Thursday, March 24, 2011

JanganTuduh Kau Lain

Jangan salahkan bangsa lain

MASYARAKAT Melayu hari ini sering menyalahkan bangsa lain, menuduh mereka merebut peluang kita. Tetapi yang sebenarnya adakah mereka sahaja yang merebut ataupun kita sendiri yang tidak gigih berusaha?

Pada pandangan saya, kita yang sentiasa merungut tentang kesusahan bangsa sedangkan kita sendiri tidak bangkit untuk mengubahnya.

Hasilnya, jurang antara kaum wujud, kita membenci bangsa lain yang lebih maju tetapi kita tidak pula pernah membenci ataupun bermuhasabah terhadap diri kita yang hanya menunggu dan mengharapkan bantuan semata-mata. Malangnya, ada dalam kalangan kita yang membenci bangsa lain tetapi juga tidak sayangkan bangsa sendiri, dua pemikiran negatif yang telah meracuni kotak fikiran. Apakah kebaikan yang dapat diperolehi dengan pemikiran negatif ini?

Berlainan pula dengan satu lagi situasi apabila Melayu tidak lagi mengaku sebagai Melayu. Melayu yang tidak lagi berbangga menjadi Melayu. Saya terkilan apabila melihat ketidakseimbangan yang berlaku pada hari ini. Apabila melayari Internet, banyak yang saya jumpa kenyataan belia Melayu yang mengutuk bangsa sendiri hanyalah untuk mendapat perhatian bangsa lain. Perkara begini menunjukkan betapa kita tidak matang dan mudah untuk diperkecilkan.

Bangsa Melayu sering meletakkan diri mereka pada tahap yang rendah, selalu berpuas hati dengan keadaan walaupun jelas sekali dengan sekadar berpuas hati tanpa berusaha, kita tidak akan maju.

AINAA BAHIRAH SHAMSUDIN

Shah Alam, Selangor

No comments:

Post a Comment