Tuesday, May 29, 2012

tabung belia

ARKIB : 28/05/2012

Apa dah jadi tabung belia ini?

SAYA ingin mengambil kesempatan daripada program Himpunan Jutaan Belia 2012 yang baru selesai berlangsung di Putrajaya untuk meluahkan isi hati saya yang terkilan dengan sikap sebuah agensi kerajaan yang acuh tidak acuh dalam membantu belia seperti kami.
Adalah menjadi cita-cita saya sejak di universiti lagi untuk menjadi usahawan. Di universiti, semangat saya berkobar-kobar apatah lagi apabila mendengar pelbagai saranan daripada kerajaan agar siswazah menjadikan bidang keusahawanan sebagai kerjaya pilihan tanpa perlu bergantung kepada makan gaji. Kerajaan juga menyediakan pelbagai insentif kepada siswazah yang ingin menjadi usahawan. Setiap kali dialog bersama menteri dan timbalan menteri, mereka akan turut menyemai semangat agar anak Melayu menyahut cabaran ini dan kerajaan akan membantu kami 101 peratus.
Setelah berjaya mendapat segulung ijazah, saya pun menyertai Program Inkubator Usahawan Siswazah (PIUS) anjuran SME Bank pada bulan September tahun lepas setelah mendapat informasi mengenainya melalui laman web bank berkenaan.
Saya membayar RM300 untuk program latihan selama empat hari di bank berkenaan. Kami dijanjikan bantuan pinjaman perniagaan sebanyak RM500,000 tanpa cagaran. Lebih kurang 20 orang menyertai kursus tersebut bersama saya.
Mereka adalah graduan dari dalam dan luar negara dan ingin menceburi pelbagai jenis perniagaan. Saya difahamkan bank berkenaan sentiasa menganjurkan kursus berkenaan dan setiap kali itu juga ramai bekas graduan akan menyertainya dengan harapan untuk mendapat bantuan kewangan bagi membiayai perniagaan mereka.
Habis kursus kami dikehendaki mencari bidang perniagaan yang ingin diceburi dan setiap seorang daripada kami diberikan seorang mentor untuk membantu kami. Kami diberikan masa selama tiga bulan untuk menyediakan Rancangan Perniagaan dengan bantuan mentor tersebut.
Oleh kerana saya telah lama meminati bidang perniagaan francais dan sering mengikuti promosi yang dibuat oleh kerajaan melalui KPDNKK, saya pun menghubungi sebuah syarikat francais makanan segera antarabangsa. Setelah beberapa pertemuan akhirnya syarikat tersebut sanggup membantu saya mengambil francais mereka dengan syarat saya mendapat pembiayaan kewangan.
Apabila saya memberitahu mentor saya di bank berkenaan, soalan pertama yang keluar dari mulut beliau ialah adakah saya yakin, kerana kebanyakan francisor setelah mendapat duit daripada francaisi mereka akan lari.
Beliau tidak menggalakkan saya menceburi bidang perniagaan francais, malah beliau mengutuk francaisor habis-habisan. Tetapi oleh kerana saya telah tekad, maka saya tetap meneruskan hasrat saya dan berjaya menyiapkan rancangan perniagaan dengan bantuan francaisor tersebut.
Setiap minggu, saya menghubungi pihak bank bagi mengetahui status permohonan pinjaman saya namun kecewa dengan jawapan standard mereka, sedang diproses.
Beberapa kali saya cuba pergi ke bank berkenaan untuk berjumpa dengan mentor saya, tetapi hampa kerana beliau sibuk.
Emel dan SMS tidak berjawab. Seorang pegawai di bank berkenaan yang kebetulan terserempak dengan saya di sebuah restoran memberitahu bahawa mustahil mereka akan memberikan duit kepada siswazah untuk berniaga, mereka tidak percayakan siswazah.
Mereka hanya akan bantu mereka yang sudah punya paling kurang setengah daripada keperluan modal. Beliau turut cakap besar dengan mengatakan bahawa mereka hanya akan bantu syarikat besar seperti NAZA, Lim Tayar, Sani Ekspres dan lain-lain. Kalau tidak ada modal seperti siswazah, boleh lupakan hasrat untuk mendapat duit daripada mereka. Kebanyakan ucapan beliau adalah dalam bahasa Inggeris. Saya menangis dalam hati, rupanya inilah sikap pegawai bank berkenaan.
Saya turut menghubungi kawan- kawan saya yang menyertai kursus berkenaan dan mereka pun menceritakan perkara yang sama, terpaksa berulang-alik memanjat bangunan bank berkenaan, masih tiada jawapan. Mentor sibuk, dan mereka masih menganggur. Ada yang terpaksa kerja sambilan di hypermarket dan ada yang menjadi atendan tempat letak kereta.
Saya sedih mengenangkan nasib kami yang diberikan pelbagai janji manis untuk membantu kami siswazah, anak Melayu oleh pihak kerajaan, kementerian dan agensi. Kami sedar sekarang bahawa segala janji itu adalah palsu semata-mata. Jika pun tidak mahu membantu kami, kembalikanlah duit RM300 kami.
Kami bukan berasal daripada keluarga kaya, bangsawan. RM300 sudah terlalu besar buat kami.

No comments:

Post a Comment