Thursday, March 31, 2011

Kasar Bahasa

Kenapa guna bahasa kasar?

SEJAK kecil lagi saya diperkenalkan oleh ayah, ibu, guru dan juga melalui pembacaan menyatakan orang Melayu penuh dengan ketertiban, saling hormat di antara satu sama lain, terutama kepada orang yang lebih tua. Orang Melayu penuh sopan dan santun serta kaya dengan adat dan budaya.

Bacalah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan banyak lagi catatan klasik Melayu. Bahasanya begitu halus, cantik, dan menarik. Pantun, syair, seloka dan segala pepatah Melayu begitu mengkagumkan. Maksud yang tersirat dan tersurat dipaparkan dan disampaikan dengan begitu tertib sekali.

Tetapi di mana salahnya kini? Di sana sini dihidangkan dan kedengaran bahasa Melayu kasar. Penggunaan perkataan 'aku' dan 'kamu' digunakan sewenang-wenangnya, tidak kenal tua atau muda. Ini termasuk di sekolah-sekolah, khususnya bila guru-guru bercakap dengan murid.

Di mesyuarat dan acara tertentu kedengaran ketua memarahi anak buahnya dengan perkataan 'haprak', 'bodoh', 'tak guna' dan banyak lagi yang tidak dapat dijangkakan.

Yang memedihkan telinga saya lagi apabila menonton TV serta mendengar radio. Bahasa Melayu yang digunakan terlalu kasar. Suami isteri berbahasa kasar, anak-anak ditengking-tengking, remaja berbahasa kasar sesama sendiri serta bersikap biadap terhadap orang tua. Juga lawak jenaka yang kasar bahasanya dan macam-macam lagi.

Tidak bolehkah kita siarkan bahasa yang tertib supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat?

HABIBAH ZON

Petaling Jaya, Selangor

No comments:

Post a Comment