Khalid Ibrahim didesak pecat Pengurus Besar Yayasan Selangor
SHAH ALAM 21 Mac – Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak agar memecat Pengurus Besar Yayasan Selangor (YS), Ilham Marzuki yang terbukti gagal menguruskan yayasan tersebut sehingga organisasi berteraskan pendidikan itu mengalami defisit RM7.41 juta.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Abdul Shukor Idrus berkata, kedudukan kewangan yayasan itu dilihat paling buruk sejak parti pembangkang mengambil alih pentadbiran negeri kerana sebelum 2008, ia memiliki dana sebanyak RM67 juta.
“Sekarang yayasan yang ditubuhkan untuk membantu rakyat mengalami masalah dan saya yakin, keadaan yang sama turut melibatkan anak-anak syarikat di bawah yayasan itu termasuk anak syarikat kerajaan negeri lain.
“Kita desak supaya kerajaan negeri turut membuat laporan audit terhadap semua anak syarikat kerajaan negeri dan dedahkan hasilnya kepada seluruh rakyat negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.
Abdul Shukor berkata, Abdul Khalid sewajarnya bertindak mengikuti laporan audit terhadap YS yang dikeluarkan pada 18 Mac lalu mengesyorkan supaya Pengurus Besar YS dan Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) ditamatkan kontrak.
Katanya, ia adalah atas alasan kedua-duanya tidak menjaga kepentingan yayasan itu, sebaliknya kebanyakan keputusan dibuat seolah-olah atas kepentingan diri.
“Sebaliknya Abdul Khalid hanya memecat Timbalan Pengurus Besar (Pengurusan) tetapi tidak berbuat demikian ke atas Pengurus Besar,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Abdul Khalid sebagai ‘pembohong besar’ berikutan skandal kewangan yang melanda yayasan itu.
Ini kerana katanya, sebelum ini Menteri Besar bermati-matian mempertahankan kos penganjuran sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu pada November 2010 berjumlah RM300,000 dan bukannya RM800,000 seperti didakwa UMNO Selangor sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, laporan audit menyebut kos sambutan itu mencecah RM1 juta berpunca daripada kepincangan pengurusan YS termasuk perbelanjaan tidak berhemah.
‘‘Kita melihat ia sebagai satu perbuatan tidak bertanggungjawab selain melanggar amanah yang diberikan oleh rakyat,” katanya.
No comments:
Post a Comment