Pas kian terhimpit di Kerdau
Oleh YUSRI SAHAT
utusanktn@gmail.com
PENGUNDI di Kerdau memberi mesej jelas bahawa Pas tidak mempunyai tempat di hati mereka apabila Barisan Nasional (BN) menang penuh bergaya dalam perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kelmarin.
Kekalahan itu melengkapkan hatrik calon Pas, Hassanuddin Salim yang kalah buat kali ketiga dalam cubaannya merampas kerusi DUN tersebut daripada BN. Apa yang lebih manis, BN menepati ramalan apabila berjaya meningkatkan jumlah majoriti sebanyak 1,109 undi iaitu daripada 1,615 pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 kepada 2,724 undi.
Dalam pengumuman yang dibuat oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kerdau, Datuk Taarif Abdul Rahman di Dewan Tun Razak, Temerloh, calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperoleh 5,060 undi menewaskan Hassanuddin yang mendapat 2,336 undi.
Terdahulu, Taarif mengumumkan keputusan undi pos melibatkan anggota polis dan kakitangan SPR yang menyaksikan Syed Ibrahim memperoleh 39 undi berbanding Hassanuddin hanya mendapat 11 undi.
Dalam keputusan itu, BN menyapu bersih kesemua 22 saluran di 13 pusat pengundian dengan peratusan pengundi bukan Melayu terutama Cina yang mengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kerdau dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kerdau meningkat sebanyak 60 peratus berbanding PRU Ke-12.
Begitu juga dengan sokongan kuat peneroka yang ditunjukkan dalam peti-peti undi di Felda Jengka 22, 23 dan 25. Sokongan peneroka terhadap Pas tidak boleh dibanggakan apabila Hassanuddin gagal meraih melebihi 100 undi di empat daripada tujuh saluran di ketiga-tiga tanah rancangan itu.
Di peti undi SK Jengka 25 misalnya, Syed Ibrahim meraih 307 undi berbanding Hassanuddin yang mendapat 43 undi.
‘Sentuhan’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengunjungi peneroka di ketiga-tiga tanah rancangan itu pada 28 Februari lalu menjadi salah satu faktor kejayaan itu. Namun, sokongan yang agak kuat terhadap calon Pas ditunjukkan di dua saluran di Jengka 23.
BN terus mendapat kepercayaan daripada masyarakat Orang Asli menerusi peti undi di Balai Raya Kerai apabila Syed Ibrahim meraih 286 undi berbanding Hassanuddin yang hanya mendapat 44 undi.
Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, Pas turut ‘terduduk’ di DUN Merlimau apabila BN memperoleh majoriti besar iaitu 3,643 undi. Calon BN di Merlimau, Roslan Ahmad mempertahankan kerusi dengan undi sebanyak 5,962 berbanding calon Pas, Yuhaizad Abdullah yang mendapat 2,319 undi. Kemampuan BN mempertahankan kerusi DUN Kerdau sememangnya telah diramal sejak awal.
Dari segi persiapan jentera parti sebaik sahaja kerusi DUN Kerdau diumumkan, BN dilihat lebih bersedia berbanding Pas yang terkial-kial mempersiapkan bilik gerakannya di DUN Kerdau.
Pas semakin tercabar apabila BN awal-awal lagi mengemukakan calon muka barunya, Syed Ibrahim, 44, untuk bertanding di kawasan tersebut. Malah, BN Pahang mampu membuat pengumuman calon lebih cepat berbanding BN Melaka, sedangkan kekosongan kerusi DUN Merlimau berlaku jauh lebih awal.
Ketika Syed Ibrahim diumumkan sebagai calon, Pas masih bermain tarik tali untuk meletakkan siapa yang lebih layak. Jelas di sini parti pembangkang terbabit ketandusan pemimpin atau muka baru untuk diketengahkan.
Tanpa meletakkan harapan tinggi, Pas terpaksa mengemukakan calon ‘kitar semula’ sebagai syarat untuk menyuburkan proses demokrasi. Mungkin juga malu untuk dilabelkan sebagai kalah sebelum berperang.
Pendekatan BN yang berhemah sepanjang berkempen dilihat antara penyumbang kemenangan parti itu apabila ia lebih diterima oleh penduduk tempatan.
Sedangkan, Pas awal-awal lagi melakukan kesilapan menerusi serangan peribadi terhadap Syed Ibrahim kononnya gagal melanjutkan pengajian di Mesir, walaupun tuduhan itu dinafikan oleh pemimpin parti pembangkang tersebut.
Tindakan agresif pembangkang ternyata ditolak apabila Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak dibenarkan berkhutbah Jumaat dan menyampaikan ceramah kuliah subuh di Felda Jengka 25.
Begitu juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang gagal menghabiskan ceramahnya di Rumpun Makmur pada malam 3 Mac lalu.
Pada malam itu, Anwar ‘tewas’ kepada wanita kontroversi, Umi Hafilda Ali yang menyampaikan ceramah di tapak bersebelahan apabila ketua pembangkang itu ‘tercungap-cungap’ menjawab segala dakwaan yang ditujukan kepadanya.
Kisah penglipur lara dalam Buku Jingga tidak mampu memperdayakan pengundi Kerdau yang semakin matang terhadap isu-isu nasional dan global. Tidak cukup dengan itu, timbul pula kisah Naib Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang dikatakan membeli tanah milik seorang peneroka, sedangkan tindakan itu tidak sepatutnya berlaku.
Kehadiran pengacara dan penulis lirik, Bob Lokman serta bakal ketua pengarang akhbar mingguan, Utusan Rakyat yang masih belum mendapat permit Kementerian Dalam Negeri (KDN), Ha’ta Wahari ke Kerdau juga tidak dapat memberi nilai tambah kepada kekuatan pembangkang di kawasan itu.
Pendek kata, apa yang dilakukan pihak pembangkang sepanjang kempen kali ini serba tidak menjadi. Insiden-insiden tersebut memberi petanda bahawa Pas sepatutnya ‘angkat kaki’ dari bumi Kerdau.
Bak kata Syed Ibrahim ketika ditemui di pusat media milik persendirian di Kerdau baru-baru ini, keupayaan Pas di DUN itu telah mencapai tahap maksimum.
‘‘Sudah tidak boleh pergi dah, setakat itu sahaja,” katanya yang menjadi insan paling sibuk di Kerdau sepanjang minggu lalu.
Menurut rekod, Pas memang tidak pernah menang di DUN Kerdau waima ketika berlaku dalam apa yang dikatakan sebagai ‘tsunami’ politik pada PRU 2008.
Kekalahan demi kekalahan oleh Pas di DUN Kerdau memungkinkan rakan sekutunya mengkaji semula peluang parti pembangkang itu untuk meletakkan calon andaikata berlaku lagi pilihan raya kecil di kawasan yang menjadi tradisinya.
Hakikatnya, Pas tidak memiliki calon muda berwibawa apabila masih meletakkan muka lama yang pernah dua kali tewas di kerusi DUN sama sebelum ini. Bagi sebuah parti berwibawa, tidak mungkin calon yang kecundang lebih daripada sekali akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya.
Asasnya, kemenangan BN membuktikan segala dasar-dasar baru termasuk gagasan 1Malaysia ‘‘Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan,” Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan transformasi kerajaan serta ekonomi yang diketengahkan Najib semakin diterima rakyat.
Reputasi dan kredibiliti Syed Ibrahim atau Ustaz Syed Ibra yang diibaratkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘winnable candidate’ ketika pengumuman calon di Dataran Ketumbit, Kerdau pada 22 Februari lalu ternyata benar dan ia menjadi salah satu penyumbang ke arah kemenangan BN.
Pembangunan di Kerdau yang dilakukan oleh wakil-wakil rakyat BN terdahulu meyakinkan pengundi bahawa segala janji yang diberikan adalah benar belaka. Meskipun tidak serancak pembangunan di Merlimau, namun Kerdau tidak kurang hebatnya apabila memiliki semua prasarana yang diperlukan termasuk sebuah sekolah berasrama penuh.
Isu peneroka Felda juga dianggap ‘tutup buku’ selepas Najib mengumumkan tiga pilihan di hadapan lebih 10,000 peneroka di Felda Jengka 22, 23 dan 25 bagi menyelesaikan masalah pembayaran ses.
Tanggungjawab Syed Ibrahim kini adalah menunaikan segala janji yang diberikan sepanjang tempoh berkempen lalu, selain menyelami denyut nadi penduduk supaya masa depan mereka terus terbel‘a kerana segala apa yang dilakukannya akan ‘dihisab’ semula pada PRU Ke-13 nanti.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment