Thursday, May 24, 2012

pendahuluan masuk u

ARKIB : 22/05/2012

1,770 anak Perak terima pendahuluan PTPTN RM1,500

IPOH 21 Mei - Seramai 1,770 anak kelahiran Perak yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bernilai RM1,500 seorang.
Pemberian WPP yang keseluruhannya bernilai lebih RM2.6 juta itu disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid di Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengurus Jabatan Proses, Rekod dan Dokumentasi PTPTN, Hasrul Nizam Che Hashim dan Pengarah PUO, Kamaruddin Hamzah.
Majlis penyerahan WPP itu diadakan secara berperingkat selama dua hari kepada pelajar sekitar Parlimen Larut dan Gerik.
Mohammad Zahir dalam ucapannya pada majlis itu memberitahu, bagi sesi kemasukan Jun 2012, seramai 3,030 pelajar negeri itu menerima WPP yang melibatkan peruntukan berjumlah RM4.5 juta.
Katanya, jumlah tersebut merupakan pecahan daripada jumlah keseluruhan pelajar yang menerima WPP pada tahun ini iaitu seramai 32,777 pelajar.
''Wang pendahuluan itu merupakan satu inisiatif kerajaan dalam menyuntik semangat pelajar untuk terus berusaha mencapai kejayaan tanpa perlu runsing memikirkan perbelanjaan mereka sepanjang tempoh pengajian.
''Malah, melalui bantuan wang pendahuluan itu, kita harap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban pelajar dan ibu bapa dalam melakukan persediaan memasuki IPT," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, desakan pembangkang untuk memansuhkan PTPTN disifatkan sebagai idea yang tidak relevan untuk diaplikasikan di negara membangun seperti Malaysia.
''Mereka boleh cakap untuk hapus dan memberi pendidikan percuma dengan menggunakan duit Petronas. Ini bukan cadangan yang bagus kerana mereka tidak fikir berapa subsidi pula diperlukan untuk menyediakannya.
''Kerajaan sebenarnya belanja cukup banyak untuk sektor pendidikan di negara ini kerana kita percaya pembangunan sesebuah negara bermula daripada pendidikan yang baik," katanya.

No comments:

Post a Comment