Fatwa dinista, nasib Tunku Aziz
GARA-GARA mengeluarkan fatwa haram bagi umat Islam menyertai perhimpunan atau demonstrasi yang mencetuskan huru-hara dan kekacauan dalam negara, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam telah dinista dengan sehina-hinanya oleh beberapa penulis blog propembangkang.Fatwa tersebut bukan sahaja disanggah malahan mereka melabelkan jawatankuasa fatwa tersebut dengan pelbagai gelaran yang begitu nista walaupun fatwa yang dikeluarkan itu bersifat umum dan tidak menjurus kepada perhimpunan Bersih 3.0 semata-mata.
Penarik Beca (penarikbeca.blogspot.com) antara blog yang paling lantang menghentam majlis fatwa tersebut dengan menyamakan jawatankuasa berkenaan sebagai anjing dan pelacur.
Walaupun penulis blog cuba berkias dengan menceritakan situasi di sebuah ‘negara lain’ di dunia tetapi segala latar peristiwa dan perwatakannya jelas menjurus perhimpunan ala-Bersih yang menentang pilihan raya yang kotor serta majlis fatwa di negara ini.
Antaranya blog ini menulis: “Tidak cukup dengan itu, muncul pula anjing-anjing dan syaitan-syaitan berupa manusia yang memakai nama jawatankuasa fatwa negara itu yang mendakwa rakyat yang menentang kemungkaran pilihan raya kotor, zalim dan penipu itu buat kerja haram.
“Mereka mengambil alih kerja Allah SWT. Berani sungguh mereka mengharamkan yang halal. Bila masa pula nahi munkar menjadi perbuatan haram? Dah la tu, punya gian nak melacurkan diri, tak tunggu siasatan, sudah jatuh hukum.
“Kepada sebahagian penduduk negara itu, mereka tidak dilihat sebagai jawatankuasa fatwa. Mereka dilihat sebagai majlis pelacuran yang sangat hanyir dan lendir. Mereka lebih jijik dan najis dari taik (tahi) babi."
Lebih nista lagi ditulis oleh Hishamuddin Rais dalam blognya, Tukar Tiub (tukartiub.blogspot.com) menyamakan jawatankuasa fatwa sebagai “kumpulan zakar" dengan menulis: “kumpulan zakar telah bermuzakar, mereka telah bersetuju untuk, mengeluarkan fak wa. Sesudah mengeluar fak wa mereka akan berzakar dan berzikir kah kah kah."
Sementara blog Penyokong Pas (penyokongpas.wordpress.com) pula bukan sahaja mempersoalkan keputusan yang dibuat dalam muzakarah jawatankuasa berkenaan, malah turut melabelkan fatwa yang diputuskan sebagai fatwa cap ayam.
“Pada ana, majlis fatwa tak perlu nak masuk campur dengan benda-benda begini. Bersih ni pasal politik. Pasal penipuan. Kenapa ulama dan majlis fatwa tak buat fatwa khusus bahawa menipu juga sebagai haram. Tiba-tiba bila Bersih dah kuat, sokongan kita kepada Ambiga dah kuat, buat pula fatwa macam ini. Lawak pun ada.
“Ini semua dendam pada Ambiga dan Pas. Mentang-mentang kita parti Islam, mereka guna fatwa nak perkecil kita. Nampak sangat sengkek," kata blog berkenaan.
Blog Kedahan (kedahan69ers.com) menilai rasa tidak senang para penulis blog propembangkang dengan fatwa yang diputuskan jawatankuasa itu kerana mereka adalah golongan ‘murakkab’ iaitu ketaksuban kepada golongan yang mereka pandang sebagai ulama dan ilmuwan terbilang, tetapi gagal mengetahui perkara asas dalam skop keilmuan.
Katanya, walaupun ramai golongan yang terpelajar dan kadar celik agama terus meningkat tetapi kecenderungan terhadap politik telah menenggelamkan segala kebijaksanaan yang dimiliki mereka atau lebih tepat, golongan yang tidak tahu apa-apa tetapi hendak menjadi bijak pandai berpandukan kecenderungan politik kepartian.
“Disebabkan itulah keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan dipertikaikan. Ia dipertikai kerana tidak membenarkan pandangan (Datuk) Nik Abdul Aziz Nik Mat dan nafsu serakah para penyokong Bersih 3.0.
“Mereka mempertikaikan fatwa berkenaan kerana ia menyalahi dengan apa yang mereka percayai. Sepertimana kaum Quraisy menentang Nabi Muhammad SAW apabila baginda memperkenalkan Tauhid Rububiyyah wal Uluhiyyah yang bersalahan dengan kepercayaan terhadap al-Latta, al-Uzza dan Mannat.
“Mursyidul Am Pas mahupun Dewan Ulama Pas Pusat tidak mampu sebenarnya untuk dibandingkan dengan Majlis Fatwa Kebangsaan.
“Mereka hanyalah keldai-keldai politik yang akan mempergunakan apa-apa sahaja alasan mahupun dalih bagi membenarkan tindakan politik mereka, manakala Majlis Fatwa Kebangsaan pula bertindak bagi kemaslahatan umum," katanya.
Nasib Tunku Aziz
GARA-GARA menentang penganjuran perhimpunan Bersih 3.0, DAP telah bertindak menamatkan perkhidmatan Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim sebagai Ahli Dewan Negara. Naib Pengerusi DAP itu sebelum ini menganggap setiap perhimpunan yang konon dikatakan aman akan berakhir dengan keganasan.
Ekoran “pemecatan" Tunku Aziz sebagai senator itu, Syed Akhbar Ali (syedsoutsidethebox.blogspot.com) berkata, DAP jelas tidak mengamalkan dasar demokrasi seperti mana yang dilaungkan apabila mengambil tindakan terhadap pemimpin mereka yang mempunyai fikiran berbeza dengan pucuk pimpinan parti.
Beliau dengan sinis berkata: “Ya, tindakan demokratik telah diambil ke atas Tunku Aziz oleh Democratic Action Party. Mereka memecat beliau."
Katanya, tindakan DAP yang memecat Tunku Aziz semata-mata bercakap hal-hal di luar kotak, beliau percaya parti itu juga tidak memberi ruang dan peluang kepada ahli atau pemimpin Melayu dalam DAP lain untuk menyampaikan pendirian masing-masing, selain memperkudakan mereka untuk kepentingan parti.
“DAP pecat Tunku Aziz sebagai senator. Ini sahajalah yang Tunku Aziz mampu pergi dalam DAP. Awak berbaktilah di rumah perhambaan itu, Tunku. Awak pergilah tidur dalam reban sekarang," katanya sinis.
Blog Apa Kecoh-kecoh (apakecoh2.blogspot.com) menganggap Tunku Aziz tersilap langkah dalam berpolitik apabila menyertai DAP kerana percaya dengan janji manis konon parti itu benar-benar jujur memperjuangkan demokrasi dan hak untuk bersuara.
“Tapi bila dia berani untuk menyuarakan pendapat peribadinya, apa yang dia dapat? Maki hamun dan cercaan bukan sahaja dari penyokong pembangkang dan DAP, malahan pemimpin DAP dan pembangkang pun tumpang sekaki untuk menyerang Tunku Aziz," katanya.
Jelas pendirian DAP tentang hak untuk bersuara hanya boleh diguna pakai untuk menghentam kerajaan tetapi jika perbezaan pendapat itu menjurus kepada parti sendiri, hak tersebut sudah tidak wujud lagi.
“Kini, Tunku Aziz dihukum kerana dia berpegang kepada prinsip berani kerana benar. Dia digugurkan dari senarai senator oleh DAP dan dengar khabarnya akan turut dilucutkan jawatan Naib Pengerusi DAP dan dipecat dari parti DAP. Memang betullah DAP ni “Democratic Action Party" - demokrasi tu hanya hiasan tetapi sebenarnya (ia) lebih kepada autokratik dan kuku besi!"
No comments:
Post a Comment