Jangan guna 'durian runtuh'
20 Mei 2012
Naib Ketua PKR Cabang Pekan, Jamaludin Shariff iaitu penggerak utama kumpulan 770 peneroka Gugusan Felda Chini yang mengambil tindakan berkenaan berkata, ‘durian runtuh’ bukan sumbangan tetapi hak yang seharusnya sama dirasa oleh setiap peneroka.
“Ada yang kata kami tak malu (kerana ambil wang itu). Buat apa nak malu kerana wang itu adalah hasil titik peluh kami sebagai peneroka sejak lebih 30 tahun lalu,” katanya.
Bagaimanapun dalam nada yang sedikit lembut, Jamaludin kemudiannya berkata, sebagai warga Felda, dia tetap bersyukur kerana ini merupakan pemberian terbesar dalam sejarah hidup peneroka. Langkah ini boleh dianggap contoh kerana menghargai jasa peneroka selama ini.
Namun kata Jamaludin, apa yang menimbulkan rasa tidak puas hati ialah istilah ‘durian runtuh’ yang diguna pakai sedangkan ramai peneroka masih mempunyai hutang, malah ada yang hingga puluhan ribu ringgit.
“Kalau banyak hutang, apa yang durian runtuhnya? Ia cuma membantu peneroka sedikit tetapi hutang masih ditanggung oleh ribuan peneroka di sini untuk menjaga dan memberi kesenangan kepada keluarga masing-masing.
“Namun begitu, saya bersyukur dan berterima kasih atas pemberian ini walaupun masih ada isu yang perlu dihuraikan dan tuntut jalan penyelesaian,” katanya.
Pemberian durian runtuh fasa pertama untuk ketua keluarga peneroka di Felda Gugusan Chini itu melibatkan jumlah keseluruhan RM16.75 juta.
Sementara itu, peneroka Felda Chini Timur 2, Razali Haron, 55, berkata, rakan peneroka yang memfailkan saman kepada Felda seharusnya mengkaji perkara itu sebelum membuat sebarang tindakan.
“Renung kembali kesusahan selama ini dan siapa yang membantu kita sehingga berjaya seperti hari ini jika bukan Felda. Sekarang kita mampu memiliki kereta dan rumah banglo sedangkan dahulu motosikal pun belum tentu.
“Saya cukup terkilan dengan tindakan segelintir peneroka yang menyaman Felda selepas mendengar hasutan pembangkang,” katanya.
No comments:
Post a Comment