Friday, May 18, 2012

kedai alibaba

Monopoli kedai tersorok

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
OPERASI...kedai yang dikendalikan warga asing di pusat berkenaan.
OPERASI...kedai yang dikendalikan warga asing di pusat berkenaan.
OPERASI...antara warga asing yang mengendalikan kedai di tingkat tiga dan empat pusat berkenaan di ibu kota.
OPERASI...antara warga asing yang mengendalikan kedai di tingkat tiga dan empat pusat berkenaan di ibu kota.
KUALA LUMPUR: Dimonopoli warga asing. Itu yang boleh diibaratkan keadaan di sebuah pusat beli-belah produk komputer di ibu kota apabila majoriti perniagaan di pusat berkenaan dikendalikan peniaga dan pekerja warga Bangladesh, Pakistan dan Indonesia.
Tinjauan Metroplus di pusat berkenaan baru-baru ini, mendapati warga asing terbabit memonopoli kedai di tingkat tiga dan empat dengan menjual komputer baru serta terpakai, selain menawarkan perkhidmatan membaiki peralatan itu.

Malah, hampir keseluruhan kedai di bahagian belakang tingkat itu dikendalikan peniaga warga asing dan situasi itu dipercayai berpunca daripada tindakan pemilik kedai yang ‘mengalibabakan’ kedai mereka kepada warga asing.
Peniaga di pusat itu yang hanya mahu dikenali sebagai Rizal, 27, berkata, perniagaan di situ sebelum ini diusahakan peniaga tempatan, namun kebelakangan ini sudah banyak kedai disewakan kepada warga asing.

Menurutnya, isu terbabit bukan perkara baru kerana pusat itu sejak beberapa tahun ini dikuasai peniaga warga asing dan mereka kembali beroperasi walaupun pihak berkuasa mengambil tindakan.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan seolah-olah tidak memberikan kesan dan ini menyebabkan pertambahan bilangan peniaga warga asing sehinggakan kedai di tingkat tiga serta empat dikuasai mereka.

“Sehari selepas mengambil tindakan mereka kembali beroperasi. Mereka tidak takut dengan tindakan pihak berkuasa. Akibat monopoli peniaga warga asing ini, peniaga tempatan mengalami kerugian.

“Mereka menyewa gerai di bahagian belakang bagi mengelakkan perniagaan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya.
Seorang lagi peniaga tempatan, Leong, 37, berkata, warga asing terbabit menyembunyikan identiti dengan menyamar sebagai pelancong setiap kali serbuan dilakukan pihak Imigresen menyebabkan operasi gagal.

Katanya, peniaga warga asing terbabit yang menggunakan pas lawatan sosial menjejaskan peniaga tempatan kerana mereka menawarkan perkhidmatan dengan harga lebih murah.

“Tindakan menyewakan gerai kepada peniaga warga asing menyebabkan ada antara peniaga tempatan gulung tikar. Oleh itu, kami meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas untuk membanteras aktiviti mereka.

“Pihak berkuasa juga seharusnya mengambil tindakan terhadap peniaga tempatan yang mengalibabakan perniagaan mereka,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Imigresen, Mohd Zamberi Abdul Aziz berkata, pihaknya sudah melakukan pemantauan di kawasan terbabit dan merancang satu operasi bersepadu untuk membanteras peniaga warga asing yang menjalankan perniagaan tanpa lesen sah.

Katanya, pihak Imigresen sukar untuk mengambil tindakan disebabkan kawasan itu menjadi tumpuan ramai sehingga membolehkan peniaga asing yang menyedari kehadiran pihak berkuasa menyamar sebagai pelancong.

“Kami tahu tindakan peniaga warga asing di situ dan menunggu masa untuk melakukan serbuan. Sudah banyak serbuan dilakukan pihak Imigresen sebelum ini, namun keadaan sebegini masih wujud.

“Kami akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya mendapati mereka ini melanggar syarat pas lawatan sosial. Semua mereka akan dihantar kembali ke negara asal mereka jika didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi.

No comments:

Post a Comment