Lebih baik berdiam diri
Oleh DR. ZULKEFLEE YAACOB
TUTUP mulut atau berdiam diri lebih baik bagi Menteri Besar Kelantan, Nik Abdul Aziz Nik Mat, daripada memperkatakan hal ehwal Islam dan bangsa Melayu serta mendedahkan keburukan dan aib orang lain yang mengeruhkan lagi keadaan sehingga masyarakat keliru.
Sifat orang bertakwa menjaga lidah dan perbuatan. Apalagi akal budi orang beriman yang bertaraf ulama sering mencari jalan ke arah kebaikan dan persaudaraan dalam masyarakat Islam dan negara.
Beliau memulang paku buah keras kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan nada 'terlupa makan ubat' apabila Tun menyifatkannya sebagai pengkhianat orang Melayu dan lebih mengutamakan parti dan kuasa daripada perpaduan umat Islam.
Beliau yang tidak bangga menjadi umat Melayu, malah tidak kisah jika dilahirkan sebagai Orang Asli dilihat tidak bersyukur terhadap ketentuan Allah terhadap manusia berbangsa-bangsa dan berpuak- puak untuk saling mengenal, apalagi kerana warna kulit dan rupa bangsanya 'Melayu', beliau diberi amanah memegang tampuk pemerintahan di Kelantan atas keluhuran Perlembagaan yang memperuntukkan jawatan sebagai Menteri Besar selama lebih 20 tahun.
Kemudahan awam terutama air dan tanah serta perumahan gagal diurus selia dengan baik untuk kesejahteraan rakyat. Air yang menjadi nadi kehidupan khususnya di Kota Bharu tidak bersih dan dirawat menyebabkan air kuning bercampur karat dan berbau lumpur. Ia menjadi beban kepada pengguna untuk membeli penapis air dan alat ganti yang sering rosak.
Hal yang sama disuarakan rakan dari pantai barat yang enggan mengadakan seminar dan aktiviti kerana masalah air bersih agak ketara, sekali gus memberi imej kegiatan ekonomi terhad dan gagal menarik pelabur luar. Malah, pelawat luar pernah meluahkan pandangan ketika sama-sama dalam penerbangan bahawa imej pentadbiran Islam sering digambarkan buruk kerana sikap dan tingkah laku umat Islam sendiri.
Kemudahan parkir atau tempat letak kereta terhad dan jauh daripada yang diharap, di samping tindakan mengunci tayar kenderaan dan sikap kasar penguatkuasa kerajaan tempatan mencerminkan maruah pemerintah yang menjunjung slogan 'Membangun Bersama Islam'.
Inilah kerja orang makan gaji yang pandai memperalatkan agama untuk kepentingan politik dan kuasa berbanding amanah menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Sebenarnya, kegiatan politik adalah untuk membangunkan agama dan tanah air, bukannya memutarbelit ayat-ayat al-Quran dan hadis semata-mata menutup mata dan mulut pengikut agar tidak mempersoalkan keupayaan segelintir pemimpin Pas terutama musyidul itu.
Prinsip asas keyakinan kepada tuhan dan tanggungjawab selari kehendak agama dan syariat sehingga dapat mengurangkan kadar jenayah, tinggi integriti, bebas daripada sistem riba dan subur hasil bumi bukan atas dasar kepemimpinan yang sering menuding dan mencari kesalahan pihak lain tetapi atas kesedaran rakyat yang memerlukan agama dalam kehidupan.
Kebanyakan orang awam telah mual dan loya cara politik agama yang merosakkan akidah dan keimanan. Perpaduan dan persefahaman atas nilai tolak ansur dan kerjasama dalam konsep saudara sendiri amat besar manfaat dan diharap menjadi hakikat yang mengembalikan kedaulatan Melayu-Islam.
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment