Friday, March 4, 2011

Kisah Pembangkang

Kisah Pas, PKR dan DAP 'memomokkan' pengundi

Oleh ZULKIFLI JALIL
pengarang@utusan.com.my
DEKAT sebuah sekolah Cina di pekan Merlimau tengah hari kelmarin hampir tercetus kekecohan. Di markas DAP di situ, sebuah kenderaan pacuan empat roda membawa peraih undi Pas, PKR dan DAP menggunakan pembesar suara berkempen kepada orang ramai. Beberapa ketika terjadi 'perang mulut' mereka dengan pasukan polis sehinggakan kenderaan itu mahu ditunda ke balai.

Kebetulan Naib Presiden PKR, Tian Chua berada di situ dan meminta anggota polis tidak mengacau mereka. Hanya buang masa, kami hendak berkempen, katanya. Kekecohan bagaimanapun reda dengan ketibaan pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kemudian meminta peraih undi pembangkang tadi tidak mengulangi perbuatan mereka.

Baik di Merlimau dan Kerdau, yang masing-masing di bawah jagaan Pengerusi SPR, Tan Sri Abd. Aziz Mohd. Yusof dan timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar senada - tidak ada kekecohan besar ditimbulkan para penyokong parti-parti bertanding.

Cuma, kedegilan yang ditonjolkan pembangkang sama ada di Merlimau atau Kerdau, serupa sahaja. Pada sebelah siang apabila poster parti mereka diturunkan oleh pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya, poster sama dinaikkan semula sebelah malamnya.

Poster dan bendera sekutu-sekutu Pas - DAP dan PKR tidak dibenarkan dipasang kerana hanya Pas bertanding. Lagipun pakatan belum berdaftar dan sepakat seperti BN.

DUN Merlimau tidaklah luas. Dihuni 20,214 orang mengikut data terkini Unit Perancang Ekonomi Negeri pada bulan lalu. Daripada jumlah itu, 11.53 peratus adalah Cina manakala majoriti Melayu sekitar 77.62 peratus. Daripada populasi penduduk, 47.51 peratus penghuni bekerja di sektor swasta, 19 peratus dalam kerajaan, 15 peratus peniaga dan bakinya penternak dan nelayan.

Di Merlimau, tiada isu pembangunan. Kemudahan asasnya; elektrik, air dan komunikasi telah 100 peratus lengkap. Segalanya ada di Merlimau; masjid, surau, tokong, kuil hindu dan gereja. Demikian juga sekolah kebangsaan, sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), sekolah Cina dan Tamil. Ada belaka. Demikian juga sebuah politeknik dan kolej komuniti. Tidak lama lagi bakal terbina sebuah UiTM di Seri Mendapat, Jasin setelah kelibatnya ditolak kerajaan negeri Selangor di Serendah. Khabarnya, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd. Ali Rustam tidak ambil masa panjang memberi kelulusan.

Setakat enam hari berkempen semalam, tidak ada isu yang benar-benar konkrit yang boleh dimanipulasikan oleh mana-mana pihak.

Disebabkan mungkin 'mati akal', DAP sendiri terpaksa menggunakan taktik reverse psychology pengundi. Kata parti itu dalam pertemuan dengan masyarakat Cina Merlimau: "Undi adalah rahsia."

DAP sedar agak payah untuk memancing sokongan pengundi Cina kerana semua masalah orang Cina di sini telah selesai, kata Naib Presiden MCA, Datuk Dr. Ng Yen Yen.

"DAP cuba 'memomokkan' pengundi Cina bahawa undi adalah rahsia, mereka tahu pengundi akan pangkah siapa," kata seorang penduduk Merlimau. Kaum Cina mewakili 2,225 pengundi dengan teramai di Pengkalan Samak (616 orang).

Bagi Pas yang mempertaruhkan calonnya di Merlimau, hanya sekadar menguar-uarkan kepada pengundi agar diberi 'talian hayat' untuk dipilih. Tidak menjanjikan apa-apa untuk pengundi, parti itu begitu terdesak untuk menyertai sekutu lima wakil DAP dalam sidang DUN. Padahal, kalau kepimpinan Pas sendiri sudah 'iktiraf DAP lebih Islam daripada UMNO' mengapa tidak wakilkan sahaja kepada parti itu untuk bangkitkan isu Islam dalam sidang dewan?

Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula dilihat masyarakat Merlimau lebih kepada 'suka-suka' untuk menyedapkan isi ceramahnya. Seperti biasa, akhbar ini menjadi bahan kempennya selain pergolakan politik beberapa negara Asia Barat.

Kisah Pas, PKR dan DAP 'memomokkan' pengundi tidak akan berhenti di Merlimau dan Kerdau.

Hanya kerja keras, jangan rileks dan goyang kaki mampu mengaut sokongan pengundi.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

No comments:

Post a Comment