Sunday, May 6, 2012

agenda bersih

Bahaya agenda politik jahat

Perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lepas telah membawa perhatian kepada dua perkara asas tentang hak asasi manusia : hak untuk berhimpun secara aman dan hak untuk menyertai pilihan raya yang bebas dan adil.
Sungguh memalukan apabila hak untuk berhimpun secara aman telah dicemari dengan aksi ganas. Peserta demonstrasi, wartawan dan anggota polis adalah mereka yang tercedera dan luka. Kerajaan telah menjanjikan satu siasatan yang jujur dan tidak berat sebelah untuk mengenal pasti punca keganasan, siapakah dalang di sebaliknya dan siapa yang telah mengapi-apikan peserta perhimpunan.
Amat diharap bahawa selain bukti daripada pihak polis, para penyiasat akan memberi perhatian yang serius terhadap dakwaan peserta demonstrasi, laporan Suhakam serta pemantauan Majlis Peguam. Untuk kebaikan negara, adalah lebih baik hasil siasatan didedahkan kepada rakyat secepat mungkin. Paling penting, tindakan tegas hendaklah diambil terhadap pesalah-pesalah, tidak kira apa jua status mereka di dalam masyarakat.
Mungkin keganasan semasa perhimpunan Bersih dapat dielakkan sekiranya pihak penganjur mengikut arahan DBKL dan polis yang mahu mereka berkumpul di empat stadium yang dicadangkan, termasuklah Stadium Merdeka dan tidak berkeras kepala untuk mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka. Mengikut akta undang-undang Dataran 1992, Dataran Merdeka hanya boleh digunakan untuk acara yang bersifat nasional. Sebab itulah, pada masa lepas, terdapat permintaan daripada beberapa NGO yang mahu membuat program yang tidak bersifat nasional, terpaksa ditolak. Kenapakah pihak penganjur sungguh berdegil untuk terus menggunakan Dataran sedangkan mereka boleh menyampaikan mesej untuk pilihan raya yang bersih dan adil di tempat lain?
Ini membawa kita kepada persoalan yang kritikal. Adakah pilihan raya di Malaysia ini bersih dan adil? Sekiranya kita memberikan fokus utama terhadap isu pengundian, tidak pernah ada bukti, semenjak pilihan raya yang pertama pada tahun 1959, mengenai isu-isu berkaitan dengan penipuan pilihan raya misalnya penambahan kotak undi, penukaran kotak undi, kehilangan bilangan besar nama pengundi daripada senarai pengundi atau pun perbezaan besar di antara jumlah pengundi yang berdaftar dengan jumlah yang benar-benar mengundi di pilihan raya.
Sudah tentu terdapat beberapa kes penyelewengan dan kesilapan semasa pilihan raya dahulu yang telah pun didedahkan. Kekurangan seperti ini wujud di mana mana pilihan raya. Hakikatnya, tidak ada satu proses pilihan raya di dunia yang benar benar bebas daripada penyelewengan.
Oleh kerana di Malaysia terdapat tahap integriti tertentu, maka pihak pembangkang secara kolektif berjaya mendapatkan 35-50 peratus undi popular pada pilihan raya terdahulu. Sebagai contoh, pada pilihan raya 2008, gabungan pihak pembangkang, Pakatan Rakyat, telah berjaya menawan lima negeri, memenangi 10 daripada 11 kerusi di Wilayah Persekutuan, dan buat pertama kalinya dalam sejarah, menafikan majoriti dua pertiga yang dimiliki oleh Barisan Nasional di Parlimen. Pihak pembangkang berjaya juga memenangi lapan kerusi daripada 16 kerusi pilihan raya kecil semenjak 2008. Kewujudan pihak pembangkang yang berdaya maju di Malaysia adalah cetusan daripada proses pilihan raya yang berfungsi.
Terdapat suatu cara lain yang boleh digunakan bagi menilai keadilan proses pilihan raya. Sekiranya keputusan pilihan raya mencerminkan sentimen rakyat pada masa itu, tidak ada asas langsung mengatakan pilihan raya itu dicemari penipuan. Keputusan semua pilihan raya di Malaysia telah mencerminkan sentimen dan mood pengundi pada waktu itu. Pada tahun 1959, perasaan tidak puas hati pengundi Melayu, yang disebabkan akta warganegara yang baru diperkenalkan serta situasi krisis dalaman MCA, telah menyebabkan kurangnya sokongan daripada kedua-dua komuniti tersebut terhadap Parti Perikatan.

Menyatukan
Walaubagaimanapun, ancaman konfrontasi dari Indonesia pada tahun 1964 menjadi akar umbi penyatuan semua komuniti dan ini telah menyebabkan Parti Perikatan memperoleh keputusan yang baik di dalam pilihan raya. Dalam tahun 2004, harapan rakyat terhadap kebolehan Perdana Menteri yang baru telah memberi kejayaan yang besar kepada Barisan Nasional. Namun, dalam tahun 2008, perasaan kekecewaan terhadap pemimpin yang dianggap gagal mengotakan janji-janjinya telah menyebabkan BN mengalami kekalahan mengejut.
Kita tidak seharusnya memperdayakan diri bahawa tidak perlunya suatu penambahbaikan sistem pilihan raya di negara ini.
Ada kemungkinan bahawa Bersih 2.0 (Julai 2011) serta penyertaan beberapa individu dan kumpulan dalam dan luar kerajaan telah menyebabkan Kabinet mendirikan suatu Jawatankuasa Pilihan Parlimen (PSC) bagi menyelidik cara bagi meningkatkan ketelusan proses pilihan raya. PSC telah mengadakan enam perbincangan awam di enam bandar bagi mendengar pendapat rakyat serta menerima memorandum daripada 106 kumpulan dan individu.
Harus ditekankan di sini bahawa tiga daripada sembilan anggota PSC merupakan wakil pembangkang dan mereka telah memainkan peranan aktif dalam jawatankuasa ini. Mereka juga melibatkan diri di dalam lawatan sambil belajar PSC ke United Kingdom, Jerman dan Denmark. Mereka menyokong 10 cadangan awal yang telah dibentangkan oleh PSC kepada Parlimen pada 1 Disember 2011 termasuk cadangan penggunaan dakwat kekal dan pembersihan senarai pengundi. Mereka juga menyokong 18 daripada 22 cadangan yang telah dibentangkan kepada Parlimen pada 3 April 2012 - termasuk cadangan pembentukan kerajaan sementara; akses media yang saksama; memperkukuhkan kedudukan Suruhanjaya Pilihan Raya; persempadanan bahagian pilihan raya yang seimbang; dan pembiayaan parti politik.
32 cadangan daripada PSC ini yang telah diadaptasikan oleh Parlimen merupakan titik permulaan pembaharuan luas kepada sistem pilihan raya di negara ini sejak merdeka 54 tahun dahulu. Namun, oleh kerana ciri-cirinya yang tertentu, sesetengah cadangan ini akan mengambil masa untuk dilaksanakan manakala ada yang boleh diperkenalkan serta-merta.
Namun yang lebih signifikan adalah perubahan proses pilihan raya ini berlaku dalam konteks perubahan luas terhadap sistem politik dan kebebasan sivil. Akta Perhimpunan Aman telah diwartakan dan telah memberi ruang untuk kebebasan asasi manusia. Akta Percetakan juga telah dipinda untuk memastikan semakan kehakiman atas kuasa eksekutif. Terdapat lebih banyak ruang untuk pelajar terlibat di dalam politik.
Akta lapuk Ordinan Darurat telah dibatalkan. Yang penting sekali, ISA telah dihapuskan. Tidak boleh dinafikan bahawa reformasi perundangan telah mewujudkan ruang dan skop bagi artikulasi kebebasan hak-hak asasi manusia yang tidak pernah berlaku sebelum ini.
Banyak lagi perkara yang harus dilakukan. Ada beberapa akta yang telah dipinda hendaklah dinilai semula dan mungkin dimansuhkan pada masa akan datang. Kumpulan warganegara yang benar-benar komited untuk reformasi demokrasi hendaklah terus berinteraksi dengan pihak kerajaan dan juga pembangkang melalui dialog dan aksinya - termasuk berhimpun secara aman.
Tingkah laku pemimpin pembangkang dan beberapa aktivis Bersih 3.0 yang telah bersikap seolah-olah tidak ada penambahbaikan semenjak Bersih 2.0, menunjukkan kemuslihatan dan sikap kurang jujur mereka. Kutukan jahat dan ganas daripada kumpulan ini terhadap perubahan yang dibawa semenjak Bersih 2.0 hingga ke Bersih 3.0 - perubahan yang sebahagiannya hasil sumbangan mereka - ia telah mendedahkan niat sebenar mereka sebagai penipu dan hipokrit yang tidak mempunyai komitmen yang ikhlas untuk kebebasan dan demokrasi.
Dengan memperalatkan ciri-ciri penipuan dan bermuka dua dalam kegiatan politik, mereka terus ingin memperdayakan sentimen masyarakat umum hanya untuk memenuhi agenda politik jahat.
Dan agenda politik jahat mereka inilah yang merupakan bahaya terbesar kepada negara pada hari ini.
n Dr. Chandra Muzaffar ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.

No comments:

Post a Comment