Generasi kedua perlu faham aspirasi Felda
KUALA LIPIS 19 Mei - Generasi baru Felda perlu memahami sejarah penubuhan agensi itu supaya mereka dapat menghayati perjuangan pemimpin terdahulu dalam melakarkan agenda menghapuskan kemiskinan.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, pemahaman aspirasi penubuhan Felda yang dicetuskan Tun Abdul Razak bukan sahaja dapat mengukuhkan jati diri generasi muda malah dapat menangkis tohmahan yang dilemparkan pembangkang.
"Felda sudah tentu sinonim dengan Bapa Pembangunan Negara, Tun Abdul Razak yang membawa misi penting pasca merdeka iaitu agenda menghapuskan kemiskinan rakyat.
"Legasi berkenaan diteruskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melebarkan usaha membina kelas menengah masyarakat peneroka serta peluang pendapatan menerusi sektor keusahawanan dan pemilikan saham," katanya.
Abdul Rahman yang juga Ketua UMNO Bahagian Lipis berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan cek fasa pertama durian runtuh bernilai RM630,000 kepada 126 peneroka di Felda Kechau Satu dekat sini semalam.
Terdahulu, pada majlis sebelah pagi, Abdul Rahman turut menyampaikan wang durian runtuh bernilai RM630,000 kepada 126 peneroka di Felda Chegar Perah dekat sini.
Menurut beliau, peneroka sewajarnya bersyukur dan berterima kasih kepada Tun Abdul Razak dan Kerajaan Persekutuan kerana cetusan idea membangunkan Felda telah mengubah taraf hidup penduduk luar bandar walaupun pada awalnya kehidupan agak sukar semasa mula memasuki Felda.
Justeru, katanya, legasi Felda kini diteruskan oleh Najib apabila Perdana Menteri mahu memodenkan Felda menerusi pelbagai usaha yang akan meletakkan Felda sebagai konglomerat bertaraf dunia.
Sehubungan itu, katanya, penyenaraian Felda Global Ventures Holding Berhad (FGVB) di Bursa Malaysia antara strategi ke arah memodenkan kehidupan peneroka menerusi pelaburan yang bersistematik di samping perolehan pendapatan yang baik pada masa akan datang.
"Pemberian durian runtuh sebanyak RM15,000 kepada setiap keluarga peneroka secara berperingkat antara usaha kerajaan menerusi Felda menyuntik pendapatan tambahan sekali gus menghargai jasa peneroka sendiri memacu ekonomi negara ini," ujarnya.
Abdul Rahman berkata, pemberian insentif berkenaan tidak perlu dieksploitasi oleh peneroka yang berdiri di belakang pembangkang kerana mereka juga menikmati agihan yang saksama daripada kerajaan.
"Walaupun memperlekeh kerajaan dan Felda, tetapi saya nampak hari ini ahli peneroka pembangkang berkenaan juga tampil menerima cek durian runtuh dengan perasaan gembira dan ceria," ujarnya.
Tambahnya, tepuk dada, tanyalah selera mengenai apa yang patut peneroka buat serta menghargai jasa kerajaan hari ini berbanding dengan melemparkan pelbagai dakyah memperlekeh usaha Felda dan perjuangan UMNO untuk memartabatkan rakyat agar berjaya dalam semua bidang.
No comments:
Post a Comment