Thursday, March 17, 2011

Akhbar cina

ISU-ISU AKHBAR CINA

INGATAN TUN MAHATHIR LEMAH
AKHBAR Nanyang Siang Pau terbitan 12 Mac 2011 menyiarkan artikel tulisan pengkritik semasa, Huang Zi mengenai pelancaran buku memoir Tun Dr. Mahathir Mohamad bertajuk A Doctor in the House: The Memoirs of Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 8 Mac lalu.

Artikel yang disiarkan dalam ruangan Pendapat Yuanlun di halaman A13 akhbar berkenaan bertajuk ‘Daya ingatan Pak Mahathir’.

Menurut penulis, kemampuan penakluk dari Perancis, Napoleon Bonaparte untuk mengingati satu persatu nama perajuritnya adalah kebolehan hebat. Malangnya, beliau meninggal dunia awal pada usia 52 tahun sehingga menyukarkan semua pihak mengetahui adakah kebolehan itu semakin hilang mengikut peredaran umurnya.

Kebiasaannya, apabila usia menjangkau 70 hingga 80 tahun, seseorang itu akan ingat kembali masa silamnya satu persatu dan pada masa sama akan lupa apa yang baru dicakap dan juga tidak ingat perbuatan yang baru dilakukan sebentar tadi.

Dalam hal berkaitan, otak dan pemikiran Tun Mahathir dikatakan masih sihat dan segar lagi. Pemikirannya juga didakwa masih hebat dan canggih.

Sejak beliau menyandang jawatan Perdana Menteri sehingga melepaskan jawatan itu, apa yang beliau cakap dan laungkan sama ada jasanya atau bercakap bohong sangat banyak telah diluahkan. Banyak cerita yang beliau dedahkan dan ia seperti bulu lembu (bidalan Cina bermaksud terlalu banyak). Orang hebat yang boleh mengaku diri sendiri hebat memang seorang yang hebat.

Selain itu, beliau juga menulis biografinya sendiri, supaya orang ramai dapat membaca ‘inilah sejarah saya yang sebenar’. Mengikut Tun Mahathir dalam bukunya, beliau hanya mengikut arahan Yang di-Pertuan Agong supaya memecat Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Salleh Abas.

Tun Salleh yang begitu kecewa dan tidak mahu lukanya berdarah kembali, memilih tidak menjawab isu-isu yang dibangkitkan dalam buku itu. Ini menyebabkan kes berkenaan terus menjadi tanda tanya mengenai apa sebenarnya yang berlaku.

Menurut Tun Mahathir, beliau diberikan sambutan dingin semasa melawat Singapura semasa baru menjawat jawatan Perdana Menteri. Ketika ingin bertemu dengan Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew, beliau hanya disambut pegawai protokol dan Kuan Yew hanya muncul selepas 15 minit.

Dikatakan juga beliau berjumpa dengan Presiden Singapura, Benjamin Henry Sheares dan mereka berbincang selama 20 minit dan pembantu presiden didakwa menuangkan teh sebagai isyarat memaksa perbincangan itu ditamatkan segera.

Tetapi apa yang dijawab oleh Singapura adalah ketika lawatan itu, Kuan Yew sendiri menyambut Tun Mahathir di lapangan terbang. Pada masa itu, Sheares telah pun meninggal dunia dan beliau sebenarnya mengadakan perjumpaan dengan Presiden lain iaitu Devan Nair dalam satu majlis makan tengah hari.

Nampaknya, daya ingatan Tun Mahathir lebih teruk daripada Napoleon. Beliau tidak dapat lagi melawan usia yang semakin tua. Kesahihan daya ingatan beliau mengenai peristiwa silam boleh dipertikaikan dan perlu dikaji selidik untuk mencari kebenarannya.

Sebab itu, ungkapan ‘sejarah saya’ yang disebut Tun Mahathir sebenarnya hanya bertujuan menyedapkan telinga orang ramai sahaja.

RAKYAT SUKA BAZIRKAN WANG

Penulis artikel bertajuk ‘Mari bincang pasal isu bayar saman’ ini menggunakan nama samaran Tai Yik. Artikel yang diterbitkan pada 12 Mac 2011 disiarkan dalam ruangan perbincangan rakyat akhbar China Press di halaman C13.

Pada pendapat saya, rakyat di negara kita kini membazirkan wang bukan di tempat yang sepatutnya. Duit yang seharusnya digunakan di tempat yang betul tidak digunakan di situ, malah dibazirkan ke tempat-tempat lain.

Mengikut satu kajian, ada sesetengah rakyat kita membazirkan duit semata-mata untuk membeli plat kenderaan. Dianggarkan setiap tahun, sebanyak RM150 juta telah dibazirkan di situ sahaja.

Mereka masuk tender mengikut nombor plat kenderaan kegemaran masing-masing. Ada sesetengah orang membeli satu nombor dengan harga setinggi RM300,000. Dengan ini, kita faham tuan punya kenderaan di negara kita bukannya tiada duit, tetapi mereka tidak tahu gunakan wang mereka di tempat yang betul.

Saya bukan cakap sebarangan, kerana terdapat bukti nyata yang dipaparkan dalam akhbar apabila mereka tidak mengendahkan untuk membayar saman kesalahan jalan raya yang dikeluarkan.

