Harap muzakarah jadi realiti
KOTA BHARU 18 Mei - Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berterima kasih dan melahirkan rasa syukur atas respons positif UMNO untuk mengadakan pertemuan dengan Pas setelah sejak sekian lama isu muzakarah timbul antara kedua parti itu.Nik Abdul Aziz berkata, beliau bersyukur dengan sikap terbuka Timbalan Perdana Menteri yang juga Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersedia menerima pelawaan untuk muzakarah dan berharap ia akan menjadi kenyataan.
Malah katanya, beliau tidak kisah dengan pandangan negatif yang dilontarkan dari kalangan pemimpin dan ahli dalam Pas sendiri kerana tujuan muzakarah adalah untuk saling memberi teguran antara satu sama lain dan merupakan cara bertamadun yang dianjurkan Islam.
“Alhamdulillah, terima kasih banyak, syukur pada Allah Taala kerana telah terbuka hati dia (Muhyiddin), kerana saya telah kata, sejak dari zaman (Allahyarham) Datuk Asri (Muda) lagi timbul pasal muzakarah, kenapa tak jadi-jadi? Takutkan apa? Kita nak kepada kebenaran dan tidak ada yang benar selain daripada apa yang Tuhan tunjuk dalam al-Quran.
“Muzakarah ini serupa yang selalu saya sebut, perkara yang tidak boleh tidak (satu kemestian), ini cara bertamadun, bukan cara menggunakan senjata atau paksa orang terima satu fahaman, (kaedah) yang betulnya adalah muzakarah iaitu bergilir ingat mengingat, biar tentu manusia ini ingat hala ke mana kita akan pergi, hujung kita ini ada syurga dan neraka, takkan kita nak pergi ke neraka.
“Yang orang lain (pemimpin Pas yang membantah) itu hak dia, saya sebut pandangan saya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di hadapan Pejabat Badan Perhubungan Pas negeri di sini hari ini.
Menteri Besar Kelantan itu diminta mengulas kenyataan Muhyiddin semalam yang menegaskan UMNO tidak ada masalah untuk bermuzakarah dengan Pas seperti mana yang disuarakan Nik Abdul Aziz pada Rabu lalu asalkan hasrat itu ikhlas untuk kepentingan ummah, masyarakat Islam dan negara.
Ketika ditanya mengenai Pas yang sering meletakkan syarat kepada perancangan muzakarah sebelum ini, Nik Abdul Aziz berkata, ia bukanlah satu halangan besar dan beliau menyerahkan soal teknikal itu termasuk jemputan dan agenda perbincangan sepenuhnya kepada pimpinan parti.
No comments:
Post a Comment