Sunday, May 20, 2012

pr naikkan yuran, kata nak bagi percuma...

ARKIB : 19/05/2012

Isu Kuin contoh hipokrasi parti pembangkang - Mukhriz

KUBANG PASU 18 Mei - Keputusan Kerajaan Pas Kedah menaikkan yuran pengajian Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mulai Julai depan merupakan contoh hipokrasi tertinggi pakatan pembangkang yang sebelum ini kononnya mahu pendidikan percuma di negara ini.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, langkah tersebut juga tidak selaras dengan gesaan pembangkang agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan.
Katanya, bagi membuktikan kesungguhan mereka untuk mengotakan janji-janji tersebut, kerajaan negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang perlu melaksanakan dahulu perkara tersebut.
"Setiap pemimpin harus mengamalkan kepimpinan dengan teladan terbaik kerana apa yang mereka cakap haruslah dikotakan terlebih dahulu.
"Kalau kita suruh orang lain buat tetapi kita sendiri tak buat, malah, lakukan sebaliknya seperti dalam kes kenaikan yuran Kuin oleh kerajaan Pas Kedah, itu adalah contoh hipokrasi tertinggi pembangkang," katanya yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) PTPTN bagi negeri Kedah di Kolej Matrikulasi Kedah di Changlun, dekat sini hari ini.
Sebanyak 462 daripada 1,399 penuntut yang bakal mengikuti jurusan diploma dari negeri ini hadir menerima WPP yang berjumlah RM1,500 seorang.
Dalam pada itu, menurut Mukhriz, PTPTN merupakan model terbaik membantu pelajar melanjutkan pengajian sebaliknya pendidikan percuma tidak bersesuaian dengan negara membangun seperti Malaysia.
"Jika dimansuhkan, impaknya sangat besar kerana seluruh rakyat perlu menanggung cukai yang tinggi sehingga 60 peratus. Di negara lain seperti Norway dan Sweden misalannya, memanglah pendidikan percuma tetapi penduduk di negara itu harus menanggung cukai yang cukup tinggi untuk membiayai pendidikan percuma itu.
"Adakah semua rakyat bersetuju? Kita setuju pendidikan percuma namun, cukai semua harus dinaikkan sehingga 60 peratus. Adakah langkah ini adil untuk semua termasuk bagi keluarga yang tidak mempunyai anak belajar di universiti juga harus menanggung beban hutang itu," katanya.
Beliau pada masa yang sama turut mencabar pembangkang agar mengemukakan satu idea yang bernas untuk membiayai pendidikan percuma bagi membuktikan kesungguhan mereka.
"Apa yang mereka selalu cakap adalah ambil dana Petronas, itu sahaja. Ini bukan contoh pemimpin yang baik kalau sekadar kemukakan idea tanpa menjelaskan bagaimana caranya, itu tidak baik," katanya.
Sejak 1997 katanya, PTPTN telah mengeluarkan pembiayaan pendidikan sebanyak RM3.5 bilion bagi pelajar dari negeri itu melanjutkan pengajian daripada keseluruhan pembiayaan RM43 bilion dari seluruh negara.

No comments:

Post a Comment