Ada pula yang setelah mendapat surat saman terus dibuang ke dalam tong sampah sehingga sekarang mereka telah menerima bertimbun-timbun surat saman.

Sekarang ini, pihak penguat kuasa undang-undang telah gunakan kuasa mereka yang sebenar. Sekarang baru kita tahu, tuan punya kenderaan itu ‘pengecut’ rupa-rupanya. Mereka terpaksa ikut kata dengan membayar saman. Di saat-saat akhir baru mereka keluarkan duit dari saku untuk membayar saman. Mereka ini menggeletar seperti kesakitan gigi.

Bagi penulis, pihak berwajib tidak bersalah langsung dalam hal ini kecuali jika kerajaan mengeluarkan saman secara membuta tuli untuk mendapatkan duit rakyat. Jika sebaliknya, pemandu kenderaan yang buat salah, memang patut disaman.

Bagaimanapun, penulis tetap tidak bersetuju apabila pihak penguat kuasa mengeluarkan saman ekor kerana ia boleh menyebabkan orang ramai teraniaya.

Walaupun pengguna bersalah dari segi undang-undang, tetapi dalam keadaan tertentu mungkin mereka tidak menerima surat saman sehingga menyebabkan mereka tidak membayarnya kerana tidak tahu apa-apa. Sepatutnya orang-orang yang tidak tahu itu, tidak bersalah dan tidak boleh dipersalahkan.

Diharap pihak yang berwajib lupuskan semua saman ekor yang dikeluarkan. Jika pemandu bersalah, terus keluarkan saman serta-merta kepada mereka.

DASAR KERAJAAN PERLU BERKESAN

Akhbar Sin Chew Daily terbitan 14 Mac 2011 menerusi tulisan Timbalan Editornya, Tay Ting Hien memaparkan artikel mengenai pelbagai program yang dilancar kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah.

Berikut adalah artikel yang ditulis beliau bertajuk ‘Lebih baik dipraktikkan daripada hanya berniat baik’ yang disiarkan dalam ruangan Sudut Pendapat di halaman 28.

Skim Rumah Pertamaku telah dilancarkan baru-baru ini. Menerusi program itu, warganegara berumur 35 tahun ke bawah yang berpendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan, boleh membuat pinjaman 100 peratus bagi membeli rumah tidak melebihi RM220,000.

Seterusnya, Presiden MIC, Datuk G. Palanivel turut mengumumkan bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sedang bekerjasama dengan parti itu untuk menggalakkan kaum India berpendapatan rendah di bandar kembali ke ladang-ladang.

Langkah itu, adalah supaya kaum India dapat keluar dari kawasan rumah setinggan yang sesak dan kotor serta menghindari mereka daripada terlibat dengan kegiatan jenayah.

Memang benar dasar kerajaan itu berniat baik dan ia membuktikan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak dilupakan. Tetapi dasar yang berniat baik itu, tidak semestinya berkesan untuk menangani segala permasalahan yang dialami kerana penggubal polisi berkenaan tidak memahami masalah yang dihadapi golongan itu.

Cuba kita gunakan kaedah matematik yang termudah sekali. Seorang pemuda bernama Khadafi berusia 30 tahun dengan pendapatan bulanan sebanyak RM3,000. Jika membeli rumah berharga RM200,000 di bawah Skim Rumah Pertamaku, dia perlu membayar ansuran bulanan RM1,200 sepanjang 25 tahun (sehingga usia pencen).

Selepas bayar rumah, baki duit Khadafi sebanyak RM1,800. Bayar pinjaman kenderaan RM800 sebulan, tinggal baki RM1,000 lagi. Caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM330, baki wang beliau kini adalah sebanyak RM670.

Jika duit petrol kenderaan RM300 sebulan, bil api dan air, telefon dan pelbagai sebanyak RM300, maka baki akhir yang beliau peroleh adalah RM70 sebulan. Ini adalah untuk duit makan dan minum.

Angka itu hanya cukup untuk makan dan minum dalam masa dua hingga tiga hari sahaja. Jika Khadafi mahu menyara isteri dan ibu bapa beliau, mereka sekeluarga boleh telan angin dan minum air hujan untuk isi perut.

Dalam pada itu, Khadafi menghadapi masalah lebih serius jika dia tinggal di Lembah Klang, kerana rumah dengan keluasan 400 meter persegi telah menjangkau RM230,000 sebuah. Rumah yang lebih selesa turut meningkat kepada antara RM400,000 hingga RM500,000 sebuah.

Oleh itu, kenapa tidak dibina lebih banyak rumah kos sederhana yang berpatutan bagi membolehkan golongan berpendapatan rendah memiliki rumah.

Sementara itu, langkah menggalakkan kaum India di bandar kembali ke ladang-ladang adalah tidak sesuai kerana mereka dijangka hanya akan mendapat pendapatan antara RM400 hingga RM500 sebulan. Kemudahan pendidikan di kawasan ladang juga serba kekurangan.

Sehubungan itu, kerajaan sepatutnya meningkatkan kemudahan asas di ladang-ladang dan memastikan pendapatan ditingkatkan kepada RM800 sebulan.

Dasar-dasar kerajaan yang berniat baik perlu memberi kesan yang praktikal, barulah ia dapat memberi manfaat kepada rakyat.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment