'Kenapa anak saya tersisih?'
ANAK saya adalah antara ribuan anak Malaysia yang memperoleh semua A dalam peperiksaan SPM 2009. Walaupun bilangan A+ tidak sebanyak pelajar-pelajar cemerlang lain tetapi tercatatlah pelbagai kombinasi A dalam slip peperiksaannya.Atas minat anak saya yang mendalam untuk menjadi doktor, saya telah menghantarnya melanjut pelajaran dalam bidang perubatan ke Universiti Tanta, Mesir setelah mengemukakan permohonan ke Kementerian Pengajian Tinggi pada tahun 2010 dengan pembiayaan sendiri.
Saya dan isteri saya adalah kakitangan kerajaan, berijazah, mempunyai empat anak yang masih bersekolah dan anak saya ini ialah anak sulung.
Saya merasa semua boleh faham dengan gaji kakitangan awam sepenuhnya berapalah baki gaji setelah ditolak dengan pinjaman rumah, kereta dan kos sara hidup. Tetapi saya dan isteri saya berjiwa besar dan mempunyai impian yang besar untuk anak-anak berjaya dalam pelajaran; pinjaman dengan bank dibuat untuk menghantar anak saya ke Mesir.
Sebelum berangkat saya memohon pinjaman melalui Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).
Menurut salah seorang pegawai, TAPEM tidak menghantar pelajar perubatan pada tahun tersebut kerana masalah kewangan tetapi tiba-tiba saya dapat tahu ada beberapa orang pelajar yang dihantar oleh Kerajaan Melaka ke Mesir dalam bidang perubatan. Saya terkejut tetapi reda dengan ketentuan Allah mungkin bukan rezeki anak saya pada tahun itu.
Saya berpesan dengan anak saya supaya belajar bersungguh-sungguh dan Alhamdulillah anak saya berjaya mendapat keputusan 'Jayyid Jidan' dalam peperiksaan tahun pertamanya.
Saya pergi lagi ke TAPEM untuk buat permohonan rasmi kali kedua dengan membawa keputusan tahun pertama, tetapi sebelum itu saya telah beberapa kali memanjat tangga berjumpa tuan pengarah merayu supaya anak saya dibantu.
Menurut tuan pengarah secara lisan dia memaklumkan berdasarkan keputusan peperiksaan itu anak saya ada harapan boleh dapat bantuan pelajaran itu tetapi semuanya bergantung kepada keputusan dalam mesyuarat panel.
Akhirnya pada 9 Februari 2012 pihak TAPEM memaklumkan permohonan saya tidak dapat dipertimbangkan kerana kedudukan kewangan yang kurang memuaskan.
Tidak pernah berputus asa saya kemudiannya memohon Skim Pinjaman Yuran Pengajian Luar Negara Jabatan Perkhidmatan Awam pada 2 Februari 2012.
Sekali lagi saya hampa apabila keputusan semakan pada malam 24 April 2012 mendapati anak saya 'Tidak Berjaya' dalam permohonannya.
Saya dan isteri pergi ke Bahagian Pembangunan Modal Insan pada 25 April 2012 dengan membawa surat rayuan dan ingin mengetahui kenapa anak saya tidak layak dan apakah kriteria pemilihan dibuat.
Saya faham apabila dimaklumkan pemilihan berdasarkan hierarki merit keputusan akademik yang lebih baik dan beliau mengatakan tidak ada seorangpun pelajar yang memperoleh Jayyid mendapat pinjaman, sedangkan menurut anak saya ada rakan sekuliahnya yang mendapat keputusan Jayyid telah berjaya mendapat pinjaman.
Di mana silapnya apabila ada dua orang adik-beradik mendapat skim pinjaman ini/ Hal ini sedikit sebanyak merendahkan self esteem anak saya kerana dia masih lagi belum berjaya mendapat bantuan pembiayaan daripada mana-mana pihak.
Tidak boleh digambarkan bagaimana kecewanya saya dan lebih-lebih lagi anak saya dengan keputusan ini.
Saya tidak ada tempat lagi hendak mengadu. Puas sudah saya membawa surat mohon sokongan dengan ahli politik kawasan saya. Saya hanya orang biasa, kakitangan kerajaan biasa dan bukannya banyak kenalan orang berpangkat dan berpengaruh yang boleh mengadu hal.
Saya faham jika anak saya tidak dapat biasiswa tetapi saya susah hendak faham jika memohon pinjaman dari JPA juga tidak dipertimbangkan.
Saya juga tidak boleh memohon pinjaman bank lagi dengan baki pendapatan bersih saya.
Saya memohon luahan hati saya ini mendapat perhatian daripada mana-mana pihak. Berilah peluang anak saya belajar dengan selesa dan dia akan sentiasa ingat bahawa kerajaan sentiasa mengambil berat soal pembangunan modal insan.
No comments:
Post a Comment