Monday, March 21, 2011

Ambil Ikhtibar Dari Libya Pula

Renungkan nasib Libya diserang

AMERIKA Syarikat dan negara pakatan NATO direstui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil keputusan penggunaan ketenteraan bagi menyerang tentera pro-Muammar Gaddafi. Ini bagi mewujudkan zon larangan penerbangan idaman Amerika dan sekutunya seterusnya menjadikan Libya sebagai sebuah lagi negara yang menerima nasib sama seperti Afghanistan dan Iraq yang kucar kacir sehingga kini.

Sebagai umat Islam, saya agak tersentuh di mana terasa sangat kita ini dijadikan sebagai tempat ujian senjata-senjata canggih mereka. Mana tidaknya, beribu-ribu malahan jutaan umat Islam yang mati dan cedera akibat serangan tentera penceroboh Amerika dan sekutunya hanya kerana untuk mencari dan menangkap Osama bin Laden di Afghanistan dan juga kononnya Amerika mengesyaki Iraq mempunyai senjata nuklear.

Atas dasar kononnya untuk menghapuskan rejim Gaddafi yang kejam membunuh rakyatnya sendiri, maka Amerika dan sekutunya mendapat 'lesen besar' untuk meratah bumi Libya dengan niat tersembunyi untuk mengaut hasil bumi Libya yang mempunyai kekayaan minyak yang bermutu tinggi.

Gaddafi kini diambang kemusnahan dan tiada siapa boleh menyekatnya lagi serta berkemungkinan akan menerima senasib seperti Saddam Hussein. Nampaknya dari sebuah negara ke sebuah negara Arab yang tidak sebulu dengan Amerika akan tersungkur dan akan dimamah dengan begitu rakus sekali oleh mereka yang tamak mahukan hasil bumi dengan cara mudah itu.

Apa yang dapat direnungkan ialah kita mesti ambil iktibar apa juga yang berlaku di hadapan mata di mana kalau sekiranya kita sendiri memporak perandakan negara sendiri, pasti ada yang datang bagai lagak superman kononnya untuk membantu dan menyelamatkan kita pada hal tujuan dan niat mereka adalah semata-mata untuk mencari untung atas angin mengambil kesempatan di sebalik kekacauan dan kesusahan orang lain.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

YDP Persatuan Jamalullail Perak

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment