Kisah mak cik dengan peraih undi
Oleh ZULKIFLI JALIL dan RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
pengarang@utusan.com.my
MENGIMBAU kembali kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau, nampak ketara pengundi seolah-olah mudah digula-gulakan oleh peraih undi. Pengundi dianggap 'raja' dalam pilihan raya. Tetapi malangnya sesetengah pihak memandang remeh kewibawaan mereka sebagai manusia yang mampu berfikir secara waras.
Hanya untuk satu undi, pemikiran pengundi diperkotak-katikkan seakan-akan mereka bebal dengan perkembangan sekeliling dan isu semasa.
Suatu petang Khamis lalu, sebuah rumah di Kampung Permatang Pasir, Merlimau didatangi enam peraih undi dari sebuah parti. Tuan rumah, Siti Zabedah Zakaria, 60, menerima kunjungan itu dengan senang hati. Kumpulan itu memberitahu, mereka datang dari Negeri Sembilan.
Kedudukan rumah Siti Zabedah yang hanya dipisahkan satu lot dengan bilik gerakan Angkatan Muda Keadilan (AMK) barangkali mengundang minat peraih undi berkenaan untuk mendekatinya.
Kumpulan itu kemudian memujuk Siti Zabedah agar memangkah partinya dengan alasan kerajaan tidak pernah berbuat apa-apa untuk mengawal kenaikan harga barang.
Kata mereka lagi, kali kini biarlah 'bulan' temankan 'roket' di Melaka. Jika 'kami menang', kami akan turunkan harga barang, kata mereka.
"Saya cakap balik dengan mereka, kalau benar adik-adik cakap macam itu, biarlah harga barang naik, janji saya tidak rela lihat Nik Aziz berpeluk dengan Kit Siang.
"Saya dah bosan dengan hujah-hujah Pas sebab terang-terang Pas tidak pernah bercakap isu pembangunan, apatah lagi berkawan pula dengan parti DAP ini yang tolak perjuangan Pas," ceritanya kepada sekumpulan pemberita yang sibuk membuat liputan kempen pilihan raya kecil itu .
Umumnya, Pas tidak ada isu konkrit yang boleh dimainkan di Merlimau. Mereka memulakan dengan isu 'dinasti' membabitkan keluarga calon BN, Roslan Ahmad. Kemudian beralih kepada 'skuad kameranya' - konon untuk mengintip 'perlakuan rasuah' jentera kempen BN.
Sejurus kemudian menuduh pula kononnya jentera BN 'mengedarkan' risalah berserta 'gambar lucah' beberapa pemimpin pakatan itu di sekitar Merlimau. Namun dibalas kepimpinan BN bahawa ia sebagai taktik mahu 'menterbalikkan pemikiran' pengundi atau reverse pyschology.
Paling ketara yang begitu digeramkan oleh parti itu ialah peneroka Felda. Golongan peneroka dilabel sebagai 'stok penimbal' UMNO. Orang Melayu di pedalaman dan kampung pula sebagai 'deposit tetap' UMNO.
Rakyat tahu dan sedar peneroka Felda begitu dekat dengan UMNO. Ini dibuktikan di Galas, Tenang dan Hulu Selangor, dengan sokongan peneroka kepada kemenangan BN. Realitinya dari peringkat bawah hingga visi masa depan, peneroka dan keluarga Felda tidak pernah diketepikan kerajaan.
Demikian juga Felda merupakan satu-satunya organisasi di negara ini menjamin pendapatan minimum sebanyak RM1,000 kepada peneroka di bawahnya dan tiada agensi lain yang berbuat demikian untuk kumpulan individu di bawah mereka. Kelibat Pas sejak merdeka di Melaka tidak kelihatan. Sebab itu, kumpulan peraih undi tersebut merayu-rayu kepada Siti Zabedah.
Pagi semalam di Sekolah Kebangsaan Kampung Chinchin, Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak mempedulikan provokasi diboo sekumpulan peraih undi pembangkang.
Beliau dengan tenang membantu seorang pengundi dengan menolak kerusi rodanya masuk ke pusat mengundi di situ. Demikianlah Pas dengan bentuk kempennya. Tidak pernah berubah atau mahu berubah.
No comments:
Post a Comment