Perjuangan UMNO berlandaskan agama
PAGOH 19 Mei - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, perjuangan UMNO sejak 66 tahun penubuhannya tidak bercanggah dengan Islam malah mengikut landasan agama.Jelasnya, pelbagai cabaran telah dilalui parti itu selama ini dan berkat perpaduan orang Melayu, UMNO terus bertahan sehingga ke hari ini dan mengecap kejayaan.
"Kita berdoa agar Allah terus mengurniakan nikmat-Nya dan UMNO akan terus berkuasa sebagai parti keramat yang memperjuangkan Islam dan orang Melayu," katanya ketika berucap pada majlis tahlil Ulang Tahun Ke-66 UMNO di Masjid Kampung Raja dekat sini hari ini.
Beliau sempat berpesan kepada para jemaah masjid tersebut agar memahami tentang pentingnya keamanan yang berkekalan di kawasan Parlimen itu dan meminta semua pihak mempertahankannya.
Ketika menghadiri majlis ramah mesra di pekan Pagoh kemudiannya, beliau berkata, penduduk Pagoh tidak mengamalkan budaya demonstrasi seperti yang cuba dibawa oleh sekumpulan individu yang menentang Lynas di kawasan itu minggu lalu.
"Mengapa mereka membawa perkara itu ke sini. Orang Pagoh tidak mahu ini semua. Loji Lynas akan dibina di Kuantan kenapa protes itu tidak kekal di sana sahaja?" soalnya ketika berucap pada majlis itu.
No comments:
Post a Comment