Impian DAP di Sarawak
Oleh A. Aziz Deraman
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dijangka dilakukan pada bila-bila masa. Pilihan Raya Negeri (PRN) disebut-sebut sebelum Julai akan datang. Kini parti-parti pembangkang dari Semenanjung sedang menggunakan apa juga cara mempengaruhi rakyat Sarawak.
Mereka cenderung ke arah memesongkan pandangan rakyat terhadap kerajaan negeri. Mereka mahu rakyat menyokong pendirian politik ekstrem. Di sana sini semasa penulis berada di beberapa bandar pada penghujung Februari dan awal Mac baru-baru ini, kata-kata 'change' atau perubahan menjadi sebutan lumrah. Malahan perkataan "Tok Uban' disebut tanpa segan silu dan kepada siapa ia dimaksudkan.
Kelemahan masyarakat umum digunakan pembangkang habis-habisan. Kedatangan tokoh-tokoh pembangkang melalui kempen berunsur hasutan kian ketara. Pembohongan fakta dibuat, kerana rakyat tidak tahu semua. Mereka masih menabur janji kosong. Itu sudah menjadi umpan besar pancingan yang hebat.
Kehangatan politik Sarawak sedang dirasakan. Cita-cita Parti Tindakan Rakyat (DAP) hanya satu. DAP mahu memerintah Sarawak melalui pakatan pembangkang dengan kuasa dominan di tangan mereka. Lalu digembar-gemburkan segala macam tohmahan, fitnah dan serba tidak kena terhadap kemajuan Sarawak.
Semua pihak, kerajaan dan rakyat Sarawak mesti diperingatkan. Berhati-hatilah dengan dakwaan dan fitnah DAP, apabila Barisan Nasional (BN) dikatakan zalim. BN tersohor dengan dasar diskriminasi. DAP mendakwa berjuang untuk setiap golongan rakyat semua kaum dan kumpulan etnik.
Kerajaan Persekutuan dikatakan tidak pernah berlaku adil untuk Sarawak dan Sabah. Kata mereka orang Sarawak hanya mendapat sekeping kecil daripada kek pembangunan negara.
DAP mengabui mata rakyat. Mereka tidak pernah bersyukur bahawa Sarawak sudah jauh lebih maju. Mereka lupa akan kehidupan kota yang senang lenang dinikmati orang Cina. Kemakmuran, kestabilan dan taraf hidup rakyat sudah jauh meningkat.
Sayangnya, orang ramai semakin terpukau, ada penerimaan melulu terhadap isu-isu melalui pidato yang berapi-api dan janji-janji yang memukau.
Suara politik sumbang pihak pembangkang terus menerus diledakkan. Mereka menafikan apa sahaja kebaikan dan kejayaan kerajaan BN selama memimpin negara. Macam-macam isu dibangkitkan.
Mereka mulai menghasut tentang isu tanah adat anak negeri (NCR), kebajikan rakyat Sarawak di Semenanjung yang kononnya diabaikan, isu agama, pendidikan dan isu-isu lain berkaitan dengan status istimewa Melayu dan bumiputera. Bara api perkauman sedang ditiupkan, suatu hal yang tidak terlalu lazim.
DAP pandai menggunakan kesempatan, ruang dan peluang. Lalu timbul dakwaan bahawa hanya DAP sahaja yang boleh menjamin kesejahteraan rakyat Sarawak.
Fokus DAP adalah terhadap orang-orang Cina dan usaha menawan bandar-bandar seperti Kuching, Sibu, Miri, Bintulu dan di mana penempatan kawasan ramai pengundi Cina. Kawasan luar bandar mungkin sukar buat mereka. Sokongan orang Cina di bandar kian meningkat.
Mahu tidak mahu anggota BN Sarawak mesti bertindak pantas, menjawab segala tuduhan dan gerakkan perpaduan kaum bumiputera. BN Sarawak hendaklah lebih bersatu.
BN kena mencari pendekatan baru. Rakyat mesti disedarkan bahawa segala dakwaan DAP itu tidak lebih daripada suara kekecewaan kerana kerakusan kuasa dan bertujuan merosakkan kedamaian negara.
Isu-isu yang dibangkitkan itu sudah menjadi program kerajaan secara berterusan. Lihat sahaja pembangunan infrastruktur, keutamaan kepada pendidikan, kemajuan ekonomi dan kebajikan sosial.
Ada sogokan idea supaya timbul anggapan bahawa bumiputera Sarawak hanya 'kelas kedua' berbanding dengan Melayu di Semenanjung. Mereka gagal melihat kerjasama pentadbiran antara kerajaan Sarawak dengan Kerajaan Persekutuan. Pembangunan hebat di Sarawak diperlekehkan begitu sahaja.
Kemenangan tipis DAP sebanyak 398 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sibu, Mei tahun lalu, sudah cukup buat DAP menggunakannya sebagai formula, strategi dan taktik pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Ada tanda-tanda sokongan kaum Cina kepada BN mulai merosot disebabkan nyalaan api perkauman. BN masih disokong kuat oleh orang Melayu, Melanau, dan bangsa Dayak seperti Iban dan Bidayuh. Itu pun di kawasan luar bandar. BN dijangka menguasai kerusi-kerusi DUN nanti dengan sokongan padu daripada bumiputera.
Apakah iktibar politik dari Sibu? Kenapakah formula Sibu akan menjadi formula DAP untuk menawan bandar-bandar di Sarawak kali ini? Mana-mana kelemahan BN negeri dan parti-parti komponennya mesti diperkukuhkan semula dan serta-merta.
Kemarahan terhadap BN mungkin disebabkan kesilapan seorang dua pemimpin sebelum ini. Misalnya kekalahan PRK Sibu dikaitkan dengan penduduk-penduduk tempatan yang tidak berpuas hati dengan pemimpin mereka.
Akibat besar sebenarnya datang daripada pemimpin tempatan BN sendiri, apabila SUPP yang sudah 28 tahun mewakili penduduk kawasan Sibu tetapi pembangunan hanya ditumpukan di pusat bandar Sibu sahaja, tidak menyeluruh ke kawasan luar bandar.
Bagaimanakah cara DAP memesongkan pemikiran dan persepsi masyarakat umum? Mereka menghasut rakyat, khususnya kaum Cina agar tidak mengundi BN.
Apakah isu-isu yang sering DAP bangkitkan? Antaranya mereka mempersoalkan hak-hak dan keistimewaan Melayu dan bumiputera; mendesak tambahan biasiswa kerajaan kepada kaum Cina; melebihkan kuota pelajar Cina memasuki universiti tempatan (IPTA); bantuan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dibuat berterusan selama-lamanya; tambahkan Menteri Cina dalam Kabinet sekarang; iktiraf sijil UEC Cina; hapuskan mana-mana kementerian yang membantu Melayu dan bumiputera.
Mereka mengungkit-ngungkit isu tanah adat atau NCR di Sarawak. Generasi muda dan pemimpin pelapis Cina dalam DAP sudah mempunyai pemikiran ultra radikal.
Perjuangan DAP semakin jelas bagi menjayakan konsep Malaysian-Malaysia tajaan mereka berkonsepkan kesamarataan, bukannya 1Malaysia yang berteraskan Perlembagaan, penerimaan dan keadilan sosial.
Mereka bercita-cita untuk merobekkan Perlembagaan Persekutuan dan mengubah struktur negara kepada sistem baru pemerintahan, sekiranya pembangkang berkuasa penuh pada PRU Ke-13 kelak. Mereka mahu memulakannya dengan kemenangan di Sarawak.
Ada impian DAP bahawa menjelang tahun 2020, kuasa politik dominan Malaysia menjadi milik orang Cina bukan bumiputera.
Penulis sangat tidak faham kenapa parti-parti politik yang berlandaskan orang Melayu atau Islam kekal menyokong DAP.
Bagi Sarawak, BN mesti lebih diperkukuh dan lakukan kesedaran perpaduan di kalangan bumiputera tanpa mengira suku bangsa.
Datuk A Aziz Deraman ialah bekas pegawai tinggi PTD, pemerhati politik dan pernah memegang jawatan-jawatan penting di pelbagai kementerian dan agensi kerajaan.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment