Tuesday, May 15, 2012

13 mei dari blog kak jee

13 MEI 1969 --SOROTAN REMAJA BERUSIA 13 TAHUN






43 tahun lalu. Tanggal 13 Mei, 1969. Keluarga Kjee - bapak, mak, Kjee serta dua adik iaitu Faridah dan Fazilah. Abang Fauzee ketika itu belajar di Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK).






Kjee di tingkatan 1 di SMK Air Panas Setapak. Kjee tak ingat Faridah sekolah mana sementara Fazilah (sekarang dah arwah) belajar di Sekolah Rendah Cina San Min, Setapak dalam darjah 3.

Kami tinggal di belakang Chong Hwa High School di Batu 3¾ Jalan Gombak, kira2 20 minit dari Chow Kit. Kawasan 99% dihuni orang Cina. Hanya ada dua rumah orang Melayu dan 1 rumah orang India Muslim. Lain semua Cina. Rumah Melayu satu lagi (selain kami) dihuni oleh satu keluarga kecil. Suaminya kerja sebagai askar. Yang India Muslim itu orang meniaga.

Hidup kami cukup harmonis. Jiran2 sebelah menyebelah (kecuali jiran Melayu) seringkali bertegur sapa. Jiran Melayu tu pulak menyendiri dan enggan bercampur gaul. Tak tahu kenapa.

Pada tanggal 10 Mei 1969, jiran Cina (perempuan) sebelah rumah kami mati. Kami tak tahu dia mati. Kjee balik sekolah, mak ajak ke rumahnya kerana mak kata seharian tak nampak dia. Kami masuk ke rumahnya yang tidak berkunci. Dia di dalam bilik. Mak panggil dia dua tiga kali tapi dia tak bangun tidur. Mak pegang kakinya. Panas. Mak cuba gerak dia tapi tak ada respon. Mak terus keluar panggil jiran lain. Mereka datang. Wanita itu sah dah meninggal! Mungkin baru beberapa jam.

Malam itu bapak tolong jiran2 Cina lain pasang lampu dan kemah di rumah si mati. 

Petang 13 Mei 1969. Kami sekeluarga di dalam rumah. Rumah kami di tingkat atas. (Rumah teres ala town house. Bawah orang lain duduk). Tiba2 kami dengar kecuh2 di luar rumah. Bapak jenguk luar beranda. Tanya apaa hal.

"Gaduh...gaduh.." kata seorang jiran Cina kami sambil berlari join kawan2nya yang lain. Bapak panggil Fazilah dengar apa mereka bual. Fazilah sekolah Cina so dia faham apa dia orang kata.

"Orang Melayu dengan Cina gaduh, bapak. Kat Setapak dan Kampung Baru!" kata Fazilah yang ketika itu baru 9 tahun. Setapak hanya 10 minit dari rumah kami!

Bapak pucat. Mak mula menangis. Kjee tak faham kenapa mesti menangis dengar orang gaduh. Lutut mak terus lembik dan dia tiba2 demam. terkejut yang amat2.

Di luar rumah kami intai orang Cina tengah potong batang paip besi dan asah (digesel2 diatas jalan tar) jadikan buncunya tajam di tepi jalan. Bapak masih intai dari berandah. Suami Jiran Cina kami yang baru mati dua hari lepas suruh bapak masuk dan tutup pintu dan tingkap.

"Jangan tunjuk muka. Takut orang Cina luar datang nampak awak, nanti susah," katanya. Bapak terus masuk dan kunci semua tingkap dan pintu.

Semalaman kami tak tidur. Masa itu barulah tahu rasa takut. Bukak TV dan Radio. Kjee tak ingat apa yang ditayangkan di TV. Mak semakin panas demam. Bapak bukak tingkap dan nampak jiran2 kami. Beritahu mak sakit. Tak sampai satu jam, salah seorang datang bawak ubat yang dibeli di kedai sinseh berdekatan.

Kemudian datang lagi jiran lain bagi 1 guni kentang. Sebuah lori bawak kentang on the way pergi pahang tersangkut di kawasan kami sebab perintah berkurung. Semua kentang diagih2kan kepada penduduk termasuk kami.



Siang itu, satu trak askar datang bawak pergi keluarga Melayu yang suami dia kerja askar. Bapa enggan ikut sama. Kemudian satu trak polis datang untuk bawak kami pergi dari situ. Arahan dari datuk Kjee yang tinggal di Kpg Baru. Bapak masih berkeras. Katanya, keluarganya tak semestinya selamat kalau dipindah ke tempat lain. Lagipun, setiap masa ada agihan makanan seperti beras, gula, minyak dan sardin dari jiran2 Cina. Tak tahu mana mereka dapat. Mungkin ada lori lain yang terkandas jugak kot.

Di TV dan Radio pengumuman untuk orang derma darah dibuat. Tabung Darah sudah kering kerontang. Sesiapa nak derma, akan dijemput dari rumah! Bapak pelan2 pergi rumah jiran dan telefon Tabung darah hantar orang jemput dia. Dia penderma regular.

Dan masa bapak pergi, baru kami dapat cerita kisah sebenar di Kuala Lumpur. Bermandian darah. Cerita lain Kjee tak tahu sebab muda sangat masa tu.

Cuma Kjee tidak dapat lupa jiran2 Cina di kawasan perumahan kecil di belakang Chong Hwa High School sampai ke hari ini. Kalau tidak kerana jiran2 yang baik hati dan bermufakat, pasti kami sekeluarga tidak wujud hari ini.

Walaupun setelah lama kami berpindah dari kampung Chong Hwa itu, namun tiap kali Hari Raya, mereka akan berduyun2 mengunjungi kami. Begitu jugak kalau Tahun Baru Cina, bonda akan masak rendang dan kuih Melayu dan hantar kepada mereka.

Ketika itu, semua bangsa hidup saling hormat menghormati. Dulu kami lebih 1 Malaysia dari sekarang. Sebabnya? Tiada 'anasir2' peniup semangat kebencian di antara kaum, Sekarang ini, orang Melayu benci sesama sendiri, orang Islam benci sesama sendiri...bangsa lain dengan bangsa Melayu? Hmmm sedih sangat.

Hentikanlah meniup sentimen perkauman. Kjee yakin kita semua sama. Mahu capai satu matlamat iaitu ingin generasi kita hidup selesa di bumi bertuah ini selepas kita tiada.

Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelangga. 

43 tahun lalu, Malaysia belum canggih macam sekarang tapi kenapa sebelum peristiwa 13 Mei, kita semua hidup bersatu padu. Selepas 13 Mei, barulah ada kebangkitan orang Melayu. Bukan bangkit untuk bergaduh tapi ekonomi orang Melayu bertambah baik dengan wujudnya Dasar Ekonomi baru.

Tapi di zaman Malaysia Moden ini, timbul pulak satu agenda baru. Agenda meniupkan sentimen yang kurang sihat di kalangan pelbagai bangsa. Haruskah kita benarkan petualang2 negara ini merosakkan apa yang datuk dan nenek kita bina selama ini? Renung2kanlah.


No comments:

Post a Comment