Wednesday, March 23, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa angkat martabat filem Melayu

SAYA ingin mengajak rakyat Malaysia merenung sebentar dan memikirkan sejenak mengenai kejayaan terkini dalam perfileman Melayu. Kita sedang dihangatkan dengan sebuah filem yang sedang ditayangkan hasil nukilan seorang anak muda yang jiwanya sedang bergelora untuk menghasilkan sebuah hasil seni yang sungguh hebat iaitu Hikayat Merong Mahawangsa.

Sebenarnya,saya tidak pernah menonton filem Melayu di pawagam. Tetapi entah kenapa hati saya begitu teruja ingin menonton filem ini dan melihat sendiri kehebatannya.

Memang benar saya tidak kecewa. Sepanjang menonton filem ini saya merasakan begitu bangga kerana seorang anak Melayu dapat menghasilkan sebuah filem yang begitu tinggi hasil seninya.

Apa tidaknya, setahu saya Yusry KRU hampir putus asa. Mungkin kita tidak dapat menonton filem begini sekiranya beliau mengambil keputusan tidak meneruskannya. Jangan anda nafikan, sebagai rakyat Malaysia kita sememangnya dahagakan filem sebegini setelah kita hanya dibuai oleh filem-filem asing.

Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem yang mesti ditonton oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia. Begitu indah pertuturan bahasa, irama dan lentuk budi bicara. Itulah bahasa Melayu dan kita patut bangga menjadi anak Melayu. Berbaloi meluangkan masa, berbelanja sedikit untuk sebuah keluarga menonton filem tersebut.

Yusry menghabiskan wang berjuta ringgit, memerah keringat dan masa menghadapi tekanan hanya untuk memuaskan hati semua. Untuk filem sehebat ini, anda di luar sana janganlah menjelajah sana sini untuk mencari DVD cetak rompak. Kita harus menilai dan mengambil ikhtibar atas hasil seni yang bukan calang-calang orang dapat melakukannya.

Tontonlah filem ini kerana anda akan merasa bangga menjadi anak Melayu. Moga-moga di masa hadapan Yusry akan ada trade mark sendiri di mata dunia dengan filem-filem aksi yang hebat seperti nama-nama besar lain yang sedia ada di zaman ini.

MISHEF IBRAHIM

Petaling Jaya, Selangor

No comments:

Post a Comment