Bahasa Inggeris perlu untuk timba ilmu
SAYA merujuk kepada tulisan Siswa Harapan di ruangan ini pada 7 mac 2011 berhubung isu penggunaan bahasa Inggeris oleh Naib Canselor Universiti Malaya (UM). Saya dapati ketidakmatangan pemikiran anda melalui luahan anda. Saya memohon maaf jika anda rasa tersinggung.
Saya tahu anda dan ramai siswa lain menyayangi bahasa Melayu dan mahukannya dimartabatkan. Saya sendiri pun mahu dan pada firasat saya Pengarah Unit Pengurusan dan Penambahbaikan Kualiti (QMEC) UM juga mengimpikannya.
Namun kita perlu juga mengutamakan bahasa Inggeris dalam akademia kerana bangsa kita masih belum menguasai keseluruhan ilmu. Ilmu yang terkini tidak didapati dalam bahasa ibunda. Maka untuk menguasainya, tidak dapat tidak kita perlu menguasai bahasa Inggeris.
Harus ditekankan bahawa langsung tidak ada niat untuk memperkecilkan bahasa Melayu mahupun mengagungkan bahasa Inggeris. Cuma hakikatnya, bahasa Inggeris adalah satu kemestian untuk kemajuan tamadun Malaysia.
Saya tidak nampak pun dalam surat Pengarah QMEC tempoh hari (yang disiarkan di ruangan ini pada 28 Februari 2011) mana-mana ayat yang mengatakan perbualan sesama sendiri juga harus dalam bahasa Melayu. Cuma, para siswa sangat digalakkan untuk menguasai kebolehan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris untuk urusan rasmi, terutamanya bagi memenuhi kehendak sektor swasta.
Jika mereka bergraduasi tanpa kebolehan yang cukup, yang akan susah mencari kerja adalah mereka juga.
Sering sekali kita cuba mengambil contoh negara-negara maju seperti Jerman dan Jepun yang boleh menggunakan bahasa ibunda pada pendidikan peringkat tinggi. Tetapi kita lupa bahawa negara-negara tersebut telah awal lagi mendahului perkembangan sains dan teknologi sehingga seiring dengan negara-negara yang menggunakan bahasa Inggeris. Hanya ilmu terbaru sahaja yang perlu dididik dalam bahasa asing dan ilmu asas (sehingga ke peringkat ijazah sarjana) dapat dididik dalam bahasa ibunda. Sebaliknya, akademia Malay belum lagi mencapai kematangan tersebut.
Anda juga menekankan Perkara 152. Namun dalam perkara sama telah pun termaktub bahawa penggunaan bahasa selain bahasa kebangsaan bagi urusan bukan maksud rasmi (yakni urusan kerajaan) tidak boleh dihalang. Seperti yang dinyatakan Pengarah QMEC, urusan rasmi UM adalah dalam bahasa kebangsaan.
Saya harap Siswa Harapan jangan cepat melatah apabila penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajian ditekankan, sehingga mengeluarkan kenyataan seperti mengangkat bahasa Inggeris, bahasa Melayu dibakul-sampahkan.
SISWA BERCUTI
Selayang, Selangor
No comments:
Post a Comment