan agar pihak berkuasa menyiasat pertubuhan haram itu jika ada kaitan dengan aktiviti militan dan jenayah yang lain, sama ada secara langsung mahu pun tidak langsung. Kepada para pemimpin, Hindraf, jika mereka merasakan semua perkara di Malaysia ini buruk, elok sahaja mereka berhijrah ke negara lain. Jangan jadi golongan yang tidak sedar diri dan tidak tahu di untung.

Awang tidak mahu meneruskan tulisan ini kerana mendidih darah, malah terasa malu dan dayus. Hanya kerana sebuah pertubuhan haram, kita semua seperti menjadi tebusan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saturday, February 26, 2011

Mahasiswa Pembangkang

Mahasiswa dibimbangi jadi 'kader' pembangkang

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Golongan mahasiswa di negara ini seharusnya menumpukan perhatian kepada pelajaran dan tidak terikut-ikut dengan rentak pembangkang.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, perkara yang berlaku pada pilihan raya kampus di universiti awam baru-baru ini cukup membimbangkan kerana mahasiswa dilihat cuba dijadikan alat politik pembangkang.

Ini jelasnya, sebagai usaha mereka menguasai kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

"Bukan rahsia lagi bahawa pembangkang khususnya Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadikan mahasiswa sebagai alat untuk meneruskan gerakan reformasi membangkitkan kemarahan rakyat terhadap kerajaan.

"Kita tidak pernah takut untuk berdepan dengan Anwar tetapi kita kesal kerana mahasiswa sepatutnya menumpukan perhatian kepada pelajaran.

"Lebih dikesali, universiti dijadikan gelanggang politik oleh pembangkang untuk melebarkan pengaruh mereka di kalangan mahasiswa," katanya dalam blognya, http://umnobahagiancheras.blogspot.com hari ini.

Rabu lalu, lima pengawal keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) cedera termasuk seorang terpaksa menerima 16 jahitan di tangan semasa cuba menghalang sekumpulan penuntut promahasiswa memasuki pejabat pentadbiran Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.

Mereka bertindak mengadakan demonstrasi hampir 17 jam memprotes tindakan HEP membatalkan kemenangan 11 calon promahasiswa.

Syed Ali berkata, berkaitan pilihan raya kampus, pembangkang dilihat cuba meracuni pemikiran mahasiswa dengan ideologi politik radikal apabila menjadikan revolusi politik di Asia Barat sebagai aspirasi perjuangan mereka.

Beliau seterusnya menggesa kerajaan memantau kemungkinan gerakan pembangkang di universiti didalangi kakitangan serta pentadbir universiti berkenaan.

"Kita bimbang ada 'musang berbulu ayam' yang cuba menyerap fahaman radikal dan politik liberal di kalangan mahasiswa bagi menjayakan agenda Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN)," tegasnya.

Dalam perkembangan lain, beliau turut menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan kononnya Anwar akan mengadakan 'perhimpunan rakyat' di Dataran Merdeka dalam masa terdekat ini termasuk mengheret pembabitan mahasiswa.

"Jika benar, saya berharap polis perlu bertindak pantas menanganinya," tambahnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Hasan Ali

Hasan Ali bakal disingkir?

SHAH ALAM 25 Feb. – UMNO Selangor tidak menolak kemungkinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menyingkirkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Datuk Dr. Hasan Mohamed Ali daripada senarai Exco Selangor.

Ketua Penerangannya, Abdul Shukor Idrus berkata, beliau difahamkan, Hasan yang ketika ini memegang portfolio Hal Ehwal Agama, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam merupakan antara calon yang akan digugurkan sekiranya rombakan barisan Exco negeri dibuat.

Menurutnya, penyingkiran Hasan bakal berlaku kerana Pesuruhjaya Pas Selangor itu dilihat seringkali tidak sehaluan dengan dasar Abdul Khalid melibatkan pentadbiran Selangor antaranya isu penjualan arak, pusat hiburan, rumah urut dan sebagainya.

Yang terbaru ujarnya, tindakan Hasan yang tidak menyokong tindakan kerajaan negeri membantah pelantikan Datuk Mohammed Khusrin Munawi sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

“Menteri Besar (Abdul Khalid) sebelum ini menyatakan kemungkinan akan mengadakan rombakan Exco kerajaan negeri dengan alasan untuk memantapkan pentadbiran. Saya tidak menolak kemungkinan Hasan merupakan antara senarai calon Exco yang bakal digugurkan.

“Saya berpandangan bahawa Hasan sebelum ini dilihat seolah-olah sebagai ‘berhaluan kiri’ dalam pentadbiran kerajaan negeri dalam beberapa isu. Malah, khabar angin mengenai kedudukan Hasan ini turut tersebar luas menerusi laman-laman blog.

“Sekiranya benar dakwaan ini, ia hanyalah percaturan politik di antara DAP dan PKR yang melihat bahawa Pas sebenarnya tidak memberi apa-apa kepentingan kepada mereka.

“Jika PKR dan DAP mahu menggugurkan Exco, mereka boleh berbuat demikian terhadap Ronnie Liu kerana banyak mencetuskan masalah kepada pentadbiran,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada 21 Februari lalu, Abdul Khalid menerusi laporan sebuah portal berita mengesahkan telah mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan dalam pihak pembangkang di negeri itu mengenai kemungkinan merombak barisan Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, perbincangan itu diadakan bagi mengukuhkan lagi pentadbiran kerajaan Selangor tetapi beliau enggan memberikan penjelasan lanjut mengenai perbincangan itu.

Bagaimanapun, Abdul Khalid kemudian menafikan akan mengadakan rombakan tersebut pada 23 Februari lalu apabila menyatakan tiada sebarang perbincangan mengenai perkara itu melibatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Dalam perkembangan lain, Abdul Shukor meminta kerajaan negeri supaya melaksanakan audit terhadap Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa tidak memberi apa-apa keuntungan kepada pembangunan di Selangor.

Katanya, pelaksanaan audit berkenaan haruslah disusuli dengan penilaian terhadap sumbangan pelaburan yang telah dibawa masuk oleh Anwar ke Selangor termasuk kos kewangan operasi yang dibelanjakan pejabat penasihat ekonomi negeri itu.

“Sejak kerajaan negeri lantik Anwar sebagai penasihat ekonomi pada 2009, berapa banyak sumbangan yang beliau berikan kepada negeri? Jika diikutkan jumlah pelaburan di negeri ini tidak begitu memberangsangkan seperti sebelum 2008.

“Malah, pelaburan di negeri ini dilihat hasil kerja keras yang dilakukan Kerajaan Persekutuan menerusi insentif-insentif dan dasar pentadbiran pusat di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” tegasnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, February 25, 2011

Sekolah Bodoh Politik pandai

Pilihan raya kampus, Utusan Rakyat dan Selangor Terkini

PILIHAN raya kampus kali ini tercemar apabila tindakan sekumpulan mahasiswa membuat bantahan sehingga menyebabkan berlaku kecederaan dan kerosakan harta benda universiti. Peristiwa berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Sehubungan dengan itu, Sarfarizmal Saad (sarfarizmalsaad.blogspot.com) menganggap perbuatan kumpulan mahasiswa terbabit telah mencemarkan nama baik mereka sendiri yang sebelum ini disanjung tinggi kerana tahap intelektualnya.

Katanya, walaupun tindakan ganas itu dilakukan segelintir daripada mereka, tetapi ia cukup mengubah tanggapan masyarakat terhadap keintelektualan mahasiswa keseluruhannya.

"Demokrasi memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuat pilihan. Demokrasi, kerana ketidaksempurnaannya, juga mempunyai kelemahannya. Ketidaksempurnaan inilah yang digunakan oleh sesetengah pihak untuk menyalahgunakan demokrasi itu sendiri," katanya.

Beliau berkata, sikap dan akhlak mahasiswa kita hari ini adalah penting kerana merekalah yang akan mencorakkan pembangunan bangsa dan negara pada masa depan.

"Sekiranya pegangan kumpulan pro-mahasiswa masih berlandaskan 'keganasan', kemungkinan besar Malaysia akan menghadapi masalah serius seperti apa yang sedang berlaku di Timur Tengah.

"Asasnya, kedaulatan undang-undang harus menjadi pegangan mahasiswa kerana tiada sesiapa boleh dikecualikan daripada undang-undang," katanya.

Khairul Rizal Osman (khairulryezal.blogspot.com) pula berkata, pilihan raya kampus kali ini banyak dicemari keganasan dan insiden ala-penjenayah yang diketuai oleh beberapa mahasiswa yang sealiran dengan corak gerakan pembangkang di luar kampus.

Beliau berkata, keganasan para mahasiswa itu juga boleh dikaitkan dengan tindakan kerajaan yang memberi kebenaran kepada mahasiswa untuk berpolitik sehingga ada di antara mereka beberapa kali gagal dalam peperiksaan kerana terlaku aktif berpolitik.

"Adalah diharapkan perjuangan yang menjijikkan berasaskan kepada tindakan ganas, samseng dan drama yang tidak berkesudahan ini hendaklah dihentikan dalam pilihan raya kampus.

"Pihak kerajaan dan universiti seharusnya tidak tunduk dengan desakan pelampau kampus ini yang didalangi oleh pakatan pembangkang," katanya.

Sementara blog RBF Online (ruangbicarafaisal.blogspot.com) yang mengulas tentang cadangan penerbitan akhbar Utusan Rakyat berkata, penerbitan akhbar berbahasa Melayu itu jelas didalangi oleh pihak pembangkang.

Sambil mengemukakan salinan kertas cadangan penerbitan akhbar tersebut, penulis blog ini berkata, penerbitan akhbar yang kononnya berasaskan kebebasan, etika dan profesionalisme kewartawanan itu hanya untuk mengelabui mata orang ramai.

"Sebenarnya, rancangan penubuhan akhbar Utusan Rakyat adalah rancangan PKR (Parti Keadilan Rakyat). Untuk mengabui mata rakyat kononnya mereka tidak terlibat dalam penerbitan itu, maka mereka gunakan si kitol Hata Wahari (Presiden Kesatuan Wartawan Malaysia (NUJ) ) sebagai alat mereka.

"Perkara ini telah dibincangkan dalam satu forum pada 15 Februari lalu yang mana dalam forum itu Hata yang kononnya bebas turut sama membentangkan kertas kerja bagaimana cara untuk menjatuhkan kerajaan BN (Barisan Nasional) dan cara untuk menjahanamkan Utusan Malaysia.

Manakala Adamyan dalam MyKMU.net (mykmu.net) di bawah tajuk "Utusan Rakyat vs Utusan Malaysia" pula berkata, PKR sengaja mahu menerbitkan Utusan Rakyat untuk mendekati orang Melayu, walaupun sebelum ini parti itu bermegah bahawa mereka ada sebuah parti pelbagai kaum.

"PKR yang dulu megah dengan status pelbagai kaumnya, kini cuba nak jadi macam UMNO pula - memperjuangkan hak Melayu dalam perlembagaan. Maka itu nak diterbitkan satu akhbar yang hampir menyerupai Utusan Malaysia bagi mencapai hasrat itu.

"Yang selama hari ini, dia sifatkan perjuangan mempertahankan hak Melayu dalam perlembagaan sebagai rasis itu apa? Dia gelar Utusan Malaysia itu akhbar rasis... itu dia dah lupa?," tulis beliau.

Selain dua penulis di atas, isu Utusan Rakyat juga disentuh oleh penulis blog lain antaranya blog Kita Gempur (www.kitagempur.com), House PK (parpukari.blogspot.com) dan Media Permatang Pauh (mediapermatangpauh.blogspot.com).

Sementara itu, blog Selangor Daily (www.selangordaily.com) membidas Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin apabila mempersoalkan akhbar Selangor Terkini oleh Badan Perhubungan UMNO Selangor yang dianggapnya sebagai penerbitan haram.

Katanya, Faekah tidak sepatutnya ambil tahu tentang Selangor Terkini kerana penerbitannya tidak melibatkan sama sekali anggota pentadbiran kerajaan negeri, sedangkan kerajaan pembangkang turut menerbitkan akhbar mereka tanpa permit.

"Faekah perlu menjelaskan kepada rakyat mengapa kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM1 juta sebulan untuk penerbitan Selangor Times yang diterbitkan setiap minggu.

"Mengapa perlu ada penerbitan Selangor Times, sedangkan kerajaan negeri telah menerbitkan Selangor Kini yang bertujuan menyampaikan maklumat kerajaan negeri kepada rakyat," katanya.

Kata beliau, sikap Faekah yang melatah keterlaluan mengenai Selangor Terkini tidak ubah seperti ayam yang kokok berderai-derai, ekor penuh tahi.

Kelolaan LUKMAN ISMAIL

lukman@utusan.com.my

7Wira Melayu

Gagah berani 7 Pahlawan Melayu

HAMPIR 70 tahun yang lalu, pada 15 Februari 1942, Singapura telah jatuh ke tangan Jepun semasa Perang Dunia Kedua. Peranan penting anak-anak Melayu dalam peperangan itu tidak dapat dinafikan melalui penglibatan mereka di dalam Rejimen Askar Melayu ketika mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura.

Menurut Lt. Kol. Dr. Syed Othman Syed Omar, penulis buku Rejimen Askar Melayu Diraja 1933-1968, walaupun Rejimen Askar Melayu adalah satu pasukan tentera yang masih muda, kecil, tidak pernah diuji dalam peperangan dan diragui kemampuannya, askar-askar Melayu telah berjaya mempamerkan keberanian dan profesionalisme yang cukup tinggi semasa Perang Dunia Kedua.

Anggota Kompeni D daripada Batalion ke-2 Rejimen Askar Melayu menunjukkan tahap profesionalisme yang tinggi semasa pertempuran di Sungai Bakap, Seberang Perai dan di Sungai Batu Pahat, Johor. Mereka telah berjaya melambatkan kemaraan Tentera Jepun dan membolehkan pihak British berundur ke Singapura.

Anggota Kompeni A dan Kompeni C, Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu pula menunjukkan keberanian mereka mempertahankan kubu mereka di Pasir Panjang dan Bukit Chandu sehingga ke titisan darah terakhir.

Umum tentu mengetahui tentang legenda keberanian Leftenan Muda Adnan Saidi daripada Batalion Pertama, Rejimen Askar Melayu (The Malay Regiment) yang terkorban mempertahankan Singapura daripada serangan Tentera Jepun pada 14 Februari 1942. Allahyarham diangkat menjadi ikon pahlawan negara yang disanjungi rakyat jelata melalui penulisan buku dan juga filem.

Semangat juang dan profesionalisme yang ditunjukkan oleh askar-askar Melayu semasa Perang Dunia Kedua telah berjaya menghakis tanggapan negatif pihak British bahawa orang Melayu mampu berdiri sama tinggi dengan askar-askar Komanwel yang lain.

Jeneral A.E Percival mengiktiraf kemampuan askar Melayu dalam kenyataannya: “Parajurit-parajurit yang masih muda dan belum diuji ini telah membebaskan mereka daripada tuduhan bahawa mereka tidak setanding dengan pasukan terbaik di Semenanjung Tanah Melayu apabila mereka membuktikan kekerasan hati mempertahankan Pasir Panjang di puncak peperangan di Singapura. Mereka telah menunjukkan teladan atas keteguhan dan ketahanan yang mana akan menjadi suatu tradisi yang masyhur di dalam rejimen dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang.”

Namun begitu, masih ramai tidak mengetahui selepas kejatuhan Singapura, anggota Rejimen Askar Melayu yang telah ditawan oleh pihak Jepun terus menunjukkan profesionalisme ketenteraan yang tinggi.

Apabila mereka ditahan pada 16 Februari 1942, pihak Jepun telah mengarahkan mereka supaya menanggalkan pakaian seragam mereka. Namun, beberapa pegawai Askar Melayu menentang perintah Tentera Jepun itu. Justeru pada 27 Februari 1942, sekitar jam lima petang, salah seorang saksi melihat pegawai-pegawai Askar Melayu itu dilucutkan pakaian seragam mereka dan dibawa keluar daripada tahanan. Mereka dipercayai dibunuh oleh tentera Jepun hanya semata-mata dek keengganan menanggalkan pakaian seragam mereka.

Pegawai-pegawai Rejimen Askar Melayu yang dipercayai dibunuh itu ialah:

* Leftenan Abbas Mohamed Said

* Leftenan Ariffin Hj Sulaiman

* Leftenan Wahid Mat Kidam

* Leftenan Raja Aman Shah

* Leftenan Abdullah Saad

* Leftenan Ibrahim Sidek

* Kapten Yazid Ahmad

Puan Sharifah Khadijah Hamid, isteri kepada Leftenan Ibrahim Sidek dalam satu temuramah pada tahun 2001 memberitahu: “Suami saya dan kawan-kawannya diarahkan oleh Jepun untuk menanggalkan uniform supaya boleh dibebaskan dan pulang ke pangkuan keluarga. Mereka enggan. Malah, mereka enggan menanggalkan lencana pangkat mereka. Seminggu selepas itu, Jepun membunuh mereka. Mayatnya tidak dijumpai. Kami tidak dapat melawat kuburnya.”

Pada 27 Februari 2011, genaplah 69 tahun mereka meninggalkan kita demi mempertahankan ibu pertiwi. Semoga jasa-jasa mereka ini terus dikenang masyarakat. Al-Fatihah.

ISKANDAR ISMAIL

Ampang, Selangor

dap

DAP usah cuba pengaruhi rakyat

Bahang Pilihan Raya Kecil (PRK) di Merlimau, Melaka sudah terasa. Semasa merasmikan pusat bilik gerakan pilihan raya kecil tersebut, Timbalan Pengerusi DAP, Tan Kok Wai berkata, rakyat boleh mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Timur Tengah dan seterusnya menjadikannya ilham untuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. Saranannya itu disiarkan dalam ruangan berita-berita penting Nanyang Siang Pau terbitan 21 Februari lalu.

Kok Wai berkata, kita tidak perlu ikut cara rakyat Mesir, Tunisia dan Algeria yang berarak ke kota-kota membantah kerajaan, sebaliknya rakyat negara ini yang disifatkannya telah matang, berfikiran waras dan adil boleh membuang undi untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Malah beliau berkata, jika negara ini mahu jadi kuat dan makmur berkembang, ia memerlukan sebuah kerajaan yang bagus dan akan membawa rakyat ke arah sama rata untuk semua, berlaku adil dalam mentadbir serta membawa hala tuju dan matlamat yang lebih maju.

Hakikatnya, Kok Wai tidak perlu mengingatkan lagi kerana seruannya itu telah lama menjadi kenyataan kerana kerajaan yang ada pada hari ini sememangnya telah dipilih oleh rakyat yang matang dan berfikiran waras. Pada saya, rakyat yang memilih Pakatan Rakyat (PR) bukannya rakyat yang waras dan matang, sebaliknya rakyat yang cetek pemikiran dan gelap hatinya.

Bangsa Melayu beragama Islam layak digelar pengkhianat bangsa dan agama sekiranya memilih PR kerana ia 'diketuai' DAP, parti yang sememangnya menentang penubuhan negara Islam dan hukum syariah serta menentang ketuanan Melayu walaupun ia sedikit pun tidak memudaratkan mereka (DAP).

Ustaz-ustaz dalam Pas yang bersekongkol dengan DAP hanya ustaz politik, bukannya agama. Buktinya mereka hanya sanggup 'syahid' kerana Karpal Singh, bukan kerana agama.

Untuk pengetahuan Kok Wai, Malaysia jauh berbeza dari Mesir, Tunisia, Yemen mahupun negara Arab yang lain. Pemimpin Mesir sememangnya layak ditumbangkan kerana Hosni Mubarak adalah nadi kepada tertegaknya Israel dan juga boneka Amerika. Tetapi atas dasar apakah Malaysia harus diperlakukan sebegitu sedangkan Malaysia jelas anti Israel, Islam terjaga rapi, rakyat tidak disekat kebebasannya?

Justeru, jika ada yang berusaha menjadikan Asia Barat sebagai ilham, ia hanyalah daripada puak-puak PR yang tujuannya hanyalah untuk kesinambungan kuasa dan politik, bukan demi rakyat dan agama.

Sebagai bangsa Melayu yang menyayangi tanah air dan agama dianuti, saya tidak akan sekali-kali menyokong PR kerana kesucian Islam dan keteguhan bangsa pasti tergadai. Saya tidak akan bersama dengan ulama dan Tok Guru politik.

Aqiel

Bandar Baru Bangi, Selangor

Wednesday, February 23, 2011

T Zafrol

Tengku Zafrul perlu mohon maaf secara terbuka kepada Isa Samad

PENJELASAN oleh Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar, bahawa kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz, berhubung pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda baru-baru ini adalah merupakan pandangan peribadi beliau, tidak dapat diterima oleh penyokong kerajaan.

Penjelasan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank tersebut bahawa kehadiran Tengku Zafrul pada forum berkenaan adalah atas kapasiti peribadi dan bukannya mewakili organisasi tersebut juga tidak boleh diterima.

Sebagai seorang yang terlalu bijak, Tengku Zafrul semestinya telah maklum bahawa penganjur forum berkenaan adalah satu organisasi media yang antikerajaan sedangkan beliau jelas membawa imej dan kredibiliti kerajaan Barisan Nasional.

Kenyataan Tengku Zafrul yang seseolah-olah memperlekehkan pelantikan yang dibuat Perdana Menteri itu telah menjejaskan imej Tan Sri Mohd Isa khasnya dan ahli politik kerajaan secara amnya.

Kenyataan Tengku Zafrul jelas satu penghinaan terhadap kewibawaan ahli-ahli politik kerajaan, terutama UMNO, sedangkan hakikatnya ahli-ahli politik UMNOlah yang bertanggungjawab mewujud, mengekal dan memajukan semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang unggul seperti TM, Petronas, TNB termasuklah Maybank sendiri.

Tanpa peranan dan kewibawaan ahli-ahli politik UMNO, siapalah Tengku Zafrul untuk berkhidmat di sebuah syarikat gergasi perbankan seunggul Maybank. Mahukah bank lain memberi ruang dan mengangkat Tengku Zafrul sebagai Ketua Pegawai Eksekutif?

Penghinaan oleh Tengku Zafrul bukannya adegan daripada salah satu siri rancangan realiti Raja Lawak. Justeru, beliau perlu memohon maaf daripada Tan Sri Isa secara terbuka kerana penghinaan yang berlaku juga secara terbuka.

NORHISYAM MOHAMAD

Alor Setar, Kedah

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Perlekeh ATM

niat sebenar Tony Pua terhadap ATM didedah

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong hari ini mendedahkan niat sebenar Tony Pua melemparkan fitnah berhubung pembelian enam Kapal Tempur Pesisir (LCS) adalah bagi memburukkan imej Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di mata dunia.

Katanya, tindakan wakil rakyat DAP itu yang berselindung di sebalik perjuangan rakyat, adalah untuk memastikan ATM selaku angkatan bersenjata yang begitu berjasa dalam mempertahankan keamanan, tidak lagi dipercayai oleh semua pihak khususnya rakyat negara ini.

Pada masa sama, beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa perbuatan jahat Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP itu adalah bertujuan memaksa Kementerian Pertahanan dan ATM mendedahkan butir-butir kekuatan pertahanan negara, demi keuntungan politik pihak asing.

Sehubungan itu, Lum Yong yang juga salah seorang pengasas PKR menggesa kerajaan bertindak segera dengan memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara tersebut, agar ia menjadi pengajaran kepada semua ahli politik supaya jangan mempolitikkan isu pertahanan negara.

"Saya sudah berpuluh tahun dalam pembangkang. Pembangkang melalui Tony Pua mahu memburukkan imej ATM supaya semua pihak tidak lagi menaruh keyakinan dan kepercayaan kepada organisasi ini biarpun jasa ATM dalam menjaga keamanan tidak ternilai. Dia mahu jadi hero dengan merosakkan imej ATM.

"Dia juga ada niat lain meskipun sedar bahawa banyak maklumat berkait dengan ATM adalah sulit. Semuanya kerana kepentingan politik sempit pembangkang walaupun tuduhan yang mereka lempar langsung tidak disokong dengan bukti," katanya kepada pemberita di Bukit Antarabangsa, di sini hari ini.

Beliau mengulas tuduhan Tony Pua kononnya keputusan kerajaan meluluskan peruntukan RM6 bilion bagi membeli enam buah kapal LCS untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) adalah 870 peratus lebih mahal berbanding harga yang dibayar negara lain termasuk oleh Amerika Syarikat.

Tuduhan wakil rakyat DAP itu kemudiannya menjadi senjata makan tuan apabila pelbagai pihak tampil menafikan dan mengkritik beliau sebagai cetek pengetahuan berhubung ilmu ketenteraan termasuk Panglima TLDM sendiri, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Menyedari dirinya sudah terjerat dalam perangkap ciptaan sendiri, Tony Pua secara tiba-tiba 'bersembunyi', termasuk tidak menyahut cabaran supaya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika benar pembelian kapal itu diselubungi rasuah.

Mengulas lanjut isu itu, Lum Yong memberi tempoh seminggu kepada Tony Pua untuk mendedahkan bukti tuduhannya kepada SPRM atau satu laporan polis akan dibuat terhadapnya bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.

Kata Lum Yong, sebagai seorang wakil rakyat, Tony Pua mesti bertanggungjawab terhadap segala tuduhan dan kenyataan yang dibuatnya.

"Jangan jadi penakut dan bertindak seperti 'baling batu sembunyi tangan'. Jika benar dia berjuang atas nama rakyat, Tony Pua perlu dedahkan segala bukti kepada SPRM kerana agensi ini sedang menunggu bukti.

"Lagi pun ini bukan kali pertama Tony Pua menunjukkan standard yang cukup rendah bagi seorang ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Dia membuat kenyataan dan tuduhan berulang kali tanpa sebarang bukti. Budaya mempolitikkan semua perkara tidak patut wujud di negara ini," tegas Lum Yong lagi.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Hapus Hak Pelan2

Cara sistematik hapus hak bumi

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
pengarang@utusan.com.my
SHAH ALAM 22 Feb. – Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) negeri menyifatkan cadangan menghapuskan syarat tiga bulan bagi pemaju mendapatkan pembeli bumiputera dalam sesuatu projek perumahan di negeri ini sebagai satu cara sistematik untuk menghapuskan hak bumiputera.

Yang Dipertuanya, Abdulah Mansor berkata, sekiranya benar cadangan tersebut akan diluluskan oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, ia boleh dianggap langkah meminggirkan bumiputera di kawasan bandar.

“Kita membantah cadangan ini kerana penghapusan syarat tersebut jelas menunjukkan tiada lagi kuota bumiputera dalam pembelian kediaman di negeri ini.

“Ini kerana, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, pihak pemaju tidak perlu menunggu dalam tempoh tiga bulan sebaliknya bebas menjualnya kepada pihak lain sebelum tempoh itu atas alasan tiada pembeli bumiputera.

“Kita serius perkara ini dan seolah-olah satu cubaan kerajaan negeri untuk meminggirkan bumiputera dari segi pemilikan ekuiti khususnya di kawasan bandar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdullah berkata, cadangan tersebut dilihat sebagai penerusan kepada dasar meminggirkan bumiputera di kawasan bandar selepas kerajaan negeri mengumumkan projek mewah Datum Jelatek, Kuala Lumpur sebelum ini.

Katanya, lokasi asal tapak projek tersebut menempatkan pangsapuri Jelatek yang majoritinya didiami oleh golongan bumiputera.

“Kerajaan negeri buat projek mewah di kawasan itu dan berikan pampasan kepada para penghuni pangsapuri berkenaan.

“Projek itu adalah projek mewah yang tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan bumiputera. Maka, kita lihat ini satu langkah untuk mengusir bumiputera dari kawasan bandar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO negeri, Abdul Shukor Idrus berkata, pihaknya kesal dengan perancangan kerajaan negeri dalam soal itu yang dilihat hanya akan memburukkan lagi keadaan keseimbangan ekonomi dan pemilikan ekuiti antara kaum di negara ini.

Katanya, kesan itu sudah pasti berlaku golongan bumiputera masih lagi belum mencapai sasaran 30 peratus pemilikan ekuiti dan ekonomi termasuklah kuasa beli serta pendapatan mereka yang masih rendah berbanding dengan kaum lain di negara ini.

“Kerajaan negeri tidak sepatutnya hanya mengambil kira soal keuntungan semata-mata dalam soal ini dan membiarkan wujudnya ketidakseimbangan ekonomi dan sosial antara kaum di negeri ini,” katanya.

Cakap Perlu Hati2

Maybank perlu bertindak ke atas Tengku Zafrul - Perkasa

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Pihak pengurusan Malayan Banking Bhd. (Maybank) perlu mengambil tindakan sewajarnya terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maybank Investment Bank Bhd., Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berikutan satu kenyataannya terhadap sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) lain dalam satu forum terbuka baru-baru ini.

Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kassim berkata, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar perlu mengambil tindakan itu sebagai pengajaran kepada keseluruhan kakitangan dan pegawai Maybank.

Pada masa sama, tegasnya, ia juga akan menjadi iktibar kepada pegawai-pegawai organisasi lain khususnya GLC supaya berhati-hati dan bertanggungjawab dalam membuat kenyataan.

"Ia juga penting sebagai peringatan bahawa kebebasan bersuara bukan bermaksud sesiapa sahaja boleh membuat kenyataan secara semberono.

"Ini kerana ia boleh mengundang kesan negatif bukan sahaja kepada nama baik syarikat yang diwakili malah keseluruhan organisasi berkenaan," kata beliau kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Tengku Zafrul bahawa pelantikan Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad sebagai Pengerusi Felda telah memberi isyarat salah sehingga menyebabkan kebimbangan pasaran.

Kenyataan beliau itu seolah-olah mempertikaikan keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang melantik Mohd. Isa.

Ruslan menambah, Tengku Zafrul juga sepatutnya lebih bertanggungjawab kerana kehadiran beliau pada forum tersebut membawa gelaran CEO Maybank Investment Bank Bhd. dan mewakili Maybank.

TAJUK-TAJUK BERITA

Tuesday, February 22, 2011

Ceramah PS



Islam 'dikurung' di pejabat agama: Hadi


ALOR SETAR - Pas mendakwa Islam di negara ini ’dikurung’ di pejabat agama, malah skopnya juga disempitkan demi mempertahankan sistem sekular warisan penjajah.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Islam hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat, berbeza dengan pendekatan kepimpinan yang diamalkan Rasulullah SAW.

Menurutnya, selain menghakis Bahasa Melayu sebagai ‘jiwa’ bangsa, UMNO dan BN juga gagal mengurus ekonomi negara sehingga berlaku penyelarasan harga barangan yang bebankan rakyat.

“Kekayaan negara hanya berpusing dalam kalangan pemimpin atasan mereka sahaja dan tauke-tauke yang berkepentingan.

“Orang Melayu kena sedar, bila pilihan raya, tauke-tauke besar bagi duit kepada UMNO. Bila habis pilihan raya, harga barang diselaraskan sebab nak tolong tauke dia yang tolong dalam pilihan raya,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah di hadapan kira-kira 30,000 rakyat di perkarangan Kompleks Pas, Kota Sarang Semut, dekat sini, malam kelmarin.

Turut serta berceramah pada malam kemuncak Himpunan 30K Dewan Pemuda Pas itu adalah Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abd Razak dan Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani.

Abdul Hadi turut mengingatkan UMNO agar mengambil iktibar dari kejatuhan pemerintah Tunisia dan Mesir akibat kebangkitan rakyat yang ditindas pemerintah.

“Rakyat ni umpama ’spring’, sekiranya orang yang tekan spring sudah tidak mampu menahannya, spring itu akan naik ke muka orang yang menekan dan mencederakannya.

“Sebelum UMNO dimalukan dengan kejatuhan sebegitu, mereka perlu beri padang sama rata kepada parti politik lain dalam pilihan raya, agar kejatuhan mereka lebih bermaruah,” katanya.

Abdul Hadi berkata sudah tiba masanya Pas menggantikan UMNO untuk memerintah negara ini.

Beliau mendakwa, parti itu terbukti tidak mampu membawa keadilan Islam untuk rakyat semua kaum dengan sistem penjajah yang diwarisi mereka.

“Lebih memburukkan keadaan, sistem sekular itu sendiri merosakkan Islam dan sebagai buktinya umat Islam di Malaysia masih lemah walaupun dipimpin orang Islam sejak negara beroleh kemerdekaan.

“Kelemahan itu disebabkan kepimpinan Malaysia ini mewarisi pemikiran penjajah barat, pemimpin negara tidak berperangai Islam, tidak boleh tolong orang Islam, tidak boleh tunjuk contoh baik kepada orang bukan Islam,” katanya.

Justeru, Abdul Hadi mahu jentera Pas bekerja kuat untuk memastikan Pakatan Rakyat (PR) menggantikan UMNO pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Pertahankan Kedah. Kalau Kedah dan Kelantan tidak diperkuatkan, hendak pergi Putrajaya macam mana?

“Jangan cakap sahaja hendak Putrajaya, kerja malas, daftar pengundi tak buat, ceramah datang berbatu-batu, tapi nama daftar pemilih tidak wujud,” katanya.

Monday, February 21, 2011

Air xfree


“Mana air percuma kami?”

Oleh ABDUL YAZID ALIAS
kota@utusan.com.my

Penduduk pangsapuri Taman Permai Indah mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri Selangor kerana gagal memberikan air percuma seperti yang dijanjikan kepada mereka di Pandamaran, Klang, semalam.

KLANG 20 Feb. – Penghuni pangsapuri Taman Permai Indah, Pandamaran di sini kesal dengan sikap kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor yang didakwa berbohong dalam program pemberian air percuma kepada rakyat.

Mereka mengadakan bantahan hari ini bagi menyatakan rasa tidak puas hati kerana bekalan air percuma sebanyak 20 meter padu itu tidak dinikmati oleh mereka sehingga ke hari ini.

Kata mereka, walaupun program itu sudah diperkenalkan sejak 2008, penduduk pangsapuri itu masih membayar mengikut kadar meter pukal seperti biasa tanpa sebarang pengurangan.

Timbalan Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Permai Indah, A. Prakash berkata, selain tiada pemotongan terus pada bil air, kerajaan negeri juga tidak memberikan kupon untuk 5,000 penduduk di situ mendapatkan kemudahan tersebut.

“Kerajaan negeri mencanangkan bahawa mereka telah memberikan bekalan air percuma kepada rakyat tetapi kami tidak pernah pun menerima bantuan itu.

“Malah, kupon bantuan untuk penghuni pangsapuri yang menggunakan meter pukal juga kami tidak terima,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan bantahan terhadap kerajaan negeri bersama-sama para penduduk pangsapuri berkenaan di Pandamaran, di sini hari ini.

Tambah Prakash, selain bekalan air, kerajaan negeri juga tidak mengendahkan rayuan pihaknya agar memperbaiki jalan masuk ke pangsapuri berkenaan yang tidak diturap selain berlopak-lopak.

Malah, katanya, masalah itu turut diadukan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandamaran, Ronnie Liu tetapi tiada sebarang tindakan dibuat.

“Jalan masuk ke pangsapuri ini begitu teruk sekali. Paling membimbangkan ialah pada waktu malam kerana jalan ini tidak ada lampu jalan dan pernah berlaku kejadian samun di laluan berkenaan,” jelasnya lagi.

Seorang penduduk yang ditemui, G. Munusamy, 63, kecewa kerana kerajaan negeri tidak mengendahkan masalah dan kesusahan yang dihadapi oleh penduduk pangsapuri itu.

“Kami yang tinggal di sini bukannya orang kaya, kami perlukan perhatian dan bantuan yang sewajarnya. Kami mahu kerajaan negeri berikan apa yang dijanjikan,” katanya.

Pandangan sama turut diluahkan oleh seorang suri rumah, Leow Phi Hua, 45, yang terpaksa berhadapan dengan kesukaran setiap hari ekoran sikap kerajaan negeri.

Katanya, selain terpaksa membayar bekalan air pada kadar yang tinggi, dia juga mempunyai suami yang sakit dan memerlukan perhatian yang sewajarnya.

“Suami saya sakit, kos hidup pula tinggi. Jika kerajaan negeri tidak beri perhatian kebajikan rakyat, nasib penduduk seperti kami akan bertambah buruk,” ujarnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Pluralisme

Bertindak betulkan fahaman serong pluralisme

FAHAMAN pluralisme agama membawa maksud semua agama adalah sama dan benar. Namun hakikatnya Islam tidak boleh disamakan dengan agama lain kerana agama yang benar di sisi Allah hanyalah Islam.

Kini pemikiran golongan moderate mendakwa semua bidang bersangkutan dengan hak asasi hidup adalah sama termasuk agama. Dengan mudah kepelbagaian agama dianggap sama dan semua agama adalah sama.

Menggunakan konsep toleransi dalam agama dan mengajak masyarakat hidup dalam harmoni dan saling hormat-menghormati, maka yang ditekankan dalam pemikiran ialah semua agama di negara ini adalah sama.

Salah seorang pemimpin politik beragama Islam di negara ini yang sering membawa mesej fahaman pluralisme agama ialah Anwar Ibrahim.

Ternyata dalam mesej bekas pemimpin utama Angkatan Belia Islam itu kepada rakan twitternya, Anwar mempertahankan fahaman pluralisme agama. Walaupun sebelum ini Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi ingatan bahawa ia merupakan ancaman baru bagi umat Islam di negara ini.

Kita boleh faham kenapa Anwar mempertahankannya. Beliau ingin menggunakan fahaman pluralisme agama sebagai senjata untuk menarik sokongan orang bukan Islam kepadanya.

Anwar pernah mempertikaikan kedudukan Islam dan orang Melayu seperti yang diperuntukkan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tidak salah untuk menarik pengundi bukan Islam untuk menyokong mana-mana parti tetapi bukan dengan cara mempermainkan agama.

Perbuatan ini satu kesalahan yang amat besar kerana ia melibatkan soal akidah.

Konsep pluralisme agama ini juga sama sahaja tahap bahayanya dengan ajaran sesat, kerana ia menyerang umat Islam secara individu dengan menggoyahkan keyakinan, keimanan dan kefahaman terhadap kesucian agama Islam.

Paling menyedihkan serangan sebegini boleh mendorong umat Islam menjadi murtad tanpa mereka sendiri sedari.

Amat berbahaya jika akidah umat Islam sudah terpesong dan rosak akibat fahaman itu. Jadi fahaman ini harus ditolak.

Perkara-perkara melibatkan akidah seperti ini mesti kita betulkan. Kita boleh hormat agama lain tetapi jangan samakan Islam dengan agama lain.

Sebab itu bagi mengekang pengaruhnya para ulama, guru-guru agama, pihak berkuasa agama termasuk Jakim, Yadim, IKIM, jabatan dan majlis agama Islam negeri-negeri kena memantau dan menyedarkan umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan fahaman itu.

Jika tindakan tidak diambil dari sekarang, ia boleh merebak lebih besar. Apatah lagi fahaman ini boleh mengeliru dan menyesatkan umat Islam.

Sesungguhnya tidak ada umat Islam Malaysia yang tergamak membiarkan agama suci ini rosak akibat wujudnya pemimpin-pemimpin yang seperti ini.

Kepada Anwar, bertaubatlah dan segera kembali ke pangkal jalan. Usah terlalu mengikut nafsu mahu mencapai matlamat politik.

Anwar patut kembali mengamalkan ajaran Islam sebenar dan tidak perlu mengambil mana-mana fahaman lain untuk berpolitik.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Bahasa Melayu

Suruhanjaya Bahasa Negara!

APAKAH Malaysia mempunyai satu Dasar Bahasa Negara? Jawapannya: Ya dan benar! Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan mengkanunkan “Bahasa Kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan hendaklah ditulis dalam apa-apa tulisan sebagaimana yang diperuntukkan dengan undang-undang oleh Parlimen” dan Perkara 152 (6) menegaskan “Dalam Perkara ini,

maksud rasmi ertinya apa-apa jua maksud Kerajaan, sama ada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri, dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam.” Fungsi Bahasa Melayu diperkukuh lagi dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, disemak 1971.

Daripada kedua-dua sumber tersebut telah diperluas tafsiran terhadap kedudukan dan fungsi bahasa Melayu dalam beberapa undang-undang yang lain. Undang-undang tertinggi Malaysia itu menetapkan bahawa Bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan bagi negara Malaysia; Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi bagi melaksanakan maksud-maksud Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan dan rakyat Malaysia tidak dilarang menggunakan, belajar atau mengajar bahasa-bahasa lain.

Persoalan semasa sekarang di Malaysia ialah keperlahanan pelbagai sektor, awam dan swasta bagi melaksanakan tanggung jawab dan usaha ke arah mencapai matlamat strategik, memperkukuh fungsi utama bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Bahasa Melayu bukan satu bahasa yang kecil, tetapi peranan besarnya itu agak tidak menentu mulai pertengahan dekad 1990-an.

Apabila memasuki abad ke-21 bahasa Melayu menerima cabaran baru, berada di persimpangan jalan persepsi antara zaman globalisasi dan pengaruh liberalisasi. Bahasa Inggeris dianggap satu-satunya bahasa yang menjamin kemajuan, tanpa mengakuri bagaimana Jepun, Korea, Perancis dan Jerman maju. Lebih-lebih lagi kemajuan dikatakan sepenuhnya ditentukan sains dan teknologi yang pula disinonimkan dengan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

Kepemimpinan politik, organisasi industri, ekonomi dan dagang bagaikan hilang keyakinan terhadap kemampuan bahasa negara sendiri untuk berada di arus perdana kemajuan itu. Ada semacam kegagalan memahami fungsi lokal dan global, kepentingan jati diri, bahasa sebagai asas pembinaan tamadun bangsa dan bahasa dalam sistem pendidikan atau dalam sistem-sistem lain.

Senario baru menunjukkan penegasan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara semakin malap. Wujud keserongan persepsi yang beredar di fikiran politik.

Kajian Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1996 menunjukkan ‘bahawa bahasa kebangsaan belum dapat digunakan dengan meluas atau tidak memainkan peranan yang utama sebagai bahasa komunikasi bagi urusan komersial dan perdagangan dalam negeri, industri, sains dan teknologi, dan urusan-urusan dalam negeri yang lain.

Tempat bahasa Melayu itu diambil oleh bahasa-bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris. Malah, kualiti bahasa Melayu didapati merosot, terutama sekali apabila bahasa Melayu digunakan secara bercampur aduk dengan bahasa Inggeris’.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusan Tahun Baru 2011, menyeru rakyat, “Janganlah kita hanya berpuas hati dan berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian, tetapi marilah kita corakkan masa depan generasi hari ini.” Apakah natijah yang boleh digarap dan diaplikasikan dari kenyataan seorang ketua kerajaan kepada situasi bahasa di Malaysia?

Maknanya semua orang tidak harus berpuas hati dan berpeluk tubuh menjadi pengkritik di tepian apabila melihat bahasa sebagai asas peradaban bangsa kian terpinggir dan dipinggirkan. Mereka yang berkuasa di peringkat Kerajaan Pusat, negeri, badan berkanun, syarikat rangkaian kerajaan (GLC), pihak berkuasa tempatan dan organisasi swasta semestinya mengembalikan semula keyakinan bahawa bahasa kebangsaan itulah bahasa pembangunan negara dan pembinaan bangsa, bahasa yang menyatupadukan rakyat negara ini.

Apakah tidak ada kemungkinan diwujudkan sebuah Suruhanjaya Bahasa Negara (SBN)? Peranan dan fungsi DBP boleh diserapkan dengan diberikan peranan dan fungsi yang lebih luas. Cadangan ini telah saya sebut semasa Forum Wacana Bahasa Melayu, di Kangar pada 20 Januari 2011 dan terbaharu diulangi pada Hari Pejuang Bahasa 152 di Kuching, Sarawak pada 16 Februari, semasa saya menyampaikan ucap utama.

Sebuah suruhanjaya boleh bertindak melalui ‘kuasa’, ‘kuat kuasa’ dan ‘penguatkuasaan’ undang-undang menyelesaikan masalah pelaksanaan bahasa Melayu yang belum tercapai sepenuhnya sebagai bahasa rasmi.

SBN diberikan kuasa memantau bahasa kebangsaan yang berkualiti tinggi dan bercitra Malaysia atau sebagai bahasa pengantar pendidikan kerana ada masalah di sektor institusi pendidikan swasta.

Badan ini juga boleh menggerakkan perluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, perniagaan, perdagangan dan perkhidmatan kewangan atau meningkatkan prestasi bahasa Melayu sebagai bahasa penyelidikan, penciptaan dan pembangunan sains dan teknologi dan meluaskan penggunaan bahasa Melayu dalam amalan industri (kecuali IKS) dan bidang profesional (perubatan, kejuruteraan, kepeguaman, kewangan dan seumpamanya).

Penegasan semula pelaksanaan Dasar Bahasa Negara hendaklah dikenakan segera kepada semua jabatan sektor awam, sektor swasta dan organisasi umum.

Apakah senario kemerosotan bahasa Melayu itu disebabkan kelemahan bahasa itu atau kemahuan politik (political will) yang lemah? Apakah disebabkan gelombang bahasa Inggeris terlalu besar sehingga kita ikut berasa cemas dan bimbang. Apakah sesudah melangkahi garis lebih setengah abad kemerdekaan, bangsa Malaysia masih terkapai-kapai dihanyutkan gelombang sikap dan tabiat ‘tidak apa’?

Tabiat negatif terhadap bahasa Melayu ini akan mengakibatkan kesan yang lebih parah lagi dalam tempoh jangka panjang. Apakah kita rela menyaksikan anak cucu kita puluhan tahun akan datang luntur jati diri dan kehilangan keperibadian bangsa Malaysia? Mungkin kehidupan budaya nasional atau tempatan beralih secara ala Amerika (Anglo American atau Anglo Saxon) dengan nilai budaya, rasa dan selera budaya yang asing sama sekali!

Kita tahu dunia satu bahasa (monolingual) sudah tiada lagi. Rakyat Malaysia tahu keperluan menguasai bahasa-bahasa asing utama yang lain itu dengan baik. Cuma yang mana dijunjung, yang mana dikelek. Rasanya kini ‘Penegasan Semula Dasar Bahasa Negara’ memerlukan ‘Gerakan Baru’.

Sentuhan Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dinantikan. Kita mahu berpegang kepada matlamat untuk memperkukuh status dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa negara, bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi supaya dapat menjadi asas bagi pembinaan tamadun negara bangsa Malaysia dalam abad ke-21 ini.

Malaysia memerlukan perancangan strategik bahasa bagi penyelesaian masalah pembangunan, pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu sebagai bahasa negara menjelang tahun 2020. Bahasa Melayu itu sudah berada di martabatnya, boleh diperkasakan dengan melihat masalah-masalah utama, mengkaji isu-isunya dan menetapkan dasar penggunaan bahasa kebangsaan untuk semua sektor selaras dengan Program Transformasi Kerajaan (GTP) bermula dalam Rancangan Malaysia (RMK-10) 2011-2015 sekarang ini.

Datuk A Aziz Deraman ialah bekas Ketua

Pengarah DBP 1994-2004/bekas Ketua

Pengarah Kebudayaan 1981-1989

dan kini Ahli Jawatankuasa Gapena

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Dun Kerdau

Layakkah Pas ke Kerdau?

Oleh YUSRI SAHAT
pengarang@utusan.com.my
MUNGKIN tidak ramai yang menyedari bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau sebelum ini dikenali sebagai DUN Sanggang. Jika namanya tidak diubah selepas persempadanan semula yang dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2004, DUN Kerdau sebenarnya telah melalui dua kali pilihan raya kecil dalam tempoh 11 tahun.

Ketika itu, DUN Sanggang terletak dalam Parlimen Mentakab. Selepas persempadanan semula, DUN Sanggang diubah kepada DUN Kerdau dan diletakkan dalam Parlimen Kuala Krau. Parlimen Mentakab dimansuhkan dan kini hanya bertaraf DUN.

Uniknya dari segi politik, Kerdau terletak dalam Parlimen Kuala Krau tetapi dari segi geografi, ia berada dalam daerah Temerloh.

Berdasarkan statistik Pilihan Raya Umum (PRU) 2008, DUN Kerdau (N.28) mempunyai 8,721 pengundi berdaftar dan daripada jumlah itu 88.36 peratus atau 7,706 orang adalah pengundi Melayu, 455 pengundi Cina (3.6 peratus), India (3.4 peratus) dan 260 orang daripada lain-lain kaum (2.98 peratus).

Selain DUN Kerdau, tiga lagi DUN berada dalam Parlimen Kuala Krau yang disandang oleh Datuk Ismail Mohamed Said ialah Jenderak (N.27) dan Jengka (N.29) yang berkeluasan 13,214.5 hektar.

Berada kira-kira 20 kilometer dari bandar Temerloh, Kerdau mempunyai penduduk yang rata-ratanya menjalankan kegiatan pertanian kelapa sawit dan getah di bawah program Felda dan Felcra selain usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Terdapat tiga tanah rancangan dalam DUN Kerdau iaitu Felda Jengka 22, 23 an 25, selain mempunyai beberapa penempatan Orang Asli.

Mengikut rekod, pilihan raya kecil yang pertama bagi DUN Kerdau ialah pada 2000 apabila penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Abdullah Kia meninggal dunia.

BN berjaya mengekalkan kerusi apabila calonnya, Datuk Redzwan Harun yang memperoleh 6,743 undi menewaskan pencabarnya, Hishamuddin Yahya yang ketika itu merupakan Bendahari Pas, dengan majoriti 1,963 undi.

Pada PRU 1999, Abdullah menewaskan pencabarnya yang juga daripada Pas, Abdul Rahim Abdul Latif dengan majoriti 1,038 undi.

BN sekali dicabar oleh Pas pada PRU 2004 yang menyaksikan parti memerintah itu mengekalkan penguasaannya di DUN Kerdau selepas Redzwan menewaskan calon Pas, Dr. Abu Bakar Mohamed dengan majoriti yang tinggi iaitu 2,565 undi.

Bagaimanapun, Redzwan yang menyandang kerusi itu selama dua penggal, digugurkan apabila BN mempertaruhkan muka baru pada PRU 2008 iaitu Datuk Zaharuddin Abu Kassim yang berjaya mempertahankan kerusi DUN tersebut dengan majoriti yang agak rendah iaitu 1,615 undi selepas menewaskan Ketua Penerangan Pas Pahang, Hasanuddin Salim.

Perkembangan terkini menyaksikan DUN Kerdau sekali lagi terpaksa melalui pilihan raya kecil selepas kematian Zaharuddin pada 12 Februari lalu.

Berdasarkan PRU dan PRK yang dilalui di DUN Kerdau atau Sanggang sebelumnya, BN terus diberi mandat oleh pengundi meskipun jumlah majoritinya mengalami pasang surut.

Kemerosotan majoriti undi BN di DUN Kerdau banyak bergantung kepada isu semasa di peringkat nasional. Ketika tsunami politik melanda tanah air, BN masih mampu mempertahankan DUN Kerdau walaupun majoriti undinya merosot berbanding keputusan PRU 2004.

Bagaimanapun kini, tsunami politik itu telah pun berlalu. Boleh dikatakan tiada isu besar yang boleh membakar semangat rakyat untuk tidak menyokong kerajaan.

Sebaliknya, parti pembangkang terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) terus dilanda krisis sama ada di peringkat parti mahupun di negeri yang diperintahnya.

Dalam soal pemilihan calon di PRK Kerdau ini juga, pakatan pembangkang masih belum mencapai kata putus apabila Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu satu mesyuarat khas diadakan di kalangan parti sekutunya untuk menentukan calon yang bakal bertanding.

Sedangkan, Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man telah pun menegaskan bahawa parti itu akan mengumumkan calonnya pada Khamis ini.

Dalam soal ini, parti-parti komponen BN tidak berdepan masalah apabila calon daripada UMNO akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok atau lusa.

Berdasarkan keadaan politik semasa, BN dilihat berpeluang untuk mempertahankan kerusi DUN Kerdau pada PRK kali ini. Persoalannya ialah sejauh mana kemampuan BN untuk mempertingkatkan jumlah majoriti yang diraih berbanding PRU 2008.

Prestasi cemerlang pada PRU 2004 tidak mustahil dicapai jika BN menerusi Menteri Besarnya, Datuk Seri Adnan Yaakob yang dilantik sebagai Pengarah PRK BN bagi DUN Kerdau, bekerja keras bagi memastikan matlamat itu dicapai.

Bagi BN, PRK DUN Kerdau adalah maruah sebenar parti itu kerana ia terletak di negeri kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib pastinya tidak mahu kecewa untuk melihat PRK di negerinya kecundang. Kemenangan BN dengan majoriti di bawah 2,000 undi pada PRU 2008 masih belum terjamin untuk mengekalkan kerusinya di Kerdau jika tanpa usaha jitu daripada keseluruhan jentera parti.

Peluang ini juga dianggap masa terbaik untuk pakatan pembangkang yang selama ini beria-ia mahu merampas Pahang dalam pilihan raya akan datang selepas berjaya berbuat demikian terhadap Kedah dan Pulau Pinang.

Jika tidak, masakan Tuan Ibrahim sanggup melepaskan jawatannya sebagai Pengarah PRK BN bagi DUN Merlimau untuk beralih memberi perhatian sepenuhnya di Kerdau. Malah, Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya Pas Pahang disebut-sebut bakal bertanding untuk merebut kerusi DUN Kerdau pada 6 Mac ini.

Dua lagi yang turut disebut-sebut untuk dicalonkan ialah Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasruddin Hassan Tantawi dan Hassanuddin.

Penyenaraian calon-calon terbabit yang dianggap pemimpin kanan Pas itu membuktikan DUN Kerdau bukan tempat latihan bagi parti itu sebagaimana tanggapan mereka terhadap PRK DUN Merlimau.

Semua ini memberi mesej supaya BN tidak boleh memandang rendah kepentingan DUN Kerdau. Meskipun begitu, Pas juga perlu melalui ranjau yang sukar untuk memenangi hati pengundi di Kerdau memandangkan hampir tiada isu besar yang boleh dibangkitkan oleh parti itu dalam kempennya nanti.

Sekiranya terdesak, Pas bersama pakatan pembangkang yang lain mungkin terpaksa menggunakan taktik kotor dengan melakukan serangan peribadi terhadap pemimpin BN.

Rekod Pas juga tidak cemerlang dalam 15 PRK yang berlangsung sejak 2008 apabila mengalami kekalahan berturut-turut di DUN Bagan Pinang, Galas dan Tenang yang mula dipertikai rakan sekutunya.

Daripada 15 PRK sejak tiga tahun lalu termasuk di DUN Merlimau pada 6 Mac ini, Pas menyertai lapan PRK manakala PKR dan DAP masing-masing enam dan satu.

Berdasarkan rekod buruk itu, PKR turut mengintai peluang untuk meletakkan calonnya di Kerdau. PKR juga tidak miskin dari segi calonnya memandangkan parti itu mempunyai pemimpin tempatan terutama Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman dan Pengerusi Biro Masyarakat Felda dan Orang Asal, Suhaimi Said.

Di sebalik dilema yang dihadapi pakatan pembangkang, kerajaan BN pula memiliki rekod cemerlang di Kerdau apabila 85 peratus kawasannya telah dilengkapi kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air bersih dan jalan raya.

Bagaimanapun, seperti di tempat lain termasuk di negeri yang diperintah pembangkang, beberapa isu masih lagi berlegar di Kerdau yang membabitkan soal pentadbiran seperti soal tanah, penempatan, infrastruktur dan masalah bayaran tanam semula di tanah rancangan Felda.

Antara yang perlu diberi perhatian ialah isu penempatan kaum India di tanah milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di pekan Kerdau.

Isu itu sebenarnya sedang dalam proses penyelesaian tetapi ia memerlukan masa dan agak rumit kerana ia membabitkan pengambilan tanah dan soal teknikal yang lain.

Begitu juga dengan isu tanah perkuburan Cina yang dipohon oleh penduduk Tionghua yang selama in terpaksa mengebumikan mayat di Temerloh yang agak jauh.

Permohonan penduduk untuk menggantikan Masjid Kampung Ketam yang serba uzur juga perlu diberi perhatian serius.

Bagi masyarakat Melayu luar bandar yang sebahagian besarnya bergantung hidup dengan hasil getah dan sawit, dewasa ini dianggap sebagai era keemasan berikutan kenaikan harga komoditi itu di pasaran.

Kebanyakan mereka kini berpendapatan sekurang-kurangnya RM3,000 apabila harga getah mencecah sehingga RM17 sekilogram.

Bagi wakil rakyat BN yang bakal meneruskan kesinambungan perjuangan parti, isu-isu yang ditinggalkan oleh Allahyarham Zaharuddin perlu diteruskan.

Sesiapa sahaja yang dicalonkan nanti perlu membuktikan bahawa BN merupakan parti yang benar-benar mampu membela kebajikan rakyat di DUN Kerdau.

Muhyiddin akan mengumumkan calon BN yang bakal menggalas tanggungjawab untuk bertanding pada PRK DUN Kerdau pada 6 Mac ini.

Ada yang dengan berani meramalkan bahawa Pegawai Khas Agama kepada Menteri Besar iaitu Syed Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Syed Ibra bakal dicalonkan untuk mempertahankan kerusi DUN Kerdau.

Namun apa yang penting, pucuk pimpinan lebih bijak memilih calon yang layak berasaskan kriteria yang ditetapkan terutama dari segi kemesraannya dengan pengundi yang boleh memberi kejayaan kepada parti.

Jika Pas bakal meletakkan 'jeneral,' BN juga perlu mencalonkan seorang tokoh yang mampu disenangi rakyat dan mempunyai latar belakang agama yang ampuh bagi meruntuhkan 'keangkuhan' pemimpin parti pembangkang itu yang kononnya amat arif dalam hukum hakam ajaran Islam.

Sunday, February 20, 2011

Melayu Perlu Diutamakan

Nik Aziz akui Melayu perlu diutamakan

oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my

NIK Abdul Aziz Nik Mat berbual dengan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan PAS di Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM 19 Feb. - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akhirnya terpaksa mengakui bahawa perjuangan terhadap masyarakat Melayu perlu diutamakan memandangkan statusnya sebagai bangsa peribumi di negara ini.

Perubahan pendirian itu dipercayai ekoran kebimbangan Pas terhadap penurunan sokongan masyarakat Melayu yang kian ketara dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Nik Abdul Aziz berkata, parti-parti politik perlu bertanggungjawab untuk mempertahankan hak orang-orang Melayu kerana mereka adalah masyarakat dominan negara ini.

Ujarnya, walaupun Pas tidak memberi keutamaan kepada perjuangan terhadap bangsa, ia bukan alasan untuk tidak mempertahankan hak orang Melayu memandangkan mereka adalah masyarakat majoriti di negara ini.

"Bagi Pas, orang Melayu perlu diutamakan dalam perjuangan kerana ia adalah kaum terdahulu," katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Pengupayaan Bangsa: Jaminan Pas di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini hari ini.

Nik Abdul Aziz sebelum ini beberapa kali menolak perjuangan terhadap bangsa Melayu kerana menganggap ia tidak dilakukan oleh Islam secara keseluruhannya.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu juga menolak perjuangan nasionalis kerana dakwanya, ia jelas bercanggah dengan ajaran Islam.

Dalam pada itu, Nik Abdul Aziz turut menuduh Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan untuk kepentingan politik Barisan Nasional (BN) semata-mata.

"Ia adalah satu pengkhianatan yang dilakukan secara sistematik oleh pemimpin BN. Pengkhianatan itu dibuat dengan menolak hak kaum Cina, India, Iban dan Kadazan," ujarnya.

Sementara itu, dalam konvensyen yang sama, penganalisis politik, Dr. Wong Chin Huat berkata, barisan Nasional (BN) akan menang dalam pilihan raya umum akan datang dengan majoriti dua pertiga jika parti itu dapat mengekalkan momentum peningkatan sokongan orang Melayu seperti yang diperlihatkan pada beberapa pilihan raya kecil kebelakangan ini.

Chin Huat berkata, pihak pembangkang pada masa sama dilihat akan kehilangan kira-kira 34 kerusi Parlimen jika Pas gagal mendapatkan kembali sokongan pengundi Melayu.

"Pada 2008, hampir kesemua kawasan yang Pas berjaya mencatatkan prestasi baik adalah di kawasan bukan Islam,'' katanya.

5 Soklan

Tok Guru diminta rujuk Surah Abasa, tanya lima soalan

KUALA LUMPUR 19 Feb. - Bosan dengan permainan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggunakan Islam untuk bekerjasama dengan DAP, Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin meminta Menteri Besar Kelantan itu supaya merujuk kembali satu pesanan Allah melalui Surah Abasa.

"Surah itu diturunkan ketika Nabi Muhammad SAW sedang berbincang dengan segelintir golongan kafir Quraish yang kaya dan berpengaruh. Apa yang terjadi ketika perbincangan itu, datang seorang Muslim papa kedana dan buta bernama Abdullah Ibnu Maktum.

"Abdullah datang ke tepi Rasulullah dan bertanyakan soalan tetapi Nabi (Muhammad) berpaling daripadanya untuk sambung berbincang dengan Abu Jahal serta rakan-rakan (kafir) kerana merasakan Abdullah mengganggu perbincangan itu.

"Ketika itulah Allah menurunkan Surah Abasa bagi mengingatkan Nabi supaya mendahulukan seorang Muslim berbanding penganut agama lain, saya nasihatkan tok guru (Nik Abdul Aziz) selak kembali surah itu," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Zulkifli yang juga bekas Yang Dipertua Pas Kawasan Bandar Tun Razak berkata demikian bagi mengulas kenyataan Nik Abdul Aziz yang mengakui bekerjasama dengan DAP dalam pihak pembangkang adalah bagi memperkenalkan Islam kepada parti itu.

Dalam satu majlis di Kota Bharu kelmarin, Menteri Besar Kelantan itu antara lain mendakwa hasil kerjasama Pas dengan DAP setakat ini memperlihatkan DAP kini tidak lagi menyerang Islam seperti sebelumnya.

Zulkifli mencabar Nik Abdul Aziz supaya mengemukakan lima soalan terbuka untuk dijawab oleh para pemimpin DAP iaitu Penasihatnya, Lim Kit Siang; Pengerusi, Karpal Singh dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng.

Soalan-soalan itu adalah:

1) Adakah Kit Siang, Karpal dan Guan Eng setuju dengan agenda penubuhan negara Islam yang dibawa Pas?

2) Adakah pihak pembangkang membenarkan Pas melaksanakan hukum syariah di negeri-negeri yang diterajui Pas?

3) Mengapa Pas berdiam diri ketika perjanjian 'Persefahaman pihak pembangkang pada 18 Disember 2009' walhal perjanjian itu tidak meletakkan agenda penubuhan negara Islam?

4) Apa pendirian Nik Aziz, Kit Siang, Karpal dan Guan Eng mengenai kenyataan Dr. Wan Azizah mengatakan Anwar sebagai 'anugerah Tuhan'?

5) Mengapakah pihak pembangkang membenarkan Karpal terus mewakili Anwar dalam kes liwat sedangkan pernah mengakui mempunyai bukti keterlibatan Anwar dalam aktiviti homoseksual?

Katanya, kesemua persoalan itu 'wajib' dijawab oleh Nik Abdul Aziz dalam membuktikan usaha Pas memperkenalkan Islam kepada DAP selama ini.

"Jika Nik Aziz berani wujudkan forum untuk berbincang dengan 'kepala-kepala' DAP itu, saya dengan sedaya-upaya akan cuba mendapatkan slot siaran langsung di stesen televisyen nasional," jelasnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Friday, February 18, 2011

Umno VS Pas

Antara Nik Aziz dan Tun Mahathir

SAYA tertarik mengulas jawapan balas Mursidul Am Pas, Datuk Nik Aziz dalam akhbar Harakah bil 1612 tentang Isu Nasionalisme: Jawapan saya untuk Tun Mahathir. Jawapan balas dan persoalan ini saya kemukakan bagi penilaian kita atau sesiapa sahaja yang masih mahu berfikir secara rasional berasaskan fakta.

Seperti biasa Nik Aziz begitu 'berdendam' dan banyak mempersoalkan 'keIslaman' UMNO dan Tun Mahathir. Antara ayat yang mungkin menarik perhatian ialah beliau (Nik Aziz) telah 'bertanggungjawab menyebarkan Islam' melalui Pas dan menganggap di hari kebangkitan beliau akan 'berasa selamat' di hadapan Allah SWT dengan mengatakan tugas tarbiah terhadap UMNO dan Tun Mahahir telah beliau laksanakan dan akhirnya UMNO dan Tun Mahathir tetap menolak Islam yang dibawa oleh Pas.

Beliau lupa bahawa parti yang beliau 'anuti' itu ditubuhkan pada tahun 1951 melalui 'kelulusan' kerajaan Nasrani British. Tentunya ketika UMNO sudah wujud sebagai parti penyatu umat Islam Melayu, golongan Yahudi dan Nasrani yang mempelopori sistem demokrasi mencari kaedah paling halus dan licik untuk memecahbelahkan kesatuan umat Islam adalah membenarkan Pas ditubuhkan.

Apakah benar Islam itu Pas, dan Pas itu Islam? Persoalan ini perlu difikirkan oleh kita kerana ketika Nik Aziz menjadi ahli Pas, Nik Aziz atau mungkin ayah beliau masih tidak mengenali atau menganut fahaman Pas. Apakah pula jawapan Nik Aziz di hari kebangkitan jika kaum keluarga Nik Aziz juga tidak menganuti fahaman Pas?

Malah ramai dari kita khususnya yang bukan dilahirkan di Kelantan belajar dan faham agama dari sekolah-sekolah yang diasaskan oleh UMNO/BN. Ramai dari kita hanya sedar kewujudan Pas apabila DSAI dipecat.

Ketika itu berduyun-duyun orang Islam mulai mendapat 'hidayah' dan menyokong Pas termasuklah penulis. Apakah nasib-nasib kami yang pernah menyokong Pas dan akhirnya 'keluar' atau 'murtad' dari menyokong Pas. Bagaimana pula hukuman Nik Aziz terhadap Ketua Umum PKR dan kepimpinan PKR yang tidak menyertai Pas?

Saya tidak menganggap UMNO itu betul 100 peratus kerana ia adalah parti ciptaan manusia dan diuruskan oleh manusia. Seperti mana dakwaan Nik Aziz bahawa 'banyak kepincangan' dilakukan oleh UMNO (sebenarnya pemimpin UMNO). Begitu juga yang dilihat berlaku dalam Pas.

Seperti mana Pas juga yang dicipta dan diasaskan oleh manusia yang 'kecewa dan marah' pada 1951, sudah tentu pemimpin dan penyokong Pas juga tidak terkecuali melakukan perbagai kesilapan.

Namun jika UMNO boleh mengakuinya kenapa Pas pula tidak boleh? Maksum sangatkah Pas hingga penyokongnya sendiri takut untuk menegur kepimpinan. Sedangkan Saidina Umar pun minta ditegur apabila dilantik sebagai khalifah.

Besar sangatkah dosa UMNO dan besar sangatkah jasa Nik Aziz kepada Kelantan sepanjang 20 tahun mentadbir? Jika Nik Aziz mengatakan Tun Mahathir seorang yang bijak, dan alangkah baiknya kebijaksanaannya digunakan untuk Islam, maka izinkan saya memetik kuliah mingguan beliau di Kota Bharu yang mengatakan kebanggaan beliau terhadap sistem kewangan Islam. Memetik kata-kata beliau seperti yang dilaporkan "Begitu juga kewangan Islam, dahulu orang kata mana boleh berniaga tanpa riba, zaman sekarang kewangan Islam, bank Islam jadi rebutan, orang Barat pun pakai".

Ia merupakan fakta yang terlalu jelas, usaha mewujudkan sistem kewangan Islam seperti perbankan Islam, takaful, pajak gadai Islam, pinjaman Islam dan sebagainya adalah idea dan kehendak Tun Mahathir yang juga Presiden UMNO ketika itu (1982) untuk membawa perubahan dan kejayaan ekonomi kepada negara kita.

Mahathir melihat keperluan ini kerana tahu bahawa hanya negara yang 'kaya' dan 'kuat kuasa ekonominya' sahaja akan digeruni oleh lawan. Paling hampir yang terkesan dengan apa yang kita lakukan ialah Singapura. Kerana itu mereka 'mendekati' Nik Aziz dan menggunakan DAP bagi memusnahkan sistem kewangan ini apabila peluang ini diperolehi.

Janganlah Nik Aziz lupa bahawa sistem kewangan Islam yang diasaskan oleh pimpinan UMNO inilah yang menyelamatkan ekonomi negara serta dijadikan model oleh negara Barat hari ini seperti yang diakui oleh Nik Aziz. Justeru kita patut bertanya, besar mana sumbangan idea Nik Aziz dalam sistem kewangan Islam sejak beliau mentadbir Kelantan?

Siapakah pula yang telah membuka idea penggunaan Dinar Emas yang tidak pernah difikir atau dibahaskan oleh mana-mana pemimpin negara Islam tetapi akhirnya mula membuka mata masyarakat dunia kalau bukan Tun Mahathir.

Lucunya sempat pula Nik Aziz 'menceduk' idea 'syiling emas' untuk mendapatkan 'laba' politik tanpa merancang penggunaanya dengan bijaksana.

Besar sungguh jasa Nik Aziz yang menyebabkan penghijrahan rakyat Kelantan ke merata tempat seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan negeri ditadbir BN untuk mencari rezeki yang halal.

Bodoh sangatkah kita untuk melihat jutaan pendatang asing yang turut masuk secara sah atau haram mencari rezeki di negara ini atas kebijaksanaan pentadbiran UMNO dan BN ketika era Tun Mahathir ?

Nik Aziz juga sempat meminta Tun Mahathir menyatakan 'kesalahan' beliau sebagai MB Kelantan jika ada. Tanpa perlu Tun Mahathir membuang masa biar penulis sebutkan di sini beberapa perkara yang boleh dinilaikan:

* Banyak manakah 'berhala besar' yang lebih tinggi dan besar dari menara masjid atau kubah didirikan sepanjang Nik Aziz menjadi Menteri Besar.

* Tidak malukah Nik Aziz mengisytihar Kelantan sebagai 'Serambi Mekah' sedangkan ketika Nabi Ibrahim dilantik sebagai Rasul, baginda telah memecahkan semua patung berhala di sekitar Kaabah.

* Jika Nik Aziz pertikai kesungguhan UMNO/BN mendirikan masjid kita mahu pula melihat kesungguhan Pas dalam isu pembinaan masjid baru selama 20 tahun memegang kuasa.

* Pengalaman berkunjung ke Kelantan pada Disember 2010 selama tiga hari membuktikan kepada penulis tentang 'tong kosong' yang dipalu oleh Pas Kelantan. Sudah terang lagi bersuluh, kebersihan yang menjadi asas keimanan pun tidak mampu dijaga oleh Nik Aziz sebagai pemimpin Islam, maka usahkan bercerita perkara lebih besar dari itu seperti hudud yang entah hilang laungannya.

* Semasa berada di Kota Bharu, penulis sempat solat subuh, Jumaat, maghrib dan isyak di beberapa masjid. Pemandangannya hampir sama seperti mana kita melihat jemaah di masjid-masjid di negeri yang ditadbir BN. Malah semasa solat Jumaat di Masjid Muhammadi, masih ramai yang merokok dan berbual hingga ketika solat hendak didirikan.

* Penulis turut 'melawat' setiap tandas masjid yang hampir kesemuanya cukup jijik dan kotor.

Malah di sebuah masjid yang tersergam indah di Kubang Kerian, tandasnya juga amat kotor dan tidak terurus.

Besar sangatkah jasa Nik Aziz hingga asas keimanan tentang kebersihan ini pun tidak mampu diserapkan kepada rakyat di bawah kepimpinan ulamak selama 20 tahun.

Mungkin segelintir kita tidak memahami dan dapat membaca pemikiran Islam Tun Mahathir kerana 'kesilapan' beliau yang belajar dalam 'bidang kedoktoran' dan bukannya 'bidang keagamaan', juga Tun tidak memakai kupiah atau jubah dan tidak bercakap isu hudud sepanjang mentadbir negara.

HJ. LUKMAN BIN MOIDIN

Penceramah, Motivasi & Kaunselor

Kedah

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Tanpa Kuasa Melayu Jadi Kuli Batak

Jika Melayu hilang kuasa

SEMEMANGNYA terdapat banyak perbezaan antara masyarakat Melayu atau bumiputera di Malaysia jika hendak dibandingkan dengan masyarakat itu yang tinggal di Singapura.

Perbezaan jelas adalah orang Melayu di negara ini bebas dan boleh menubuhkan parti politiknya sendiri berbanding rakan-rakan mereka di seberang yang tidak mendapat peluang seperti itu.

Dari segi peluang pekerjaan bertaraf pegawai atau eksekutif di sektor kerajaan atau swasta pula, selalunya peluang masyarakat Melayu di Singapura agak kecil tetapi di Malaysia, keadaannya agak seimbang dengan bangsa-bangsa lain.

Di Singapura, mereka yang berbangsa Melayu hanya memegang jawatan yang rendah dan tidak penting walaupun mempunyai kelulusan yang baik.

Sepanjang pengetahuan saya, kebanyakan daripada mereka bekerja dengan jawatan yang rendah seperti hanya menjawat kerani atau guru sekolah sahaja.

Di dalam sektor beruniform juga mereka hanya diberikan pangkat rendah dan tidak diberikan peranan penting di dalam pasukan tentera atau polis.

Pernah juga saya terdengar keluhan orang Melayu Singapura bahawa mereka ini seolah-olah tinggal di dalam sangkar emas.

Benar sekali kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya kita belajar dari kesilapan yang lalu kerana jangan sampai bangsa Melayu hilang segala-galanya, baru hendak sedar.

Itulah lebih kurang nasib orang Melayu Singapura dan kita kena ambil iktibar bahawa jika sekiranya orang Melayu di Malaysia ini tidak bersatu dan bercakar sesama sendiri, ditakuti kita pula akan kehilangan kuasa.

Apabila hilang segala-galanya, jangan salahkan orang lain tetapi salahkan diri sendiri.

Pada ketika itu, jika kita menangis air mata darah sekalipun, ia tidak dapat mengembalikan kuasa itu nanti.

Sejarah telah mengajar kita betapa jatuhnya empayar Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis disebabkan kekeliruan dan perpecahan berpuak-puak kumpulan orang Melayu ketika itu.

Ketika itu, anasir luar dengan mudah masuk menyusup untuk mengeruhkan keadaan yang akhirnya hanya dengan kekuatan beberapa ratus askar Portugis dengan dua buah kapal perang sahaja, mereka dapat mengalahkan panglima-panglima dan beribu-ribu perwira yang handal Melaka.

Sejak kejatuhan Melaka itulah, negeri-negeri lain di Tanah Melayu menyusur tunduk kepada penjajah dan dibuat seperti bola apabila penjajah bertukar-tukar tangan antara Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.

Ketika itulah, orang-orang Melayu ditindas dan tidak dipedulikan tentang mengenai kebajikan mereka, sehinggakan ada yang sanggup dijadikan seperti hamba.

Kini kita sudah merdeka dan saya berharap orang Melayu perlu sedar bahawa sekiranya negara ini terjajah sekali lagi, berkemungkinan segala kuasa kita akan lenyap dam tidak mustahil bangsa Melayu juga akan hilang di dunia seperti yang pernah dikatakan oleh Hang Tuah.

Saya seru dan merayu kepada mereka berbangsa Melayu di negara ini agar terus bersatupadu dan lupakan apa juga sengketa atau perbalahan yang boleh menjuruskan perpecahan dan padahnya nanti negara akan tergadai kepada tangan orang lain.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

YDP Persatuan Keluarga Jamalullail Perak

Taman Zaiton Indah,

Ampangan, Seremban

Thursday, February 17, 2011

Nasib Novel Interlok

Nasib Interlok di tangan MIC?

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN
APAKAH maksud tersirat MIC apabila Presidennya G. Palanivel berkata, MIC hanya akan menyatakan pendiriannya selepas meneliti versi novel Interlok yang sudah dipinda? Siapa Palanivel untuk menentukan kedudukan Interlok, karya Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain yang digunakan dalam mata pelajaran sastera Tingkatan Lima?

Kenyataan ini sedikit angkuh malah dengan sendirinya menafikan kewibawaan sebuah panel bebas yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran. Difahamkan panel bebas yang dirahsiakan namanya tanpa sebab itu sedang melaksanakan tugas mereka.

Kenyataan Palanivel menafikan hasil perbincangan sebelum ini yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran hingga tertubuhnya sebuah panel bebas. Maknanya hasil pindaan yang dibuat oleh panel itu nanti akan disemak MIC. Hebat sekali MIC. Tentu sekali kalau pindaan itu tidak menepati kehendak orang India, MIC akan menolak versi pindaan itu.

Kenapa Palanivel tidak memberi sepenuh kepercayaan kepada panel dilantik oleh Kementerian Pelajaran? Difahamkan panel itu terdiri daripada sasterawan, ahli akademik dan juga wakil kaum India.

Bukankah sikap begini bertentangan dengan amalan tolak ansur khususnya kalangan sasterawan Melayu hingga membenarkan Interlok disunting atas kehendak politik kaum India?

Membenarkan Interlok (sebenarnya tidak ada perkara sensitif) disunting oleh panel bebas mencerminkan pengorbanan besar kalangan sasterawan Melayu. Belum pernah karya Sasterawan Negara diperlakukan sedemikian selepas sebuah panel yang dilantik oleh Kementerian Pelajaran memilih Interlok.

Kenyataan Palanivel boleh dianggap sengaja menunjukkan ego selepas banyak tuntutan mereka dilayan. Apalah gunanya panel bebas kalau MIC tidak mengiktiraf hasil kerja mereka? Tetapi tidak ada pula kalangan sasterawan dan orang Melayu yang berkata, mereka juga mahu melihat dulu sebarang pindaan sebelum bersetuju.

Kalau tuntutan Palanivel ini dilayan, ternyata ada layanan yang berat sebelah dalam menangani 'kontroversi dangkal' yang dicetuskan oleh orang India.

Adakah ini cara Palanivel menghargai sikap tolak ansur yang ditunjukkan oleh sasterawan Melayu termasuk pengarangnya, Abdullah Hussain? MIC harus belajar menjadi lebih beradab apabila ada pihak memilih jalan jernih dan sanggup mencemarkan maruah sendiri apabila membenarkan sebuah karya dipinda atas tuntutan satu kaum.

Nampaknya, selagi pindaan itu tidak menepati kefahaman kaum India, selama itulah MIC tidak setuju. Mungkin kerana mahu memujuk MIC, jangan terkejut kalau selepas ini diadakan pula panel bebas kedua untuk meminda (sebenarnya mencincang) Interlok.

Banyak pihak melihat Interlok bukan isu perkataan 'paria', bukan juga gambaran watak Maniam yang datang dengan kapal untuk menyambung nyawa di Tanah Melayu. Interlok sebenarnya dijadikan 'kambing hitam' politik. Lihatlah bagaimana orang India yang berbeza fahaman politik - MIC, PKR, PPP termasuk pertubuhan haram Hindraf boleh bersatu memperjuangkan isu yang sama.

Maka penyelesaian isu Interlok juga perlu pendekatan politik. Orang Melayu sangat tersinggung cara kita menyelesaikan isu Interlok.

Tetapi dalam jiwa yang membara, orang Melayu diasuh bijak menyembunyikan lara. Tetapi selama manakah lara itu dapat disembunyikan?

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Yang Tersirat

Awasi agenda tersirat DAP tubuh portfolio hal-ehwal bukan Islam

PERUBAHAN demi perubahan dibuat oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang pimpinan DAP. Selepas tidak mempedulikan rayuan peniaga-peniaga Melayu yang premis perniagaan mereka dirobohkan, kini Ketua Menterinya Lim Guan Eng mengumumkan penubuhan portfolio baru untuk hal-ehwal bukan Islam semalam.

Portfolio tersebut akan dipengerusikan oleh ketua menteri sendiri. Bermakna Guan Eng yang menjadi Exconya, manakala Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P Ramasamy dilantik timbalan pengerusi portfolio tersebut. Cadangan penubuhannya telah dibawa oleh Dr. Ramasamy dalam mesyuarat mingguan exco kerajaan negeri dan diluluskan minggu lalu.

Pengumuman itu pula diumumkan semalam iaitu selepas sehari umat Islam menyambut Maulidur Rasul.

Bagi Guan Eng, penubuhan portfolio tersebut sebagai tanda sambutan Minggu Harmoni Antara Agama Dunia oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu ini.

Katanya lagi, ia mencerminkan keprihatinan kerajaan negeri terhadap mempromosi keharmonian dan kefahaman antara agama.

Portfolio baru itu akan bertanggungjawab ke atas perkara-perkara membabitkan agama-agama Buddha, Taoisme, Kristian, Sikh dan Hindu.

Pada teorinya nampak 'cantik' tetapi dari sudut pelaksanaannya mungkin terdapat banyak tanda tanya! Mungkin ada agenda tersirat daripada apa yang tersurat.

Adakah ia benar-benar dapat menjadi sebagai satu pendekatan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang agama, bangsa dan budaya di negeri ini?

Atau ia sebagai alat yang boleh disalah guna untuk menggugat kedudukan agama rasmi negara kita iaitu Islam.

Langkah ini boleh menimbulkan kontroversi sebagai mana yang berlaku tentangan umat Islam terhadap Suruhanjaya Antara Agama beberapa tahun lalu.

Jelas kini, DAP yang baru mempunyai kuasa peringkat negeri sudah menunjukkan belang. Bayangkan jika ia dapat berkuasa memerintah Malaysia. Kita amat bimbang dengan status agama Islam negara ini pada masa depan.

Mungkin bagi masyarakat bukan Islam, mereka menyambut gembira penubuhan portfolio itu. Tetapi umat Islam akan mulai rasa bimbang akan wujud pelbagai tuntutan di kalangan penganut agama lain.

Hal-hal berkaitan dengan pertukaran agama, penyebaran agama, penggunaan istilah agama, pembinaan rumah ibadat dan isu tanah perkuburan mungkin dibincangkan oleh jawatankuasa portfolio itu.

Kepada pemimpin dan umat Islam di Pulau Pinang tanpa mengira fahaman politik mereka, berhati-hatilah dengan taktik halus lagi licik pemimpin tertentu untuk meminggirkan Islam sebagai agama rasmi serta membelakangkan Majlis Raja-Raja.

Dasar dan langkah-langkah yang boleh dimanipulasi oleh pihak tertentu untuk meletakkan Islam setaraf dengan agama lain wajar dielakkan.

Ketua Menteri Pulau Pinang menimbulkan satu lagi kontroversi. Oleh itu Guan Eng kena bersedia menerima reaksi negatif daripada masyarakat Islam bukan sahaja di negeri itu tetapi seluruh Malaysia sebagai tanda protes terhadap penubuhan portfolio itu.

Nampaknya Guan Eng tidak jemu-jemu cuba menambat hati penyokongnya daripada bukan Islam tetapi pada masa yang sama terus menyakiti hati umat Islam di negeri itu.

TAJUK-TAJUK BERITA

Isu Akhbar Cina

ISU-ISU AKHBAR CINA

PERPECAHAN MELAYU TELAH LAMA BERLAKU
UCAPTAMA bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Simposium Dilema Melayu: Perspektif dan Konklusi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada Sabtu lalu menarik perhatian akhbar-akhbar Cina untuk mengulasnya.

Antaranya seperti artikel yang disiarkan oleh Nanyang Siang Pau di ruangan pendapat terbitan 15 Februari lalu.

Artikel bertajuk ‘Kritis bahasan Mahathir’ pada halaman A16 itu ditulis oleh pengkritik semasa, Koh See Kien.

Tulisnya, terdapat dua isu utama yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir dalam ucapannya iaitu pertamanya, orang Melayu kini berpecah berikutan perbezaan ideologi politik sehingga menyebabkan mereka perlu mendapat sokongan kaum lain untuk terus memerintah.

Keduanya, bekas Perdana Menteri itu mengakui Dasar Ekonomi Baru (DEB) telah disalah guna oleh orang tertentu. Bagaimanapun, Dr. Mahathir berpendapat dasar itu perlu diteruskan dan jika tidak, orang Melayu akan kalah dan terus tercicir.

Menurut See Kien, beliau ingin mempersoalkan isu pertama yang dibangkitkan oleh Dr. Mahathir kerana hairan kenapa hanya sekarang soal perpecahan itu diperkatakan sedangkan perkara itu telah lama berlaku.

‘‘Selepas merdeka pada 1957, orang Melayu berpecah kepada tiga kumpulan dengan yang terbesar ialah UMNO, diikuti oleh Pas dan seterusnya kumpulan orang Melayu daripada golongan sayap kiri.

‘‘Kenapa pada waktu itu, Dr. Mahathir tidak mengkritik orang-orang Melayu yang telah berpecah dalam politik?’’ soalnya.

Penulis berkenaan turut mempersoalkan kenapa bekas Perdana Menteri itu tidak membangkitkan isu sama ketika perpecahan berlaku pada zaman beliau menerajui UMNO apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Semangat 46 pada 1989.

Dalam pada itu, See Kien turut menempelak negarawan itu, sambil menyifatkan beliau sebagai sangat fanatik apabila dalam ucaptamanya menyatakan jika orang Melayu terus berpecah, mereka akan menjadi hamba abdi di negara sendiri.

‘‘Kata-kata seperti ini sangat fanatik, kerana sama ada Dr. Mahathir suka atau tidak, Malaysia adalah negara berbilang kaum.

‘‘Adakah beliau menganggap kejayaan membentuk kerajaan yang kuat sebelum ini terlepas daripada sokongan rakyat berbilang kaum?’’ soalnya.

Penulis berkenaan turut melahirkan perasaan kesalnya apabila Dr. Mahathir menyatakan bahawa kaum Cina menyokong Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum 1999 kerana berterima kasih kepada kerajaan yang telah menyelamatkan mereka daripada krisis kegawatan ekonomi.

‘‘Kenapa beliau berkata orang Cina sokong BN kerana mahu selamatkan harta benda dan aset mereka. Ini adalah tohmahan berat sebelah dan berpandangan tidak adil.

‘‘Sebenarnya orang Cina menyokong BN pada masa itu kerana mereka masih belum tahu matlamat dan hala tuju parti pembangkang yang sebenar.

‘‘Cuma apabila orang Cina terdesak mahukan perubahan pada pilihan raya umum 2008, barulah tsunami politik ini berlaku,’’ tulisnya.

Sementara itu, See Kien turut menyifatkan pandangan bersifat perkauman yang dibuat oleh Dr. Mahathir adalah amat berbeza dengan pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang lebih mengutamakan gagasan 1Malaysia dan Model Baru Ekonomi (MBE) yang berasaskan kepada demokrasi.

‘‘Apa yang dibuat oleh Dr. Mahathir ini akan menyebabkan negara mundur ke belakang dan tindakannya ini juga boleh dianggap seolah-olah mengkritik MBE,’’ tulisnya lagi.

MASYARAKAT CINA TIDAK PERLUKAN MCA

USAHA MCA untuk meraih sokongan kaum Cina mendapat perhatian Loh Hon Chew yang menulis mengenainya dalam akhbar China Press.

Artikel bertajuk ‘Mahu berpolitik bukan pergi belanja makan-makan sahaja’ disiarkan menerusi ruangan perbincangan rakyat akhbar berkenaan bertarikh 11 Februari lalu.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini bahawa hanya parti itu sahaja yang mewakili masyarakat Cina dan sebab itu kaum berkenaan terus menyokong MCA.

Menurut Hon Chew, Tiong Lai telah lupa kata-kata seorang pemimpin MCA lain bahawa parti itu umpama ikan dan masyarakat Cina adalah air.

‘‘Air boleh untuk tidak memerlukan ikan tetapi ikan tidak boleh hidup tanpa air,’’ jelasnya.

Jika mahu dihuraikan secara lebih jelas lagi, tulis beliau, air tidak perlukan ikan seperti MCA, kerana masih banyak lagi ikan di luar sana yang boleh masuk ke dalam air itu bagi menggantikan parti berkenaan.

Beliau turut menempelak MCA sebagai ikan yang akan mengalami kepupusan disebabkan wakil rakyat parti itu menang dalam pilihan raya kerana sokongan pengundi Melayu.

‘‘Jika ikan-ikan ini hidup bertautkan pada pengundi Melayu, walaupun MCA mendapat jawatan-jawatan menteri, sudah tentu mereka tidak mewakili suara orang Cina,’’ tulis beliau.

Tambah beliau, hakikat itu menyebabkan UMNO tidak menghormati MCA, kerana menganggap parti itu tidak mewakili suara orang Cina yang sebenar.

Sikap UMNO terhadap MCA, tegas beliau, telah mengecewakan masyarakat Cina sehingga menyebabkan mereka tidak menyokong parti itu dan akhirnya menyebabkan ia semakin lemah dan tidak bermaya.

Dalam pada itu, jelas beliau, sokongan masyarakat Cina telah mula merosot sejak 1950-an yang berpunca kerana terdapat beberapa budaya tradisi tidak baik yang diamalkan MCA termasuk keengganan pemimpin parti itu mempelajari bahasa Mandarin sehingga menyebabkan mereka tidak tahu kehendak kaum itu yang diluahkan dalam akhbar berbahasa berkenaan.

‘‘MCA juga telah melakukan kesilapan besar apabila memisahkan diri dengan Dong Jiao Zong (Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-Sekolah Cina Malaysia) dan mahu menghapuskan sistem pendidikan sekolah Cina.

‘‘ Apa yang masyarakat Cina mahukan dianggap menyusahkan oleh MCA. Sebab itu, apabila kita mahu wujudkan sekolah menengah Cina, isu ini diketepikan oleh parti berkenaan.

‘‘Jika MCA tidak tahu mengambil kesempatan daripada isu-isu yang orang Cina sukakan, bagaimana mereka akan mendapat sokongan daripada kaum ini?’’ soalnya.

Tegas beliau, jika parti itu mahu terus dihormati dan berkembang di kalangan masyarakat Cina, mereka harus mengubah tradisi lapuk yang terdapat dalam parti itu.

‘‘Maksud berubah ini bukan dengan cara belanja makan untuk isi perut sahaja. Jika di peringkat bawahan MCA masih menggunakan tradisi lama, sudah pasti masyarakat Cina dengan sendirinya akan tinggalkan parti ini,’’ tulis Hon Chew.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN: