Thursday, March 10, 2011

Nafsu Pembangkang

Pakatan pembangkang berkongsi nafsu

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my
SUATU ketika dulu, kita pernah mendengar apa yang dipanggil Barisan Alternatif, kita juga pernah disogokkan dengan satu kerjasama atas nama Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dan kini wujud pula apa yang dipanggil Pakatan Rakyat.

Sama ada Barisan Alternatif, APU mahupun Pakatan Rakyat, ia bukanlah sebuah gerakan politik yang sah seperti mana gabungan parti-parti dalam Barisan Nasional (BN). Sebaliknya, pakatan berkenaan melibatkan parti-parti pembangkang yang nampaknya secara zahir sahaja sepakat tetapi mempunyai ideologi dan perjuangan berbeza-beza.

Sebab itulah mereka terlalu sukar untuk mendaftar sebagai satu gerakan secara sah bagi membolehkan mereka bertanding dalam pilihan raya menggunakan satu lambang sahaja seperti mana dilakukan oleh BN.

Bagaimanapun sehingga kini mereka tidak boleh berbuat demikian kerana Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak mempunyai perjuangan yang sama. Mereka hanya berkongsi 'nafsu' mahukan kuasa dengan berpakat menumbangkan kerajaan BN.

Mereka tidak ada matlamat lain sebab itulah mereka sampai sekarang gagal mencapai kesepakatan untuk berjuang menggunakan satu lambang dalam pilihan raya.

Hakikatnya, bukan rahsia lagi bahawa PKR, DAP dan Pas mempunyai ideologi perjuangan yang cukup berbeza. PKR ditubuhkan demi untuk memperjuangkan nasib pemimpin utamanya, DAP masih kental dengan hasrat Malaysian Malaysia manakala Pas pula yang pada mulanya ingin memperjuangkan Islam semakin lari daripada matlamat itu.

Berikutan kekeliruan ini, terlalu sukar untuk mereka mencapai kesepakatan bagi mengarak panji-panji yang sama. Justeru istilah Pakatan Rakyat hanyalah sekadar mainan politik bagi mengaburi rakyat kononnya mereka memperjuangkan nasib golongan itu.

Walaupun pemimpin-pemimpin PKR, DAP dan Pas cuba menunjukkan bahawa mereka mempunyai kesepakatan dan persefahaman tetapi fakta sebenar tidak begitu.

PKR dan DAP dilihat terlalu kukuh mendominasi kerjasama pembangkang manakala Pas pula hanya menjadi pengikut. Kejayaan pada 8 Mac 2008 yang diraikan bersama-sama kini dikatakan semakin hambar.

Terlalu banyak kepincangan di dalam kerjasama tersebut yang cuba disembunyikan sama ada di Kedah, Pulau Pinang, Selangor mahupun pusat oleh pemimpin-pemimpin ketiga-tiga parti itu.

Berikutan sikap hipokrit itulah, ia menyebabkan semakin ramai pemimpin dan ahli PKR dan Pas meninggalkan parti itu. Mereka semakin melihat bagaimana kerjasama antara ketiga-tiga parti berkenaan hanyalah satu retorik dan tidak akan mampu membawa apa-apa kesejahteraan rakyat.

Semua ini sudah tentu bukanlah petanda yang baik untuk pemimpin PKR, DAP dan Pas mencapai kesepakatan bagi mendaftarkan pakatan mereka.

Selain masalah ideologi dan matlamat yang berbeza, halangan terbesar ialah siapakah yang bakal menjadi 'korban'.

Ia kerana ketiga-tiga parti sudah tentu mahu menjadi dominan. PKR pastinya tidak akan membiarkan Pas bertanding lebih kerusi berbanding DAP kerana bagi PKR, mereka lebih yakin kerjasama dengan DAP berbanding dengan Pas.

Keadaan itu berlaku kerana PKR yang diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mengharapkan sokongan pengundi bukan Melayu, sedangkan Pas tidak mungkin dapat melunaskan harapan ini.

Biarpun dari segi sejarah politik negara, Pas jauh lebih hebat berbanding PKR yang berusia setahun jagung atau DAP yang boleh dikatakan hanya mendapat sokongan sebahagian masyarakat Cina tetapi Pas tidak berdaya melakukan apa-apa.

'Baiah' yang dibuat untuk setia bersama-sama perjuangan PKR dan DAP tidak memungkinkan Pas berundur lagi.

Mahu tidak mahu, sama ada untung atau rugi, Pas perlu bersama-sama kedua-dua parti itu bagi menempuh pilihan raya umum akan datang biarpun akan dilayan sebagai parti 'kelas ketiga' dalam pakatan pembangkang.

Kesetiaan Pas yang sanggup tunduk kepada PKR dan DAP semata-mata demi mencapai cita-cita untuk meraih kuasa bersama membolehkan kedua-dua parti itu memperkotak-katikkan Pas sewenang-wenangnya.

Dalam tindak-tanduk mereka, tiada perhitungan yang diambil kira mengenai pendirian atau perasaan Pas, apa yang penting PKR dan DAP melakukan apa sahaja yang mereka rasa perlu demi mengukuhkan kuasa mereka.

Sebab itulah, mereka sengaja melambat-lambatkan usaha mendaftar pakatan pembangkang secara rasmi. Ini sama dengan keadaan yang berlaku dalam kerjasama Barisan Alternatif yang melibatkan Parti Melayu Semangat 46 (S46) dengan DAP dan kerjasama S46 dengan Pas melalui Angkatan Perpaduan Ummah.

Sama ada ia Barisan Alternatif atau Angkatan Perpaduan Ummah, ia hanyalah sebutan sahaja bagi menyedapkan panggilan terhadap kerjasama antara parti-parti pembangkang bagi meraih kuasa. Apabila cita-cita itu sudah dicapai maka 'berkuburlah' kerjasama mereka.

Namun begitu jika pada tahun awal 1990-an dulu, wujud dua blok pembangkang yang berbeza biarpun berhadapan dengan 'musuh' yang sama tetapi sekarang hanya tinggal satu blok sahaja iaitu pakatan pembangkang.

Pas yang dulu agak 'malu-malu' untuk bekerjasama dengan DAP berikutan penentangan keras parti itu terhadap penubuhan negara Islam tetapi kini sudah tidak segan silu lagi, malah ada pengikut mereka yang setia mengibarkan bendera DAP di majlis-majlis politik termasuk ketika kempen pilihan raya sambil melaungkan 'takbir'!.

Apapun semua itu bukanlah alasan bagi ketiga-tiga parti mendaftar pakatan mereka secara rasmi. Sikap curiga-mencurigai sama ada hendak diakui atau tidak masih tebal di kalangan mereka.

Ia berbeza dengan kesepakatan di dalam BN yang sejarah telah membuktikan melalui kerjasama mereka, negara ini bukan sahaja sudah mencapai kemerdekaan tetapi juga kemakmuran dan kesejahteraan.

Pakatan pembangkang hanya boleh bermimpi untuk memiliki kekuatan dan kekukuhan seperti BN kerana kerjasama PKR, DAP dan Pas bukan atas dasar keikhlasan demi membela nasib rakyat dan membangunkan negara tetapi semata-mata untuk meraih kuasa serta memenuhi impian seorang insan menjadi Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment