Friday, March 4, 2011

Ihsan Pahang Jadi Isu

Ihsan Pahang untuk Selangor

Oleh YUSRI SAHAT
utusanktn@gmail.com
BENARKAH Kerajaan Pahang begitu ghairah untuk melihat Projek Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor (PPAMPS) dilaksanakan sehingga meminggirkan kebajikan rakyat dan pemeliharaan alam sekitar?

Meskipun jawapannya adalah tidak, namun itulah gambaran yang cuba diberikan oleh pembangkang kononnya kerajaan negeri terlalu ghairah dengan projek tersebut demi mendapat pulangan kewangan yang menguntungkan.

Pembangkang dengan lantang mendakwa soal penempatan semula dan pampasan penduduk tidak dihiraukan oleh kerajaan negeri. Begitu juga dalam soal pemeliharaan alam sekitar apabila kerajaan negeri dikatakan tidak memikirkan bencana yang bakal menimpa rakyat ekoran projek mega tersebut.

Bagi menjawab tohmahan tersebut, perlu difahami bahawa PPAMPS merupakan projek Kerajaan Persekutuan bernilai hampir RM4 juta yang dibiayai menerusi pinjaman mudah daripada Kerajaan Jepun. Projek itu dicetuskan sebagai jawapan kepada krisis air yang bakal dihadapi oleh kira-kira tujuh juta penduduk Selangor dan Lembah Klang selepas tahun 2010.

Sejak hari pertama projek mega itu dikemukakan oleh Kerajaan Persekutuan, Pahang sentiasa mengambil sikap positif bagi memastikan ia berjalan lancar mengikut jadual yang ditetapkan.

PPAMPS merupakan projek nasional yang harus disokong demi memastikan penduduk Selangor dan Lembah Klang tidak akan keputusan bekalan apabila seluruh kemudahan bekalan air yang ada di negeri itu tidak lagi berupaya membekalkan air dirawat yang mencukupi selepas tahun 2010.

Jika dilihat dari segi pulangan kewangan kepada Kerajaan Pahang, ia sebenarnya tidaklah seberapa. Dengan kadar hanya 10 sen semeter padu dan jumlah keseluruhannya sebanyak 1.8 juta meter padu sehari yang disalurkan ke Selangor, pulangannya hanya RM69 juta.

Apalah sangat nilai RM69 juta, sedangkan kutipan daripada pembekalan air dirawat di Pahang selama ini pun adalah sebanyak kira-kira RM90 juta setahun.

Apatah lagi dengan jumlah kewangan yang kecil itu hendak digunakan untuk menukar keseluruhan 12,393 kilometer batang paip dan menaiktaraf 82 loji yang kini hampir sama usianya dengan kemerdekaan negara, yang memerlukan lebih RM1 bilion untuk dibaikpulih.

Jika soal alam sekitar dijadikan isu, dalam proses rundingan tersebut, Kerajaan Pahang jenuh mengingatkan mengenainya. Oleh sebab itulah juga, beberapa pindaan kepada cadangan asal diambil kira termasuk yang utama iaitu mengurangkan cadangan pembinaan empangan daripada dua buah kepada sebuah sahaja.

Jika tidak, bukan sahaja penduduk di Lembah Klau, Raub, malah penduduk daerah lain juga akan membuat bantahan sama apabila sebuah lagi empangan yang kira-kira sama reka bentuknya seperti yang dicadangkan di Lembah Klau, dibina di kawasan tersebut.

Begitu juga dengan tahap ketinggian Empangan Lembah Klau itu pada asalnya dianggap terlalu tinggi. Berikutan itu, kerajaan negeri menawarkan cadangan supaya ia dikurangkan seterusnya dipersetujui Kerajaan Persekutuan.

Pastinya, Kerajaan Pahang amat layak untuk menyuarakan apa juga pandangan dan cadangan demi menjaga keperluan menjaga alam sekitar. Ini kerana, Pahang mewartakan seluas 270,000 hektar hutan sebagai kawasan tadahan air yang sepatutnya tidak boleh diusik sama sekali dengan apa juga projek pembangunan. Keluasan kawasan tadahan itu dianggarkan lebih dua kali ganda daripada keluasan negeri Pulau Pinang.

Dalam soal pampasan, Kerajaan Pahang memberi penekanan kepada aspek kesaksamaan kepada penduduk yang terbabit dalam PPAMPS. Apabila aspek itu dipertikaikan sehingga ada pihak membawa kes tersebut ke mahkamah, ia sebenarnya memberi natijah yang lebih baik kepada kerajaan negeri dan penduduk dalam usaha menyelesaikan kes berkenaan.

Apabila parti pembangkang mengambil kesempatan politik daripada episod PPAMPS itu, memang ada baiknya projek berkenaan dikaji semula.

PPAMPS sebenarnya dilihat oleh penduduk Pahang tidak lebih sebagai satu projek ihsan kerajaan negeri Pahang kepada Selangor dan Lembah Klang. Ia bersandarkan sikap mengambil berat terhadap penduduk Selangor dan Lembah Klang yang dikatakan akan mula mengalami krisis air selepas tahun 2010.

Keseluruhan air mentah sebanyak 1.8 juta meter padu sehari itu akan sepenuhnya disalurkan ke kawasan terbabit. Penduduk Pahang tidak akan mengambil setitik air daripada projek tersebut.

Jika menghadapi masalah berkaitan air sekalipun, ia bukan soal kekurangan bekalan tetapi lebih kepada aspek sistem pembekalan dan penyampaiannya.

Dengan begitu banyak lembangan sungai yang ada di Pahang terutama Sungai Pahang, Sungai Rompin dan Sungai Kuantan yang saban hari mengalirkan hingga 12.6 juta meter padu air mentah ke Laut China Selatan, ia lebih daripada mencukupi untuk menampung keperluan penduduk negeri ini sehingga tahun 2050 yang sebanyak 1.8 juta meter padu sehari ketika itu.

Apa yang diperlukan cuma untuk meningkatkan mutu sistem pembekalan seperti keperluan menaiktaraf atau membina loji baru, selain menggantikan paip-paip lama yang usang yang kerap kali menyebabkan sistem penghantaran tergendala kepada penduduk.

Justeru, Selangor sewajarnya berterima kasih kepada Pahang yang bersedia membekalkan air kepada penduduk negeri tersebut. Soal ideologi politik diketepikan sementara demi memastikan kesinambungan hidup penduduk di negeri berkenaan.

Jika Kerajaan Selangor 'bosan' untuk berurusan dengan Kerajaan Persekutuan dan Pahang, sewajarnya kerajaan negeri berkenaan memikirkan semula pelaksanaan PPAMPS.

Mungkin lebih elok Kerajaan Selangor berunding dengan Kelantan untuk mendapatkan bekalan air yang amat mereka perlukan.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment