angan bagi peluang puak pelampau
oleh MASHITAH IBRAHIM
3/4/2011 3:47:31 PM
Perdana Menteri Britain dan Jerman baru-baru ini mengakui, kerajaan mereka gagal untuk mewujudkan perpaduan kaum dalam negara. Banyak negara kini melihat Malaysia sebagai model atau contoh bagaimana rakyat yang berbeza bangsa, agama, keturunan dan budaya boleh berbaik-baik dan bersatu padu dalam satu negara.
Mutakhir ini, huru-hara di negara-negara lain kerana ketidakstabilan politik menyebabkan ribuan nyawa hilang dan lebih ramai lagi cedera. Ekonomi negara mereka punah kerana rakyat tidak boleh berniaga, sistem penerbangan dan pengangkutan terhenti, dan pelabur juga hilang keyakinan. Tetapi kita di Malaysia tetap hidup dalam aman damai kerana tidak ada pergolakan kepimpinan atau krisis politik yang besar.
Tidak kurang juga negara menempuh kedukaan kerana perang dan bencana alam seperti letupan gunung berapi, gempa bumi, banjir besar dan ribut taufan. Ada juga negara yang mengalami bencana industri seperti tumpahan minyak dan kebakaran hutan yang besar. Syukur di Malaysia, kita semua dilindungi daripada musibah sebegini.
Dalam pada itu, ada pihak mengambil kesempatan menyamakan apa yang berlaku di negara-negara Timur Tengah dan Afrika Utara dengan Malaysia. Mereka cuba kaitkan ketandusan politik dan demokrasi, kegagalan ekonomi dan huru-hara sosial yang dialami di negara-negara seperti Mesir, Libya, Tunisia, Yaman dan Bahrain seolah-olah sama dengan negara ini. Tetapi jauh panggang dari api!
Berdemonstrasi membuta tuli, membakar gereja, memijak kepala lembu atau menggantung kepala khinzir di masjid sehingga membangkitkan sentimen kemarahan penganut agama lain, bukan cara atau sentimen orang Malaysia. Majoriti tidak bersetuju dengan kaedah yang keterlaluan sebegini untuk mencari jalan penyelesaian.
Walaupun pada mata kasar, golongan ini dilihat mewakili perjuangan kaum sendiri dan menuntut hak, tetapi mereka sebenarnya mengkhianati jasa dan sumbangan perjuangan murni pemimpin-pemimpin terdahulu, seperti Allahyarham Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Tun Tan Cheng Lock, Tun Tan Siew Sin, Tun VT Sambanthan, Tan Sri Manikavasagam, Tun Jugah, Tun Fuad Stephens dan ramai lagi.
Pejuang kemerdekaan ini bertungkus-lumus mencari formula terbaik untuk Malaysia agar dapat wujud dan bertahan sebagai sebuah negara merdeka yang berdaulat, dan rakyatnya dapat hidup bersama-sama aman damai dan bersatu padu.
Jadi siapalah golongan pelampau dan ekstremis hari ini yang mahu merosakkan hasil perjuangan pemimpin-pemimpin kita terdahulu? Sebagai rakyat bertanggungjawab dan warganegara yang patriotik, kita harus menentang gejala ini. Kita tidak boleh relakan puak pelampau merampas agenda murni kerajaan untuk menyatupadukan rakyat dan memakmurkan negara ini.
Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak selalu berpesan agar kita memiliki sikap toleran, boleh menerima antara satu sama lain dan meraikan kepelbagaian antara kita. Beliau percaya kepada keupayaan rakyat Malaysia menyerap nilai-nilai yang baik untuk membina jambatan perpaduan dan meruntuhkan tembok prejudis antara kaum.
Kita juga mesti bersederhana, mengambil jalan tengah, bersikap adil dan saksama, serta menjaga sensitiviti kaum lain. Ini adalah asas 1Malaysia. Matlamatnya ialah perpaduan kaum yang utuh, justeru kita mampu menjadi kuat sebagai satu bangsa Malaysia.
Perpaduan yang ingin kita bina mestilah kukuh dan mantap, bukan bersifat superficial atau simbolik semata-mata. Benteng etnik yang ada seharusnya saling melengkapi dan bukannya saling menyaingi. Inilah keunikan kita. Inilah juga kekuatan kita.
Tinggal di negara bernama Malaysia ini ibarat tinggal dalam sebuah rumah. Ada bilik kaum Melayu, ada bilik kaum India, ada bilik kaum Cina dan ada bilik bagi mereka yang berketurunan Siam. Di dalam rumah ini, ada dapur yang mana semua orang boleh duduk makan. Dalam rumah ini juga, ada ruang besar yang mana wakil semua kaum dapat duduk dan berbincang mengenai apa jua hal dan selesaikan bersama.
Jika rumah ini dimasuki hujan kerana silingnya tiris, maka mereka segera menutup bocor itu. Jika lantai atau dindingnya rosak, maka penghuni bertanggungjawab membaikinya untuk kebaikan semua yang tinggal dalam rumah ini. Jika rumah ini diancam musuh atau dicerobohi penceroboh, maka semua penghuni berperanan dan bertanggungjawab ke atas keselamatannya.
Kita kena sayang rumah ini kerana inilah rumah kita, tempat kita berteduh, tempat kita beristirahat dan berlindung daripada panas, hujan atau ribut. Kita kena sayang Malaysia kerana inilah satu-satunya negara kita, tempat kita beribadat, mencari makan, berniaga, tempat anak-anak kita bersekolah dan tanah tumpahnya darah kita.
Marilah kita menanam tekad untuk terus bersatu padu, memainkan peranan sebaik boleh sebagai warganegara dan menyumbang kepada pembangunan negara dan kesejahteraan bersama.
* Datuk Dr Mashitah Ibrahim ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
No comments:
Post a Comment