Thursday, March 31, 2011

Kasar Bahasa

Kenapa guna bahasa kasar?

SEJAK kecil lagi saya diperkenalkan oleh ayah, ibu, guru dan juga melalui pembacaan menyatakan orang Melayu penuh dengan ketertiban, saling hormat di antara satu sama lain, terutama kepada orang yang lebih tua. Orang Melayu penuh sopan dan santun serta kaya dengan adat dan budaya.

Bacalah Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, Hikayat Merong Mahawangsa dan banyak lagi catatan klasik Melayu. Bahasanya begitu halus, cantik, dan menarik. Pantun, syair, seloka dan segala pepatah Melayu begitu mengkagumkan. Maksud yang tersirat dan tersurat dipaparkan dan disampaikan dengan begitu tertib sekali.

Tetapi di mana salahnya kini? Di sana sini dihidangkan dan kedengaran bahasa Melayu kasar. Penggunaan perkataan 'aku' dan 'kamu' digunakan sewenang-wenangnya, tidak kenal tua atau muda. Ini termasuk di sekolah-sekolah, khususnya bila guru-guru bercakap dengan murid.

Di mesyuarat dan acara tertentu kedengaran ketua memarahi anak buahnya dengan perkataan 'haprak', 'bodoh', 'tak guna' dan banyak lagi yang tidak dapat dijangkakan.

Yang memedihkan telinga saya lagi apabila menonton TV serta mendengar radio. Bahasa Melayu yang digunakan terlalu kasar. Suami isteri berbahasa kasar, anak-anak ditengking-tengking, remaja berbahasa kasar sesama sendiri serta bersikap biadap terhadap orang tua. Juga lawak jenaka yang kasar bahasanya dan macam-macam lagi.

Tidak bolehkah kita siarkan bahasa yang tertib supaya dapat menjadi teladan kepada masyarakat?

HABIBAH ZON

Petaling Jaya, Selangor

Isu Video

Video seks: Pas papar sikap bermuka-muka

SAYA amat tertarik dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang semasa solat hajat di Stadium Melawati baru-baru ini. Beliau telah membidas ramai ulama kerajaan kerana mendakwa mereka membisu dalam kes video seks yang dikatakan melibatkan seorang pemimpin kanan pembangkang.

Hadi secara lantang menyalahkan ulama kerana tidak membidas mereka yang terlibat dalam isu video seks berkenaan. Bagi saya, apa yang berlaku sekarang menunjukkan sikap sebenar Pas dalam isu ini, sikap bermuka-muka.

Isu pokok adalah tentang satu video yang menonjolkan seorang pemimpin pembangkang melakukan hubungan seks dengan pelacur warga China. Bagi saya, Pas tidak perlu terlalu mempertahankan tokoh yang dikatakan dalam video berkenan. Apa yang penting, tunggulah hasil siasatan. Nanti kita akan ketahui jua siapa pelakon utama video tersebut.

Mengenai tindakan Datuk T menunjukkan video itu kepada wartawan, bagi saya tiada kesalahan dilakukan. Ini kerana penyiaran dilakukan secara tertutup dan bukan secara umum. Mengenai tindakan Hadi menentang Datuk T kerana penyiaran video seks itu, Pas sebenarnya tidak 'memperjuangkan' isu penyiaran bahan lucah secara menyeluruh.

Apakah Pas menjalankan sebarang tindakan membanteras penyebaran bahan lucah di negeri Pakatan Rakyat, contohnya Selangor? Jawapannya sudah tentu tidak. Di samping bahan lucah, kelab-kelab malam haram bercambah di Selangor di bawah Pakatan Rakyat yang turut disertai Pas. Ini menunjukkan di Selangor, Pas takut bersuara kerana masih di bawah telunjuk DAP.

Isu-isu lain yang Pas berdiam diri adalah kehadiran pemimpin DAP dalam masjid yang secara terang mencabuli kesucian masjid.

Di samping itu, apa Pas buat apabila pemimpin Pakatan Rakyat bukan Islam secara terang-terangan menafsirkan al-Quran ikut tafsiran mereka? Tiada surat membidas daripada pemimpin Pas kedengaran. Sebaliknya, pihak yang membidas adalah ulama-ulama kerajaan kerana dua isu ini melibatkan syariat Islam.

Pas juga berdiam apabila mantan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin memegang lilin semasa memperingati kematian Teoh Beng Hock.

Pas sebenarnya tidak lebih daripada satu pertubuhan politik yang berubah dalam pendiriannya. Pas perlu meneliti tindakannya, sama ada berbaloi mereka berjuang mempertahankan tokoh pembangkang tertentu. Adakah mereka mengetahui 'sifat-sifat" pemimpin tersebut? Tepuk dada, tanya selera.

INGIN KEBENARAN

Ipoh, Perak

Nasib negara Islam

Negara Islam berdepan Teori Domino

Oleh DR. HASHIM FAUZY YAACOB
DR. HASHIM FAUZY YAACOB
Jabatan Pembangunan Sumber Manusia, Fakulti Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Universiti Teknologi Malaysia.

SERANGAN Tentera Bersekutu yang diketuai Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis ke atas Libya merupakan satu lagi tamparan ke atas negara-negara Islam keseluruhannya, yang bakal menimbulkan satu lagi tekanan perasaan ke atas umat Islam meskipun pemimpin yang memerintah Libya dianggap patut melepaskan kuasanya.

Keadaan yang sama pernah dihadapi oleh kebanyakan negara Islam dan umat Islam apabila AS menyerang Iraq dan Afghanistan. Serangan dan fenomena ini mengingatkan kita kepada satu teori yang dipegang oleh kerajaan AS pada tahun 1950-an hingga 1980-an dikenali sebagai Teori Domino.

Teori ini bukan hasil kajian ilmiah dalam mana-mana disiplin ilmu yang berkembang di universiti khususnya bidang hubungan antarabangsa, sebaliknya satu doktrin oleh pihak kerajaan.

Andaian asas Teori Domino ialah, jika sebuah negara jatuh ke tangan komunis, satu persatu negara dalam rantau berkenaan akan turut jatuh ke tangan komunis seperti jatuhnya buah domino. Doktrin ini dikemukaan oleh Presdien Amerika Dwight Eisehower pada tahun 1954, dan diambil kira sebagai asas penglibatan Amerika dalam Perang di Vietnam pada tahun 1960-an.

Apabila kerajaan AS mengetengahkan Teori Domino kerana kebimbangan kejatuhan negara-negara Asia khususnya Asia Tenggara dan Australia ke tangan komunis, pelbagai strategi telah dilakukan untuk tujuan campur tangan.

Teori ini yang dipegang dalam era perang dingin seolah-olah memberi mandat kepada negara tersebut untuk melakukan sebarang tindakan di mana-mana negara yang mempunyai pengaruh komunis. Penglibatan Amerika Syarikat dalam perang di Indochina dan Semenanjung Korea merupakan manifestasi daripada kepercayaan terhadap Teori Domino.

Kemusnahan pengaruh komunis selepas era Perang Dingin iaitu pada tahun 1990-an, dianggap satu kemenangan kepada Amerika dan sekutu Baratnya. Teori domino turut tenggelam, sama seperti kurangnya populariti teori ini dalam bidang ilmu hubungan antarabangsa.

Namun begitu teori ini mungkin dapat dijadikan satu landasan untuk memahami apa yang menimpa negara Islam masakini yang boleh dijadikan peramal pada masa akan datang. Ada kemungkinan Teori Domino kini boleh dikaitkan dengan negara Islam berasaskan kejatuhan beberapa negara Islam satu demi satu.

Bezanya anutan AS dan negara Barat pada masa lalu ialah kebimbangan komunis akan menjatuhkan satu persatu negara di Asia tetapi, sebaliknya dalam konteks negara Islam, negara Islam seolah-olah perlu dijatuhkan satu persatu selagi tidak tunduk kepada kehendak-kehendak mereka lantaran negara Islam tidak mempunyai keupayaan berbanding Soviet Union atau China. Masalah dalaman negara Islam dengan mudah boleh dimanipulasi dan dijadikan alasan untuk campur tangan.

Banyak alasan digunakan untuk tujuan campur tangan di dunia Islam. Antaranya sesetengah negara Islam dikaitkan dengan terorisme. Sehingga kini satu persatu negara Islam menjadi mangsa campurtangan sama ada Amerika atau kuasa-kuasa Barat seperti penglibatan tentera NATO dan Amerika di Afganistan, tentera Amerika dan Britain di Iraq dan kini tentera Britain dan Perancis di Libya.

Penulis Amerika seperti Samuel P. Huntington dalam The Clash of Civilizations and the remaking of world order dan Nicholas Guyatt dalam Another American Century: United States and the world since 9/11 mula meletakkan Islam sebagi suatu kuasa yang lain selepas komunis yang boleh menjejaskan Barat.

Jika pandangan-pandangan oleh dua pengarang ini diambil kira sebagai sandaran, maka jelaslah, setelah kejatuhan komunis, Islam dianggap ancaman kepada kuasa demokrasi Barat. Akibatnya, Afghanistan menjadi domino mereka yang pertama, diikuti Iraq dan kini Libya.

Oleh itu sebenarnya tidak wujud alasan yang kukuh kepada dua negara berkenaan untuk campur tangan dalam soal dalaman sebuah negara lain yang tidak akan mengancam keselamatan mereka. Kerana kedudukan Gadaffi selepas tahun 1990-an bukanlah ancaman kepada mana-mana kuasa termasuk negara-negara Afrika dan Arab yang lain setelah negara itu dikenakan sekatan sekian lama berikutan isu pengeboman kapal terbang Pan Am di Lockerbie.

Setelah membisu sekian lama nama beliau popular semula dan menjadi liputan media hanya kerana penentangan rakyat terhadapnya. Jadi apakah alasannya Britain dan Perancis campur tangan dengan menyerang Libya sehingga menjadikan Libya sebagai buah domino?

Ada beberapa jawapan yang boleh diketengahkan iaitu; pertama, Gadaffi pernah memusuhi Amerika dan Barat, kedua, Libya seperti Iran dan Syria masih disenarai sebagai negara pengganas menurut pegangan diplomatik Amerika dan Barat.

Ketiga, kesempatan yang boleh diambil oleh kuasa Barat kesan pergolakan yang berlaku kerana tindakan seperti ini mungkin tidak dilakukan terhadap negara lain yang berupa sekutu Barat, keempat, menguji sikap negara-negara Asia Barat sama ada yang bersekutu dengan Barat atau yang menentang tindak tanduk Barat.

Kkelima sebagai satu provokasi ke atas umat Islam dan keenam, agenda melumpuhkan pengaruh negara Islam supaya tidak berlaku seperti yang dialami dengan komunis dalam era perang dingin.

Lantaran itu juga, dengan pergolakan yang berlaku kesempatan diambil sejak dari awal dengan meningkatkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat di Libya. Ini terbukti media Barat seperti Radio BBC setiap hari menyiarkan berita tentang Libya antaranya mengetengahkan peranan muzik seperti muzik rap Barat yang dinyanyikan oleh penentang di negara Arab khususnya di Mesir dan Libya, dengan komentar bahawa penentangan ini bukan mazahir atau manifestasi daripada penentangan terhadap kediktatoran sahaja tetapi pemberontakan terhadap kongkongan yang boleh menghalang kebebasan budaya.

Unsur seperti ini telah sekian lama membarah dalam pemikiran sebahagian besar orang Barat kerana memandang Islam sebagai amalan yang tidak mahu menerima unsur-unsur pembaratan.

Meskipun terdapat perasaan tidak setuju kepada mana-mana pemerintah sama ada bersifat diktator atau tidak, umat Islam biasanya akan melakukan penentangan terhadap campur tangan-campur tangan ini melalui protes seperti demonstrasi dan sebagainya.

Keadaan yang sama dijangka akan berlaku ekoran tindakan Britain dan Perancis di Libya. Namun, kemarahan umat Islam termasuk di Malaysia selepas ini tidak akan menjadi kudis kepada kuasa-kuasa tersebut, kerana mereka menjangkakan sebarang protes akan memberi implikasi secara serta-merta kepada umat Islam di negara itu sendiri seperti kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.

Apa yang penting bagi kuasa-kuasa Barat seperti Britain dan Perancis ialah mereka kini boleh menjatuhkan satu lagi buah domino. Negara yang pernah menjadi buah domino yang dijatuhkan biasanya akan menghadapi kesukaran untuk memulihkan keadaan mereka meskipun telah ditinggalkan oleh kuasa penceroboh.

Keadaan ini sekarang dialami oleh Afgahnistan dan Iraq yang terpaksa berhempas pulas menyelesaikan banyak pertikaian dalaman.

Dalam keadaan semasa dominasi AS dan kuasa Barat dan sekutunya akan berterusan yang memerlukan masyarakat dunia hari ini menuntut keadilan tanpa didiskriminasi oleh negara-negara berkenaan.

Oleh itu para pakar strategi seluruh negara Islam harus berbuat sesuatu untuk mencari jalan bagi menghadapi ketidakadilan yang berlaku dengan melupakan sebentar pegangan tentang falsafah hubungan antarabangsa kerana kadang kala jiran serantau juga harus disepakati untuk menghadapi pakatan yang boleh memusnahkan negara jiran yang akan turut mengancam keselamatan negara sendiri.

Negara Islam tidak boleh membiarkan mereka menjadi buah domino yang pernah wujud dalam doktrin pemerintahan AS dan kini mungkin wujud secara tersembunyi dalam kalangan negara Barat tetapi dalam bentuk yang lain iaitu "negara-negara Islam harus dilemahkan satu persatu" dan bukannya seperti dalam doktrin Teori Domino yang asal.
TAJUK-TAJUK BERIT

Tinggal 2 Billion Dari 54

Bertindak susun semula ekonomi Melayu

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Laporan yang menyatakan saham milik syarikat-syarikat bumiputera di negara ini cuma tinggal RM2 bilion yang pada asalnya diperuntukkan sejumlah RM54 bilion sewajarnya menyedarkan keseluruhan kaum bumiputera. Isu ini perlu dikaji sedalam-dalamnya bagi mencari satu penyelesaian holistik bagi menyusun semula ekonomi kaum bumiputera dan melayu.

Mungkin ada kebenaran di sebalik ingatan Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika berucap pada Majlis Makan Malam Amal Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) di Jitra, Kedah pada awal bulan ini. Beliau mengingatkan usahawan Melayu supaya cekap mengurus wang kerana inilah faktor utama kegagalan usahawan Melayu meskipun pelbagai bantuan diberikan kerajaan kepada mereka.

Hakikatnya, bijak mengurus kewangan adalah kunci utama kejayaan sesebuah perniagaan. Tanyalah mana-mana tokoh perniagaan yang bukan berbangsa bumiputera, nescaya jawapan mereka tidak lain tidak bukan ialah mesti cekap mengurus kewangan syarikat.

Apabila tidak dapat mengurus kewangan dengan bijak, perniagaan akan mengalami kerugian dan akhirnya terpaksalah menjual saham milik bumiputera kepada bukan bumiputera.

Cukup malang jika perkara ini terjadi. Sepatutnya saham milik bumiputera semakin meningkat. Peluang yang diberikan sewajarnya digunakan sebaik mungkin. Bukannya akhirnya jatuh ke tangan orang lain. Jika ini berulang kali terjadi sampai bila pun ekonomi bumiputera tidak dapat berada pada paras yang setanding dengan kaum lain.

Itu baru memperkatakan mengenai saham-saham milik bumiputera. Bagaimana pula dengan hartanah yang dijual kepada kaum lain sedangkan hartanah tersebut merupakan warisan turun-menurun. Hartanah tersebut dijual semata-mata untuk mengaut keuntungan jangka masa pendek, walhal keuntungan jangka masa panjang dinikmati oleh orang lain.

Orang lain membeli tanah daripada kaum bumiputera untuk membangunkan hartanah bernilai tinggi bagi mendapatkan keuntungan jangka masa panjang. Umpamanya, membangunkan kilang-kilang milik mereka, pusat perniagaan, kondominium mewah dan kawasan perumahan yang sukar dibeli oleh kaum bumiputera itu sendiri.

Perkara ini nampak ketara apabila hanya segelintir sahaja kaum bumiputera yang mampu memiliki hartanah bernilai tinggi dan selesa di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Majoriti kaum bumiputera tinggal di pinggir-pinggir bandar dan tinggal di rumah yang berharga di bawah RM300,000 ke bawah. Rumah yang diduduki pula kurang selesa, manakala persekitarannya pula tidak begitu baik untuk pembelajaran anak- anak.

Hal ini perlu ditangani segera dengan melaksanakan pelbagai strategi. Pertama, kaum bumiputera perlu dilatih agar bijak mengurus kewangan terutamanya usahawan-usahawan muda.

Antara caranya, mewajibkan mana-mana usahawan-usahawan muda yang ingin memulakan perniagaan menjalani latihan kewangan di mana-mana perniagaan yang ditaja oleh agensi-agensi kerajaan seperti Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) dan Mara.

Selain itu, meramaikan lagi kaum bumiputera yang mahir dalam bidang kewangan. Caranya ialah dengan meningkatkan bilangan pelajar bumiputera yang mengambil kursus perakaunan dan kewangan. Kalau kita lihat pada masa kini, bilangan kaum bumiputera yang memasuki bidang ini masih rendah berbanding kaum bukan bumiputera.

Pendekatan sebegini amatlah penting kerana kalau kita kaji, rata-rata syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang terkenal, berjaya dan mempunyai kewangan yang kukuh seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Maybank dan Khazanah Nasional Berhad diketuai oleh golongan yang mahir dalam bidang kewangan.

Kedua, dari segi hartanah. Satu dasar berkaitan hartanah yang lebih jelas perlu dilaksanakan agar tanah-tanah milik bumiputera tidak terlepas ke tangan orang lain. Selalu terjadi tanah-tanah yang pada asalnya milik bumiputera terpaksa dijual secara keseluruhannya apabila sebahagian pemilik telah menjualnya, maka, mahu tidak mahu pemilik lain yang pada awalnya tidak mahu menjual terpaksa menjualnya kepada orang lain.

Selain itu, tanah-tanah milik bumiputera yang tidak dibangunkan perlu dibangunkan seperti tanah wakaf dan tanah terbiar. Antara bidang yang boleh dibangunkan secara besar-besaran ialah pertanian selain daripada membangunkan bangunan bagi tujuan komersial.

Dengan cara ini, kaum bumiputera akan menguasai keseluruhan rantaian nilai bermula sebagai pengilang dan pengeluar sehinggalah penjual. Di sini, teknologi terkini mestilah diterapkan di kalangan usahawan bumiputera.

Ketiga, menggembleng kekuatan usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya agar membantu usahawan-usahawan baru dari segenap segi. Usahawan-usahawan bumiputera yang telah berjaya perlu mempunyai satu pemikiran dan tindakan bahawa kejayaan usahawan-usahawan baru akan meneruskan usaha-usaha mereka selama ini, seterusnya memberi manfaat kepada anak cucu-cicit dalam tempoh jangka masa panjang.

Begitu juga, janganlah dijual saham-saham dan syarikat-syarikat milik bumiputera semata-mata menginginkan keuntungan jangka masa pendek. Pemikiran yang hanya menginginkan keuntungan jangka masa pendek tanpa memikirkan masa depan kaum bumiputera secara keseluruhannya akan merugikan kaum bumiputera itu sendiri dalam tempoh jangka masa panjang.

Dengan cara ini sahajalah, ekonomi kaum bumiputera dapat dipertingkatkan pada tahap yang setanding dengan kaum bukan bumiputera.
TAJUK-TAJUK BERITA LA

Wednesday, March 30, 2011

Rampas Tanah


‘Jangan rampas tanah kami’

GUA MUSANG - Kira-kira 100 peneroka Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Jeram Tekoh mengadakan perhimpunan secara aman mendesak Kerajaan Pas Kelantan menghentikan tindakan merampas tanah mereka ditanam dengan getah, dekat sini, petang kelmarin.

Di samping itu, mereka juga mahu Kerajaan Negeri membatalkan geran hak milik tanah berkenaan yang telah dikeluarkan kepada 26 individu tertentu sejak lebih 10 tahun lalu.

Malah, mereka tetap berkeras tidak akan membenarkan pihak tertentu memasuki ladang tersebut walaupun telah memiliki geran kerana ladang berkenaan miliknya yang diterima daripada pengagihan Kesedar sekian lama.

Menurut Ketua Peneroka RKT Kesedar itu, Abdul Aziz Mohamad, ladang getah itu dimajukan Kesedar sejak tahun 1985 lagi sebelum menyerahkan kepada peneroka RKT tersebut 1995.

Bagaimanapun, kata beliau, tanah getah seluas 479 hektar itu sebahagiannya telah dikeluarkan geran hak milik kepada orang tidak dikenali manakala bakinya lagi dalam proses mengeluarkan geran.

“Kita mengetahui mengenai perkara itu selepas beberapa individu tersebut datang membuat pengakuan tanah ladang getah itu milik mereka walaupun tidak tahu kawasan sempadannya.

“Mereka terus dihalang peneroka yang sekian lama memajukan kawasan terbabit hingga pernah hampir berlaku bergaduhan dan petang ini (semalam) kita terpaksa berkumpul membuat bantahan,” katanya.

Abdul Aziz bimbang jika tidak bertindak demikian kemungkinan peneroka tersebut akan hilang punca pendapatan dan akan terus mempertahankan dengan apa cara sekalipun.

Katanya, beliau hairan dengan sikap pemimpin Kerajaan Negeri yang begitu rakus merampas tanah peneroka RKT Kesedar tanpa ada perbincangan terlebih dahulu.

“Mengikut kefahaman saya, tanah ladang getah itu telah dibayar premium kepada Kerajaan Negeri sejak beberapa tahun lalu dan kenapa masih mengaku tanah kerajaan,” katanya.

Seorang peneroka, Che Hashim Mat Jusoh, 54, berkata, tindakan kerajaan Pas itu dianggap zalim dan tidak menetapi konsep pemerintahan berlandaskan Islam seperti yang dilaungkan selama ini.

Beliau berkata, sekiranya benar Kerajaan Negeri itu menjalankan pemerintahan Islam tidak sewajarnya berbuat perkara tersebut hingga peneroka berdepan dengan bebanan hidup.

“Bagaimanapun, kami semua tetap mempertahankan tanah ladang getah itu daripada dimiliki orang lain kerana kami yang mengusahakan bersama Kesedar,” katanya.

Tuesday, March 29, 2011

Bela

Dr. Siddiq gambarkan Anwar diuji seperti Nabi Yusuf

TAN Melaka silap dalam tulisannya kelmarin di Forum Utusan Malaysia (27 Mac) apabila membuat kesimpulan bahawa semua pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) telah meninggalkan pemimpin besar mereka, Anwar Ibrahim.

Dr. Siddiq Fadzil adalah salah seorang yang masih percaya penuh dan setia kepada Anwar walaupun beliau telah bertugas di tempat yang boleh meyakinkan seolah-olah beliau telah berpaling tadah.

Interviu dengan isteri Anwar, Dr. Wan Azizah Wan Ismail dengan sebuah akhbar harian jelas menunjukkan bahawa Dr. Siddiq masih mempertahankan Anwar.

Dalam interviu itu Dr. Wan Azizah yang juga pemimpin besar pakatan pembangkang telah menyatakan:

"Malam tadi (24 Mac) selesai solat hajat di sini, Ustaz (Datuk) Dr. Siddiq Fadzil dalam tazkirahnya ada menyebut Anwar sejak muda tidak habis-habis diduga. Lantas merujuk kupasan surah Yusuf "ahasanal qasas" (kisah terindah)."

Kata Dr. Siddiq, kupasan kisah para anbia ini sering dilupakan.

"Apabila kita sorot pula kisah Nabi Yusuf dengan Zulaikha, ibu angkatnya itu telah menggodanya dan apabila tidak berjaya dia menuduh Nabi Yusuf cuba mencabul kehormatannya, akhirnya Nabi Yusuf dipenjarakan."

Membaca interviu ini jelaslah Dr. Siddiq berjaya meyakinkan Wan Azizah seolah-olah Anwar seperti Nabi Yusuf.

Saya mengemukakan perkara ini untuk mendapat perhatian masyarakat supaya jangan cepat terpengaruh dengan musang berbulu ayam.

AIDID

Kuala Lumpur

Monday, March 28, 2011

Pas lulus pusat sembelih babi

Pas lulus bina pusat sembelih babi

ALOR SETAR 27 Mac - Kerajaan Pas Kedah bersetuju meluluskan pembinaan sebuah pusat penyembelihan babi yang menelan belanja berjuta ringgit di sebuah lokasi di Sungai Tok Pawang, Gurun dekat sini tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, perkara berkenaan diputuskan dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri baru-baru ini setelah rundingan mengenainya dengan beberapa pihak berkaitan mencapai kata sepakat.

Katanya, lokasi baru itu dipilih bagi menggantikan rumah sembelihan di Kampung Berjaya di sini yang dirobohkan pada 2009.

"Sebelum ini ada masalah dengan tuan tanah serta isu teknikal dari segi syarat antaranya air kumbahan mesti dikitar semula dan ia memerlukan kos tinggi. Pusat ini bersifat mesra alam dan mempunyai piawaian tertentu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini baru-baru ini.

Azizan berkata, rundingan mengenai pembinaan pusat itu selesai apabila Persatuan Peniaga dan Penyembelihan Babi Kedah bersetuju bekerjasama dengan Persatuan Murid-murid Tua Sin Min termasuk tuan tanah untuk menjayakan projek berkenaan.

"Kita (kerajaan negeri) bersetuju menawarkan tempat yang sesuai kepada mereka iaitu di kawasan ladang kelapa sawit yang jauh dari kawasan perumahan," jelasnya.

Keadilan

Rakyat Malaysia jangan marah

Dunia luar masih terus percaya bahawa dia adalah pejuang kebebasan tulen yang teraniaya dalam suatu perjuangan suci untuk menegakkan keadilan dan demokrasi di Malaysia.

Ketika menyertai forum The Future of Democracy in The Islamic World di Washington, Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini, jelas Anwar Ibrahim meletakkan dirinya sebaris dengan Nelson Mandela, pejuang kemerdekaan Afrika Selatan dan Mahatma Gandhi di India apabila beliau berkata: "Saya boleh pilih untuk tinggal di sini (Washington) dan tidak kembali ke Malaysia, tetapi pilihan telah dibuat. Satu kaki saya di Parlimen dan satu kaki lagi di penjara."

Hebat sekali bahawa Anwar telah pasti yang AS akan menerimanya sekalipun dia telah menunjukkan sikap anti-Yahudi di Malaysia. Yahudi pun tak marah AS kerana sayangkan Anwar.

Kepada penonton yang terpesona dengannya, Anwar memberitahu bahawa kemunculannya di mahkamah di Malaysia kelak 'hanya sebagai satu syarat, sebab semua keputusan telah dirancang. Sekali anda didakwa, anda pasti akan dipenjara'.

Anwar tidak beritahu bahawa semua tuduhan yang dihadapkan kepadanya tidak dapat dielakkan lagi.

Itulah Anwar Ibrahim yang berasal daripada seorang pemimpin pelajar Islam, pemimpin besar ABIM, bekas Timbalan Perdana Menteri dan pemimpin besar pihak pembangkang yang luar biasa kekuatannya dalam meyakinkan dirinya sendiri terhadapnya di samping meyakinkan orang ramai. Keyakinan ramai kepada ceritanya semakin menambah keyakinan dirinya.

Seperti tidak ada gantinya kepada P. Ramlee, demikianlah juga tidak ada gantinya seorang pelakon politik sehebat Anwar yang namanya berada di bibir rakyat negara ini sejak lebih 40 tahun dahulu dari zaman pelajar hingga zaman politik.

Sekalipun semua rakan ABIM dan juga pemimpin kanan dalam politik telah meninggalkannya tetapi dia tetap bersemangat tinggi dan boleh terus hidup dalam denial syndrome.

Ini tidak menghairankan. Jika orang secerdik dan sebijak Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim Zainuddin pun boleh terpesona dengan Anwar bertahun-tahun dan hampir menyerahkan negara ini kepadanya, apatah lagi orang seperti Mursyidul Am Pas, Nik Abdul Aziz Nik Mat yang yakin dirinya pasti akan ke syurga dan Syed Hussein Ali yang lurus yang tidak pernah sedar berada dalam najis kapitalisme.

Tidakkah dosa Mahathir dan Daim akan lebih besar daripada Nik Aziz dan Syed Hussein Ali jika negara ini jatuh ke tangan orang yang kemudiannya diketahui sebagai ejen asing, penderhaka dan putar alam? Sebenarnya mereka telah melakukan separuh daripada dosa itu.

Maka itu rakyat Malaysia jangan marah jika dunia masih terus mengagumi manusia ini terutama apabila dia berjaya memberitahu kepada dunia bahawa sistem kehakiman Malaysia tiada kredibiliti, takut kepadanya sehingga menangguhkan kesnya sebanyak 50 kali dan membiarkannya keluar-masuk negara sekalipun menghadapi tuduhan jenayah sedangkan rakyat biasa tidak mendapat keistimewaan ini.

TAN MELAKA

Sunday, March 27, 2011

Syed Kecik

Adik Syed Kechik persoal Zam


Tan Sri Senu Abdul Rahman (kiri) dan Tunku Abdul Rahman antara dua tokoh yang rapat dengan Syed Kechik.

ADIK kepada Allahyarham Syed Kechik Syed Mohamed tokoh besar usahawan dan jutawan Melayu, Syed Salim Albukhary yang kini menetap di Amerika Syarikat telah mempertikaikan beberapa fakta penulisan Zainuddin Maidin mengenai abangnya itu di dalam buku Hari Itu Sudah Berlalu.

Buku ini merupakan kompilasi dari tulisan-tulisan yang telah tersiar di Mingguan Malaysia dan Utusan Malaysia terbitan Utusan Publication & Distributors Sdn Bhd.

Dalam suratnya kepada Zainuddin dan juga penerbit, Syed Salim menyatakan bahawa tidak benar Syed Kechik telah mengajak Khalid Abdullah (Tan Sri) untuk turut bersamanya ke Amerika Syarikat bagi mengikuti jejak langkah Senu Abdul Rahman (Tan Sri) dalam tahun 1949.

Menurutnya, Syed Kechik dan Senu Abdul Rahman tidak mengenali secara dekat antara satu sama lain kecuali sesudah diperkenalkan di California oleh Monte Zain anak Kedah yang lebih dahulu telah mengembara ke Amerika. Senu mengikut jejaknya.

Syed Salim memetik tulisan Zain dalam bukunya Out of Malaya yang diterbitkan pada tahun 1996 bahawa beliau telah memperkenalkan Syed Kechik sebagai Jim Bukhary kepada Senu yang dipanggilnya Ramon.

Syed Salim juga menafikan bahawa abangnya berhasrat untuk menjadi seorang bintang filem di Hollywood sebaliknya Monte Zain yang bercita cita untuk mengikuti jejak langkah Sabu yang menjadi popular dalam filem Hollywood Elephant Boy.

Dalam hal ini Syed Salim menyatakan bahawa Zainuddin Maidin telah terkeliru. Yang sebenar abangnya hanya mahu mempelajari bahasa Inggeris bagi persediaannya untuk memasuki sekolah dan Universiti di Amerika.

Sementara tujuan utama Monte Zain ke Amerika untuk membuat wang sebanyaknya bagi membawa pelajar-pelajar Melayu melanjutkan pelajaran ke Amerika.

Menurut Syed Salim lagi bahawa beliau masih ingat laporan beberapa media Melayu tentang abangnya yang memakai nama Jismet Bukhary ketika singgah di Singapura dalam perjalanan pulang dari Amerika tetapi tidak tahu mengenai beliau pernah di uji atau ditemu ramah oleh Shaw Brothers Singapura untuk menjadi bintang filem.

“Ayah kami adalah seorang kuat agama dan abang saya tahu bahawa nilai keturunan kami, tidak akan dapat menerima profesion dalam industri hiburan,” katanya.

Syed Kechik membuat keputusan untuk pergi ke Amerika dalam tahun 1949 untuk melanjutkan pelajaran kerana hasratnya bagi melayakkan dirinya menyertai perjuangan kemerdekaan Malaya apabila British kembali ke Malaya seperti yang disebutkan oleh Bruce Ross- Larson dalam bukunya Politics of Federalism.

Menyertai

Pemergian Syed Kechik ke Amerika Syarikat adalah dengan bekerja sebagai kelasi kapal dagang.

Bila tiba di New York dalam tahun 1949, beliau menaiki bas ke California untuk menyertai kawan rapatnya Mohammed Zain Tajudin (Monte Zain) dan seorang lagi anak Kedah Senu Abdul Rahman.

Beliau memulakan persekolahannya sehingga mendapat diploma di sekolah menengah untuk memasuki Los Angeles City College dan seterusnya membuat pengajian ekonomi dan sains politik di Universiti of California di Los Angeles.

Untuk membiayai pengajian, beliau bekerja mencuci pinggan mangkuk dan juga sebagai pelayan di beberapa restoran di sekitar Los Angeles.

Bagaimanapun apabila beliau kembali ke Malaya dalam tahun 1955, kelayakan pelajaran di Amerika tidak diiktiraf oleh Malaya yang mendorongnya pada tahun 1959 untuk melanjut pelajaran dalam undang-undang di United Kingdom.

Syed Salim juga memberitahu bahawa sebuah buku baru mengenai abangnya Allahyarham Syed Kechik akan diterbitkan tidak lama lagi. Buku ini akan mendedahkan tentang tindakan bersifat cemburu dan dendam sesetengah ahli politik Sabah terhadap Syed Kechik.

Penjelasan Zainuddin Maidin

SAYA mula bersahabat dengan Syed Kechik antara tahun 57 hingga 59 ketika beliau menganggur setelah kembali dari Amerika. Beliau sering datang menemui saya di sebuah bilik kecil yang merupakan pejabat saya sebagai pemberita sambilan Utusan Melayu di Pasar Yaacob Alor Star dan banyak bercerita tentang pengembaraannya ke sana.

Beliau tiba-tiba menghilangkan diri dan saya hanya mengetahui kemudiannya beliau telah berlepas sekali lagi dengan kapal laut untuk ke London bagi melanjutkan pelajarannya dalam bidang perundangan.

Sebelum kembali ke Kedah, saya telah pun membaca mengenainya di Mingguan Tunas terbitan Penerbit Harmy di Singapura yang menceritakan tentang anak muda Melayu yang merantau ke Amerika telah singgah di pulau itu dan mencuba nasib untuk menjadi bintang filem di Studio Show Brothers Jalan Ampas Singapura.

Saya telah diberitahu oleh beberapa orang pelakon filem Melayu di Singapura termasuk seniman Mustapha Maarof yang berpindah ke Kuala Lumpur bahawa Syed Kechik telah dinasihatkan supaya membatalkan hasratnya itu kerana kelayakan pelajarannya yang tinggi tidak sesuai dengan gaji yang sangat rendah sebagai bintang filem.

Bagaimanapun minatnya terhadap perfileman tidak pernah pudar. Ini terbukti bila beliau sendiri menubuhkan syarikat filemnya Syed Kechik Production di Kuala Lumpur yang menerbitkan beberapa buah filem Melayu sekali pun mungkin ini bertentangan dengan nilai budaya keluarganya.

Mungkin ingatan saya silap atau terkeliru dengan ceritanya sama ada beliau sendiri atau Monte Zain yang hendak menjadi Sabu tetapi dari segi logiknya tentulah cerita Zain yang benar.

Mengenai beliau mengajak Khalid Abdullah seorang aktivis politik di tahun 1949 untuk menyertainya ke Amerika telah diceritakan sendiri oleh Tan Sri Khalid (Bekas Pengerusi Eksekutif Utusan Melayu) kepada saya.

Syed Kechik telah menjalin semula hubungan dengan saya setelah beliau kembali dari London dan berkerja dengan sebuah syarikat guaman di Kuala Lumpur di awal tahun 60-an dan saya bertugas sebagai wartawan Utusan di Kuala Lumpur.

Hubungan ini terus terjalin walaupun beliau berhijrah ke Sabah. Pertukaran nama Jesselton kepada Kota Kinabalu adalah dari idea beliau yang diberitahu kepada saya sebelum pengumuman dibuat oleh Ketua Menteri Sabah dalam ucapan yang disediakan olehnya.

Syed Kechik lebih gemar berkawan dengan rakyat biasa seperti para wartawan, penulis dan seniman. Semua mereka menghormatinya kerana moralnya yang tinggi, tidak pernah minum minuman keras, tidak suka berpoya-poya dan tidak mempunyai "kenakalan" sebagai seorang lelaki sekalipun orangnya tinggi, kacak, gagah dan segak.

Kali terakhir saya menemuinya ialah di kediamannya di Bangsar untuk memberikan kepadanya buku saya Tun Razak, Jejak Bertapak Seorang Patriot. Tetapi beliau hanya bercakap sepatah dua sahaja. Beliau menjadi demikian kerana keadaannya yang tidak sihat dan menyebabkan rakan-rakannya yang lain seperti artis terkemuka Ahmad Nawab dan wartawan Utusan ABI (Ahmad Idris) dan lain-lain berada dalam keadaan serba salah untuk menemuinya.

Saya berterima kasih kepada Syed Salim yang telah memberikan perhatian terhadap tulisan saya mengenai abangnya yang diharapkan akan dapat membangkitkan minat generasi baru terhadap orang Melayu seperti Syed Kechik yang mempunyai semangat tinggi untuk memperbaiki diri mereka dalam pelajaran di dalam keadaan kemiskinan bangsanya di zaman penjajahan dan mereka menjadi orang yang berjaya. Ini berbeza dengan generasi sekarang yang lebih mengharapkan biasiswa.

Saya percaya Yayasan Syed Kecik atau MPI sendiri mampu untuk menterjemahkan buku-buku mengenai Syed Kechik terutamanya yang ditulis oleh Monte Zain supaya pembacaannya meluas di kalangan anak anak Melayu untuk penghayatan dan pembangunan kesedaran mereka.

Apa pun dikatakan orang tentang Syed Kechik tetapi saya mempunyai pandangan yang sangat tinggi terutama dari segi pegangannya terhadap nilai peribadi yang baik.

Catitan: Allahyarham Senu Abdul Rahman adalah bekas Setiausaha Agung UMNO, menjadi Duta Malaysia yang pertama ke Indonesia dan juga Menteri Penerangan.

Saturday, March 26, 2011

Nik


Perbuatan tidak bermoral

KOTA BHARU - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perbuatan menayangkan rakaman video seks yang dikatakan membabitkan seorang pemimpin pembangkang bersama seorang pelacur warga China di sebuah hotel kepada pihak media sebagai perbuatan tidak bermoral.

Mursyidul Am Pas itu berkata, lebih memalukan apabila perbuatan itu didalangi tiga 'individu bergelar' dan pernah menjadi pemimpin sebuah kerajaan negeri.

Katanya, beliau berasa amat malu untuk membaca berita mengenai pendedahan skandal terbabit ­kerana ia dilaporkan oleh ­semua media massa di negara ini.

“Saya berasa malu, berasa seolah-olah berada di negara lain. Saya tak tahu kenapa pemimpin yang rata-ratanya berbangsa Melayu dan beragama Islam menjadi individu yang tidak bermoral.

“Kita orang Melayu sudahlah duit tak ada, ilmu tak ada, moral pula hancur. Mana lagi bahagian yang bangsa lain boleh tertarik dengan kita?" katanya kepada pemberita selepas ­menyampaikan kuliah mingguan di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Aziz berkata, pemimpin atau tokoh yang mempunyai gelaran sepatutnya menunjukkan tauladan yang baik, bukan mempamerkan keaiban orang lain.

“Mereka ini diberikan gelaran sedemikian rupa dengan harapan boleh membimbing rakyat, tapi apa yang berlaku adalah ­sebaliknya.

“Kalau pemimpin sanggup buat macam ini, rakyat apa lagi. Seks ini benda yang aib tetapi tiba-tiba ia dipertontonkan kepada umum, macam tak ada ­agama,” katanya.

Isnin lalu, rakaman video aksi seks yang dikatakan membabitkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri ­Anwar Ibrahim dipertontonkan kepada editor kanan dan wartawan di Carcosa Seri Negara.

Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Rahim ­Tamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim (kumpulan Datuk T) mengakui terlibat dalam pendedahan video terbabit.

Bosnia


Menyelongkar keajaiban Kemboja

Teks dan gambar ABD. HALIM HADI
halim.hadi@utusan.com.my

PINTU masuk ke kuil Bayon menampilkan satu daripada seni bina Angkor yang paling diminati pelancong.

Kepuasan memilih destinasi kini diperhebatkan dengan tawaran tiket penerbangan yang semakin murah. Dengan sedikit perbelanjaan, percutian ke Kemboja misalnya antara yang menjanjikan pengalaman tidak dapat dilupakan.

Di kalangan pelancong antarabangsa, Kemboja telah lama dikenali sebagai destinasi paling popular di rantau ini. Bagi mereka, melancong ke Asia Tenggara tidak lengkap tanpa menjejakkan kaki ke negara Angkor Wat itu. Kemboja mempunyai dua pintu masuk utama iaitu Phnom Penh dan Siem Reap.

Namun anda tidak mungkin menikmati segala keseronokan yang tersimpan di negara itu dengan hanya satu kunjungan. Bagi yang melawat buat kali pertama, tarikan yang menjadi keutamaan semestinya Angkor Wat di Siem Reap. Berdiri teguh sebagai satu daripada keajaiban dunia, kota purba yang berusia ribuan tahun itu menjadikan bahagian di barat laut negara itu lokasi persinggahan utama. Pintu masuk di Siem Reap mewakili lebih 50 peratus daripada kemasukan pelancong ke Kemboja.

Hal itu menjadikan tambang penerbangan ke Siem Reap lebih mahal berbanding ke ibu kotanya, Phnom Penh. Bagaimanapun, mendarat di Phnom Penh tetap memberikan percutian yang menarik jika dilakukan dengan betul.

Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phnom Penh, perkhidmatan teksi motosikal (tut-tut) boleh didapati pada harga kira-kira RM63 untuk ke pusat bandar. Jika bernasib baik, anda akan disapa oleh pemandu berketurunan Champa yang fasih berbahasa Melayu.

Kesibukan kota di pinggir Sungai Mekong itu bertali-arus dengan penunggang motosikal yang memberi gambaran awal cara hidup lebih dua juta masyarakat Khmer.

Di bandar bekas jajahan Perancis itu, penginapan boleh didapati daripada harga RM30 hingga RM62 semalaman. Lokasi terbaik untuk bermalam mungkin di sepanjang persiaran Sisowath Quay yang mengadap Sungai Tonle Sap.

Pada hujung minggu, kemeriahan di kawasan waterfront itu berterusan sehingga lewat mala.

Bagi yang ingin merasai kelainan berada di negara orang, hidangan eksotik seperti hidangan kala jengking, belalang, labah-labah, cengkerik dan ular boleh didapati pada harga beberapa dolar di sepanjang jalan utama itu.

Di celah-celah bandar yang sesak itu, tumpuan pelancong adalah Istana Phnom Penh (Royal Palace), Pasar Seni, Pasar Rusia, Pagoda Perak dan Monumen Kemerdekaan. Selain itu, jangan lepaskan peluang untuk ke Wat Phnom, kuil di atas bukit yang memberi nama kepada bandar itu.

Di pinggir bandar Phnom Penh, Tapak Peringatan Choeung Ek atau Killing Field antara lokasi yang wajib dikunjungi. Sekolah yang dijadikan pusat tahanan rejim Pol Pot itu menempatkan kira-kira 8,000 tengkorak daripada tiga juta pembunuhan di seluruh Kemboja sekitar tahun 1975 hingga 1979.

Bagi mereka yang berminat untuk melancong ke Kemboja, Penerbangan Malaysia (MAS) terbang ke Phnom Penh sembillan kali seminggu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Saham Melayu

Saham bumiputera boleh ditingkatkan semula - Awang Adek

BACHOK 25 Mac - Pemilikan saham syarikat-syarikat bumiputera yang cuma tinggal RM2 bilion masih boleh ditingkatkan semula sekiranya pemegang saham kembali menjana ekonomi mereka.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, pada masa sama, golongan bumiputera yang berkemampuan boleh menebus semula saham yang dijual, seterusnya menjana semula saham itu bagi mendapat keuntungan.

Beliau berkata, pemilik saham juga perlu diberi pendidikan ekonomi supaya mereka boleh menjana keuntungan tanpa perlu mengharapkan sokongan dan bantuan kerajaan secara berterusan.

"Peluang untuk menjana semula kedudukan saham bumiputera hanya boleh dilakukan menerusi usaha menebus semula saham yang dijual oleh pemilik terbabit dengan menggunakan sumber kewangan hasil perolehan jualan saham mereka sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Seri Gunung dekat sini hari ini.

Awang Adek diminta mengulas kenyataan Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, yang mendedahkan pemilikan saham syarikat bumiputera tinggal RM2 bilion iaitu penyusutan sebanyak RM52 bilion berbanding jumlah asal bernilai RM54 bilion.

Perdana Menteri berkata, penyusupan nilai itu berlaku disebabkan sikap negatif masyarakat bumiputera sendiri yang tidak menghargai dan mengoptimum peluang diberi, sebaliknya lebih gemar terperangkap dalam soal hak.

Friday, March 25, 2011

Polemik Interlok Tamat

Semangat perpaduan tutup polemik Interlok

DALAM semangat muafakat 1Malaysia, polemik novel Interlok berjaya diselesaikan dengan baik Kerajaan bersetuju menggugurkan perkataan 'paria' daripada kandungan novel Interlok yang digunakan sebagai teks Komponen Sastera (Komsas) dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu untuk Tingkatan Lima.

Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, merangkap Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam diharap menutup polemik yang menimbulkan rasa tidak puas hati sebilangan masyarakat India dan Melayu.

Perkataan 'paria' yang mencetuskan kemarahan kaum India akan digugurkan daripada versi yang digunakan di sekolah. Kerajaan juga bersetuju untuk membuat pindaan pada bahagian yang dianggap sensitif oleh masyarakat India.

Keputusan panel bebas yang dianggotai oleh pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan dan wakil Dewan Bahasa dan Pustaka serta wakil masyarakat India perlu dihormati. Jadi kita berharap tidak ada pihak yang tidak setuju dengan keputusan ini.

Seperti kata Muhyiddin, dengan persetujuan yang dicapai, Kementerian Pelajaran menganggap isu ini selesai.

Keputusan yang diambil oleh Kementerian Pelajaran pun setelah bersetuju dengan dapatan panel bebas yang mendapati hanya 19 perkara daripada 106 cadangan dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India berhubung kemelut isu Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.

Sebanyak 87 perkara lagi didapati tidak ada kaitan dengan isu pokok seperti yang dicadangkan oleh masyarakat India sebelum ini.

Perkara utama dalam penyelesaian polemik Interlok ini ialah persetujuan daripada penulis novel itu sendiri yang bersetuju untuk menggugurkan perkataan 'paria,' meminda perkataan 'Tuhan' kepada perkataan 'dewa' dan menggugurkan frasa 'orang berkulit hitam' daripada novel itu.

Penyelesaian isu ini menunjukkan bahawa jika mana-mana pihak terlibat sedia bermuafakat untuk mencari jalan keluar melalui meja rundingan, ia akan berhasil.

Malah sebagai negara yang mempunyai masyarakat majmuk, banyak masalah antara kaum di negara kita mampu diselesaikan dengan cara baik dan muhibah.

Memandangkan kepada formula muafakat yang dimainkan oleh kerajaan, kita sendiri dapat rasai bahawa tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja rundingan.

Tidak kira masalah melibatkan kepentingan kaum, bahasa dan agama - jika kena caranya dan betul gerak kerjanya, ia boleh diselesaikan.

Dalam proses mendapatkan persetujuan ramai seperti dalam isu Interlok ini, kesabaran dan sedia mendengar pandangan semua pihak dan bersikap tolak ansur adalah faktor merungkai masalah tersebut.

Keputusan mengekalkan novel ini dengan membuat pindaan supaya tidak menyinggung perasaan kaum India dilihat adalah jalan penyelesaian yang terbaik.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Interlok Akhirnya Selesai

Kontroversi novel Interlok selesai

SOALAN: Datuk Abd. Rahman Bakri [Sabak Bernam] minta Menteri Pelajaran menyatakan kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara yang menjadi teks Komponen Sastera dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu.

JAWAPAN

Tuan Yang Dipertua,

Terdapat lima (5) pertanyaan yang menyentuh isu berkaitan dengan kedudukan novel Interlok karya Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain yang menjadi teks komponen sastera (Komsas) dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5 di Zon 2, iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan. Ahli-Ahli Yang Berhormat yang mengemukakan pertanyaan tersebut adalah:

1. YB Sabak Bernam (24.03.2011) - Hari ini

2. YB Kuala Krai (24.03.2011) - Hari ini

3. YB Bukit Gantang (04.04.2011)

4. YB Telok Intan (04.04.2011)

5. YB Hulu Terengganu (06.04.2011)

Oleh kerana kesemua pertanyaan yang dibangkitkan saling berkaitan, izinkan saya menjawab isu tersebut secara serentak, serta mengulas lapan (8) pertanyaan yang dikemukakan sebelum hari ini kerana menyentuh perkara yang sama.

Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan pelbagai pihak untuk menambah baik sistem pendidikan negara. Semangat musyawarah diutamakan dalam mencari penyelesaian terhadap sesuatu isu yang timbul di samping memastikan sebarang tindakan yang dibuat dilaksanakan secara berhati-hati. Bagai menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Dalam menangani isu novel Interlok, Kementerian mengambil langkah yang amat teliti supaya sebarang keputusan yang dibuat adalah rasional, munasabah dan dapat diterima oleh semua pihak.

Novel Interlok adalah satu karya sastera yang telah melalui proses pemilihan dan penyaringan yang ketat sebelum dipilih sebagai teks Komponen Sastera dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia Tingkatan 5. Novel ini telah dinilai oleh enam (6) jawatankuasa di peringkat Kementerian, yang ahli-ahlinya terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai disiplin ilmu. Ini adalah untuk memastikan Interlok memenuhi kriteria yang ditetapkan iaitu karya asal yang ditulis dalam bahasa Melayu, menepati Kurikulum Bahasa Malaysia, mendukung nilai-nilai murni, menimbulkan kesan nasionalisme yang kuat dan mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat.

Suka saya menegaskan bahawa dalam pemilihan teks Komsas, keutamaan diberikan kepada hasil karya Sasterawan Negara, pemenang anugerah S.E.A. Write Award dan pemenang hadiah Sayembara Sastera.

Secara khusus, novel Interlok memaparkan kegigihan watak-watak dalam keluarga berketurunan Melayu, Cina dan India di zaman sebelum merdeka untuk mengubah nasib diri dan menjadi manusia yang bermaruah dan bermartabat. Watak Cing Huat digambarkan sebagai seorang anak muda Tionghua yang bekerja keras meneruskan perniagaan bapanya sehingga menjadi kaya raya dan dihormati oleh masyarakat.

Watak Maniam pula dipaparkan sebagai seorang buruh India yang rajin berusaha sehingga akhirnya berjaya menjadi tandil estet. Malah melalui pendidikan, anak Maniam iaitu Ramakrisynan berjaya menjadi inspektor polis.

Watak Seman pula ditonjolkan sebagai anak seorang petani Melayu yang bekerja kuat untuk mengangkat nilai dirinya agar menjadi insan yang berjaya dan dihormati oleh penduduk desanya.

Penceritaan tentang kegigihan watak-watak pelbagai kaum dalam novel ini untuk mengubah nasib diri memberi pengajaran kepada murid bahawa sesiapa sahaja, tanpa mengira perbezaan kaum, warna kulit dan agama, boleh berjaya dalam kehidupan sekiranya mereka gigih berusaha.

Novel ini juga sarat dengan nilai-nilai perpaduan kaum. Aspek kerjasama dan hormat menghormati antara kaum ditonjolkan dengan nyata melalui persahabatan Maniam dan Musa. Dalam novel ini, Maniam dipaparkan sebagai seorang yang sentiasa mengenang jasa sahabatnya Musa yang pernah menyelamatkan nyawanya, walaupun Musa telah lama meninggal dunia.

Sebagai membalas jasa Musa, Maniam telah menolong anak Musa, iaitu Seman, untuk mendapatkan pekerjaan di estet. Malah, sebagai penghormatan kepada Maniam, Seman memanggil Maniam dengan panggilan tuan.

Interlok adalah sebuah karya kreatif yang menggabungkan fakta sejarah sosial dan imaginasi pengarang. Melalui adunan realiti dan imaginasi, novel ini cuba memaparkan suatu bentuk kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di Tanah Melayu sebelum merdeka.

Malah, penulis menggambarkan watak-watak dari ketiga-tiga kaum Melayu, Cina dan India bersama-sama menyambut kemerdekaan negara dalam suasana penuh pengharapan dan kegembiraan.

Dalam konteks ini, penulis telah berjaya menggambarkan rupa bentuk rakyat Malaysia yang harmoni dan bersatu padu. Atas dasar ini, Kementerian Pelajaran tanpa ragu-ragu telah memilih novel Interlok sebagai teks Komsas bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk Tingkatan Lima di Zon 2.

Namun demikian, penggunaan novel Interlok telah menimbulkan bantahan daripada beberapa kumpulan dalam masyarakat India. Bantahan adalah berkisar tentang penggunaan perkataan 'kasta Paria' di dalam novel tersebut yang didakwa bersifat rasis dan menyinggung perasaan kaum India.

Sehubungan itu, mesyuarat Jemaah Menteri pada 12 Januari 2011 telah memutuskan supaya Kementerian Pelajaran mengadakan dialog dengan wakil NGO India bagi membincangkan kontroversi novel Interlok dan mencari jalan penyelesaian. Parti MIC telah mencadangkan beberapa nama untuk mewakili NGO India dan kesemua mereka telah dijemput untuk berdialog dengan pihak Kementerian pada 18 Januari 2011.

Kontroversi novel Interlok juga telah menimbulkan desakan daripada ahli akademik, sasterawan, persatuan penulis dan orang awam supaya novel ini dikekalkan sebagai teks Komsas. Mereka menegaskan bahawa Interlok tidak bersifat rasis malah mengandungi banyak nilai-nilai positif yang menjurus ke arah perpaduan dan keharmonian kaum.

Kumpulan ini juga turut memohon untuk berdialog dengan Kementerian Pelajaran berhubung isu ini. Justeru, beberapa individu yang mewakili kumpulan ini turut dijemput menghadiri sesi dialog yang diadakan.

Hasil dialog seterusnya telah dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan susulan daripada itu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya:

i) Novel ini terus diguna pakai sehingga satu pendekatan yang komprehensif dicapai dalam menangani isu berbangkit;

ii) Mengarahkan penubuhan satu panel bebas untuk mengkaji kandungan novel;

iii) Mendapatkan pandangan daripada penulis; dan

iv) Mencadangkan kaedah terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut.

Berdasarkan keputusan Jemaah Menteri, Panel Bebas Mengkaji Pindaan Novel Interlok telah ditubuhkan untuk meneliti bahagian yang dianggap sensitif kepada masyarakat India dan memperakukan kepada kerajaan bentuk suntingan yang sesuai tanpa menjejaskan jalan cerita dan mesej murni yang ingin disampaikan oleh Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain melalui karyanya.

Panel bebas ini dipengerusikan oleh Y.Bhg. Profesor Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia dan dianggotai oleh pakar-pakar dalam bidang bahasa dan sastera termasuk tiga (3) wakil masyarakat India dan seorang wakil penulis.

Panel Bebas ini telah bersidang sebanyak empat (4) kali dan mengadakan dua (2) pertemuan dengan saya.

Pada mesyuarat kali ke-3, Panel Bebas telah mencapai kata sepakat untuk menggugurkan frasa "kasta Paria" dalam novel ini dan menggantikannya dengan frasa "golongan yang sama." Alhamdulillah, cadangan suntingan ini telah dipersetujui oleh penulis sebagai pemegang hak cipta dan untuk itu kerajaan merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada penulis di atas kemurahan hati beliau membenarkan karya sastera ini disunting.

Pada masa yang sama, wakil masyarakat India dalam Panel Bebas juga mengemukakan kepada kerajaan sebanyak 106 bentuk cadangan pindaan yang lain untuk dipertimbangkan. Cadangan pindaan ini tiada kaitan dengan isu pokok, iaitu "kasta Paria" yang telah pun diselesaikan, tetapi meliputi perkara-perkara yang berkaitan dengan fakta, bahasa dan tatabahasa, termasuk koma, noktah dan tanda soal.

Sehubungan itu, saya telah meminta Panel Bebas untuk meneliti satu persatu 106 cadangan pindaan yang dikemukakan dan mengenal pasti perkara-perkara yang benar-benar menyentuh sensitiviti masyarakat India sahaja dikemukakan untuk pertimbangan kerajaan.

Lanjutan daripada itu, Panel Bebas telah sekali lagi bermesyuarat pada 23 Mac 2011 untuk meneliti kesemua cadangan ini. Hasil penelitian Panel Bebas mendapati hanya 19 perkara sahaja yang boleh dianggap menyentuh sensitiviti masyarakat India. Ini bermakna, sebanyak 87 perkara lagi adalah tidak berkaitan dengan isu pokok. Ini termasuklah cadangan supaya nama penulis dipaparkan pada kulit hadapan novel, ejaan "tali" dipinda kepada "taali," perkataan "papa" ditukar kepada "appa," "cawat" ditukar dengan "dhoti" dan lain-lain lagi.

Oleh yang demikian, kesemua ahli panel, termasuk wakil masyarakat India, telah bersetuju untuk menyerahkan perkara ini kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai penerbit untuk membuat suntingan yang wajar kepada novel ini dalam cetakan akan datang.

Daripada 19 perkara yang boleh dianggap sensitif ini pula, tiga (3) daripadanya adalah berkaitan dengan penggunaan perkataan kasta yang telah dianggap selesai kerana penulis telah bersetuju untuk menggugurkan perkataan itu dalam novelnya.

Tiga (3) perkara lagi iaitu yang berkaitan dengan fakta lembu sebagai binatang suci orang Hindu, keselamatan isteri Maniam di India dan upacara perkahwinan yang digambarkan sebagai meletihkan juga telah selesai. Panel Bebas, dengan persetujuan wakil masyarakat India, memutuskan bahawa ketiga-tiganya tidak menyentuh sensitiviti masyarakat India.

Daripada 13 perkara yang berbaki, tujuh (7) perkara telah dapat diselesaikan apabila Panel Bebas mencapai kata sepakat untuk memasukkan errata di dalam novel ini bagi membuat pembetulan dan pengguguran terhadap beberapa frasa yang dianggap sensitif dalam amalan kebudayaan dan keagamaan masyarakat India. Manakala enam (6) perkara lain juga telah dapat diselesaikan kerana penulis, sekali lagi, dengan kemurahan dan kejernihan hati beliau, telah bersetuju untuk meminda perkataan "Tuhan" kepada perkataan "dewa" dan menggugurkan frasa "orang berkulit hitam" daripada novel ini.

Selain dari itu, Kementerian akan menyediakan satu glosari untuk memperjelaskan beberapa frasa dan konsep yang terkandung dalam novel Interlok bagi memudahkan murid memahami teks dan konteks novel yang memaparkan kehidupan yang harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum di negara kita.

Alhamdulillah, dengan persetujuan yang dicapai oleh Panel Bebas dan perakuan yang dikemukakan kepada kerajaan, isu ini telah dapat diselesaikan dengan baik. Ini adalah satu testimoni yang amat nyata bahawa di negara kita tidak ada satu isu yang tidak boleh diselesaikan melalui meja perundingan. Dengan semangat musyawarah dan muafakat serta kesediaan untuk mendengar dan menerima, kita telah buktikan bahawa serumit mana pun kemelut yang kita hadapi, kita dapat mengharunginya dengan tabah dan sabar.

Episod Interlok ini menjadi bukti kepada kita betapa semangat perpaduan, penerimaan dan hormat menghormati antara kaum selaras dengan Gagasan 1Malaysia terus subur di negara kita.

Saya juga ingin mengingatkan pihak-pihak yang mempunyai kepentingan politik yang sempit supaya jangan sekali-kali cuba menangguk di air yang keruh. Jangan sekali-kali mengeksploitasi isu ini untuk mengapi-apikan sentimen perkauman dan mencetuskan porak peranda di negara kita yang tercinta. Ini adalah satu perbuatan sia-sia yang pasti akan ditolak oleh rakyat.

Saya yakin majoriti rakyat di negara kita adalah rasional dan mereka akan menerima keputusan yang adil dan munasabah.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghormatan dan penghargaan kepada Sasterawan Negara Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain atas kemurnian hati beliau untuk mengizinkan novel Interlok disunting. Dalam pertemuan saya dengan beliau beberapa hari lalu, Y.Bhg. Datuk Abdullah Hussain berulang kali menyatakan bahawa beliau tidak sekali-kali berniat untuk menyentuh sensitiviti apa lagi menghina masyarakat India ketika menulis novel ini empat puluh tahun yang lalu.

Apa yang dipaparkan dalam novel ini adalah cetusan pemikiran dan imaginasi beliau tentang kehidupan sosial masyarakat pelbagai kaum di negara kita yang dijelmakan dalam bentuk karya sastera kreatif.

Untuk itu, sewajarnyalah kita menghormati bukan sahaja karya beliau, tetapi juga segala keputusan yang telah dibuat oleh beliau dalam membantu kerajaan untuk menyelesaikan kontroversi novel Interlok. Ini adalah satu lagi sumbangan beliau yang amat besar kepada negara.

Selain itu, saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada ahli-ahli Panel Bebas iaitu:

(i) Y.Bhg Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharudin, Pengarah Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai Pengerusi;

(ii) Y.Bhg Datin Siti Saroja Basri, wakil penulis;

(ii) Y.Bhg Prof. Datuk Zainal Abidin Borhan, Setiausaha Satu Gabungan Penulis Nasional;

(iv) Y.Bhg Datuk Termuzi Abdul Aziz, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka;

(v) Y.Bhg Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin, Pensyarah di Fakulti Bahasa Moden, Universiti Putra Malaysia;

(vi) Y.Bhg. Prof. Dr. NS Rajendran, Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki di Universiti Pendidikan Sultan Idris;

(vii) Encik G. Krishnabahawan, pendidik; dan

(viii) Encik Uthaya Sankar penulis bebas.

Saya juga merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada pimpinan MIC yang telah berbincang dengan YAB Perdana Menteri dan saya selaku Menteri Pelajaran untuk mengambil keputusan bersama bagi menyelesaikan isu ini.

Dengan persetujuan yang telah dicapai, Kementerian menganggap bahawa isu ini telah selesai.

Sekian, terima kasih.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Thursday, March 24, 2011

SPM


Hadiah kepada dermawan KL - Tuan Norazwani


Tiga daripada lima pelajar terbaik Maahad Muhamadi Perempuan Kota Bharu (dari kiri) Ulfah Mohammad, Tuan Norazwani Tuan Ibrahim dan Nik Aisyah Najwa Nik Mustaffa Shapri menunjukkan slip keputusan cemerlang SPM 11A di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 23 Mac - Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008, Nik Nur Madihah Nik Mohamad Kamal menjadi bayangan kejayaan Tuan Norazwani Tuan Ibrahim, 18, yang memiliki keputusan SPM 9A+ dan 2A.

Pelajar Maahad Muhammadi (P) itu merupakan salah seorang daripada lima pelajar terbaik sekolah tersebut yang mendapat 11A dalam keputusan SPM 2010 yang diumumkan hari ini.

Seramai 381 daripada 385 calon sekolah itu yang mengambil peperiksaan SPM tahun lalu mendapat sekurang-kurangnya satu A.

Tuan Norazwani mencatat A+ dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Kimia, Bahasa Arab Tinggi, Pendidikan Syariah Islamiah dan Pendidikan al-Quran dan As-Sunnah manakala A dalam Fizik dan Biologi.

Anak kedua daripada lapan beradik kepada petani, Tuan Ibrahim Tengku Omar, 40, dan surirumah Rohayu Mat Daud, 38, itu percaya, keputusan yang didapatinya adalah rezeki yang sudah ditetapkan Allah.

"Saya tidak berasa tertekan apabila menggalas harapan guru untuk mendapat A+ dalam kesemua mata pelajaran diambil, yang penting saya sudah berusaha bersungguh-sungguh dan dalam masa sama gembira dengan pencapaian rakan lain.

"Allah itu adil, walaupun berada dalam keluarga kurang berkemampuan dan adik-beradik yang ramai, setiap kali saya duduk belajar suasana dalam rumah tenang sahaja tanpa ada gangguan.

"Saya anggap keputusan ini sebagai hadiah kepada seorang dermawan dari Kuala Lumpur yang menyumbang RM400 sebulan kepada saya sejak tingkatan empat," katanya.

Tuan Norazwani bercita-cita menjadi pensyarah dan berhasrat menyambung pengajian di luar negara.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Islam dan Dakwah negeri, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, peratus kelulusan SPM sekolah-sekolah Yayasan Islam Kelantan (YIK) meningkat daripada 95 peratus pada 2009 kepada 96.8 peratus tahun lalu.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Spm


9 pelajar Kedah peroleh gred cemerlang tertinggi A+


Pasangan kembar, Nor Aini Muhammad (kanan) yang mendapat keputusan 8A,2C dan kembarnya Nor Ain Muhammad 6A,2B dan 1C menunjukkan keputusan SPM yang diperolehi mereka di Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 23 Mac - Sembilan pelajar di negeri ini berjaya meraih gred cemerlang tertinggi A+ dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan hari ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Abdullah Saad berkata, tiga sekolah berjaya mencatat kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Berasrama Penuh Kubang Pasu, Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu dan Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim.

"Sebanyak 59 mata pelajaran mencatatkan kelulusan 100 peratus berbanding 55 mata pelajaran pada 2009.

"Seramai 31,761 orang calon layak mendapat sijil dan peratus pencapaian Kedah ialah 49 peratus serta meningkat 2.91 peratus daripada 46.09 peratus tahun lalu," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.

Menurutnya, 36,548 pelajar menduduki SPM 2010 dan seramai 451 calon berjaya memperoleh Gred Cemerlang (A+, A dan A-) dalam semua mata pelajaran.

Tambahnya, jumlah itu menunjukkan peningkatan 43 orang berbanding 408 pada keputusan SPM 2009.

"Gred purata keseluruhan SPM Negeri Kedah 2010 ialah 5.392 berbanding 5.560 pada tahun 2009.

"Sebanyak 11 buah sekolah berjaya mencapai gred purata antara 0.0 hingga 3.0," katanya.

Jelas Abdullah, sebahagian besar sekolah di Kedah berada dalam kategori sekolah cemerlang, baik dan memuaskan.

"Sekolah berpotensi hanya lima buah sahaja dan ini menggambarkan tahap pencapaian sekolah semakin meningkat ke arah berprestasi tinggi," jelasnya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

JanganTuduh Kau Lain

Jangan salahkan bangsa lain

MASYARAKAT Melayu hari ini sering menyalahkan bangsa lain, menuduh mereka merebut peluang kita. Tetapi yang sebenarnya adakah mereka sahaja yang merebut ataupun kita sendiri yang tidak gigih berusaha?

Pada pandangan saya, kita yang sentiasa merungut tentang kesusahan bangsa sedangkan kita sendiri tidak bangkit untuk mengubahnya.

Hasilnya, jurang antara kaum wujud, kita membenci bangsa lain yang lebih maju tetapi kita tidak pula pernah membenci ataupun bermuhasabah terhadap diri kita yang hanya menunggu dan mengharapkan bantuan semata-mata. Malangnya, ada dalam kalangan kita yang membenci bangsa lain tetapi juga tidak sayangkan bangsa sendiri, dua pemikiran negatif yang telah meracuni kotak fikiran. Apakah kebaikan yang dapat diperolehi dengan pemikiran negatif ini?

Berlainan pula dengan satu lagi situasi apabila Melayu tidak lagi mengaku sebagai Melayu. Melayu yang tidak lagi berbangga menjadi Melayu. Saya terkilan apabila melihat ketidakseimbangan yang berlaku pada hari ini. Apabila melayari Internet, banyak yang saya jumpa kenyataan belia Melayu yang mengutuk bangsa sendiri hanyalah untuk mendapat perhatian bangsa lain. Perkara begini menunjukkan betapa kita tidak matang dan mudah untuk diperkecilkan.

Bangsa Melayu sering meletakkan diri mereka pada tahap yang rendah, selalu berpuas hati dengan keadaan walaupun jelas sekali dengan sekadar berpuas hati tanpa berusaha, kita tidak akan maju.

AINAA BAHIRAH SHAMSUDIN

Shah Alam, Selangor

KDN nak saman

KDN timbang saman Anwar

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menimbang untuk menyaman Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana mengaitkan kementerian itu dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam pendedahan video seks oleh individu misteri bergelar 'Datuk T' kelmarin.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tindakan yang mungkin diambil itu bukan demi kepentingan dirinya tetapi bagi menjaga nama baik kementerian dan PDRM.

Ia juga, katanya, sebagai bukti bahawa kementerian mahu 'menggali' perkara itu sedalam-dalamnya bagi mencari kebenaran selain mengenal pasti sama ada ia sengaja direka oleh pihak tertentu.

"Dalam kes ini mereka menuduh saya, kementerian dan PDRM terlibat dalam konspirasi. Kalau ada fakta, saya tiada masalah untuk failkan saman kerana tiada apa untuk disembunyikan.

"Perkara ini sedang dikaji oleh peguam-peguam saya. Kali ini kami tidak akan duduk saja dan biarkan mereka bermain politik. Kami hanya menjalankan tugas," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam selepas membuat laporan di Balai Polis Dang Wangi, Anwar berkata, tindakan mempertontonkan video itu tidak boleh dilakukan tanpa perlindungan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan polis.

Malah Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, ketiadaan sebarang tindakan polis bagi menghalang penayangan video tersebut menjadi bukti penglibatan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

Hishammuddin dalam pada itu turut mencabar mana-mana pihak yang menuding jari terhadapnya dan polis dalam isu berkenaan agar tampil dengan bukti.

"Semua dakwaan kononnya diputar belit dan konspirasi hanyalah untuk lari daripada kebenaran. Apa jua tuduhan sila buktikan.

"Mereka laungkan keadilan tetapi sebelum perkara ini diadili, mereka sudah putar belit sehingga segalanya menjadi tunggang terbalik untuk mengaburi orang ramai," ujarnya.

Ditanya kemungkinan penubuhan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kes berkenaan, beliau menjelaskan, keputusan mengenainya bukan terletak di bawah bidang kuasa kementeriannya.

"Saya ingin tegaskan, jika suruhanjaya itu ditubuhkan sekali pun, ia tidak menghalang polis daripada meneruskan siasatan mereka. Perkara ini sudah pun berada di tangan polis berdasarkan laporan dibuat Anwar sendiri dan pastinya kita mahukan kebenaran ditegakkan," katanya.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Suruhan Diraja

Tubuh suruhanjaya diraja

KUALA LUMPUR 23 Mac - Kumpulan yang bertanggungjawab mendedahkan skandal video seks seorang lelaki yang didakwa sebagai pemimpin pembangkang, mendesak kerajaan menubuhkan suruhanjaya diraja bagi menyiasat kesahihan rakaman itu.

Ini kerana tegas kumpulan yang terdiri daripada bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik; ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah serta Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim, rakyat wajib didedahkan dengan kebenaran.

Menurut Abdul Rahim, melalui suruhanjaya diraja tersebut, misteri lelaki dalam rakaman video seks itu, akan terjawab.

Katanya, suruhanjaya tersebut boleh dianggotai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; wakil DAP, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail; wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan wakil media.

Pada masa yang sama, beliau juga menyeru supaya pemimpin pembangkang yang dikaitkan dengan video seks tersebut diberi kebebasan untuk memilih pakar forensik serta pemerhati asing bagi menunjukkan ketelusan.

"Suruhanjaya diraja perlu ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat ketulenan dan kebenaran video ini demi rakyat kerana sudah terlalu banyak spekulasi, penafian dan putar belit berhubung pendedahan video ini.

"Sedangkan pemimpin ini adalah orang yang bakal menentukan masa depan negara, bangsa dan kedudukan Islam tetapi terpalit dengan skandal seks," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Rahim mendesak pemimpin pembangkang tersebut mencontohi sikapnya yang berundur selepas diarahkan pucuk pimpinan tertinggi meskipun didapati tidak bersalah oleh mahkmah dalam skandal seks dengan gadis bawah umur tidak lama dahulu.

Katanya, beliau tetap dengan pendirian untuk berundur kerana tidak mahu menjadi liabiliti kepada negara.

"Dia patut mengambil sikap yang samalah. Saya akur kepada kewibawaan, integriti dan kredibiliti. Saya berhenti tanpa ada masalah dan saya berharap contohilah sikap ini. Jadilah rakyat yang taat dan menjunjung tinggi kedaulatan undang-undang," katanya.

Sementara itu, Shazryl Eskay berjanji akan menyerahkan rakaman video seks tersebut kepada suruhanjaya diraja sebaik sahaja ia ditubuhkan kerajaan kerana yakin melalui pendekatan tersebut, segala kebenaran akan terbukti.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Datuk T


Datuk T kumpulan 3 sahabat

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

Abdul Rahim Thamby Chik (duduk kiri) dan Shazryl Eskay Abdullah ketika sidang media mengenai pendedahan sebuah klip video membabitkan aksi seks

MISTERI siapa Datuk T yang merujuk tiga sahabat yang membuat pendedahan rakaman video seks seorang lelaki didakwa pemimpin pembangkang dengan wanita dipercayai pelacur dari China pada 21 Februari lalu di sebuah hotel di Kuala Lumpur terdedah semalam.
Tokoh itu ialah ahli perniagaan yang juga sahabat karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Shazryl Eskay Abdullah; bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Pada sidang akhbarnya di Kuala Lumpur, Shazryl Eskay dan Abdul Rahim yakin lelaki dalam rakaman video itu ialah seorang pemimpin parti pembangkang. Shuib bagaimanapun tidak hadir pada sidang akhbar itu kerana tidak sihat.

Berikut ialah sebahagian isi kandungan sidang akhbar itu.

SIAPA Datuk T (Trio)?

Bukan nama individu tetapi sebaliknya kumpulan tiga sahabat yang saling mengenali sejak sekian lama. Nama Datuk T sengaja digunakan untuk mengelakkan orang ramai mengenali mereka pada awal pendedahan video seks berkenaan.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, ahli perniagaan yang juga sahabat karib Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuib Lazim.

Apa peranan mereka?

Shazryl Eskay Abdullah: Diarahkan oleh Anwar supaya mengambil jam tangan Omega di dalam sebuah bilik hotel di Kuala Lumpur. Bagaimanapun di bilik hotel itu selain menemui jam tangan, beliau turut menjumpai empat kamera litar tertutup (CCTV).

Beliau yang tidak dapat melihat isi kandungan rakaman video itu meminta bantuan Abdul Rahim dan Shuib bagi membuat salinan rakaman.

Beliau juga meminta Abdul Rahim untuk mencari lokasi yang boleh menjamin keselamatannya bagi mendedahkan isi kandungan video tersebut kepada wartawan pada 21 Mac lalu.

“Saya yakin 100 peratus (lelaki dalam video itu adalah seorang pemimpin parti pembangkang) sebab saya pun ada dalam rakaman video tersebut,” katanya.

Rahim Thamby Chik: Dihubungi Shazryl Eskay minggu lalu yang meminta bantuan bagi menyalin video seks itu. Juga bertanggungjawab memilih dan menempah bilik di Carcosa Seri Negara untuk tujuan pendedahan kepada wartawan.

Shuib Lazim: Membantu proses menyalin rakaman video. Beliau turut menjemput Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul yang juga anak saudaranya supaya diberi peluang menonton rakaman video itu kerana hubungannya yang rapat dengan Anwar walaupun pada awalnya tidak dipersetujui oleh Shazryl Eskay dan Abdul Rahim.

Mengapa pendedahan dibuat?

Shazryl Eskay: “Sebenarnya (selepas) saya menunaikan umrah dan haji, saya rasa dipergunakan oleh Anwar sekian lama. Saya kenal Anwar sejak 1996.”

Rahim Tamby Chik: “Saya mengambil keputusan mendedahkan video seks ini bagi menegakkan kebenaran demi rakyat Malaysia mengenai akhlak sebenar pemimpin utama pembangkang ini.

Kami juga tampil mendedahkan identiti masing-masing kerana tidak mahu pembohongan, fitnah serta putar belit terus berleluasa menjadi asas politik di negara ini yang ditunjangi oleh pemimpin pembangkang tersebut.

Mengapa pilih Carcosa Seri Negara?

Rahim Tamby Chik: “Carcosa dipilih kerana mereka hendak tempat yang eksklusif dari segi keselamatan.”

Shazryl Eskay: “Kita tidak dapat perlindungan daripada polis, jadi saya tanya Tan Sri di mana tempat yang selamat dan Carcosa dikenal pasti. Sebenarnya kita hendak bagi lima orang wartawan sahaja yang tengok tetapi yang datang lebih 20 orang.”

Mengenai Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail?

Shazryl Eskay: “Seseorang (lelaki) menelefon saya, dia datang nak tengok video itu semalam. Saya kata okay, saya akan aturkan tempat untuk dia tengok. Tapi lelaki itu kata tidak dan nak datang sendiri untuk ambil video. Jadi, patutkah saya bagi video itu? (Dijawab ‘tidak!’ oleh wartawan). Dia kawan baik kepada Wan Azizah.”

Mengenai penglibatan Johari Abdul?

Abdul Rahim dan Shazryl Eskay mendakwa Johari mengakui lelaki dalam rakaman video berkenaan adalah pemimpin parti pembangkang berkenaan. Bagaimanapun sebaik pulang daripada menonton video itu, Johari menghubungi Shuib meminta wang pelincir. Johari juga meminta bayaran bagi tujuh ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk keluar parti. Permintaan itu ditolak.

Abdul Rahim: “Saya segera arahkan semua itu dihentikan. Ini bukan soal beri wang. Kita hendak tegakkan kebenaran. Kita bersusah payah untuk tegakkan kebenaran dan kita menghadapi rakyat Malaysia sebagai hakim yang bijaksana. Kerana itu walaupun semalam Ahli Parlimen ini (Johari) cuba membawa tujuh ahli Parlimen untuk temui kita. Kita tolak kerana kita tidak berminat sama sekali soal kewangan. Sedangkan misi sebenar untuk melihat kebenaran ini ditegakkan demi rakyat Malaysia.

Mengapa dedahkan sekarang?

Shazryl Eskay: “Ini bukan soal masa tapi yang cukup, cukuplah. Kebenaran mesti diberitahu.”

Mengapa tidak dedahkan kepada polis?

Shazryl Eskay: “Setiap kali polis dilibatkan, akan dipusing. Selalu akan dianggap konspirasi kerajaan. Saya bukan orang politik. Tapi saya pasti seseorang sudah melakukan sesuatu yang salah. Sebab itu kita biar wartawan yang putuskan. Kita bagi mereka tengok sendiri.

Siapa lagi terlibat?

Shazryl Eskay: “Tiada orang luar. Semua tiga ini, tiada sesiapa lagi. T untuk tiga atau trio.”

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Mula Nak Salahkan Orang Lain

'Pelakon utama' bukan Anwar - Johari

KUALA LUMPUR 23 Mac - Misteri video seks didedahkan Datuk 'T' kelmarin memasuki episod baru apabila Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa telah melihat video itu dan menafikan 'pelakon utamanya' sebagai Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, video itu dipertontonkan kepadanya di bilik Hotel Flamingo, Ampang oleh Tan Sri Rahim Thamby Chik dan ahli perniagaan, Datuk Eskay Shazril Abdullah petang kelmarin setelah dibawa ke sana oleh bapa saudaranya.

"Datuk Eskay memberitahu beliau selalu membawa Anwar ke Thailand dan club house tempat kejadian itu berlaku. Menurutnya setiap kali dia membawa Anwar ke tempat itu, bilik itulah yang akan digunakan Anwar dan dia akan menggunakan bilik bersebelahan.

"Sepanjang tayangan itu, Rahim kerap mencelah memburukkan Anwar. Selepas habis tayangan, Rahim memujuk saya meninggalkan PKR dan berjanji membawa saya berjumpa Perdana Menteri,'' katanya.

selain menguruskan segala keperluan kewangan dan keselamatan. Beliau turut minta saya bawa Ahli Parlimen pembangkang lain untuk tengok video itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini yang turut dihadiri hampir 30 ahli Parlimen pembangkang termasuk dua Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub serta Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, beliau mengecam lelaki dalam video berkenaan bukan Anwar berdasarkan beberapa perkara terutamanya keadaan fizikal yang berbeza.

"Memang imbasan lelaki itu nampak macam Anwar tetapi apabila dia bangun untuk menyarung seluar dalam, perutnya kelihatan buncit dan terlalu besar dibandingkan dengan Anwar. Punggungnya juga lebih berisi selain bahu si pelaku terlalu tegap dan lebar berbanding Anwar.

"Warna kulitnya juga cerah berbanding Anwar. Selain itu tempoh rakaman muka pelaku yang terlalu pendek dan hitam putih menyebabkan kesukaran untuk mengesahkan identiti pelaku.

''Disebabkan itu, sebaik keluar dari bilik tersebut saya katakan pada bapa saudara 'Demi Allah, itu bukan Anwar'," ujarnya.

Tidak terhenti di situ, Johari berkata, beliau turut mengatur pertemuan lima Ahli Parlimen PKR iaitu Datuk Kamarul Baharin Abbas (Teluk Kemang), Datuk Rashid Din (Merbok), Azan Ismail (Indera Mahkota), Abdullah Sani Abdul Hamid (Kuala Langat) dan Amran Abdul Ghani (Tanah Merah).

"Kami berjanji untuk bertemu di Hotel Flamingo pada pukul 3.30 petang semalam. Setelah bertemu bapa saudara saya di sana, beliau mengatakan Tan Sri Rahim dalam perjalanan.

"Dua jam kami menunggu tetapi tiada siapa yang hadir. Disebabkan itu kami menganggap ini adalah konspirasi terancang," katanya.

Sementara itu, Saifuddin berkata, perkara itu bukan sesuatu yang meragukan kerana tempahan dan bayaran bilik Carcosa Seri Negara, tempat video itu ditayangkan kepada media dibuat Timbalan Ketua UMNO Bukit Gantang, Kamarulail Sulaiman yang juga pegawai khas Rahim.

Wednesday, March 23, 2011

Hikayat Merong Mahawangsa

Hikayat Merong Mahawangsa angkat martabat filem Melayu

SAYA ingin mengajak rakyat Malaysia merenung sebentar dan memikirkan sejenak mengenai kejayaan terkini dalam perfileman Melayu. Kita sedang dihangatkan dengan sebuah filem yang sedang ditayangkan hasil nukilan seorang anak muda yang jiwanya sedang bergelora untuk menghasilkan sebuah hasil seni yang sungguh hebat iaitu Hikayat Merong Mahawangsa.

Sebenarnya,saya tidak pernah menonton filem Melayu di pawagam. Tetapi entah kenapa hati saya begitu teruja ingin menonton filem ini dan melihat sendiri kehebatannya.

Memang benar saya tidak kecewa. Sepanjang menonton filem ini saya merasakan begitu bangga kerana seorang anak Melayu dapat menghasilkan sebuah filem yang begitu tinggi hasil seninya.

Apa tidaknya, setahu saya Yusry KRU hampir putus asa. Mungkin kita tidak dapat menonton filem begini sekiranya beliau mengambil keputusan tidak meneruskannya. Jangan anda nafikan, sebagai rakyat Malaysia kita sememangnya dahagakan filem sebegini setelah kita hanya dibuai oleh filem-filem asing.

Hikayat Merong Mahawangsa adalah filem yang mesti ditonton oleh orang Melayu dan rakyat Malaysia. Begitu indah pertuturan bahasa, irama dan lentuk budi bicara. Itulah bahasa Melayu dan kita patut bangga menjadi anak Melayu. Berbaloi meluangkan masa, berbelanja sedikit untuk sebuah keluarga menonton filem tersebut.

Yusry menghabiskan wang berjuta ringgit, memerah keringat dan masa menghadapi tekanan hanya untuk memuaskan hati semua. Untuk filem sehebat ini, anda di luar sana janganlah menjelajah sana sini untuk mencari DVD cetak rompak. Kita harus menilai dan mengambil ikhtibar atas hasil seni yang bukan calang-calang orang dapat melakukannya.

Tontonlah filem ini kerana anda akan merasa bangga menjadi anak Melayu. Moga-moga di masa hadapan Yusry akan ada trade mark sendiri di mata dunia dengan filem-filem aksi yang hebat seperti nama-nama besar lain yang sedia ada di zaman ini.

MISHEF IBRAHIM

Petaling Jaya, Selangor

Polis dunia

'Polis Dunia' terus bongkak

SIKAP hipokrit barat yang didalangi oleh Amerika terserlah apabila mereka mengamalkan pilih kasih terhadap sesebuah negara yang ditimpa musibah atau bencana. Contohnya bencana alam yang melanda Jepun dan ketegangan yang berlaku di Libya.

Apabila Jepun ditimpa gempa bumi dan tsunami, pihak barat dan Amerika beria-ia menghulurkan pelbagai bantuan segera, seolah-olah begitu prihatin sekali. Media barat saperti CNN dan BBC boleh dikatakan menyiarkan setiap detik peristiwa di sana secara terperinci.

Sayangnya apabila gempa bumi yang kuat dan dahsyat berlaku di Sumatera seperti di Medan serta Aceh tidak berapa lama dahulu, bantuan barat dan Amerika ala kadar sahaja. Liputan berita tidaklah seluas dan sehebat kejadian di Jepun itu.

Nampak jelas sikap memandang bulu berkonsepkan 'antara dua darjat' diamalkan oleh pihak barat. Kalau benar-benar Amerika dan negara barat ikhlas, kenapa mereka tidak bantu mengatasi pergolakan di Somalia yang berlanjutan berpuluh-puluh tahun?

Juga kenapa tidak dibantu negara-negara yang dilanda kebuluran atau negara-negara lain di Afrika yang mempunyai masalah lebih kurang sama saperti apa yang terjadi di Libya? Inilah persolannya apabila menolong kepada yang ada kepentingan dan boleh menguntungkan mereka sahaja.

Apakah pula sebenarnya fungsi negara pakatan NATO? Kita perhatikan selama ini seolah-olah lagak mereka seperti tentera serpihan 'salib' yang masih berdendam dengan kehebatan tentera Islam di bawah pimpinan Sallehudin Al-Ayubi semasa perang Salib.

Atau perang antara Kristian dan Islam di awal kurun kesebelas dahulu. Sikap mereka nampaknya saperti membunuh secara terancang terhadap umat Islam.

Jika dahulu pakatan negara Eropah yang kuat berpegang dengan agama Kristian itu berperang untuk merebut wilayah terutama sekali Masjid Al- Aqsa di Baitul Maqdis, kini mereka merampas Masjid Al-Aqsa dan negara Palestin untuk kuncu kaum Yahudi. Mereka juga cuba menekan dan seterusnya menghapuskan umat Islam seolah-olah bagai dirancang.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pun seolah-olah mirip menjadi ejen puak Yahudi, Amerika dan barat yang mana mudah mengikut telunjuk mereka. Pandangan dan hak yang lain dinafikan. Jika fungsi mereka yang sebenarnya diperalatkan, tunggulah kehancuran dan kejatuhan badan-badan sebegitu jika tidak mahu berubah.

Lihatlah di Afghanistan dan Iraq. Tidak ada apa yang tinggal lagi bagi negara yang suatu ketika dahulu berdaulat dan bermaruah. Kini negera-negara tersebut bergolak sesama sendiri gara-gara mainan Amerika dan kuncu-kuncunya.

Kini Libya akan mengikut jejak langkah saperti itu jika tersilap langkah membenarkan barat menceroboh masuk. Nampaknya jika diperhalusi hanya tubuh Presiden Amerika itu sahaja silih bertukar ganti. Polisi dan sistem menjadi 'Polis Dunia' tetap tidak akan berubah.

Adalah tepat sekali kita menolak keinginan Amerika yang beria-ia untuk menawarkan diri bagi menjaga perairan Selat Melaka yang kononnya diancam oleh lanun.

Jika sekiranya kita membuka pintu membawa mereka ini masuk sudah tentu ia juga boleh mengancam negara-negara Islam di sebelah sini kerana mereka ini pakar dalam menjalankan strategi sebagai pengacau yang terancang.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL

Seremban, Negeri Sembilan

BM VS BI

Bahasa Melayu dimartabat, bahasa Inggeris diperkasa

Oleh Sidek Baba
ISU kepentingan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dan bahasa kedua timbul lagi. Secara perundangan, statusnya adalah jelas dalam konteks Malaysia tetapi aspek penggunaannya menjadi isu antara integriti dan kemampuan mendapatkan ilmu menggunakan bahasa Inggeris.

Apabila Kementerian Pelajaran mengkaji semula PPSMI dan mengambil keputusan untuk memartabatkan semula pengajarannya dalam bahasa Melayu, ia menimbulkan polemik yang tidak berkesudahan. Keputusan itu adalah langkah bijak supaya bahasa ibunda dimartabatkan dan bahasa Inggeris diperkasakan.

Penegasan yang dibuat dalam Majlis Penutup Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memperkasa bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa adalah langkah bijak, berpandangan jauh dan tepat pada waktunya.

Bahasa Melayu sudah sekian lama menjadi bahasa ilmu dan bahasa ilmiah. Sejarah lebih 53 tahun Malaysia merdeka menghasilkan secara empirikal bahawa bahasa Melayu memiliki upaya tinggi menjadi salah satu bahasa yang tersohor di dunia. Namun begitu kepentingan bahasa Inggeris tidak dinafikan. Janganlah kita berasa rendah diri bahawa tanpa menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama, kita bakal ketinggalan dalam proses maju dan membangun.

Dalam usaha memartabat bahasa Melayu, kita tidak meninggalkan penguasaan bahasa Inggeris. Cara mana bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan berkesan, itu adalah cabaran yang perlu kita atasi.

Bangsa Anglo-Saxon atau orang-orang Eropah dahulunya menghantar orang-orang yang mahir berbahasa Arab untuk datang ke Andalusia bagi mempelajari dan menguasai ilmu-ilmu orang Islam dalam segala bidang, kemudian menterjemahkannya ke dalam bahasa Latin atau Ibrani sebagai asas maju dan berubah. Strategi mereka ialah mengekalkan integriti sebagai bangsa Eropah dan menguasai ilmu pengetahuan dari tamadun lain untuk maju. Mereka tidak mengambil ilmu Islam, sekali gus mengambil bahasa Arab sebaliknya mengekalkan penguasaan bahasa Latin, Ibrani dan Hebrew sebagai bahasa ilmu.

Dalam konteks Malaysia, bahasa Melayu berada dalam kedudukan yang amat unik untuk dijadikan bahasa integrasi dan bahasa ilmu. Memperkasa diri dengan penguasaan bahasa Inggeris, malah bahasa-bahasa lain adalah suatu keperluan kerana sifat zaman berubah dan perkongsian ilmu dalam tamadun orang lain adalah dituntut.

Uniknya bahasa Melayu dalam konteks umat Melayu, ia terpancar istilah dan makna yang berasaskan sistem nilai. Sejak merdeka, terbukti bahasa ini digunakan di pusat pengajian tinggi khususnya dalam bidang sains, teknologi dan perubatan. Lulusan sekolah-sekolah dan institusi yang menggunakan bahasa Melayu terbukti berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara, tidak saja di universiti yang menggunakan bahasa Inggeris tetapi juga bahasa Perancis, Jerman, Jepun, Korea dan sebagainya.

Persoalan yang berbangkit ialah memperkasa bahasa Inggeris telah menyebabkan status aplikasi bahasa Melayu beransur-ansur dipinggirkan. Penggunaanya dalam subjek sains dan matematik dan 100 lagi cabang-cabang disiplin ilmu, tidak saja memberi kesan pencapaian dalam akademik tetapi telah menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin tidak penting dan lebih membimbangkan lagi, ia menjadi bahasa rojak dalam kegunaan harian. Ia bakal menyentuh integriti bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam konteks sebuah negara yang merdeka.

Memperkasa bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, malah bahasa Mandarin sebagai bahasa ketiga untuk menghadapi cabaran perubahan amatlah penting. Ia menuntut pendekatan pengajaran-pembelajaran yang dinamik dan kreatif di bilik darjah dan kuliah supaya kesan penguasaannya terserlah. Kemajuan teknologi dan modul-modul terkini dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa kedua dan ketiga terbuka luas untuk diaplikasikan supaya tidak saja penguasaan bahasa ibunda menjadi teguh dan kukuh tetapi dalam masa yang sama, penguasaan bahasa Inggeris menjadi lebih baik.

Tidak ada asas akademik dan hujah integriti yang menyatakan bahawa meninggalkan bahasa ibunda dalam menguasai ilmu dan mendakap bahasa kedua menjadi bahasa utama menyebabkan sesuatu bangsa itu maju. Orang-orang Perancis, Jerman, Jepun, China dan Korea masih tetap mempertahankan integriti bahasa ibundanya untuk maju tetapi dalam masa yang sama, amat terbuka untuk menguasai bahasa lain sebagai strategi untuk maju dan membangun.

Sekian lama Filipina menggunakan bahasa Inggeris, tetapi tidak pula mencapai model negara maju yang boleh dijadikan rujukan. Strategi Malaysia untuk terus tidak mengubah peruntukan perundangan mengenai status bahasa ibunda baik dalam Perlembagaan ataupun Akta Pendidikan adalah sesuatu yang bijak. Memberi keutamaan untuk memperkasa bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain adalah langkah strategik untuk terus maju.

Psikologi ini harus diperkukuhkan dengan teguh dan mantap sebagai warga Malaysia, tidak saja dalam dasar tetapi juga dalam amali dan aplikasi. Memberi fokus tentang sains dan matematik adalah penting dari sudut ilmu dan akademik. Menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar boleh memberikan dua implikasi besar. Pertama, bidang sains dan matematik amat rapat hubungannya dengan corak ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkembang pada masa kini dan masa depan. Menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama menyebabkan jangka panjangnya meminggirkan kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Ia juga menyentuh tentang persoalan integriti kerana bahasa itu dikaitkan dengan jiwa sesuatu bangsa.

Melaksanakan strategi memperkasa bahasa Inggeris tanpa melakukan projek perintis, persiapan guru-guru dalam penguasaan bahasa, prasarana pembelajaran yang tidak kondusif di luar bandar menyebabkan wujudnya jurang pencapaian yang berbeza dan boleh menyebabkan keciciran melebar. Oleh itu, langkah Kementerian Pelajaran menyusun kembali pendekatan memperkasa proses pengajaran-pembelajaran dalam bahasa Inggeris adalah suatu langkah yang dialu-alukan.

Petanda yang ada dalam keputusan peperiksaan yang lalu menjadi bukti bahawa pelajar-pelajar akan lebih mudah menguasai ilmu dan kemahiran menggunakan bahasa ibundanya dan dalam masa yang sama, pemerkasaan bahasa Inggeris memerlukan perancangan dan strategi pembelajaran-pengajaran yang lebih berkesan.

Sekiranya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi dapat mengekal dan mengembalikan status bahasa Melayu sebagai bahasa utama dan bahasa Inggeris sebagai bahasa penting, ia bakal menjadikan Malaysia sebagai negara yang mempunyai wibawa mempertahan dan mengembangkan faktor-faktor teras sebagai bangsa merdeka dan dalam masa yang sama amat terbuka untuk menguasai elemen-elemen luar lingkungan untuk maksud keilmuan dan kemajuan menggunakan bahasa-bahasa penting dunia.

Tidak timbul isu patriotik atau tidaknya dalam soal penggunaan bahasa Inggeris dan kurang patriotiknya apabila tidak menggunakan bahasa Melayu. Umat Melayu bersetuju bahasa memperkasa bahasa kedua dan ketiga yang kaitannya dengan ilmu adalah penting. Tidak timbul umpamanya bahasa Inggeris tidak penting atau bahasa Cina kurang penting. Dalam tradisi Islam, tidak wujud masalah linguistic chauvinism iaitu pembatasan terhadap penguasaan bahasa.

Ilmuan Islam yang tersohor mampu mencetus tamadun menguasai banyak bahasa. Menguasai sesuatu bahasa adalah menguasai ilmu yang ada pada bangsa itu. Dalam masa yang sama sesuatu bahasa itu akan menjadi bahasa yang matang, bahasa ilmu sains dan teknologi apabila ia digunakan dalam penghasilan karya, kerja-kerja penyelidikan, pengajaran dan pelajaran.

Sejak merdeka bahasa Melayu mampu dimartabatkan di universiti-universiti di Malaysia dan memerlukan azam dan tekad politik yang tinggi bahawa tidak harus wujud rendah diri atau rasa ketinggalan untuk menguasai sekiranya bahasa Melayu dijadikan bahasa utama dalam penerokaan ilmu dan bahasa Inggeris dijadikan bahasa penting untuk dipelajari dan dikuasai.

TAJUK-TAJUK BERITA LAIN:

Libya, Amerika,Sudu,Kuah

Pemberontak tidak mahu negara Islam

Oleh HAMBALI ABDUL LATIFF
PENULIS ialah Perunding Media
TERNYATA Amerika Syarikat (AS) bertindak 'lebih sudu daripada kuah'. Mereka mahu membunuh Muammar Gaddafi. Sebaliknya, apa yang dimahukan pemberontak ialah 'menghalau Muammar Gaddafi' atau dengan kata lain mengguling beliau, bukan membunuhnya.

Namun serangan yang dilakukan Tentera Bersekutu ternyata berhasrat membunuh Gaddafi. Ternyata dendam kesumat Barat terhadap Gaddafi masih kuat dan kegagalan lampau AS untuk membunuh Gaddafi dan sekutunya semakin menyemarakkan kemarahan mereka terhadap Gaddafi.

Penulis berpengalaman ke Libya, khususnya Tripoli beberapa kali ketika Libya dikenakan sekatan sejak 1991 oleh AS dan sekutunya.

Ternyata rakyat Libya berdiri teguh di belakang Gaddafi kerana serangan berkenaan. Malah perasaan anti-AS kerana serangan yang menyebabkan kematian anak Gaddafi sukar dilupakan rakyat Libya.

Dengan serangan terbaru ini, Gaddafi mungkin sekali lagi akan mendapat simpati daripada rakyatnya termasuk pihak yang sebelum ini mahu beliau digulingkan. Kekejaman Barat dan niat membunuh Gaddafi itu akan menjadikan sokongan kepada beliau berkekalan, selain hasrat menggulingkan beliau mungkin tidak akan tercapai.

Persoalan asas ialah kenapa mahu menggulingkan beliau? Bagi yang tidak menjejak kaki ke Libya beberapa kali dan mendekati Libya dengan dekat, mereka tidak mengetahui dengan jelas apa yang dilakukan Gaddafi melalui 'Buku Hijau'nya.

Pembangunan Libya melalui pertanian, perumahan dan pendidikan begitu menyerlah, walaupun hakikatnya ada tuduhan Gaddafi menggunakan kekayaan untuk kepentingan keluarganya.

Pembinaan 'Sungai Buatan Manusia' di tengah padang pasir untuk pertanian umpamanya adalah antara projek besar Gaddafi untuk membolehkan Libya mengeksport sayur dan buah-buahan ke Mesir dan Tunisia, selain negara-negara lain.

Penyatuan Libya sekian lama di bawah Gaddafi dan hasil minyak dan gas yang ada di perut bumi dan lautan Libya turut dimanfaatkan oleh Eropah khususnya Itali, termasuk Malaysia sendiri.

Amat nyata, apa yang dimahukan oleh pemberontak Libya untuk mengguling dan melihat beliau ke muka pengadilan tidak akan tercapai jika beliau mati akibat serangan Tentera Bersekutu.

Zeidan, wakil Majlis Peralihan Kebangsaan Libya (LTNC) berkata serangan udara yang dilakukan kuasa sekutu - Perancis, Britain dan Amerika Syarikat memang membantu pemberontak.

Namun penentang Gaddafi mahukan senjata yang lebih canggih dan banyak untuk menentang askar yang setia kepada pemimpin Libya itu. Hakikatnya, pemberontak mahukan 'jalan keluar yang aman' untuk Gaddafi yang pemerintahan autokratik selama 42 tahun itu dicemari dengan pertempuran berdarah antara askar yang setia kepadanya dengan pemberontak sejak beberapa minggu lalu.

Ziedan menegaskan: "Kamu lihat, kami memang mampu untuk menyasarkan beliau (Gaddafi) dan jika perlu mahukan beliau hidup-hidup untuk membawanya ke muka pengadilan sama ada mahkamah antarabangsa atau Libya. Kami tidak mahu membunuh sesiapa termasuk Gaddafi sendiri".

Pemimpin Barat sudah menyatakan serangan peluru berpandu dari udara dan laut pada Sabtu lalu bertujuan menghalang askar Gadaffi daripada mencederakan orang awam melalui ketetapan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), selain melemahkan kekuatan bala tentera udara Gaddafi.

Bagaimanapun, agak pelik apabila Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, berkata tidak bijak bagi Tentera Bersekutu cuba membunuh Gaddafi dalam serangan ke atas Libya. Malah menurutnya, gesaan rakan sejawatannya dari Britain, Liam Fox yang mencadangkan agar serangan itu mensasarkan Gaddafi, operasi itu sepatutnya kekal dalam lingkungan resolusi diluluskan oleh Majlis Keselamatan PBB.

Gates menyifatkan campur tangan di Libya itu disokong oleh 'pakatan yang amat berbeza-beza' dan memberi amaran, sebarang tindakan meluaskan matlamatnya akan merumitkan keadaan. Malah, lebih pelik lagi apabila beliau memberi amaran mengenai rancangan memberi sokongan secara langsung kepada pemberontak bagi menggulingkan Gaddafi.

Gates mengakui masalah politik di Libya perlu diselesaikan rakyat Libya sendiri. Beliau berkata: "Ada atau tidak bantuan dari luar untuk pemberontak, kita perlu tunggu dan lihat. Matlamat asalnya ialah untuk melumpuhkan pasukan tentera udara Gaddafi bagi melindungi orang awam."

Bagi pemberontak, mereka tidak mahu tentera antarabangsa asing menakluki Libya dan seperti kata Zeidan: "Kami mampu untuk berdepan dan menguruskan askar Gaddafi" selagi mereka berdepan dengan pertempuran biasa.

Malah, jika pun pertempuran berterusan, pemberontak mengatakan mereka mampu untuk mempertahankan diri, selain berharap ketetapan Majlis Keselamatan PBB dapat membantu mereka mengadakan gencatan senjata. "Kami akan menghormatinya dan jika askar Gaddafi cuba menembak kami, terpaksalah kami mempertahankan diri".

Menurut pemberontak, "tidak mungkin kami akan 'memeluk dan mencium' askar Gaddafi, jika mereka mula menembak kami".

Kerana itu pemberontak mahu Tentera Bersekutu menghentikan tindakan serangan itu segera supaya mereka boleh ke jalan raya semula untuk menuntut hak mereka secara aman iaitu bagi menukar kerajaan atau pemerintah di Libya.

Awal pagi Isnin lalu, Henri Guaino, penasihat tertinggi kepada Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy, berkata campur tangan tentera asing dijangka akan 'berakhir' walaupun mandat PBB untuk melindungi rakyat awam Libya belum tercapai 'sepenuhnya'.

Perancis adalah negara pertama memberikan pengiktirafan diplomatik kepada pembangkang Libya dan Sarkozy beria-ia menyokong zon larangan terbang yang diluluskan Majlis Keselamatan PBB. Menghalau Gaddafi adalah matlamat utama Perancis dan pemberontak.

Bagi Ziedan dan pemberontak "Gaddafi perlu digulingkan. Dia wajar dihalau secepat mungkin. Kami mahu tubuh kerajaan atau negara baru berasaskan demokrasi...,kami tidak mahu kerajaan Islam".