Wednesday, March 2, 2011

Kg Baru

Beri ruang pewaris Kampung Baru perhalusi klausa


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menangguhkan bacaan kedua Rang Undang-undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (RUUPPKB) sehingga Jun depan bagi memberi ruang kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru memperhalusi klausa dalam rang undang-undang itu.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata ada beberapa klausa dalam RUUPPKB itu perlu diperhalusi dan difahami, malah pandangan pemilik dan pewaris terbabit perlu diberi keutamaan.


“Atas dasar rakyat didahulukan, kita memberi kepentingan suara kepada pemilik dan pewaris Kampung Baru. Perkara ini bukan berkaitan dengan siapa menang atau siapa kalah.

“Malah, kementerian juga bersetuju akan menubuhkan jawatankuasa khusus yang akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Ahmad Phesal Talib dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk memperhalusi klausa yang perlu diperbaiki,” katanya selepas pertemuan dengan wakil pemilik dan pewaris Kampung Baru, di sini, semalam.


Raja Nong Chik berkata, penangguhan pembentangan untuk bacaan kali kedua itu juga sudah dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.


“Kami akan selesaikan perkara ini secepat mungkin dan Jun sasaran kami. Sekiranya ada perkara yang belum selesai sebelum itu, kami akan melambatkan (pembentangan) kerana lebih penting suara pemilik dan pewaris ini diberi keutamaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment