Monday, March 7, 2011

Menyempitkan Islam

Siapa yang menyempitkan Islam?

oleh MASHITAH IBRAHIM
2/25/2011 8:55:51 AM

Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengatakan Islam di negara ini ‘dikurung’ di pejabat agama, malah skopnya juga disempitkan demi mempertahankan sistem sekular warisan penjajah. Katanya lagi, Islam hanya tertumpu kepada sembahyang, puasa, perkahwinan dan zakat, berbeza dengan pendekatan kepimpinan yang diamalkan Rasulullah SAW.
Tentunya beliau merujuk kepada negara yang ditadbir Barisan Nasional (BN), yang mana UMNO adalah parti penerajunya. Gambaran hendak diberikannya ialah kerajaan BN tidak menitik beratkan syiar Islam dalam pentadbirannya, yang memungkinkan mereka melihat proses penerapan nilai Islam di negara ini sebagai agak terbatas atau tidak betul pada kaca mata mereka.
Ini sekadar cakap politik. Status Malaysia sebagai negara Islam tidak harus dipersoal lagi. Pelbagai kejayaan dan pencapaian sejak lebih lima dekad lalu kini meletakkan Malaysia sebagai negara termaju di kalangan semua negara Islam di dunia. Model pembangunan ekonomi dan kestabilan politik Malaysia menjadi contoh dan dihormati negara lain. Malaysia juga pernah mengetuai Persidangan Negara-Negara Islam dan peneraju sistem kewangan dan perbankan Islam.
Dalam kita mendaulatkan agama Islam, memang kita memberi penekanan kepada urusan fardhu ain, khususnya pembelajaran agama serta akhlak dan pembentukan peribadi (sistem sekolah agama), sembahyang (pembinaan surau dan masjid), puasa, zakat dan sebagainya.
Namun, fokus juga diberi kepada pembangunan fardhu kifayah, termasuk pembasmian kemiskinan kalangan orang Melayu-Islam (antara lain program 1Azam, TEKUN, Amanah Ikhtiar), pengurusan dan pentadbiran hal ehwal agama (Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Tabung Haji dan sebagainya), program dakwah melalui penubuhan pelbagai jabatan dan agensi seperti Institut Kefahaman Islam Malaysia, dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia, ekonomi dan kewangan (Bank Islam, Bank Muamalat, Takaful, Ar-Rahn, hab halal dan sebagainya) serta pendidikan (Universiti Islam Antarabangsa, Kolej Islam, maktab dan sekolah).
Pemimpin agama dunia, ahli ekonomi dan tokoh akademik, termasuk Sheikhtul Al-Azhar dan Rektor Universiti Antarabangsa Al-Madinah mengiktiraf kejayaan Malaysia sebagai sebuah negara Islam, baik dari segi politik, ekonomi, sosial atau pendidikan. Mereka kagum dengan kejayaan Malaysia mengekalkan keamanan dan keharmonian berasaskan kepimpinan wasatiyyah, yang bukan sahaja diterima baik rakyat pelbagai kaum, malah membuka ruang luas terhadap pencapaian golongan wanita.
Untuk tahun ini sahaja, pelbagai program padat diatur untuk meraikan syiar Islam termasuk Ijtima’ Mufti dan Ahli-ahli Fatwa Seluruh Negeri serta Persidangan Mufti-Mufti Seluruh Malaysia (Mac), Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan (April), Dialog Intelektual Fatwa (Mei), Persidangan Mufti-Mufti Negara ASEAN (Jun) dan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa (Julai). Di peringkat negeri dan daerah seluruh negara, pelbagai aktiviti dan program agama berjalan sepanjang tahun seperti kuliah, tazkirah, bicara ilmu, kelas mengaji dan sebagainya, yang turut disertai belia dan golongan muda. Media cetak dan elektronik di negara kita banyak menyiarkan rancangan agama seperti Akademi Al-Quran, Imam Muda, Forum Perdana, Tanyalah Ustaz, Tanyalah Ustazah Halaqah, Al-Kuliyyah, Bicara Mufti, Semanis Kurma, Usrah di Hati, Tilawah Interaktif, Mari Bertaranum dan tidak lama lagi, Dari Suri ke Suri. Buku dan majalah agama juga terjual luas, seperti yang dapat dilihat di toko-toko buku dan pameran yang diadakan sepanjang tahun di serata pelosok negara kita. Ini menggambarkan penjiwaan pemimpin dan masyarakat terhadap Islam.
Mustahil Abdul Hadi atau pemimpin dan penyokong Pas lain tidak nampak semua ini. Adakah mereka bagaikan katak di bawah tempurung? Ataupun doa membutakan mata pemimpin UMNO rupa-rupanya sudah terbalik dan menjadikan mereka ‘buta’ terhadap perkembangan dan perkembangan Islam yang pesat berlaku di sekeliling mereka?
Banyak peraturan dan undang-undang yang kononnya ingin menegakkan Islam akhirnya tidak terlaksana. Kaunter lelaki berasingan perempuan di kompleks membeli belah, serta pembinaan stadium dan perkhidmatan bas khusus untuk wanita hanya hangat-hangat tahi ayam. Hukum hudud yang menjadi bahan kempen untuk menang pilihan raya tahun 1990 tidak menjadi realiti sehingga hari ini.
Kononnya ia tidak terlaksana kerana pernah diugut Tun Dr Mahathir Mohamad semasa beliau menjadi Perdana Menteri. Tapi sepatutnya tiada alasan lagi. Tun sudah hampir 10 tahun bersara, namun kerajaan Pas Kelantan tetap tidak melaksanakan hudud. Pendek kata, sebelum menuduh kerajaan, eloklah perbaiki dulu keadaan di negeri-negeri yang ditadbir Pas. Lagipun, tujuan program keagamaan yang dijalankan ialah untuk mendaulatkan Islam, membasmi sikap suka mentakfir, memfitnah atau menyebarkan perkara palsu, berburuk sangka serta memecah-belah masyarakat sesama Islam.
* Datuk Dr Mashitah Ibrahim ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri

No comments:

Post a Comment