FGVH beri keuntungan jangka panjang kepada peneroka
13 Mei 2012
TEMERLOH - Penyenaraian Felda Global Holdings Ventures Bhd (FGVH) di
Bursa Saham Malaysia pada Jun depan dilihat akan memberi manfaat dan
keuntungan jangka panjang kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh
negara.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata penyenaraian tersebut amat dinanti-nantikan semua pihak kerana bakal memberi keuntungan yang berganda.
"Pihak yang menyebar pelbagai fitnah kononnya FGHV akan mengalami kerugian serta aset termasuk tanah hilang dan bankrap adalah tidak benar sama sekali.
"Pada awal penyenaraian tersebut nanti harga saham FGHV dijangka terus meningkat berganda dan mereka yang membeli saham itu sudah boleh berkira-kira akan mendapat keuntungannya pada tahun berikutnya," katanya ketika menyampaikan wang 'durian runtuh' kepada para peneroka sempena penyenaraian FGHV kepada 900 peneroka Felda Bukit Damar dan Lakum di sini, hari ini.
Mohd Sharkar berkata kerajaan telah melakukan pelbagai kajian teliti sebelum menyenaraikan FGHV itu dibuat.
"Mana ada kerajaan yang mahukan kerugian apabila menjalankan perniagaan, melainkan keuntungan, malah keuntungan itu akan memberi manfaat dalam jangka masa panjang kepada pemegang sahamnya," katanya.
Mohd Sharkar berkata peneroka Felda merupakan golongan yang sangat beruntung kerana selain mendapat durian runtuh, mereka turut meraih pelbagai manfaat termasuk saham, duit raya, bonus serta pendapatan bulanan yang terjamin.
"Mereka bukan lagi seperti peneroka seawal memasuki tanah rancangan itu yang pendapatannya tidak seberapa, tetapi mereka kini beroleh pendapatan yang berganda dan memberangsangkan.
"Peneroka Felda kini bukan sahaja ada segala-galanya, malah manfaat yang mereka peroleh tidak terdapat bagi rakyat di negara lain," katanya.
Mohd Sharkar turut menasihati peneroka yang mendapat durian runtuh itu supaya melabur sebahagian wang tersebut untuk jaminan masa depan dan bekalan di hari tua. - Bernama
No comments:
Post a Comment