Majlis Sejahtera Peneroka catat rekod baru
MARAN 11 Mei - Pengurusan Felda Wilayah Jengka berbangga dengan kejayaan menganjurkan Majlis Sejahtera Peneroka bersama Perdana Menteri di Felda Jengka 8 di sini pada Selasa lalu kerana memecahkan rekod kehadiran paling ramai warga peneroka.Pengurus Besarnya, Saari Din berkata, kehadiran lebih 50,000 peneroka itu mencatatkan rekod baru kerana berjaya mengumpulkan kelompok peneroka terbesar dalam satu lokasi pada majlis berkenaan.
Jelasnya, ia sekali gus mencatat sejarah tersendiri kerana semasa sambutan Hari Peneroka di Bandar Tun Abdul Razak Jengka pada 7 Julai tahun lalu hanya mencatatkan kehadiran kira-kira 30,000 orang.
"Kami menganggarkan sekitar 30,000 orang yang datang, tetapi jumlah bertambah hampir sekali ganda berikutan para peneroka dan generasi baru ingin mendengar sendiri pengumuman tersebut daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya di sini hari ini.
Jelasnya, pelbagai persiapan dibuat sempena majlis itu bagi meraikan kedatangan pemimpin negara yang dianggap wira unggul dalam memartabatkan Felda.
Tambahnya, walaupun berlaku kesesakan luar biasa sehingga mengambil masa beberapa jam untuk pulang ke destinasi masing-masing, mereka berasa puas kerana memperoleh durian runtuh sebanyak RM15,000 sekeluarga.
"Pengumuman tersebut sekali gus menafikan dakyah pembangkang yang sangat curiga mengenai usaha penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) ke Bursa Malaysia sehingga mengelirukan peneroka," katanya.
Katanya, pihak pengurusan di wilayah ini berusaha keras bagi memastikan program tersebut berjalan lancar dan memberi keselesaan kepada para tetamu.
"Kami telah membuktikan dalam menganjurkan program bertaraf perdana hasil kerjasama antara pegawai Felda, pimpinan peneroka, pertubuhan bukan kerajaan, wakil rakyat dan agensi kerajaan," ujarnya.
No comments:
Post a Comment