Tuesday, December 3, 2013

tarik tali kerajaan dengan mmc

Nasib pelajar perubatan Mesir


SAYA sangat berbesar hati dan berterima kasih yang tidak terhingga sekiranya pihak tuan dapat menyiarkan rintihan saya sebagai bapa kepada pelajar-pelajar perubatan daripada universiti di Mesir.
Sebagaimana dimaklumkan bahawa krisis di Mesir memaksa kerajaan membawa pelajar dari Mesir balik ke Malaysia untuk tujuan keselamatan pelajar. Dianggarkan 100 peratus pelajar adalah pelajar Melayu dalam jurusan perubatan.
Pada krisis kedua di Mesir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak setelah keputusan Kabinet telah membuat keputusan bahawa semua pelajar yang tidak mahu belajar di Mesir boleh menyambung pengajian mereka di mana-mana institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) kalau ada kekosongan secara one off yakni kalau tidak memasuki tahun ini tahun-tahun akan datang tidak diterima tanpa kena mengikut syarat-syarat kemasukan biasa.
Ekoran dari itu satu penerangan khas telah dibuat mengenai apa yang dimaksudkan dengan one off tersebut yang disampaikan oleh Ketua Setiausaha II Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang di RTM tempoh hari.
Menurut Dr. Zaini, one off tersebut adalah:
1. Pelajar-pelajar dari Mesir boleh belajar di mana-mana universiti tempatan menggunakan tahun pengajian di Mesir iaitu tolak satu tahun iaitu mana-mana pelajar tahun dua masuk tahun satu (kerana tahun satu di Mesir dianggap sebagai foundation bagi pelajar-pelajar yang biasa untuk mengikuti kursus perubatan). Bagi pelajar tahun tiga di Mesir turun tahun dua. Untuk pelajar tahun 4 dan tahun 5 mungkin sukar untuk ditempatkan tahun 3 dan 4 kerana bagi universiti di Malaysia tahun 3 telah memulakan praktikal.
2. Syarat-syarat asas biasa untuk membuat foundation atau matrikulasi adalah dikecualikan untuk pelajar-pelajar Mesir tahun ini.
Malang sekali dua anak saya dan kira-kira lebih 200 lagi anak-anak Melayu telah ditolak permohonan mereka untuk memasuki ke IPT dan disuruh balik ke Mesir kerana tidak layak. Tidak layak kerana tidak ada foundation dan matrikulasi atau SPM sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Perubatan Malaysia (MMC) . Bagi MMC mereka mengatakan tidak terlibat dengan janji-janji one off oleh Kementerian Pendidikan ataupun keputusan Kabinet yang diumumkan oleh Najib.
Pihak Kementerian Pendidikan pula tidak dapat meluluskan anak-anak saya dan pelajar-pelajar Melayu lain untuk belajar di IPT kerana tidak mengikut syarat MMC.
Kesimpulannya, kedua-dua pihak Kementerian Pendidikan dan MMC bermain tarik tali dan tidak mengikuti keputusan Perdana Menteri. (Malang sekali pihak Universiti Segi telah diberi amaran oleh MMC akan menarik lesen kursus perubatan mereka sekiranya terdapat pelajar-pelajar yang ditolak mengikuti kursus di sana). Anak-anak saya dan para pelajar lain berminggu-minggu tinggal di hostel tanpa buat apa-apa. Ada yang telah pulang semula ke Mesir menyambung pengajian dan ada yang duduk di rumah.
Di sini saya merayu kepada Perdana Menteri untuk membuat keputusan dan arahan yang tepat kepada Kementerian Pendidikan atau MMC demi masa depan anak-anak Melayu beragama Islam yang memilih untuk menyambung pengajian di Malaysia melalui syarat one off yang diputuskan oleh Kabinet.
BAPA PRIHATIN
Sg. Siput Utara, Perak

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20131126/fo_01/Nasib-pelajar-perubatan-Mesir#ixzz2mNSA2R8I
© Utusan Melayu (M) Bhd

pnb menyusahkan pewaris

Anak kecewa urusan pembahagian pusaka milik ibu di PNB menyukarkan


SAYA mewakili ayah saya kecewa dengan pihak Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam menguruskan isu berkaitan pusaka milik ibu saya di Amanah Saham Bumiputera (ASB).
Saya dan ayah saya telah ke pejabat PNB kira-kira lima bulan lalu untuk urusan pusaka ibu saya.
Pegawai di pejabat PNB telah memaklumkan bahawa perlu mendapatkan surat kuasa daripada pihak mahkamah untuk urusan pembahagian pusaka.
Bayangkan ayah saya yang berumur 68 tahun dan kurang sihat berusaha dengan sedaya upaya dan turun naik mahkamah hampir setiap bulan untuk menguruskan pusaka ibu saya.
Setelah mendapatkan surat perintah daripada mahkamah, abang saya telah menghubungi pihak PNB dan kami amat terkejut dengan jawapan daripada pihak PNB yang menyatakan bahawa surat perintah mahkamah adalah tidak diakui oleh pihak PNB.
Ini amat mengejutkan saya dan ayah saya. Pegawai di PNB menyatakan bahawa hanya surat daripada pejabat tanah daerah, amanah raya dan peguam diterima.
Persoalannya adakah tiga badan di atas lebih berkuasa daripada institusi kehakiman? Atau beginikah caranya pihak PNB menyulitkan urusan tuntutan pusaka?
Mengapakah terdapat percanggahan maklumat oleh pihak PNB? Pihak PNB seharusnya memudahkan urusan tuntutan dan bukannya menyusahkan. Mungkin pihak pengurusan PNB boleh mengurangkan birokrasi ini.
Jawapan daripada pihak tuan amat saya nantikan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Forum/20131202/fo_04/Anak-kecewa-urusan-pembahagian-pusaka-milik-ibu-di-PNB-menyukarkan#ixzz2mNRN8zzK
© Utusan Melayu (M) Bhd

luahan ustaz kazim

Ustaz Kazim isytihar keluar Pas


MOHAMMAD Kazim Elias menunjukkan isyarat bagus kepada wartawan dan jurugambar selepas mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/SAIFUL BAHARI ASHARI
KUALA LUMPUR 2 Dis. - Penceramah bebas, Ustaz Mohammad Kazim Elias mengumumkan keluar daripada Pas selepas kecewa dengan pelbagai fitnah serta tohmahan yang dilemparkan oleh pimpinan serta ahli parti itu terhadapnya selama ini.
Malah menurutnya, fitnah dan tohmahan itu semakin 'menjadi-jadi' selepas beliau ditawarkan sebagai ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO sehingga ada yang sanggup menggelarnya dengan panggilan binatang, munafik serta barua UMNO.
"Belum pun saya beri kata putus menerima atau menolak (jawatan MT UMNO), saya diserang dengan panggilan binatang, munafik. Ada pimpinan Pas kata saya seperti kambing yang akan dimakan serigala, ahli agama yang bercelaru, seolah-olah akan jadi berhala atau patung sembahan dalam UMNO dan macam-macam.
"Ini menggores hati saya. Kesabaran pun ada hadnya. Tetapi saya sudah lama berkecil hati dengan Pas. Serangan terhadap saya bermula sejak 2004 sedangkan saya aktivis Pas, mereka boikot saya, kata saya anjing, macai dan barua UMNO, walhal saya tak pernah jadi ahli UMNO," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen, hari ini.
Ustaz Kazim berkata, kesabarannya terhadap segala fitnah dan tohmahan yang dilemparkan sampai ke kemuncak apabila ada suara-suara biadab yang menggelarnya anak babi dan anjing.
"Kalau ibu saya masih hidup, bayangkan perasaannya, mendengar anaknya dipanggil babi. Inikah yang dikatakan perjuangan Pas yang cuba nak martabatkan Islam?
"Oleh itu, saya ambil keputusan, sama ada saya pernah dipecat oleh Pas pada 2011, walau tiada surat pemecatan dan terbaharu mereka kata saya masih ahli Pas, kalau mereka kata saya ahli Pas atau kata saya telah dipecat, saya dengan ini mengisytiharkan keluar daripada Pas," tegasnya.
Kepada soalan mengenai keahliannya sepanjang berada di dalam Pas, ujarnya, beliau menyertai parti itu sebelum 1998 dan mendaftar di kawasan Gopeng, bukannya Manjui seperti dinyatakan oleh Pas.
"Saya hanya pindah ke situ (Manjui), baharu jadi ahli kawasan tersebut. Sebelum ini saya yang mula-mula buka Cawangan Pas Kampung Kuala Pari, Menglembu. Dalam sidang akhbar sebelum ini, saya mengakui, saya ahli Pas. Tetapi saya baca dalam blog, katanya (Pas Perak) mahu membawa usul pemecatan saya semasa muktamar parti itu.
"Namun, sehingga kini, saya tak tahu usul itu ada atau tidak, sebab saya tak dapat sebarang surat pemecatan. Sebab itu saya katakan saya ahli Pas dan terbukti Dewan Pemuda Pas dalam sidang akhbarnya baru-baru ini mengatakan saya masih ahli Pas yang sah," katanya.
Berhubung pendiriannya terhadap pelantikan sebagai ahli MT UMNO, beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman rasmi mengenai perkara tersebut.
Ditanya jaminan Najib susulan pelantikan berkenaan, katanya, pemimpin tertinggi UMNO itu tidak menyekat kebebasannya untuk bersuara atau berdakwah.
"Perdana Menteri memberi jaminan, saya diberikan kebebasan bersuara dan beliau sudi mendengar teguran serta nasihat. Ini niat baik, ikhlas Perdana Menteri untuk memartabatkan Islam dalam UMNO," ujarnya.
Beliau kemudiannya memberikan kenyataan berikut:
"Janganlah buat fitnah dan gelar orang dengan gelaran-gelaran buruk. Saya diterima Perdana Menteri untuk (jawatan) MT UMNO, sekurang-kurangnya berilah sokongan. Selama ini Pas kata UMNO tolak Islam, tapi adakah kita berdampingan, menasihati mereka, adakah kita menegur dan berkawan dengan mereka?
"Salahkah saya berkawan (dengan UMNO) untuk menasihati dan menegur. Ini peluang UMNO berubah, mereka beri peluang ahli Pas menyertai mereka. Ini patut diberi sokongan. Kalau Perdana Menteri memberi saya 'kuasa' dan menggubal dasar, bukankah itu lebih baik daripada sekadar bercakap."