Melayu Pulau Pinang hilang daya hujah?
Oleh DR. A MURAD MERICAN
Perkembangan-perkembangan tersebut, serta beberapa kegiatan penyelidikan dan perundingan lain menjurus kepada dokumentasi yang menjadi asas kepada permohonan Georgetown untuk mendapatkan status sebagai Bandar Warisan ke UNESCO (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan). Kita tidak boleh nafikan usaha yang dilakukan oleh Persatuan Warisan Pulau Pinang (Penang Heritage Trust -PHT), dan jaringan- jaringannya dalam memulihara dan mengekalkan warisan di Pulau tersebut.
Umumnya pengkaji, sejarahwan, masyarakat dan pertubuhan antarabangsa seperti UNESCO merujuk kepada PHT dalam hal-hal berkaitan dengan warisan Pulau Pinang. Apa yang dikhuatirkan ialah orang-orang Melayu amat ketinggalan dalam hal ini dari segi inisiatif, sumber, kemahiran dan jaringan. Banyak peluang yang telah dilepaskan. Saya tidak mengatakan bahawa jika ada orang Melayu yang sama pernah memimpin atau sedang menganggotai badan-badan tersebut maka sejarah dan warisan Pulau Pinang dapat dilihat dari perspektif Melayu.
Sebenarnya, ini adalah masalah yang paling utama. Keprihatinan dan kesedaran sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang tidak diusahakan dengan sempurna; dan ada orang Melayu yang berfikiran kolonial dalam melihat sejarah dan warisan Pulau Pinang. Siapa yang buta sejarah?
Keprihatinan terhadap dimensi Melayu ialah tanggungjawab masyarakat dan NGO Melayu sendiri. Dalam banyak usaha seperti yang kita telah menyelusuri, bagaimana orang Melayu melihat sejarah dirinya dan sejarah Pulau Pinang boleh dipersoalkan. Ramai di kalangan masyarakat Melayu yang tidak mempunyai kesedaran dan pengetahuan tentang sejarah Pulau Pinang yang luas dan mendalam. Malah, Kedah tidak disebut dan tersingkir dalam wacana sejarah Melayu Pulau Pinang. Perspektif yang mencabar persejarahan tersedia ada tidak ditonjolkan.
Dari dulu lagi, penganjuran seminar dan persidangan berkaitan dengan warisan Pulau Pinang dianjurkan oleh badan-badan yang tidak mempunyai kepentingan Melayu.
Walaupun landskap bandar di Georgetown dan kawasan sekitarnya tidak dilihat sebagai kawasan-kawasan Melayu, di sebalik banyak bangunan, struktur dan jalan di Tanjung dan sekitarnya itu terdapat naratif Melayu yang terselindung. Ia tidak menyerlah, tidak ditonjolkan, tidak dipaparkan.
Jika ia dipaparkan juga, ia dilakukan dalam kerangka kolonial. Identiti Pulau Pinang ditonjolkan sebagai mewarisi masyarakat Cina dan Melayu Selat. Itu hanya satu lapisan sejarah dari yang lebih luas. Saya percaya hujah-hujah makalah ini akan dianggap sebagai rasis. Apakah Melayu Pulau Pinang tidak boleh prihatin tentang sejarah mereka sendiri? Tanggungjawabnya terletak kepada Melayu sendiri.
Walaupun cerita-cerita kewujudan peneroka Melayu awal di Pulau Pinang telah tersiar dan diterbitkan dalam buku-buku, suratkhabar laman sawang dan blog, masalahnya tidak akan selesai - terutama sekali apabila kita lihat sejarah negara dan orang Melayu kian dicabar dan diputarbelitkan. Melayu Pulau Pinang perlu mewujudkan badan-badan warisan dan jaringan serta dengan serius memasyarakatkan sejarah. Itulah yang dilakukan oleh Arts- Ed. Saya bukan mempertahankan My Balik Pulau atau terlibat dalam perbalahan itu; tetapi ia adalah usaha merakamkan sejarah lisan satu-satu tempat. Dan apabila sesuatu itu didokumentasikan, ia akan dianggap betul jika tidak ada naratif yang mencabar apa yang tersedia ada.
Saya tidak nampak kegiatan sebegitu oleh kumpulan-kumpulan Melayu. Apakah tidak ada kemahiran dan daya usaha melakar sejarah lisan di setiap kampung di pulau itu? Mengapa ia tidak dilakukan? Tulisan tentang sejarah Melayu Pulau Pinang yang diterbitkan oleh Universiti Sains Malaysia hanya terjual di universiti itu. Mengapa ia tidak terdapat di kedai-kedai buku di seluruh negara?
Mengapa ia tidak diuar-uarkan seperti mana sesetengah kegiatan warisan Pulau Pinang itu lakukan? Mengapa buku itu belum/tidak diterjemahkan ke bahasa Inggeris untuk bacaan luar negara? Mengapa tidak ada pengedaran risalah, dan majalah yang menonjol sejarah Melayu Pulau Pinang? Jika ini penting bagi orang-orang Pulau Pinang, mengapa tidak ada pihak di sana yang mempunyai inisiatif menonjol dan memaparkan warisan dan identiti Melayu Pulau Pinang? Mengapa tidak ada NGO Melayu Pulau Pinang yang dapat menyahut cabaran menggunakan landasan ilmiah dan intelektual - tanpa membuat laporan polis, membakar dan sebagainya?
Apakah orang Melayu Pulau Pinang hilang daya hujah dan intelek? Memang apa yang ditonjolkan dalam My Balik Pulau tentang kewujudan orang Melayu di Balik Pulau itu tidak tepat. Sehingga kini, saya masih menunggu cerita yang tepat bila orang Melayu mendarat dan membuka, serta membangun Balik Pulau. Asal usul Balik Pulau perlu diceritakan semula. Jika ia telah diterbitkan dalam mana- mana buku, risalah atau laman sawang, terbitkannya sekali lagi dan edarkan seluas-luasnya. Jika ia dalam bahasa Melayu, terjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
Dalam mendekati masalah ini, saya cadangkan mereka yang berusaha mengambil jalan inklusif dan bukan eksklusif. Kita tidak menafikan warisan dan budaya majmuk di Tanjung dan lain-lain tempat di pulau itu. Apa yang penting ialah Melayu melihat budaya majmuk itu dari perspektif Melayu juga.
Cerita Melayu Pulau Pinang tidak sampai ke UNESCO. Salah satu langkah kecil dalam hal ini ialah pihak-pihak berwajib dan berkepentingan Melayu di Pulau Pinang menganjurkan satu persidangan antarabangsa sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang dalam konteks rantau kesultanan Kedah dan Sumatera. Libatkan UNESCO dan badan-badan antarabangsa yang lain.
Kemudian terbit dan uar-uarkan hasil seminar itu sebagai warisan sejarah definif Melayu Pulau Pinang. Adalah kritikal untuk melihat Pulau Pinang sebagai pusat budaya dan warisan Melayu dari perspektif Kedah dan perhubungannya dengan sejarah Sumatera.
Ini juga melibatkan beberapa tokoh peneroka awal Melayu yang membuka banyak tempat sama ada di Tanjong sendiri, Batu Uban, Tanjong Tokong, Bayan Lepas, Balik Pulau, dan Telok Bahang lalu memberi nama (nama-nama Melayu) kepada tempat-tempat yang diterokai. Ini terpampang pada peta-peta lama pulau tersebut yang dicetak sekitar 1780-an hingga 1830-an.
Peta dan proses pemetaan adalah hasil daripada penjanaan memori kolektif yang menunjukkan perspektif mereka yang melakarkannya. Dalam konteks politik identiti sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang, memori kolektif itu tidak/belum? dipetakan sehingga kini.
Penulis Dr. A Murad Merican, anak kelahiran Pulau Pinang dan kini bermastautin di Bandar Seri Iskandar, Perak.
TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:
No comments:
Post a Comment