Wednesday, March 30, 2011

Rampas Tanah


‘Jangan rampas tanah kami’

GUA MUSANG - Kira-kira 100 peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh mengadakan perhimpunan secara aman mendesak Kerajaan Pas Kelantan menghentikan tindakan merampas tanah mereka ditanam dengan getah, dekat sini, petang kelmarin.

Di samping itu, mereka juga mahu Kerajaan Negeri membatalkan geran hak milik tanah berkenaan yang telah dikeluarkan kepada 26 individu tertentu sejak lebih 10 tahun lalu.

Malah, mereka tetap berkeras tidak akan membenarkan pihak tertentu memasuki ladang tersebut walaupun telah memiliki geran kerana ladang berkenaan miliknya yang diterima daripada pengagihan Kesedar sekian lama.

Menurut Ketua Peneroka RKT Kesedar itu, Abdul Aziz Mohamad, ladang getah itu dimajukan Kesedar sejak tahun 1985 lagi sebelum menyerahkan kepada peneroka RKT tersebut 1995.

Bagaimanapun, kata beliau, tanah getah seluas 479 hektar itu sebahagiannya telah dikeluarkan geran hak milik kepada orang tidak dikenali manakala bakinya lagi dalam proses mengeluarkan geran.

“Kita mengetahui mengenai perkara itu selepas beberapa individu tersebut datang membuat pengakuan tanah ladang getah itu milik mereka walaupun tidak tahu kawasan sempadannya.

“Mereka terus dihalang peneroka yang sekian lama memajukan kawasan terbabit hingga pernah hampir berlaku bergaduhan dan petang ini (semalam) kita terpaksa berkumpul membuat bantahan,” katanya.

Abdul Aziz bimbang jika tidak bertindak demikian kemungkinan peneroka tersebut akan hilang punca pendapatan dan akan terus mempertahankan dengan apa cara sekalipun.

Katanya, beliau hairan dengan sikap pemimpin Kerajaan Negeri yang begitu rakus merampas tanah peneroka RKT Kesedar tanpa ada perbincangan terlebih dahulu.

“Mengikut kefahaman saya, tanah ladang getah itu telah dibayar premium kepada Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu dan kenapa masih mengaku tanah kerajaan,” katanya.

Seorang peneroka, Che Hashim Mat Jusoh, 54, berkata, tindakan kerajaan Pas itu dianggap zalim dan tidak menetapi konsep pemerintahan berlandaskan Islam seperti yang dilaungkan selama ini.

Beliau berkata, sekiranya benar Kerajaan Negeri itu menjalankan pemerintahan Islam tidak sewajarnya berbuat perkara tersebut hingga peneroka berdepan dengan bebanan hidup.

“Bagaimanapun, kami semua tetap mempertahankan tanah ladang getah itu daripada dimiliki orang lain kerana kami yang mengusahakan bersama Kesedar,” katanya.

No comments:

Post a Comment